ERIC CARLE PERGI KERANA SAKIT BUAH PINGGANG
Eric Carle, penulis dan pelukis buku kanak-kanak terkenal The Very Hungry Caterpillar, telah meninggal dunia kerana kegagalan buah pinggang.
Eric yang terkenal dengan buku ‘ulat bulu lapar’ itu pergi pada usia 91 tahun di studionya yang terletak di Northampton, Massachussetts.
Buku terbaik mendiang “The Very Hungry Caterpillar,” telah terjual lebih 55 juta naskhah di seluruh dunia sejak ia diterbitkan pada tahun 1969 dalam lebih 70 bahasa. Beliau menulis lebih 70 buku kanak-kanak di sepanjang hayatnya dan hasil karyanya terjual lebih 170 juta naskhah.

Eric mula berkarya pada penghujung usia 30 tahun dan terus terkenal kerana karya-karyanya bukan sahaja memukau kanak-kanak, malah orang dewasa.
*Pixcredit:nytimes & pinterest
JADILAH PENDAKWAH BUKANNYA PENDAKYAH
MAAFCAKAP: 25.5.2021
Selain daripada berita palsu, fitnah dan hal-hal yang tidak berfaedah, kita juga sentiasa dihujani dengan pelbagai jenis pengetahuan. Pengetahuan datang tanpa dipinta. Apabila tercetusnya kembali peperangan di antara Palestin dan Israel, kita mendapat pengetahuan mengenai sejarah bermulanya pencerobohan Yahudi ke tanah Palestin berikutan dengan Pengisytiharan Balfour.
Kita juga mendapat ilmu perbezaan di antara Masjid Al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah atau Dome of Rock, apa itu Zionis, Yahudi, kitab Taurat, Briged Al-Qassam malah apa itu iron dome. Akhirnya kita mendapat kesimpulan bahawa peperangan Israel dan Palestin ini akan berlanjutan hingga ke akhir zaman.
Inilah pengetahuan mengenai peperangan itu yang kita perolehi dari internet, melalui pelbagai portal dan media sosial. Kita tidak mencarinya tetapi ia datang mencurah-curah tanpa dipinta. Namun, pengetahuan sebegini tidak penting melainkan kita melihatnya sebagai ilmu. Ilmu ialah sesuatu pengetahuan dipelajari untuk digunakan selepas itu.
Samada ia ilmu memotong kuku, memasak, bertukang, bisnes, perakaunan, senibina dan pelbagai lagi, ilmu membantu kita untuk kehidupan. Betapa pun, ilmu yang boleh kita gunakan itu tidak bererti seandainya ia setakat diketahui tanpa kefahaman.
Misalnya, kita mempunyai ilmu pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa di mana Rasulullah saw kerap berlapar dan sanggup mengikat perut, baginda pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan rumahnya amat sederhana. Ia memberi imej bahawa Rasulullah adalah seorang yang miskin.
Tetapi bila kita faham bahawa kehidupan cara itu adalah pilihan Baginda sendiri, kita akan menghormati malah ingin mencontohi kehidupan sebegitu. Baginda sudah lama kaya sebagai seorang usahawan sejak kecil kerana mengembala kambing dan seorang ahli bisnes hingga dipilih oleh Siti Khadijah untuk menguruskan perniagaannya.
Malah Baginda mempunyai sahabat-sahabat jutawan seperti Saidina Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Mustahil Rasulullah saw tidak boleh kaya dengan sokongan para sahabat melainkan itu adalah pilihannya untuk hidup bersederhana.
Justeru itu, pengetahuan itu setakat tahu, berilmu itu adalah sesuatu yang boleh kita gunakan tetapi ia tidak bermakna seandainya kita tiada kefahaman mengenainya. Bagaimana kita mendapat kefahaman mengenai sesuatu perkara itu melainkan dianugerahkan oleh Al-Alim, Yang Maha Mengetahui?
Dalam pada itu, ilmu dan kefahaman pula tidak akan berkekalan seandainya kita tidak mengamalkannya. Amal tanpa ilmu itu suatu kebodohan dan ilmu tanpa amal itu pula suatu pembaziran.
