BLOG

Siapa Pejuang Siapa Petualang

Siapa Pejuang Siapa Petualang

MAAFCAKAP 6.10.2021

Baru-baru ini saya dijemput oleh para pelajar daripada persatuan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), cawangan khas UiTM Shah Alam untuk menyampaikan sebuah perkongsian pengalaman berpersatuan. Sebagai seorang senior, mereka ingin saya ceritakan pengalaman dalam perjuangan pendidikan. GPMS adalah sebuah persatuan pelajar yang tertua di negara ini. Ia ditubuhkan pada tahun 1948.

Setelah saya menyampaikan pengalaman saya berpersatuan dengan pelbagai aktiviti di kampus seperti penganjuran program kelas bimbingan, kursus kepimpinan, perkaderan, program-program diskusi, bengkel, seminar dan juga persidangan, saya terangkan juga tentang apa erti perjuangan. Memahami konsep perjuangan itu amat penting agar kita tidak melencong dari hasrat asal untuk turun berjuang.

Perjuangan adalah satu istilah yang murni nilainya. Ia adalah usaha gigih di luar kehidupan rutin manusia biasa. Perjuangan menuntut seseorang berkorban masa, tenaga dan material untuk mencapai matlamat. Bila disebut ‘perjuangan’ ia tidak akan selesai. Mana ada perjuangan yang selesai di dunia ini? Sebab jika sesebuah perjuangan itu selesai, ia hanyalah sebuah misi.

Sesebuah perjuangan itu boleh digagahi oleh seorang mahupun sekumpulan manusia. Namun, perjuangan seorang manusia itu biasanya akan disertai oleh lain-lain anggota yang memahami matlamat sesebuah perjuangan yang dibawa oleh seseorang itu. Dari kumpulan kecil, sesebuah perjuangan itu boleh disertai oleh sekumpulan, seangkatan malah hingga membawa dari generasi ke generasi.

Perjuangan Rasulullah saw untuk membawa ajaran ALLAH swt itu bermula daripada Baginda seorang, diikuti oleh isterinya Siti Khadijah, Saidina Abu Bakar, Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah sampai berkembang menjadi ikutan ribuan para sahabat hingga menjadi perjuangan sebahagian daripada kita sebagai generasi penyambung perjuangan Islam di masa kini.

Ada ribuan perjuangan yang mendatangkan kejayaan. Gerakan Menentang Apartheid yang diketuai oleh Nelson Mandela, Gerakan Hak Asasi oleh Dr, Martin Luither King di Amerika, Revolusi Budaya di China dan puluhan perjuangan menuntut kemerdekaan termasuk perjuangan di Malaysia. 

Jika diselusuri segala gerakan ini, ia dimulakan oleh seseorang yang mengumpul mereka yang sefikrah dengannya. Kemudian ia berkembang dan menghimpun para pengikut hingga ia menjadi suatu tenaga yang tidak mudah digugat dengan amaran retorik. Akhirnya ia memaksa pemerintah akur dengan tuntutan kumpulan pejuang ini. Lebih berkesan lagi apabila sesebuah perjuangan itu berjaya menumbangkan pemerintah dan menggantikan pula tempatnya.

Sesuatu perjuangan yang jelas matlamat untuk sesuatu yang murni buat warganya akan terus berkembang dan sentiasa mendapat sokongan para pengikut dan orang ramai. Namun biasanya sesebuah perjuangan itu akan terpesong dan melencong apabila pejuang asal tiada lagi. Yang menggantinya belum tentu dapat meneruskan perjuangan sekuat dan sekental pejuang asal.

Lebih buruk lagi apabila penggantinya yang menerima tampuk pemerintahan menjadi seperti kacang lupakan kulit. Jika pengasas perjuangan itu mempunyai rakan seperjuangan, pemimpin ganti yang mendapat kuasa bagai dipersembah ke tapak tangan akan mudah lupa akan maksud perjuangan asal si pengasas. Rakan-rakan dan para sahabat perjuangan kini menjadi kuncu-kuncu, kroni-kroni, balaci-balaci yang akan mengepung dan mengabur imej si pemimpin hingga mempersona para pengikut bawahan.

Hasil perjuangan menjadi habuan yang dibahagi dan dibaham sesama talibarut si ketua. Pada ketika itu, si pejuang itu sudah menjadi si petualang. Pada masa itu, yang dapat dilihat hanyalah perjuangan mengekalkan kedudukan. Perjuangan asal entah ke mana. Ini adalah fasa keruntuhan sesebuah perjuangan itu. Fenomenanya ada terpampang di depan mata!

