NOVELPLUS HIMPUN PENULIS E-NOVEL
Ada sebuah portal baharu untuk peminat membaca. NovelPlus Technology. Inilah pengendali dan pembangun platform menulis dan membaca secara dalam talian sosial.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Crystal Lai berkata, syarikat ini memiliki pelbagai bacaan e-buku yang merangkumi lebih 37,000 novel dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia yang telah diterbitkan dengan ekosistem lebih 2.1 juta pengguna.
Sebanyak 10,000 adalah berdaftar sebagai penulis dan bakinya pembaca.
Beliau berkata, platform ini beroperasi di bawah jenama NovelPlus, dengan kandungan diakses menerusi aplikasi mudah alih dan pelayar web.
“NovelPlus beroperasi menggunakan model freemium di mana pembaca boleh mengakses platform ini secara percuma atau membayar yuran langganan bagi menikmati pengalaman membaca tanpa iklan,” katanya di sini hari ini.
Lai berkata, apa yang ditawarkan oleh NTP ialah sebuah platform yang membolehkan pembaca melayari dan memilih e-buku, mengatur susun pengalaman mereka dan menguruskan profil mereka serta berinteraksi dengan penulis yang berdaftar di platform.
Manakala bagi penulis pula, platform NovelPlus membolehkan mereka menulis, menyunting dan menyiarkan sendiri novel bersiri mereka, menubuhkan komuniti pembaca mereka dan menerima ulasan serta penghargaan daripada pembaca.
“Pengiklan juga boleh mengiklan di aplikasi mudah alih dan pelayar web NoveplPlus. Iklan akan disasarkan kepada pengguna yang tidak berlanggan,” ujarnya lagi
“Kami berterusan melakukan inovasi dan berubah demi keperluan para pengguna kami. Ini adalah permulaan evolusi bagi NovelPlus dan kami akan terus melakukan penambahbaikan yang memenuhi keperluan pengguna kami.
Ini merupakan satu-satunya platform e-novel di Malaysia. Di luar negara, platform e-novel seperti Webnovel dari Hong Kong dan Kobo dari Amerika menerima sambutan yang amat penggalakkan.
Para penulis e-novel kini mempunyai satu lagi saluran memperoleh pendapatan dari syarikat pelayan itu, pengiklan dan juga pelanggan e-book keluaran mereka.
Deja Moss: 4 Tahun Dalam Kemurungan
NorhayatiNordin . HarianMetro . 1.7.2021
Kuala Lumpur: Penyanyi Deja Moss, 47, mendedahkan dia pernah mengalami kemurungan teruk selama empat tahun dan hampir mahu membunuh diri sebanyak tiga kali.
Deja atau nama sebenarnya, Sharifah Hadijah Wan Moss berkongsi mengenai rahsia besar hidupnya itu ketika sesi sidang media secara virtual sempena pelancaran buku biografinya berjudul Hidupku Takdirku.
Deja yang dikenali dengan lagu Asmara ini berkata, masalah itu dialaminya pada 2004 hingga 2008 yang memerlukan dia mendapat nasihat serta rawatan daripada pakar dan bergantung dengan ubat-ubatan yang dibenarkan.
“Kemurungan itu berpunca daripada gangguan yang saya alami kerana tidak boleh tidur malam, fikiran tak menentu, jiwa kosong dan menjalani kehidupan bersendirian.
“Ketika itu, saya belum lagi berkahwin dengan bekas suami, Azfendy Azzuddin. Jadi, saya hidup sendiri dan kebanyakan masa dihabiskan di rumah. Malah, saya juga mulanya tidak sedar masalah tidur dialami itu adalah satu gangguan yang perlu diubati,” katanya.
Bagaimanapun, sokongan semangat daripada ibu bapa dan seorang sahabat baiknya mendorong dia untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan menjalani rawatan.
“Ketika disahkan mempunyai masalah kemurungan, memang saya malu nak berkongsi dengan orang kerana bimbang tanggapan diberikan mereka. Maklumlah, orang pasti akan anggap saya gila.
“Jadi, saya simpan rahsia ini sangat lama sehingga sekarang ia didedahkan sepenuhnya dalam buku Hidupku Takdirku.