Apa jua ilmu yang diperoleh tanpa diikuti dengan amalan akhirnya mensia-siakan si pencari ilmu. Misalnya, ilmu perniagaan diri yang dipelajari dari seorang usahawan dengan bayaran ribuan ringgit tetapi tidak diikuti dengan amalan akan menjadikan ilmu itu tiada harganya.
Sebab itulah, sikap mengejar kertas kelulusan demi kelulusan yang tidak berakhir dengan amalan terhadap ilmu yang dicari itu akan menjadikan seseorang itu sama seperti orang yang tidak berilmu langsung. Amalanlah yang akan mengekalkan sesebuah ilmu dalam diri seseorang.
Malah, dengan amalan ilmu yang dipelajari itu memungkinkan seseorang itu meneroka dan mendasari pelbagai sudut pandang dan sisi ilmu hingga menjadi cabang-cabang ilmu yang baharu.
Bagaimanakah kita ingin konsisten untuk mengamalkan apa ilmu yang dipelajari? Cara yang paling ampuh ialah dengan menyampai dan menghebahan apa yang ilmu yang diperolehi. Ia semudah memperkatakan mengenai ilmu yang ada.
Apabila kita kerap bercakap mengenai ilmu, mengamalkan dan bercakap mengenainya, telinga kita sendiri akan menangkap apa yang disebut lidah. Putaran itu menjadi auto-suggestion dan pengukuhan ilmu yang sebati di dalam diri.
Dalam jutaan manusia memperoleh pengetahuan, hanya ratusan ribu yang menjadikan ia ilmu. Dalam ratusan ribu yang menjadikan ia ilmu, hanya puluhan ribu sahaja yang jadikan ia amalan. Dalam puluhan ribu yang jadikan ilmu sebagai amalan, hanya belasan ribu sahaja yang menyampaikan ilmu yang diperoleh.
Kesimpulannya, ilmu mesti diikuti dengan amal. Amal pula diperkukuhkan dengan penyebaran ilmu itu. Penyebaran itulah yang dinamakan dakwah. Berapa ramaikah pendakwah di kalangan kita berbanding dengan penyampai dakyah?
Sahabat Sejati Hingga Ke Jannah
MAAFCAKAP: 18.5.2021
Sambil menyusun buku di kedai IqraRead, saya bersembang dengan seorang kawan kepada staf saya yang datang berkunjung. Anak muda ini seorang yang peramah dan rajin bertanya. Ismad, seorang remaja yang baharu lepas Diploma Perakaunan di sebuah kolej di Damansara. Kini dia bekerja secara sementara di sebuah portal bisnes atas talian yang terkenal.
Dalam bersembang itu kami sampai ke topik mengenai kawan. Dia bertanya saya, bagaimana mencari kawan? Jawab saya, kawan mudah ditemui walaupun sukar dicari. Kawan-kawan dalam media sosial mungkin sekali mereka yang tidak kita langsung kenali. Kalau kita hendak berkawan dengan seseorang di media sosial, kita kena memohon. Kalau dia suka, dia akan beri kelulusan kita berkawan dengannya.
Berbeza sekali di dunia nyata bilamana kita menjadi kawan buat seseorang melalui cara bertemu, berkenalan dan akhirnya berkawan. Kawan sekampung atau kawan sekolah adalah mereka yang kita kenali melalui pergaulan. Bila kerap bertemu dan masing-masing selesa, maka baharulah berkawan dengannya.
Jika tak sekepala, kita akan menjauhi. Sebab itu di dunia nyata kita jarang tertipu dengan manusia yang dah jadi kawan kita. Sebabnya di dunia siber, masing-masing boleh menyolek wajah dan hanya memaparkan yang molek-molek hingga kita tertipu dengan kesempurnaannya.
Ismad bertanya lagi, apakah saya boleh beritahunya jenis-jenis manusia yang dikatakan kawan ini? Jawab saya, ada jenis kawan bermula kerana setempat seperti sepejabat, sekariah atau sekampung. Ada kawan kerana peristiwa seperti berkawan kerana bertemu di tempat awam seperti di restoran, bank atau mula berkenal di hospital kerana jadi mangsa Covid-19. Ada kawan yang bermula kerana kerap bertegur sapa di media sosial.