Kartunis HIna Nabi Muhammad Maut

Kartunis HIna Nabi Muhammad Maut

Kartunis Sweden Lars Vilks, yang mencetuskan kontroversi menerusi kartun yang menghina Nabi Muhammad saw maut dalam kemalangan jalan raya pada Ahad, lapor Agensi Anadolu, sebuah agensi Turki. Dua pegawai polis yang ditugaskan untuk melindunginya juga terbunuh dalam nahas itu.

Kereta dinaiki Vilks dan anggota polis itu bertembung dengan sebuah lori sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Pemandu lori turut cedera. Vilks hidup di bawah perlindungan polis dan tinggal di lokasi rahsia ekoran menerima ancaman bunuh sejak akhbar tempatan Sweden, Nerikes Allehanda menerbitkan kartunnya yang menghina Nabi Muhammad pada 2007.

Sebelum ini Lars terselamat dari dua cubaan membunuhnya.

BErmadah Pengubat Gundah

BErmadah Pengubat Gundah

MAAFCAKAP 29.9.2021

Saya adalah seorang penggemar madah, kata-kata hikmat atau sesetengah orang mengistilahkannya ia sebagai mutiara kata. Ketika saya kecil, abang saya, Akil rajin menulis mutiara kata yang ditampal di dinding biliknya. Madah pertama yang saya tatap dan ingat hingga kini berbunyi, “Jika kau ingin mencapai cita-cita, buanglah cinta. Cinta penghalang cita-cita!”

Kerana kagum dengan madah itu, saya cuba memikir-mikir maksudnya. Saya tertarik dengan istilah ‘cita-cita’ dan ‘cinta’ itu sendiri. Betapa ‘cinta’ itu menjadi penghalang ‘cita-cita.’ Meskipun ayatnya pendek, maksudnya bisa memutar minda. 

Madah menguja fikiran kita. Meskipun ringkas, ia mempunyai makna yang padat, mendalam. Dan penuh inspirasi. Madah yang dibaca pada pagi hari sudah cukup menyibukkan minda kita daripada berfikir tentang hal-hal rutin yang remeh..

Madah, mengasah fikiran hingga boleh melahirkan pandangan yang berbeza dan segar meskipun ia mengenai hal-hal seharian. Sudut pandang itulah yang menjadikan madah sebagai sumber inspirasi, pengubat dan benteng dari fikiran-fikiran yang negatif.

Kita yang hidup di dunia yang amat sibuk, kadangkala akan berasa sunyi apabila tiada teman di sisi kerana mereka pun sibuk menangani stres masing-masing. Justeru, membaca madah adalah cara baik untuk memperoleh santapan spiritual dan emosi. Malah ia lebih praktikal daripada membaca buku yang tentunya memakan masa dan konsentrasi atau melayani media sosial yang melalaikan.

Hanya dengan sebuah madah, kita boleh memahami situasi dengan ringkas dan padat. Bila mula berkenalan dengan seseorang, saya sentiasa ingat mutiara kata ciptaan Eleanor Roosevelt, isteri FD Roosevelt, Presiden Amerika yang ke-32. Katanya, ‘small minds talk about people, average minds talk about events, great minds talk about ideas.’

Benar sekali. Orang yang berfikiran kecil akan bercakap tentang orang, yang berfikiran sederhana akan bercakap mengenai isu dan yang berfikiran besar akan bercakap tentang idea. Jadi, untuk mengenali jenis pemikiran seseorang, saya hanya mendengar apa yang terkeluar dari mulutnya untuk membuat telahan tentang ‘saiz’ mindanya.

Dalam perhubungan saya dengan orang berpengaruh, saya amat berhati-hati dan jadikan kata-kata ahli falsafah Cina Konfusius sebagai panduan. Katanya, ‘Maharaja itu umpama matahari. Ia menerangi. Tetapi apabila kamu menghampiri, dirimu akan terbakar!’ Kita perlukan ketua atau pemimpin sebagai tempat rujukan. Namun, usah terlalu berdampingan kerana diri kita kelak boleh hancur.

Sebuah madah dari seorang penceramah yang saya telah lupa namanya amat menarik hati. Saya ingin jadikan diri saya seperti yang dia perkatakan. Katanya, ‘jadikan diri umpama buah; yang tercampak di laut menjadi pulau, terdampar di darat menjadi bukit dan terlontar ke langit menjadi satelit!’ Madah yang ringkas ini memotivasi diri agar kekal relevan.

