Kerana terpaksa menulis surat tunjuk sebab di atas sebuah kesalahan jabatan, Zakir Husin menerima pujian.  Oleh sebab ingin menceritakan dengan baik untuk mempertahankan diri dari tindakan, Zakir Husin menulis jawapan dengan panjang lebar.

Hendak dijadikan cerita, surat tunjuk sebab itu pula mendapat pujian dari ketuanya kerana susunan ayat yang baik. Dari situ, Zakir Husin tahu dia mempunyai bakat menulis. Beliau seterusnya mengikuti pelbagai kursus penulisan untuk mengasah bakatnya.

Akhirnya beliau dapat menerbitkan dua buah buku menarik kisah di sebalik jeriji besi. Ikuti temubual dengan penulis ini…

Cuba ceritakan serba sedikit mengenai buku Derita Mat Rempit ini…

Siri Jeriji Besi adalah pengalaman saya sebagai Pegawai Penjara Malaysia di mana terdapat banyak pengalaman dan kisah-kisah yang berlaku yang saya simpan dan bukukan untuk dikongsi. 

DERITA MAT REMPIT ditulis mengenai goLongan Mat rempit yang ditangkap dan ditahan di penjara. Ia juga melibatkan kisah kehidupan yang boleh dijadikan panduan untuk mereka yang baharu melangkah ke alam pekerjaan.

Macam mana sambutan buku ini?

Alhamdulilah, sudah masuk cetakan kedua. Buku ini melepasi penilaian Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai bacaan tambahan. Ia menjadi bahan bacaan di Pusat-pusat Sumber Sekolah. Buku ini juga dipilih oleh Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagaimana saudara menulis buku ini?

Saya mula menulis selepas saya bertukar ke Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Buku ini saya tulis setelah mengikuti beberapa kursus penulisan. Salah seorang guru saya ialah saudara Norden Mohamed sendiri. Saya bersyukur dapat berguru dengan guru yang hebat.

Seorang guru saya lagi ialah Puan Ainon Mohamed, Pengasas PTS Publication. Beliau banyak menggalakkan saya menulis buku berkaitan dengan penjara. Sebenarnya saya mula tahu yang saya boleh menulis apabila saya diberikan surat tunjuk sebab ketika dalam perkhidmatan.

Saya ada masukkan bab itu di dalam buku saya ini. Dengan sebab saya jawab surat tunjuk sebab itu dengan panjang lebar, akhirnya pegawai penjara mengenalpasti kebolehan saya untuk menulis. Dari situlah saya sedar tentang bakat saya. 

Jadi saya mula belajar teknik dari guru-guru yang saya senaraikan dalam buku Derita Mat Rempit ini.

Dengar cerita, salah sebuah buku saudara akan diadaptasi menjadi drama. Buku yang mana satu, ya?

Alhamdulilah, mudah-mudahan menjadi kenyataan. Ada penerbit filem dan drama yng berminat untuk terbitkan siri Jeriji Besi ini kepada drama bersiri sebanyak 30 episod. Buku pertama Jeriji Besi, Biarkan Aku Sengsara Di Sini dan Derita Mat Rempit akan diadaptasikan dalam bentuk drama. 

Jabatan Penjara setuju pada dasarnya. Kita pun dah kenalpasti Pengarah, Pengurus Produksi dan Penulis Skripnya.  Hanya menanti kata putus Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri sahaja.

Norden Mohamed dan Zakir Hussin di IqraRead Bookstore, Malakat Mall.

Dengar kata ada buku lagi selepas ini. Ceritakan sikit…

Ada siri terakhir buku Jeriji besi ini. Siri itu akan mengisahkan bagaimana saya saksikan hukuman gantung sampai mati. Ia melibatkan dua orang serentak. Hukuman gantung ini boleh dilakukan secara maksima tiga orang serentak. 

Tajuk cadangan ialah Tali Gantung. Hukuman gantung sampai mati adalah satu pengalaman yang misteri. Manuskripnya dah siap 10 tahun dahulu. Semasa menulis, misterinya ada. Cuma saya tak masukkan ke dalam buku itu.

Tetapi kalau ada soal-jawab seperti ini, saya akan ceritakan misteri yang berlaku ketika buku itu saya tulis. 

*Buku Derita Mat Rempit kini terpamer di IqraRead Bookstore, Malakat Mall, Cyberjaya. Harga senaskhah ialah RM30.00. Dapatkan buku ini sekarang.