Mengapa Penulis Lebih Hebat Dari Pak Menteri?
MENGAPA PENULIS LEBIH HEBAT DARI PAK MENTERI?
1. Pernah tak anda menonton pak menteri berucap di sesebuah majlis? Bila dia bangun untuk memulakan ucapan dengan segala mukadimah, kita sudah menumpukan perhatian kepadanya. Kita hendak mendengar apa yang ingin dia sampaikan.
2. Tapi perhatian kita biasanya sekejap sahaja. Selang beberapa minit, pandangan kita akan melilau memerhati pakaian pak menteri, alas meja yang terkibar-kibar dihembus kipas angin, ahli-ahli jemputan lain yang duduk di pentas, kerusi menteri yang kosong, sepanduk di belakang pentas dan apa sahaja yang akan mengurangkan tumpuan kita kepadanya.
3. Bila kita perhati ke sekeliling, mereka yang duduk di kiri dan kanan kita pun ada yang sudah tak tumpukan perhatian. Ada yang berbisik-bisik, melihat mesej di telefon atau memantaukan pandangan mereka ke mana sahaja kecuali ke wajah pak menteri.
4. Hati masing-masing berdoa agar pak menteri memendekkan ucapan supaya majlis segera tamat. Bolehlah kita bangun untuk ke tempat makan atau terus keluar daripada majlis. Tetapi kita mula mengeluh kalau pak menteri meneruskan ucapannya melebihi setengah jam dan buat wajah meluat apabila pak menteri nampaknya seperti tidak mahu berhenti bercerita.
5. Sebaliknya sedar tak kita, apabila kita membuka lembaran sebuah novel, kita mula memasang niat untuk menumpukan perhatian kepada bacaan itu? Dari halaman pertama, beralih ke halaman dua, tiga, empat belas hingga seterusnya, kita asyik membaca hingga tidak sedar yang kita telah membaca lebih sejam.
6. Perasan tak, apabila pembaca membuka sesebuah novel, itu bererti mereka sedang berkomunikasi dengan si penulisnya? Dan mereka sanggup mendengar celoteh si penulis dalam bentuk tulisan.
7. Yang menariknya, orang yang sedang mengikuti cerita si penulis hanyalah seorang. Bukan berbelas, berpuluh, beratus, bukan beribu. Tetapi… pembaca yang satu-satunya itulah yang khusyuk menatap tulisan kita. Dia boleh membaca selama berjam-jam lamanya.
8. Hebatnya kita para penulis. Apa azimat yang kita ada hingga seseorang itu boleh mengikuti cerita kita hingga sebegitu lama? Orang politik yang bercakap tidak sampai sejam pun tak dapat tarik perhatian para penontonnya sebegitu lama sepertimana seseorang penulis mengekalkan perhatian pembacanya.
9. Kalau kata-kata pak menteri itu akan dilupakan sebaik sahaja seseorang itu keluar daripada dewan perasmian, cerita yang disampaikan oleh penulis itu akan diingati oleh pembaca walaupun bertahun-tahun selepas itu.
10. Justeru itu, penulis itu orang yang hebat. Dia boleh memukau pendengar walaupun dia tidak berdiri di depan mata khalayaknya.
Rahsia Mengapa Setiap Bab Seimbang Halamannya
Setiap kali memandu jauh, saya akan mencari tanda perbatuan. Tak sabar hendak sampai ke destinasi. Jika tanda jalan menunjukkan 80 kilometer ke Rembau misalnya, saya panjangkan leher mencari di manakah batu 79 kilometer pulak. Saya mengharap lagi batu jalan 78 kilometer ke Rembau akan muncul pada selekoh berikutnya walaupun baru melewati kilometer ke-79 itu.
Saya mahu batu-batu tanda perbatuan cepat dilewati agar saya sampai segera ke destinasi. Namun, saya tak boleh memandu kereta laju-laju hingga saya dapat melangkau hingga 10 batu jalan. Sebaliknya saya kena sabar melalui setiap inci jalanraya itu sebelum angka-angka batu jalan menurun satu persatu dari 77, 76, 75 dan seterusnya hingga saya tiba di Rembau.