Oleh kerana gemar dengan madah, saya sendiri mula menulis mutiara kata. Pendirian peribadi saya disimpulkan dalam madah ciptaan saya yang ditulis pada tahun 1985. Ia berbunyi, ‘don’t be Jack of all trades and a master of none, but be Jack of all trades and a master of one!’ Maknanya, kita mesti pandai melakukan semua benda tetapi jangan lupa untuk jadi pakar dalam sesuatu perkara.

Minat kepada madah ini bukan setakat untuk diri sendiri, tetapi saya suka sebarkan kepada kawan-kawan. Ia bertepatan dengan saranan dari hadis Rasulullah saw yang berbunyi: ‘Sampaikan olehmu walaupun satu ayat.’ 

Jalan Pintas Laluan Pantas

Jalan Pintas Laluan Pantas

MAAFCAKAP 22.9.2021

Saya selalu dengar kata-kata, ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan.’ Saya tidak faham atas dasar apa frasa ini dipercayai. Siapa pula yang mempercayai konsep bahawa ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’ dan menyebarnya sehinggakan ramai yang cenderung untuk mempercayainya. Namun, apabila saya bertanya, daripada mana mereka dapat pandangan ini, masing-masing kata mereka tak tahu dari mana tetapi terikut-ikut untuk mempercayainya.

Saya berpandangan sebaliknya kerana saya tidak peraya pada konsep ini. Lantas saya merujuk pada rakan saya, Mr. Google. Carian saya menemukan saya kepada orang yang memperkatakan konsep itu dan menyebarnya kepada umum, Dialah penulis Malcolm Gladwell.

Gladwell yang mula terkenal dengan bukunya yang pertama The Tipping Point dan kemudiannya buku yang mengagumkan saya, Blink! Gladwell adalah penulis yang kerap memperbetul konsep-konsep yang pandangan yang baginya tidak betul di kalangan masyarakat. 

Menurutnya, beliau percaya bahawa ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’ itu berdasarkan pengalamannya. Dalam satu temubual dengan saluran CNBC (Consumer News & Business Channel) katanya, beliau dibuang kerja dari sebuah syarikat majalah selepas bertugas hanya dua bulan. 

Sebabnya; beliau kerap lewat datang kerja kerana tidak dapat datang tepat pada waktunya. Yang peliknyam hanya kerana tidak pandai mengawal disiplin, dia merumuskan ‘tiada jalan singkat menuju kejayaan.’ Faktor datang tepat pada waktunya bukan penentu mutlak kejayaan seseorang.

Namun apabila Gladwell tidak mengamalkan jalan pintas kejayaan dengan cara berdisiplin seperti ribuan mereka yang telah berjaya, mengapa dia mendakwa secara holistik bahawa tiada jalan pintas menuju kejayaan?

Malangnya, ramai di kalangan kita yang percaya pada konsep bahawa ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan.’ Maknanya, jika hendak berjaya, semua perkara harus dilakukan dengan susah payah, jerih perih dan bermandi peluh. Sebenarnya, terdapat banyak sekali jalan-jalan pintas yang secara zahirnya mempercepatkan seseorang itu sampai ke matlamat.

Di tepi-tepi padang sekolah misalnya, selalunya ada jalan pintas atau short-cut yang biasa murid-murid sekolah gunakan untuk berulang-alik. Apabila kita hendak ke sesebuah tempat, aplikasi Waze misalnya akan memberi kita jalan pintas menuju ke tempat tujuan. Malah pada hari ini, apabila hendak memanjat gunung Everest pun para pendaki digalakkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan jalan yang ramai pendaki lain gunakan sebelumnya untuk selamat ke kemuncak. Tidakkah menggunakan jalan yang telah dilalui oleh pendaki lain itu jalan pintas?

Dari sudut zahir pun, sudah ada jalan pintas, sudah tentu dari segi konsep jua, memang terdapat banyak sekali jalan pintas. Dalam apa jua bidang ilmu samada hartanah, pelaburan, pembinaan, matematik mahupun automotif, kita hanya perlu gunakan apa yang telah diformulakan oleh mereka yang telah berjaya melakukannya sebelum ini. Dengan menuruti jalan itu, ia bukan sahaja lebih mudah, malah lebih cepat menuju ke matlamat iaitu kejayaan.

Konsepnya ialah dengan menggunakan formula asas mereka yang terdahulu. Kemudian lakukan inovasi pendekatan dan perlaksanaan agar ia sesuai dengan kriteria kita sendiri. Lakukan kaizen atau penambahbaikan yang berkala. Dengan cara itu, kita cepat dapat mencapai kejayaan.

