MAAFCAKAP: 5.5.2021

Selepas Hari Raya Aidilfitri ini, insya-ALLAH kedai buku Iqra Read akan dibuka di Malakat Mall, Cyberjaya. Saya sedang mempersiapkan pengisian premis dengan minima 5,000 naskhah buku. 20 tahun yang lalu saya bertugas di syarikat penerbit buku Alaf 21, Kumpulan Karangkraf. Sebagai orang buku, saya rasa bertenaga kembali kerana terlibat dengan dunia ini. Siapa yang tak seronok berasa 20 tahun lebih muda?

Kedai perlukan petugas. Maka saya pun mengadakan sesi temuduga dengan calon-calon yang terpilih. Pada kali ini juga keadaan perlukan saya melakukan pendekatan yang berbeza dengan cara mengendalikan temuduga 20 tahun lalu. Zaman sudah jauh berubah. 

Sebelum ini saya suka bercampur bangga bila menerima berpuluh-puluh pucuk surat dari calon temuduga dan seronok melihat berpuluh-puluh calon menanti untuk ditemuduga. Pada kali ini tidak lagi begitu. Buat apa menemuduga puluhan calon hingga berhari-hari sedangkan pekerja yang hendak diambil hanya tiga orang? 

Para pemohon pula bukan lagi melihat iklan kerja di dada akhbar. Sebaliknya, calon-calon kerja pada hari ini punyai pelbagai sumber maklumat, khususnya melalui iklan di internet. Selain daripada portal mencari kerja di laman web, mereka akan menerima mesej mencari pekerja yang tular dari kawan-kawan mereka melalui Whatsapp mahupun laman-laman sosial.

Soal jawab mengenai tarikh temujanji untuk temuduga sudah menjadi lebih personal apabila saya melayani pertanyaan asas calon melalui mesej di telefon. Dari situ, saya boleh menelah latarbelakang bakal-bakal calon walaupun belum bersemuka. 

Mereka yang segera menjawab mesej adalah mereka yang ada banyak masa luang; barangkali belum ada kerja lagi. Mereka yang lambat menjawab mesej mungkin sedang bekerja dan bukannya penganggur. Saya boleh menelah kemahiran bahasa calon dalam bertukar mesej itu.

Apabila calon menghadiri temuduga, saya mengukur ketepatan waktu mereka. Kebolehan mereka untuk sampai ke pejabat saya setelah diberikan pautan lokasi menunjukkan kebolehan seseorang calon berusaha untuk mendapat apa yang dimahukan. Calon yang sesat dan bertanya lokasi tempat temuduga menunjukkan ada kelemahan di situ.

Jika dahulu saya akan teruja meneliti sebeban kertas pencapaian calon, kini hal-hal itu mustahak tetapi tidak lagi diutamakan. Calon-calon pada hari ini perlu punyai pelbagai kemahiran. Petugas di kedai buku saya kelak bukan sekadar duduk membatu membaca novel di kaunter dan menguruskan pembelian buku tanpa memandang pun pada pelanggan. Sebaliknya mereka perlu tahu banyak perkara selain daripada menerima wang tunai.

Kini sudah ada pembayaran secara  e-wallet dan kad kredit. Setiap buku yang dibeli perlu diimbas. Meskipun ia lebih pantas daripada pertukaran wang tunai, petugas harus tahu mengendalikan sekiranya berlaku gangguan internet. Ada terdapat pelbagai tawaran dan pakej mengiringi pembelian. Justeru, calon yang memperoleh A dalam matematik perlu tahu mengendalikan mesin point-of-sales.

Mereka yang berkelulusan dalam bidang sains perpustakaan pun belum cukup syarat untuk menjadi petugas di kedai buku. Di Iqra Read, buku-buku tidak disusun menurut sistem pengkatalogan perpustakaan seperti di mana-mana kedai buku. 

Di premis ini, buku-bukunya disusun mengikut jenama. Pelanggan pada hari ini tidak memilih judul buku semata-mata tetapi membeli berdasarkan jenama. Ini tabiat pelanggan buku pada hari ini. Jadi, ilmu yang dipelajari di kolej perlu disesuaikan dengan psikologi pelanggan hari ini.

Calon yang berkelulusan dalam bidang penerbitan memang diperlukan, tetapi mereka yang mempunyai kebolehan dalam susun atur buku, kebolehan membuat live mempromosi buku di media sosial serta membuat iklan dalam bentuk copywriting pendek amat saya cari.

Akhirnya, calon yang boleh bertugas di kedai buku pada hari ini perlu mempunyai kebolehan yang pelbagai. Siapakah mereka yang punyai pelbagai kebolehan ini? Siapakah calon yang boleh buat semua benda ini? 

Saya turut tertanyakan soalan ini. Setelah merenung, saya memperoleh jawapan. Calon yang akan dipilih majikan pada hari ini bukan sepenuhnya mereka yang mempunyai ijazah semata-mata. Tetapi mereka adalah calon-calon yang benar-benar hendak bekerja. Akhir-akhir ini, saya dapati calon-calon yang ditemuduga sudah tidak menetapkan gaji. Ramai yang sanggup bekerja kerana inginkan sesuap nasi dan mengatur hidup masa depan yang kian tak menentu. Mereka bukan hendak kerja, tetapi mahukan kerjaya.