Membaca juga sebuah perjalanan. Betapa tebal pun novel, pembaca perlu menyelak halaman ke halaman hingga sampai ke mukasurat akhir. Seperti memandu jauh, mereka juga tak sabar hendak menyelak halaman demi halaman hingga kesudahan cerita. Sebab itulah kita mesti susun setiap bab dengan jumlah halaman yang lebih kurang sama agar pembaca dapat mengagak anggaran ketebalan sesebuah bab.
Jika kita menulis ikut suka, atas nama seni, atas nama kreatif, atas nama kebebasan… bab 1, tiga halaman; bab 2, lapan halaman; bab 3, empat halaman dan bab berikutnya sepuluh halaman… kita sebenarnya menyeksa pembaca. Mereka akan bosan dan letih sebab penat merangkak dari bab ke bab yang tidak menentu panjang pendeknya.
Bayangkan seandainya tanda batu jalan tidak disusun menurut jarak yang sama bagi setiap kilometer, kita sebagai si pemandu akan bosan kerana tidak dapat mengagak jauhnya perjalanan.
Begitu pun ada keadaan di mana penulis terpaksa memanjangkan sesebuah bab kerana keperluan penceritaan. Dalam keadaan begini adalah elok penulis membahagikan sesebuah bab itu menjadi dua. Jika ini dilakukan, penulis perlulah menambah satu-dua halaman untuk bab-bab yang punyai sedikit halamannya.
Akhirnya sesebuah novel itu dibahagikan kepada halaman-halaman yang lebihkurang seimbang. Misalnya bab satu, 7 halaman; bab dua, 6 halaman dan bab tiga, 8 halaman. Ini akan membantu pembaca menyudahkan sesebuah bab dalam keadaan yang selesa.
Banyak editorial penerbitan mengaplikasikan cara ini. Ia adalah di antara teknik editing by design yang ramai penulis sendiri tidak perasan. Namun, inilah di antara penyebab mengapa sesetengah buku yang tidak menitikberatkan teknik ini tidak dapat dihadam dengan baik oleh pembaca.
Surat Tunjuk Sebab Bukti Zakir Boleh Menulis
Kerana terpaksa menulis surat tunjuk sebab di atas sebuah kesalahan jabatan, Zakir Husin menerima pujian. Oleh sebab ingin menceritakan dengan baik untuk mempertahankan diri dari tindakan, Zakir Husin menulis jawapan dengan panjang lebar.
Hendak dijadikan cerita, surat tunjuk sebab itu pula mendapat pujian dari ketuanya kerana susunan ayat yang baik. Dari situ, Zakir Husin tahu dia mempunyai bakat menulis. Beliau seterusnya mengikuti pelbagai kursus penulisan untuk mengasah bakatnya.
Akhirnya beliau dapat menerbitkan dua buah buku menarik kisah di sebalik jeriji besi. Ikuti temubual dengan penulis ini…
Cuba ceritakan serba sedikit mengenai buku Derita Mat Rempit ini…
Siri Jeriji Besi adalah pengalaman saya sebagai Pegawai Penjara Malaysia di mana terdapat banyak pengalaman dan kisah-kisah yang berlaku yang saya simpan dan bukukan untuk dikongsi.
DERITA MAT REMPIT ditulis mengenai goLongan Mat rempit yang ditangkap dan ditahan di penjara. Ia juga melibatkan kisah kehidupan yang boleh dijadikan panduan untuk mereka yang baharu melangkah ke alam pekerjaan.
Macam mana sambutan buku ini?
Alhamdulilah, sudah masuk cetakan kedua. Buku ini melepasi penilaian Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai bacaan tambahan. Ia menjadi bahan bacaan di Pusat-pusat Sumber Sekolah. Buku ini juga dipilih oleh Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagaimana saudara menulis buku ini?