Jika perintis sesuatu bidang itu mengambil masa bertahun lamanya untuk berjaya, kita mungkin dapat lakukan dalam masa beberapa minggu sahaja kerana menggunakan jalan mereka sebagai jalan pintasnya. Orang kata ‘we do not need to invent the wheel.’ Gunakan sahaja roda yang telah dicipta 2,000 tahun sebelum masehi oleh kaum Sumeria. Tidak perlu cipta roda terkini yang bersegi-segi misalnya, kononnya nampak kreatif tetapi sebenarnya melambatkan.

Keluarga Saya, Keluarga Malaysia

Keluarga Saya, Keluarga Malaysia

MAAFCAKAP 15.9.2021

Setelah Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan Datuk Seri Najib Razak pula dengan 1Malaysia, kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan konsep Keluarga Malaysia dalam perutusan pertamanya sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

Gagasan yang dibawa beliau bukan retorik. Ia juga tidak memerlukan pelan besar, pelancaran gah penuh gilang gemilang, poster, bendera dan segala-galanya seperti kempen-kempen lain sebelum ini. Ini adalah kerana, konsep Keluarga Malaysia sudah lama dihayati oleh rakyat Malaysia.

Malah, perasaan kekitaan ini sudah lama ada dalam naluri setiap anak Malaysia. Cumanya, ia tidak diasah, dipertajam dan dikilau di depan mata semua hingga kita perasaan kekitaan Keluarga Malaysia kita mula luntur dan berkarat. Seolah-olah perasaan ini tidak trendy, malah sudah ketinggalan atau out-dated. 

Apakah perasaan penuh curiga, syak wasangka dan penuh dendam itu adalah perasaan yang seharusnya kita anuti kononnya kerana ia menggambarkan kita adalah rakyat Malaysia yang moden? Setahu saya, perasaan saling membenci, suka berseteru dan berperang itu adalah perangai manusia dahulu kala.

Konsep Keluarga Malaysia itu ‘mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan, bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita.’ Demikian hasrat Perdana Menteri. Pandemik Covid-19 ini telah mengubah sama sekali lanskap ekonomi dan sosial. Ia adalah reset, reboot lalu mula menunaskan kembali apa yang telah layu dan punah.

Walaupun kalangan orang politik lambat sangat untuk menyedari realiti ini, alhamdulilah akhirnya mereka mengenepikan perbezaan dan mengutamakan negara dan warganya. MOU yang ditandatangani kelmarin di antara blok Kerajaan dan pembangkang adalah sejajar dengan tuntutan semasa iaitu kestabilan politik sehingga PRU 15.

Parti-parti politik dan para politikusnya adalah golongan yang amat berpengaruh. Meskipun ramai yang tidak gemar dengan tindak tanduk mereka yang asyik berseteru, selagi mereka tidak sehaluan, ia sentiasa mempengaruhi sentimen rakyat untuk berasa tidak selamat. Akhirnya, rakyat terikut-ikut untuk sentiasa berpolemik. Ini jelas, amat membuang masa.

Pendekatan Keluarga Malaysia amat simple kerana menyalurkan mekanisme psiko-sosial yang sudah sebati di dalam diri kita. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Konsep dalam keluarga yang mengamalkan sikap berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, seperti aur dengan tebing serta berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang ke tepian memberi mood timbang rasa, toleransi dalam suasana damai dan sejahtera.

Utopia? Tidak, kerana kita pernah amalkan sikap kerjasama di antara kaum, agama dan budaya. Sebabnya dahulu kita semua sama-sama susah, sama-sama payah membina keluarga masing-masing. Pada hari ini juga, kerana Covid-19 kita sama-sama hidup dalam kepayahan dan keperitan hidup yang mencengkam.

Ramai di kalangan kita yang tersembam dari segi ekonomi kerana hilang mata pencarian akibat dibuang kerja, perniagaan runtuh, malah ada pula di antara kita yang putus bekalan makanan. Susah dan payah itulah yang membangkitkan semua sikap tolong menolong sesama kita.

Kempen bendera putih bagi saya adalah kemuncak perasaan pasrah kita kepada kepayahan peribadi. Dengan mengibar bendera putih kita memohon dan mengharap orang lain datang membantu. Dan, kita yang lain telah mengumbah dan tumpahkan kembali perasaan ingin menolong orang lain, sepadan dengan semangat Keluarga Malaysia. 

Inilah semangat saling membantu yang harus kita bajai agar ia tumbuh subur di sanubari. Konsep setiakawan Ali, Ah Chong dan Samy yang diterap ke dalam buku-buku teks sekolah seharusnya kita rangkul semula dalam kehidupan seharian. Terima kasih kepada kita semua. Selamat Menyambut Hari Malaysia Yang ke-58.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]