MAAFCAKAP 6.10.2021

Baru-baru ini saya dijemput oleh para pelajar daripada persatuan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), cawangan khas UiTM Shah Alam untuk menyampaikan sebuah perkongsian pengalaman berpersatuan. Sebagai seorang senior, mereka ingin saya ceritakan pengalaman dalam perjuangan pendidikan. GPMS adalah sebuah persatuan pelajar yang tertua di negara ini. Ia ditubuhkan pada tahun 1948.

Setelah saya menyampaikan pengalaman saya berpersatuan dengan pelbagai aktiviti di kampus seperti penganjuran program kelas bimbingan, kursus kepimpinan, perkaderan, program-program diskusi, bengkel, seminar dan juga persidangan, saya terangkan juga tentang apa erti perjuangan. Memahami konsep perjuangan itu amat penting agar kita tidak melencong dari hasrat asal untuk turun berjuang.

Perjuangan adalah satu istilah yang murni nilainya. Ia adalah usaha gigih di luar kehidupan rutin manusia biasa. Perjuangan menuntut seseorang berkorban masa, tenaga dan material untuk mencapai matlamat. Bila disebut ‘perjuangan’ ia tidak akan selesai. Mana ada perjuangan yang selesai di dunia ini? Sebab jika sesebuah perjuangan itu selesai, ia hanyalah sebuah misi.

Sesebuah perjuangan itu boleh digagahi oleh seorang mahupun sekumpulan manusia. Namun, perjuangan seorang manusia itu biasanya akan disertai oleh lain-lain anggota yang memahami matlamat sesebuah perjuangan yang dibawa oleh seseorang itu. Dari kumpulan kecil, sesebuah perjuangan itu boleh disertai oleh sekumpulan, seangkatan malah hingga membawa dari generasi ke generasi.

Perjuangan Rasulullah saw untuk membawa ajaran ALLAH swt itu bermula daripada Baginda seorang, diikuti oleh isterinya Siti Khadijah, Saidina Abu Bakar, Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah sampai berkembang menjadi ikutan ribuan para sahabat hingga menjadi perjuangan sebahagian daripada kita sebagai generasi penyambung perjuangan Islam di masa kini.

Ada ribuan perjuangan yang mendatangkan kejayaan. Gerakan Menentang Apartheid yang diketuai oleh Nelson Mandela, Gerakan Hak Asasi oleh Dr, Martin Luither King di Amerika, Revolusi Budaya di China dan puluhan perjuangan menuntut kemerdekaan termasuk perjuangan di Malaysia. 

Jika diselusuri segala gerakan ini, ia dimulakan oleh seseorang yang mengumpul mereka yang sefikrah dengannya. Kemudian ia berkembang dan menghimpun para pengikut hingga ia menjadi suatu tenaga yang tidak mudah digugat dengan amaran retorik. Akhirnya ia memaksa pemerintah akur dengan tuntutan kumpulan pejuang ini. Lebih berkesan lagi apabila sesebuah perjuangan itu berjaya menumbangkan pemerintah dan menggantikan pula tempatnya.

Sesuatu perjuangan yang jelas matlamat untuk sesuatu yang murni buat warganya akan terus berkembang dan sentiasa mendapat sokongan para pengikut dan orang ramai. Namun biasanya sesebuah perjuangan itu akan terpesong dan melencong apabila pejuang asal tiada lagi. Yang menggantinya belum tentu dapat meneruskan perjuangan sekuat dan sekental pejuang asal.

Lebih buruk lagi apabila penggantinya yang menerima tampuk pemerintahan menjadi seperti kacang lupakan kulit. Jika pengasas perjuangan itu mempunyai rakan seperjuangan, pemimpin ganti yang mendapat kuasa bagai dipersembah ke tapak tangan akan mudah lupa akan maksud perjuangan asal si pengasas. Rakan-rakan dan para sahabat perjuangan kini menjadi kuncu-kuncu, kroni-kroni, balaci-balaci yang akan mengepung dan mengabur imej si pemimpin hingga mempersona para pengikut bawahan.

Hasil perjuangan menjadi habuan yang dibahagi dan dibaham sesama talibarut si ketua. Pada ketika itu, si pejuang itu sudah menjadi si petualang. Pada masa itu, yang dapat dilihat hanyalah perjuangan mengekalkan kedudukan. Perjuangan asal entah ke mana. Ini adalah fasa keruntuhan sesebuah perjuangan itu. Fenomenanya ada terpampang di depan mata!