MAAFCAKAP 15.9.2021
Setelah Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan Datuk Seri Najib Razak pula dengan 1Malaysia, kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan konsep Keluarga Malaysia dalam perutusan pertamanya sebagai Perdana Menteri yang ke-9.
Gagasan yang dibawa beliau bukan retorik. Ia juga tidak memerlukan pelan besar, pelancaran gah penuh gilang gemilang, poster, bendera dan segala-galanya seperti kempen-kempen lain sebelum ini. Ini adalah kerana, konsep Keluarga Malaysia sudah lama dihayati oleh rakyat Malaysia.
Malah, perasaan kekitaan ini sudah lama ada dalam naluri setiap anak Malaysia. Cumanya, ia tidak diasah, dipertajam dan dikilau di depan mata semua hingga kita perasaan kekitaan Keluarga Malaysia kita mula luntur dan berkarat. Seolah-olah perasaan ini tidak trendy, malah sudah ketinggalan atau out-dated.
Apakah perasaan penuh curiga, syak wasangka dan penuh dendam itu adalah perasaan yang seharusnya kita anuti kononnya kerana ia menggambarkan kita adalah rakyat Malaysia yang moden? Setahu saya, perasaan saling membenci, suka berseteru dan berperang itu adalah perangai manusia dahulu kala.
Konsep Keluarga Malaysia itu ‘mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan, bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita.’ Demikian hasrat Perdana Menteri. Pandemik Covid-19 ini telah mengubah sama sekali lanskap ekonomi dan sosial. Ia adalah reset, reboot lalu mula menunaskan kembali apa yang telah layu dan punah.
Walaupun kalangan orang politik lambat sangat untuk menyedari realiti ini, alhamdulilah akhirnya mereka mengenepikan perbezaan dan mengutamakan negara dan warganya. MOU yang ditandatangani kelmarin di antara blok Kerajaan dan pembangkang adalah sejajar dengan tuntutan semasa iaitu kestabilan politik sehingga PRU 15.
Parti-parti politik dan para politikusnya adalah golongan yang amat berpengaruh. Meskipun ramai yang tidak gemar dengan tindak tanduk mereka yang asyik berseteru, selagi mereka tidak sehaluan, ia sentiasa mempengaruhi sentimen rakyat untuk berasa tidak selamat. Akhirnya, rakyat terikut-ikut untuk sentiasa berpolemik. Ini jelas, amat membuang masa.
Pendekatan Keluarga Malaysia amat simple kerana menyalurkan mekanisme psiko-sosial yang sudah sebati di dalam diri kita. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Konsep dalam keluarga yang mengamalkan sikap berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, seperti aur dengan tebing serta berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang ke tepian memberi mood timbang rasa, toleransi dalam suasana damai dan sejahtera.
Utopia? Tidak, kerana kita pernah amalkan sikap kerjasama di antara kaum, agama dan budaya. Sebabnya dahulu kita semua sama-sama susah, sama-sama payah membina keluarga masing-masing. Pada hari ini juga, kerana Covid-19 kita sama-sama hidup dalam kepayahan dan keperitan hidup yang mencengkam.
Ramai di kalangan kita yang tersembam dari segi ekonomi kerana hilang mata pencarian akibat dibuang kerja, perniagaan runtuh, malah ada pula di antara kita yang putus bekalan makanan. Susah dan payah itulah yang membangkitkan semua sikap tolong menolong sesama kita.
Kempen bendera putih bagi saya adalah kemuncak perasaan pasrah kita kepada kepayahan peribadi. Dengan mengibar bendera putih kita memohon dan mengharap orang lain datang membantu. Dan, kita yang lain telah mengumbah dan tumpahkan kembali perasaan ingin menolong orang lain, sepadan dengan semangat Keluarga Malaysia.
Inilah semangat saling membantu yang harus kita bajai agar ia tumbuh subur di sanubari. Konsep setiakawan Ali, Ah Chong dan Samy yang diterap ke dalam buku-buku teks sekolah seharusnya kita rangkul semula dalam kehidupan seharian. Terima kasih kepada kita semua. Selamat Menyambut Hari Malaysia Yang ke-58.