Walau apa pun keadaannya, mereka yang menjadi kawan kita tergolong dalam empat kategori. Pertama kawan pemikiran. Kedua, kawan emosional. Ketiga, kawan spiritual dan yang keempat pula ialah kawan fizikal. Kawan pemikiran adalah mereka yang kita berkawan tidak terbatas dengan mereka yang sekuliah. Sebaliknya, inilah orang yang kita cari bila kita inginkan pandangannya.
Misalnya bila kita hendak mula berniaga, menukar kerjaya, memilih bidang kerjaya mahupun bercakap tentang politik, inilah orang yang kita akan cari. Kita mungkin tidak perasan bahawa inilah orang yang boleh kita ajak berbincang, berhujah dan juga bertengkar.
Kawan emosional pula adalah mereka yang kita cari apabila kita hendak melepas perasaan marah, benci dan susah hati pada seseorang. Dia akan mendengar segala luahan perasaan kita tetapi dia tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah tetapi sudah cukup memberi the listening ear kepada kita.
Golongan kawan spiritual ini adalah teman kita bertanya pelbagai hal-hal keagamaan. Hal-hal seperti mendapatkan pandangan mengenai hukum-hakam pergaulan dan perbuatan yang bersangkutan dengan agama.
Kawan fizikal pula ialah kawan untuk beriadah. Kawan untuk sukan futsal, bolasepak, badminton dan berbasikal adalah tergolong dalam kategori ini. Aktiviti fizikal mengalirkan hormon seperti endorfin yang akan menghilangkan segala stres dan kesakitan. Inilah kawan-kawan untuk melepas segala emosi secara terkawal.
Sehingga mana kita boleh berkawan dengan seseorang, tanya Ismad. Dia bertanya kerana ingin mencari kawan untuk dijadikan sahabat.Menurutnya kawan-kawannya yang ada tidak ramai yang kekal. Katanya lagi, bila tak bertemu terus tidak bertanya khabar.
Kini, Ismad bertanya saya satu soalan yang memang saya hendak jawab sebagai kesimpulan kepada ilmu mencari kawan. Saya bertanya Ismad, ‘Awak hendak masuk syurga atau neraka?’ Meskipun tampak sedikit tersentap dengan soalan saya, dia jawab, ‘Syurga.’
Saya bertanya lagi, ‘Kalau Ismad hendak masuk Syurga, berikan saya 10 nama mereka yang dijamin Syurga.’ Ismad kelihatan bingung dengan soalan saya. Lalu saya memberitahunya, ‘Pada hari ini kita ingat puluhan nama-nama mereka yang berperangai untuk menjadi bakal ahli neraka. Kalau kita hendak bersahabat, carilah mereka yang berperibadi seperti ahli syurga.
Carilah mereka yang akan terus menjadi teman-teman hingga ke Jannah. Mereka akan bertanya ALLAH sekiranya kita tiada bersama mereka. Inilah kawan yang sebenar.
Jalan Pulang ke KAMPUNG SEBENAR
MAAFCAKAP: 12.5.2021
Mulai hari ini hingga ke 7 Jun, kita mengharungi semula PKP di seluruh negara. Kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga faktor yang menyebabkan kerajaan mengambil keputusan ini adalah kerana kewujudan varian-varian baharu virus dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian masyarakat.
Majlis Keselamatan Negara dalam sebuah sidang khas mereka mencadangkan PKP di seluruh negara ini bagi mengelakkan kita semua terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah. Nauzubillah, national disaster inilah yang kita semua ingin elakkan.
Apabila angka yang disahkan dijangkiti Covid-19 di negara kita pernah melangkaui 4,000 kes, ia adalah petanda buruk bahawa ia boleh meningkat lebih tinggi. Malapetaka yang dialami di negara India seperti yang kita tahu, boleh terjadi di negara kita.
Justeru, ia bukan cerita di negara orang, akan kena pada orang lain di negeri lain, di bandar lain dan di kampung lain. Sebaliknya ia boleh terjadi di rumah sebelah, malah di rumah sendiri mahupun terhadap diri sendiri.
Buat mereka yang masih belum mengalami, kita perlu ambil iktibar bahawa tanpa disedari, kita sendiri boleh dijangkiti. Tanyalah mereka yang pernah dijangkiti. Mereka tak sangka mereka boleh terkena. Tanyalah mereka betapa Covid-19 ini begitu meletih dan melelahkan. Tentu serik bagi sesiapa yang pernah dijangkiti seperti saya pada Januari lalu.
