Setiap kali memandu jauh, saya akan mencari tanda perbatuan. Tak sabar hendak sampai ke destinasi. Jika tanda jalan menunjukkan 80 kilometer ke Rembau misalnya, saya panjangkan leher mencari di manakah batu 79 kilometer pulak. Saya mengharap lagi batu jalan 78 kilometer ke Rembau akan muncul pada selekoh berikutnya walaupun baru melewati kilometer ke-79 itu. 

Saya mahu batu-batu tanda perbatuan cepat dilewati agar saya sampai segera ke destinasi. Namun, saya tak boleh memandu kereta laju-laju hingga saya dapat melangkau hingga 10 batu jalan. Sebaliknya saya kena sabar melalui setiap inci jalanraya itu sebelum angka-angka batu jalan menurun satu persatu dari 77, 76, 75 dan seterusnya hingga saya tiba di Rembau. 

Membaca juga sebuah perjalanan. Betapa tebal pun novel, pembaca perlu menyelak halaman ke halaman hingga sampai ke mukasurat akhir. Seperti memandu jauh, mereka juga tak sabar hendak menyelak halaman demi halaman hingga kesudahan cerita. Sebab itulah kita mesti susun setiap bab dengan jumlah halaman yang lebih kurang sama agar pembaca dapat mengagak anggaran ketebalan sesebuah bab.

Jika kita menulis ikut suka, atas nama seni, atas nama kreatif, atas nama kebebasan… bab 1, tiga halaman; bab 2, lapan halaman; bab 3, empat halaman dan bab berikutnya sepuluh halaman… kita sebenarnya menyeksa pembaca. Mereka akan bosan dan letih sebab penat merangkak dari bab ke bab yang tidak menentu panjang pendeknya.

Bayangkan seandainya tanda batu jalan tidak disusun menurut jarak yang sama bagi setiap kilometer, kita sebagai si pemandu akan bosan kerana tidak dapat mengagak jauhnya perjalanan.

Begitu pun ada keadaan di mana penulis terpaksa memanjangkan sesebuah bab kerana keperluan penceritaan. Dalam keadaan begini adalah elok penulis membahagikan sesebuah bab itu menjadi dua. Jika ini dilakukan, penulis perlulah menambah satu-dua halaman untuk bab-bab yang punyai sedikit halamannya. 

Akhirnya sesebuah novel itu dibahagikan kepada halaman-halaman yang lebihkurang seimbang. Misalnya bab satu, 7 halaman; bab dua, 6 halaman dan bab tiga, 8 halaman. Ini akan membantu pembaca menyudahkan sesebuah bab dalam keadaan yang selesa.

Banyak editorial penerbitan mengaplikasikan cara ini. Ia adalah di antara teknik editing by design yang ramai penulis sendiri tidak perasan. Namun, inilah di antara penyebab mengapa sesetengah buku yang tidak menitikberatkan teknik ini tidak dapat dihadam dengan baik oleh pembaca.