Saya mula menulis selepas saya bertukar ke Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Buku ini saya tulis setelah mengikuti beberapa kursus penulisan. Salah seorang guru saya ialah saudara Norden Mohamed sendiri. Saya bersyukur dapat berguru dengan guru yang hebat.
Seorang guru saya lagi ialah Puan Ainon Mohamed, Pengasas PTS Publication. Beliau banyak menggalakkan saya menulis buku berkaitan dengan penjara. Sebenarnya saya mula tahu yang saya boleh menulis apabila saya diberikan surat tunjuk sebab ketika dalam perkhidmatan.
Saya ada masukkan bab itu di dalam buku saya ini. Dengan sebab saya jawab surat tunjuk sebab itu dengan panjang lebar, akhirnya pegawai penjara mengenalpasti kebolehan saya untuk menulis. Dari situlah saya sedar tentang bakat saya.
Jadi saya mula belajar teknik dari guru-guru yang saya senaraikan dalam buku Derita Mat Rempit ini.
Dengar cerita, salah sebuah buku saudara akan diadaptasi menjadi drama. Buku yang mana satu, ya?
Alhamdulilah, mudah-mudahan menjadi kenyataan. Ada penerbit filem dan drama yng berminat untuk terbitkan siri Jeriji Besi ini kepada drama bersiri sebanyak 30 episod. Buku pertama Jeriji Besi, Biarkan Aku Sengsara Di Sini dan Derita Mat Rempit akan diadaptasikan dalam bentuk drama.
Jabatan Penjara setuju pada dasarnya. Kita pun dah kenalpasti Pengarah, Pengurus Produksi dan Penulis Skripnya. Hanya menanti kata putus Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri sahaja.

Dengar kata ada buku lagi selepas ini. Ceritakan sikit…
Ada siri terakhir buku Jeriji besi ini. Siri itu akan mengisahkan bagaimana saya saksikan hukuman gantung sampai mati. Ia melibatkan dua orang serentak. Hukuman gantung ini boleh dilakukan secara maksima tiga orang serentak.
Tajuk cadangan ialah Tali Gantung. Hukuman gantung sampai mati adalah satu pengalaman yang misteri. Manuskripnya dah siap 10 tahun dahulu. Semasa menulis, misterinya ada. Cuma saya tak masukkan ke dalam buku itu.
Tetapi kalau ada soal-jawab seperti ini, saya akan ceritakan misteri yang berlaku ketika buku itu saya tulis.
*Buku Derita Mat Rempit kini terpamer di IqraRead Bookstore, Malakat Mall, Cyberjaya. Harga senaskhah ialah RM30.00. Dapatkan buku ini sekarang.
DI Mana Cintamu Pada Nabimu?
MAAFCAKAP 20.10.2021
Sekali lagi kita menyambut ulangtahun kelahiran Rasulullah saw. Buat sebahagian besar daripada kita, Hari Maulidur Rasul ialah hari cuti. Sementelah ramai di antara negeri-negeri kini sudah memasuki fasa 3 dan fasa 4, ia bererti kita bebas merentas daerah, malah boleh merentas negeri. Pendek kata ramai yang ambil ‘cuti tampal’ untuk balik kampung atau berjalan-jalan.
Molek sangat selepas bernyanyi lagu Balik Kampung dalam perjalanan, kita teruskan pula dengan nasyid Thola al Badru Alaina dan berselawat untuk Rasulullah saw. Setiap selawat kita kepadanya akan ALLAH jawab sepuluh kali. Demikian hadis riwayat Muslim.
Pelbagai keajaiban terjadi mengiringi kelahiran Rasulullah saw. Berhala di Kaabah runtuh, tiang-tiang seri di istana Parsi bergegar lalu berkecai dan api sembahan kaum Majusi yang bernyala lebih 1,000 tahun telah terpadam.