Justeru itu, tidak mengapalah apabila kita tinggal umpama di dalam bubble besar daerah masing-masing apabila tidak boleh merentas kawasan tanpa sebab-sebab yang telah disyaratkan. Bersabarlah untuk tidak pulang ke kampung buat sekali lagi.
Tidak perlulah untuk cari jalan tikus, jalan kampung, hatta jalan bendang untuk balik. Silap-silap, kita bukannya pulang untuk mengeratkan silaturrahim, sebaliknya menyebarkan penyakit itu pada ibubapa dan saudara-mara yang kita temui. Ironilah apabila perbuatan mengeratkan silaturrahim yang memanjangkan umur itu boleh memendekkan usia!
Lagi pula, aidilfitri ialah hari kita menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa. Ia sebenarnya adalah perayaan agama. Ia bukan perayaan bertunjangkan adat dan tradisi iaitu dengan pulang ke kampung. Pulang ke kampung pada asalnya adalah hari kelepasan am di seluruh negara dan ramai yang merantau ke kota ambil peluang balik untuk mengalami nostalgia beraya.
Jika tidak boleh pulang, kita ada pelbagai cara untuk melihat suasana kampung melalui video yang tular, melalui panggilan video, malah sidang video di pagi raya. Walaupun hati tidak sepuas bila dapat balik ke kampung, ia cukup sebagai ubat penenang. Pujuklah minda kita untuk menerima norma baharu ini. Minda kita perlu kuat melawan hawa nafsu menentang ulul amri meskipun, maaf cakap… dengan cara menaikkan status yang meroyan.
Yang sepatut kita ambil peduli ialah generasi kita semakin kurang berpeluang untuk mengamalkan agama dalam kehidupan mereka. Setelah berbulan mereka yang tidak dapat berjemaah di masjid, apakah kita ajak berjemaah pula di rumah? Setelah bertahun mereka tidak dapat melakukan amalan khatam al-Quran, berkenduri dan doa selamat, apakah kita teruskan amalan itu di kalangan keluarga?
Sudah berbulan-bulan anak-anak kita tidak dapat hidup dalam bi’ah Islami. Mereka tidak dapat ke surau atau ke masjid sehingga ia menjadi rumah kedua mereka. Sebaliknya mereka kini hanya duduk di rumah dan hanya keluar ke kawasan sekitar. Sesungguhnya ia tidak memberi mereka kebiasaan untuk bermasyarakat.
Andainya kita tidak dapat teruskan amalan berjemaah, berusrah dan bertaklim di rumah, di mana lagi mereka ingin memperoleh bekal akhirat? Kita sendiri yang terpaksa lebih banyak duduk di rumah harus ambil peluang rehat kali kedua setelah PKP 1.0 pada tahun lalu untuk menyediakan bekalan akhirat untuk anak-anak.
Sekiranya kita kerap ingatkan anak-anak tentang matlamat hidup iaitu belajar rajin-rajin untuk lulus periksa, belajar hingga ke universiti supaya dapat kerja yang baik bagi kehidupan yang senang, kita kena lanjutkan ingatan kita hakikat jalan akhir yang akan mereka tujui iaitu ke syurga.
Mari kita ajak dan ajar mereka pulang ke kampung yang sebenar.
Cari kerja untuk bina kerjaya
MAAFCAKAP: 5.5.2021
Selepas Hari Raya Aidilfitri ini, insya-ALLAH kedai buku Iqra Read akan dibuka di Malakat Mall, Cyberjaya. Saya sedang mempersiapkan pengisian premis dengan minima 5,000 naskhah buku. 20 tahun yang lalu saya bertugas di syarikat penerbit buku Alaf 21, Kumpulan Karangkraf. Sebagai orang buku, saya rasa bertenaga kembali kerana terlibat dengan dunia ini. Siapa yang tak seronok berasa 20 tahun lebih muda?
Kedai perlukan petugas. Maka saya pun mengadakan sesi temuduga dengan calon-calon yang terpilih. Pada kali ini juga keadaan perlukan saya melakukan pendekatan yang berbeza dengan cara mengendalikan temuduga 20 tahun lalu. Zaman sudah jauh berubah.