“Perkongsian ini saya buat kerana mahu membantu memberi semangat kepada orang lain yang mengalami masalah ini untuk bangkit. Ditambah, penulisan kisah hidup saya dalam buku ini adalah ‘buah tangan terakhir’ buat peminat sebelum saya berangkat ke Chicago, Amerika Syarikat (AS) Julai ini untuk menetap di sana bersama suami,” katanya.
Deja berhijrah ke sana kerana mahu mahu mengikut suaminya, Maher Khani yang juga seorang ahli perniagaan berketurunan Amerika Syarikat-Syria yang kini berada di AS.
Mereka berkahwin di Chicago pada Jun 2019 selepas enam bulan Deja bercerai.
Terdahulu, Deja pernah mendirikan rumah tangga dengan Azfendy pada 30 Ogos 2008 dan bercerai talak satu pada Oktober 2018 dan mereka juga tidak dikurniakan anak.
Bercerita mengenai buku biografi itu, Deja berkata, ia terlalu istimewa kerana dia berkongsi semua rahsia dan kisah perjalanan kehidupannya meliputi kerjaya, masalah kemurungan, rumah tangga, perceraian, berkahwin semula dan menuju bahagia.
“Alhamdulillah, sekarang saya sudah bebas sepenuhnya daripada kemurungan. Semoga buku ini dapat berkongsi semangat saya yang pernah jatuh suatu ketika dulu kepada orang ramai yang membacanya supaya untuk kembali bangkit menggapai bahagia.
“Dalam hidup kita ini, hanya kita saja yang mampu mengharunginya sendiri. Kita kena sedar untuk bangkit dan cari penyelesaian. Kalau ada masalah masalah seperti kemurungan atau apa saja membabitkan mental dan emosi, segera berjumpa doktor untuk rawatan,” katanya.
Menurut pelakon dan usahawan ini lagi, kemurungan adalah satu gangguan dan perlu diubati.
Katanya, usah sesekali malu untuk mendapatkan rawatan hanya kerana kita terlalu memikirkan pandangan orang lain.
*Pixceredit: newsmediaonline
Mari Turunkan Bendera Putih
MAAFCAKAP: 30.6.2021
Di zaman mudanya, abang saya Sulieman adalah seorang yang suka mandi laut di Pantai Mersing. Dia juga suka mencari kepah dan ketam di pantai ketika air surut. Pada suatu malam, abang saya pulang dengan tangan kosong. Wajahnya pula kelihatan cemas.
Bila mak tanya, katanya kerana terlalu asyik menangkap ketam yang banyak, dia tak sedar yang langkahnya jauh menghampiri Pulau Setindan yang jaraknya dua kilometer dari pantai. Air laut pula sedang pasang.
Sebaik sahaja dia sedar, abang saya lekas-lekas meranduk air untuk pulang. Ketam yang ada di dalam karung, dibuangnya. Dia bimbang dikepung air pasang lalu dibawa arus. Abang saya sebenarnya berada di dalam situasi asyik hingga tidak sedar akan perubahan yang berlaku di sekelilingnya.
Dalam suasana harian, apa sahaja perubahan besar yang terjadi mudah sekali kita sedari. Namun sebaliknya jika perubahan itu berlaku secara perlahan-lahan kerana kita tidak sedar bila perubahan itu menyelinap lalu mengubah cara hidup kita secara total.
Akhir-akhir ini banyak sekali hal-hal sosio-ekonomi yang tidak biasa sudah menjadi biasa. Agen perubahan kepada semua perubahan ini berpunca dari pandemik Covid-19. Pandemik ini telah memaksa kita mengamalkan norma baharu kehidupan iaitu melakukan penjarakkan fizikal satu meter, sentiasa memakai pelitup muka bila keluar rumah dan kerap membasuh tangan.
Kita juga tidak digalakkan bersalam-salaman apatah lagi berpelukan, bergerak dalam kawasan di sekitar 10 kilometer di kawasan kediaman, tidak boleh merentas daerah apatah lagi merentas negeri. Beratur di tempat awam sudah menjadi normal. Dan, tidak berjemaah di masjid pun tidak jadikan kita rasa bersalah.