Inilah petanda-petanda yang ALLAH swt tunjukkan pada lahirnya seorang pemimpin Rahmatan Lil Alamin atau Pembawa Rahmat ke Sekalian Alam. Dialah insan terbaik di sepanjang zaman, di sepanjang abad dan kurun, dari Nabi Adam a.s sehinggalah ke manusia terakhir yang lahir sebelum datangnya kiamat.
Beruntung sekali kita yang menjadi kekasihnya. Rasulullah saw sedih mengenangkan kita sebagai umatnya di akhir zaman. Malah Baginda begitu rindu kepada kita kerana mengagung dan patuh kepada ajaran yang dibawanya serta sanggup mati membelanya meskipun kita tidak pernah melihat Baginda. Malah, Rasulullah saw hendak melihat kita semua. Demikianlah catatan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Inilah hubungan spiritual yang lahir di antara kita dan Rasulullah saw. Beruntunglah seandainya kita dapat menjiwai perasaan ini. Merugilah sekiranya Nabi Muhammad saw hanya sekadar nama yang hanya kerap disebut tatkala berselawat tanpa diiringi dengan rasa rindu ingin bertemu.
Pada hari ini, betapa ramai di antara kita yang naik gila apabila disebut nama seseorang selebriti. Gayanya ditiru, persembahannya ditonton, media sosialnya diikuti, setiap statusnya ditatap, dikomen dan dikongsi. Ada yang ambil tahu riwayat hidupnya, makanan kegemarannya, pakaian kesukaannya, segala senyum dan tawanya sentiasa terbayang di ambang mata. Malah suaranya terdengar-dengar di kala sendirian hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Namun imej selebriti itu akan tenggelam bila muncul selebriti baharu yang lebih hensem, lebih cantik dan lebih merangsang segala deria. Orang inilah yang menjadi pengganti yang disukai dan digilai sebelum muncul wajah baharu lain yang menghiasi ‘mata dajjal’ iaitu alat-alat yang mempunyai skrin yang satu.
Ramai yang lebih kenal selebriti daripada mengenali Nabi saw kerana mereka muncul di mana-mana pada bila-bila masa. Sebab itulah mereka itulah yang disayangi dan dicinta meskipun mereka hanya bekerja sebagai penghibur semata-mata. Promosi ke atas selebriti yang dijadikan produk menawan segala sudut dan ceruk media.
Sebaliknya, Nabi saw hanya muncul ketika berselawat atau disebut penceramah yang hanya ditonton ketika Maulidur Rasul semata-mata. Di waktu lain Nabi saw tiada. Pakaiannya, tabiatnya, kegemarannya, perilaku, cara ibadah dan peribadinya yang molek diikuti kerana ia sunnah, lagi mendapat pahala tidak menjadi sesuatu yang trendy.
Mengapa? Yang pasti syamail atau penampilan Rasulullah saw itu belum dapat memikat kerana mereka yang arif untuk mempamerkan kehebatan Baginda seperti para dai. Mereka tidak dapat melawan kekuatan arus promosi manusia lain yang tidak sehebat mana pun kerana sering bertukar ganti dan bermusim kepopularannya. Sedangkan Rasulullah saw adalah insan sempurna yang mempunyai peribadi sehebat al-Quran.
Tak kenal maka tak cinta. Tak diperkenal maka tak dipuja.
Sahabat Di Sepanjang Usia
MAAFCAKAP 13.10.2021
Baru-baru ini sebaik sahaja memberi salam, saya terpandang sisi tubuh seseorang yang saya kenal di saf hadapan. Dia kelihatan sedang berdoa. Hati saya berbolak-balik samada hendak menegurnya atau tidak. Tak berani menerjah kerana tidak mahu tersilap orang. Sambil menunggu dia selesai berdoa, saya membuka telefon lalu terpandang sebuah mesej. Ia berbunyi, ‘Din, aku dekat surau Malakat Mall. Kalau hang free, aku ingat nak jumpa hang.’