Sebelum ini saya suka bercampur bangga bila menerima berpuluh-puluh pucuk surat dari calon temuduga dan seronok melihat berpuluh-puluh calon menanti untuk ditemuduga. Pada kali ini tidak lagi begitu. Buat apa menemuduga puluhan calon hingga berhari-hari sedangkan pekerja yang hendak diambil hanya tiga orang?
Para pemohon pula bukan lagi melihat iklan kerja di dada akhbar. Sebaliknya, calon-calon kerja pada hari ini punyai pelbagai sumber maklumat, khususnya melalui iklan di internet. Selain daripada portal mencari kerja di laman web, mereka akan menerima mesej mencari pekerja yang tular dari kawan-kawan mereka melalui Whatsapp mahupun laman-laman sosial.
Soal jawab mengenai tarikh temujanji untuk temuduga sudah menjadi lebih personal apabila saya melayani pertanyaan asas calon melalui mesej di telefon. Dari situ, saya boleh menelah latarbelakang bakal-bakal calon walaupun belum bersemuka.
Mereka yang segera menjawab mesej adalah mereka yang ada banyak masa luang; barangkali belum ada kerja lagi. Mereka yang lambat menjawab mesej mungkin sedang bekerja dan bukannya penganggur. Saya boleh menelah kemahiran bahasa calon dalam bertukar mesej itu.
Apabila calon menghadiri temuduga, saya mengukur ketepatan waktu mereka. Kebolehan mereka untuk sampai ke pejabat saya setelah diberikan pautan lokasi menunjukkan kebolehan seseorang calon berusaha untuk mendapat apa yang dimahukan. Calon yang sesat dan bertanya lokasi tempat temuduga menunjukkan ada kelemahan di situ.
Jika dahulu saya akan teruja meneliti sebeban kertas pencapaian calon, kini hal-hal itu mustahak tetapi tidak lagi diutamakan. Calon-calon pada hari ini perlu punyai pelbagai kemahiran. Petugas di kedai buku saya kelak bukan sekadar duduk membatu membaca novel di kaunter dan menguruskan pembelian buku tanpa memandang pun pada pelanggan. Sebaliknya mereka perlu tahu banyak perkara selain daripada menerima wang tunai.
Kini sudah ada pembayaran secara e-wallet dan kad kredit. Setiap buku yang dibeli perlu diimbas. Meskipun ia lebih pantas daripada pertukaran wang tunai, petugas harus tahu mengendalikan sekiranya berlaku gangguan internet. Ada terdapat pelbagai tawaran dan pakej mengiringi pembelian. Justeru, calon yang memperoleh A dalam matematik perlu tahu mengendalikan mesin point-of-sales.
Mereka yang berkelulusan dalam bidang sains perpustakaan pun belum cukup syarat untuk menjadi petugas di kedai buku. Di Iqra Read, buku-buku tidak disusun menurut sistem pengkatalogan perpustakaan seperti di mana-mana kedai buku.
Di premis ini, buku-bukunya disusun mengikut jenama. Pelanggan pada hari ini tidak memilih judul buku semata-mata tetapi membeli berdasarkan jenama. Ini tabiat pelanggan buku pada hari ini. Jadi, ilmu yang dipelajari di kolej perlu disesuaikan dengan psikologi pelanggan hari ini.
Calon yang berkelulusan dalam bidang penerbitan memang diperlukan, tetapi mereka yang mempunyai kebolehan dalam susun atur buku, kebolehan membuat live mempromosi buku di media sosial serta membuat iklan dalam bentuk copywriting pendek amat saya cari.
Akhirnya, calon yang boleh bertugas di kedai buku pada hari ini perlu mempunyai kebolehan yang pelbagai. Siapakah mereka yang punyai pelbagai kebolehan ini? Siapakah calon yang boleh buat semua benda ini?
Saya turut tertanyakan soalan ini. Setelah merenung, saya memperoleh jawapan. Calon yang akan dipilih majikan pada hari ini bukan sepenuhnya mereka yang mempunyai ijazah semata-mata. Tetapi mereka adalah calon-calon yang benar-benar hendak bekerja. Akhir-akhir ini, saya dapati calon-calon yang ditemuduga sudah tidak menetapkan gaji. Ramai yang sanggup bekerja kerana inginkan sesuap nasi dan mengatur hidup masa depan yang kian tak menentu. Mereka bukan hendak kerja, tetapi mahukan kerjaya.