Kini kesemua kehidupan kita dengan normal baharu sudah menjadi normal. Namun, sebaik sahaja kita sudah ‘settle down’ dengan kehidupan di era pandemik ini, satu persatu normal-normal baharu yang baharu mula menjelma, Semua ini turut mengubah sama sekali persepsi kita tentang kehidupan.
Sebelum ini kita biasa terbaca tentang seseorang penghidap Covid-19 ialah dari kalangan mereka yang tidak kita kenali. Namun akhir-akhir ini, penghidap Covid-19 adalah mereka yang kita tahu; jiran, kawan sekolah mahu pun rakan sekerja. Begitu juga akhir-akhir ini orang yang meninggal dunia adalah orang yang hampir dengan kita. Jiran kita, kawan-kawan kita, bekas teman sekolah, kawan sekampus dan saudara di kampung.
Bagaimana pula dengan kemiskinan sampai tak makan? Jika sebelum ini kisah kemiskinan dan kelaparan manusia itu ditonton di kaca televisyen atau ditatap di dada akhbar, kini mereka yang jatuh miskin itu adalah mereka yang kita kenali atau mereka di sekeliling kita.
Secara perlahan-lahan, semua keadaan ini kian menyelinap menghampiri perimeter kehidupan kita. Semakin banyak kisah-kisah malang kian berlaku di sekeliling kita, tidakkah mustahil akan tiba masanya kita pula menjadi di antara mereka yang malang itu?
Nauzubillah. Mari kita pinta ia dijauhkan daripada kita. Caranya ialah dengan segera kembali dan bersujud kepada Yang Maha Perkasa, yang akan memberi kita kekuatan untuk melawan segala gejala buruk yang bakal menimpa. Mari kita pastikan semua bendera putih yang berkibar di sekeliling kita cepat-cepat diturunkan.
Tentulah dengan cara memberi, memberi dan memberi mereka yang memerlukan, selagi ada. Dalam keadaan sekarang ini, nilai matawang yang kian susut nilai harus ditukar menjadi matawang akhirat yang nilainya pasti berganda.
Novelis Itu Umpama Seorang Pemandu
MEMBACA novel itu adalah sebuah pengembaraan. Malah, sesebuah novel itu sendiri adalah sebuah perjalanan yang panjang. Kalau kita membaca sesebuah novel dari pagi hingga ke malam, masa yang digunakan itu seperti sesebuah perjalanan yang jauh.
2. Seseorang novelis itu pula umpama seorang pemandu. Kita yang membaca novelnya itu umpama penumpangnya. Dalam sebuah perjalanan yang panjang, si novelis membawa kita melalui lebuhraya yang lurus dan lancar dengan pemandangan di sekeliling yang indah.
3. Ada waktunya si novelis membawa kita melalui jalan sempit, penuh dengan becak, berlubang di sana-sini dan tidak rata. Ada juga ketikanya novelis membawa kita mendaki bukit dengan begitu perlahan, tetapi kemudian menuruninya dengan laju hingga kita berasa seperti nak putus nafas!
4. Walaupun begitu, si novelis harus pandai memandu pembaca dengan selesa. Dia perlu memastikan kita tidak pening kepala, loya dan muntah. Yang lebih mustahak, kita tidak meninggalkan kenderaan langsung meninggalkan perjalanan yang penuh berliku itu.
5. Cabaran bagi novelis ialah bagaimana kita berasa seronok sebaik sahaja menamatkan perjalanan penuh mencabar itu dan tidak ragu-ragu untuk mengulangi perjalanan itu buat kali kedua dan seterusnya.
6. Bagaimanakah seseorang novelis itu menjadi pemandu yang baik? Dia mestilah pandai mengendalikan kenderaannya sehingga kita sebagai pembaca atau penumpangnya yakin yang kita akan selamat mengharungi perjalanan kerana yakin dengan novelis yang mengendalikan perjalanan.