‘Mail! Hang buat apa kat sini?’ Sebaik sahaja Ismail bangun, saya menyapanya sambil mengunjuk mesejnya di telefon saya. Kami bersalaman dan berbalas renungan. Mengira berapa garis kedut di dahi dan uban di kepala masing-masing. Ismail adalah rakan sekelas saya di kampus. Sudah lebih 40 tahun kami bersahabat.
Selepas tamat belajar, kami memilih haluan masing-masing. Namun ALLAH mengizinkan kami terus berhubung dari dahulu hingga ke hari ini berbanding dengan kawan-kawan lain yang kini hanya hadir di alam maya. Ada sahaja insiden yang membuatkan kami terserempak lalu terus pergi minum-minum atau makan-makan. Tahun berlalu dan masing-masing akhirnya saling bertukar jemputan perkahwinan anak atau menyampai berita sedih kepulangan kawan-kawan ke negeri abadi. Dengan adanya aplikasi Whatsapp, perhubungan jadi mudah.
Di sepanjang perjalanan hidup, kita membina persahabatan. Pada waktu kita mula berkenalan kita tidak tahu apakah bentuk perhubungan yang kita akan lalui dengan seseorang. Barangkali sekadar teman sekolej atau teman sekerja yang kita akan lupakan bila terpisah. Jumlah yang hanya sekadar kawan sememangnya ramai. Yang menjadi karib amat sedikit.
Bersama dengan teman-teman yang karib inilah kita sama-sama melihat perubahan fizikal, mental dan spiritual. Jika dahulu masing-masing berambut panjang, berombak dan berkilat. Kini, kilatnya ada juga, tetapi dari kulit kepala yang dipanah cahaya matahari. Dahulu, cara berdiri gaya pendekar, kini sudah berubah lutut hampir bertemu lutut.
Walaupun pertuturan masih penuh dengan lawak jenaka, namun ada kalanya perbualan terhenti kerana ada perkataan yang tidak muncul di fikiran akibat ingatan tiba-tiba menghilang. Perbualan tentang hakikat kehidupan dan kematian sering berselang-seli dengan cerita semasa.
Persahabatan yang lama memberi erti tentang perjalanan usia. Masing-masing memahami dan mengingati zaman jahiliah di usia muda. Segala fragmen cabaran seharian dalam pembelajaran, perhubungan malah percintaan kini teradun menjadi diri kita. Bersama kawan-kawan lama, segala nostalgia mudah melonjak dari bawah sedar ke kotak memori. Inilah yang menjadikan persahabatan yang lama begitu membahagiakan.
Sahabat-sahabat lama yang dikumpul sepanjang usia inilah cermin kehidupan yang memancarkan bukan wajah semasa semata-mata tetapi juga wajah-wajah semalam yang ada di antaranya ingin kita lupakan. Cermin-cermin ini mampu bercakap untuk mengingat dan menasihati agar perjalanan mampu direntas dengan langkah-langkah yang cermat agar tidak terjerlus di penghujung usia.
Beruntunglah seandainya kita punyai kawan-kawan yang sentiasa memberi kita ingatan sebagai bekalan kita di alam sebelah sana. Tidak kena pula seandainya mempunyai kawan-kawan yang mahu kita terus menerus berkelakuan seperti orang muda meskipun atas alasan untuk suka-suka. Maklumlah orang tua mudah melatah dan pelupa. Lebih-lebih lagi akan berbahaya seandainya lupa daratan pula kerana mabuk di laut kehidupan.
Untuk itu, pandainya memilih kawan bukan sahaja untuk kita yang baharu hendak kenal dunia sebaliknya untuk kita yang akan meninggalkan dunia. Betapa pun, untuk mendapat kawan-kawan yang akan kekal hingga ke dunia sebelah sana berbalik juga dengan perangai kita sendiri.
Tanya juga diri apakah kita menjadi pilihan mereka untuk menjadi kawan mereka? Beruntunglah sekiranya kita masih menjadi pilihan mereka sejak zaman muda lagi. Jika dahulu teman berdikir, kini menjadi teman berzikir.


