MAAFCAKAP: 25.5.2021

Selain daripada berita palsu, fitnah dan hal-hal yang tidak berfaedah, kita juga sentiasa dihujani dengan pelbagai jenis pengetahuan. Pengetahuan datang tanpa dipinta. Apabila tercetusnya kembali peperangan di antara Palestin dan Israel, kita mendapat pengetahuan mengenai sejarah bermulanya pencerobohan Yahudi ke tanah Palestin berikutan dengan Pengisytiharan Balfour.

Kita juga mendapat ilmu perbezaan di antara Masjid Al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah atau Dome of Rock, apa itu Zionis, Yahudi, kitab Taurat, Briged Al-Qassam malah apa itu iron dome. Akhirnya kita mendapat kesimpulan bahawa peperangan Israel dan Palestin ini akan berlanjutan hingga ke akhir zaman.

Inilah pengetahuan mengenai peperangan itu yang kita perolehi dari internet, melalui pelbagai portal dan media sosial. Kita tidak mencarinya tetapi ia datang mencurah-curah tanpa dipinta. Namun, pengetahuan sebegini tidak penting melainkan kita melihatnya sebagai ilmu. Ilmu ialah sesuatu pengetahuan dipelajari untuk digunakan selepas itu.

Samada ia ilmu memotong kuku, memasak, bertukang, bisnes, perakaunan, senibina dan pelbagai lagi, ilmu membantu kita untuk kehidupan. Betapa pun, ilmu yang boleh kita gunakan itu tidak bererti seandainya ia setakat diketahui tanpa kefahaman.

Misalnya, kita mempunyai ilmu pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa di mana Rasulullah saw kerap berlapar dan sanggup mengikat perut, baginda pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan rumahnya amat sederhana. Ia memberi imej bahawa Rasulullah adalah seorang yang miskin. 

Tetapi bila kita faham bahawa kehidupan cara itu adalah pilihan Baginda sendiri, kita akan menghormati malah ingin mencontohi kehidupan sebegitu. Baginda sudah lama kaya sebagai seorang usahawan sejak kecil kerana mengembala kambing dan seorang ahli bisnes hingga dipilih oleh Siti Khadijah untuk menguruskan perniagaannya. 

Malah Baginda mempunyai sahabat-sahabat jutawan seperti Saidina Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Mustahil Rasulullah saw tidak boleh kaya dengan sokongan para sahabat melainkan itu adalah pilihannya untuk hidup bersederhana.

Justeru itu, pengetahuan itu setakat tahu, berilmu itu adalah sesuatu yang boleh kita gunakan tetapi ia tidak bermakna seandainya kita tiada kefahaman mengenainya. Bagaimana kita mendapat kefahaman mengenai sesuatu perkara itu melainkan dianugerahkan oleh Al-Alim, Yang Maha Mengetahui?

Dalam pada itu, ilmu dan kefahaman pula tidak akan berkekalan seandainya kita tidak mengamalkannya. Amal tanpa ilmu itu suatu kebodohan dan ilmu tanpa amal itu pula suatu pembaziran. 

Apa jua ilmu yang diperoleh tanpa diikuti dengan amalan akhirnya mensia-siakan si pencari ilmu. Misalnya, ilmu perniagaan diri yang dipelajari dari seorang usahawan dengan bayaran ribuan ringgit tetapi tidak diikuti dengan amalan akan menjadikan ilmu itu tiada harganya.

Sebab itulah, sikap mengejar kertas kelulusan demi kelulusan yang tidak berakhir dengan amalan terhadap ilmu yang dicari itu akan menjadikan seseorang itu sama seperti orang yang tidak berilmu langsung. Amalanlah yang akan mengekalkan sesebuah ilmu dalam diri seseorang.

Malah, dengan amalan ilmu yang dipelajari itu memungkinkan seseorang itu meneroka dan mendasari pelbagai sudut pandang dan sisi ilmu hingga menjadi cabang-cabang ilmu yang baharu.

Bagaimanakah kita ingin konsisten untuk mengamalkan apa ilmu yang dipelajari? Cara yang paling ampuh ialah dengan menyampai dan menghebahan apa yang ilmu yang diperolehi. Ia semudah memperkatakan mengenai ilmu yang ada. 

Apabila kita kerap bercakap mengenai ilmu, mengamalkan dan bercakap mengenainya, telinga kita sendiri akan menangkap apa yang disebut lidah. Putaran itu menjadi auto-suggestion dan pengukuhan ilmu yang sebati di dalam diri.

Dalam jutaan manusia memperoleh pengetahuan, hanya ratusan ribu yang menjadikan ia ilmu. Dalam ratusan ribu yang menjadikan ia ilmu, hanya puluhan ribu sahaja yang jadikan ia amalan. Dalam puluhan ribu yang jadikan ilmu sebagai amalan, hanya belasan ribu sahaja yang menyampaikan ilmu yang diperoleh.

 Kesimpulannya, ilmu mesti diikuti dengan amal. Amal pula diperkukuhkan dengan penyebaran ilmu itu. Penyebaran itulah yang dinamakan dakwah. Berapa ramaikah pendakwah di kalangan kita berbanding dengan penyampai dakyah?