7. Bagaimanakah cara novelis hendak menimbulkan rasa yakin kita terhadap karyanya? Dia mesti faham apa yang dinamakan sebagai ‘pacing.’ Pacing adalah imbuhan dari kata dasar ‘pace’ yang bermaksud ‘kadar pergerakan.’ Dalam konteks penulisan, kadar pergerakan apa? Jawapannya, kadar pergerakan yang menentukan momentum pembacaan.
8. Mengapa pacing ini penting? Ia mustahak kerana pacing novelis yang baik mampu menggenggam perasaan kita agar terus membaca karyanya. Seperti juga dalam sesebuah perjalanan yang membosankan, novelis perlu pandai menyusun ayat agar kita tetap ingin meneruskan pembacaan meskipun bahagian yang dibaca itu mula menimbulkan kebosanan.
9. Sepertimana menaiki sebuah bukit dengan perlahan, novelis perlu hadiahkan keseronokan menuruni bukit dengan laju kepada kita kerana sanggup melayani perenggan-perenggan yang membosankan.
10. Bagaimana cara novelis mengawal kadar pergerakan pembacaan? Sebenarnya ada teknik yang digunakan novelis untuk memainkan perasaan kita sebagai pembacanya. Ada teknik bagaimana menjadikan pembaca releks dan santai. Ada teknik supaya pembaca meneruskan bacaan dengan laju hingga dia berasa tak boleh berhenti.
11. Bila seseorang novelis itu dapat memandu dengan baik, para pembaca sebagai penumpangnya tidak akan ragu-ragu lagi jika diajak novelis itu lagi dalam sebuah perjalanan yang lain.
Taring DBP Semakin Tumpul
KELMARIN, 22 Jun, genaplah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-65 tahun. DBP ditubuhkan pada tahun 1956 telah lalui pelbagai cabaran dan ranjau yang dilalui sepanjang tempoh tersebut.
Selama ini DBP hanya dihormati oleh ramai kerana peranannya sebagai pemantau dan memperkaya bahasa Melayu di semua bidang. Ia juga memperkembang bakat, mencetak dan menerbitkan, membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah serta menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan meluas.
DBP juga adalah ‘cop JAKIM’ di padang pendidikan. Dari sudut bahasa, DBP dirujuk sebagai institusi yang mengesahkan apa jua hal dalam bidang bahasa. Namun ia tidak mempunyai taring yang tajam sebagai penguatkuasa.
Mengambil contoh, kelulusan dalam tatabahasa dan ejaan di bidang pengiklanan seperti papan tanda perlukan kelulusan DBP. Bagaimana pun sekiranya pelanggaran tatabahasa dan ejaan dilakukan pada papan iklan dan notis, pihak DBP tidak lagi mempunyai taring untuk menurunkannya. Ia tiada kuasa dalam bidang penguatkuasaan.
Betapa pun, DBP nampaknya tidak ketinggalan dalam menghadirkan dirinya di media sosial. DBP menggiatkan perkongsian atau kaedah amalan membaca menggunakan landasan media sosial DBP seperti Facebook, Instagram, Twitter, Telegram juga YouTube.
Malah pada tahun lalu, media sosial DBP khususnya Faebook merekodkan hampir 37 juta carian oleh pengguna media sosial. Hal ini membuktikan perkongsian DBP telah menarik perhatian masyarakat. DBP menyedari bagaimana landasan digital menjadi fokus DBP untuk menggiatkan amalan membaca rakyat Malaysia.
Sejak tahun lalu, ia telah mendinamiskan kaedah bagaimana masyarakat dapat mengetahui sesebuah buku melalui perbincangan, wacana, diskusi, kegiatan bentuk pertandingan dan sayembara bagi memaksimumkan kempen budaya membaca.
Untuk itu, DBP sedang bersiap siaga bagi melancarkan Pelantar Digital DBP dijangka pada tahun ini. Berjayakah DBP melaksanakan kempen membaca melalui Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030).
Sekali lagi, ia mestilah mendasarkan pendekatannya kepada khalayak masyarakat. DBP perlu memasarkan institusinya dengan imej yang up-to-date di media yang up-to-date seperti di media-media sosial popular seperti yang mereka lakukan sekarang.
Baharulah ia dekat di hati masyarakat.


