Di Kampung Pun Tak Jadi Jaguh
MAAFCAKAP 16.3.2022
Hari Jumaat, 13 Mac lalu, genap dua tahun tertubuhnya Malakat Mall, sebuah pasaraya Muslim yang terletak di Cyberjaya. Walaupun dirempuh badai Covid-19, Malakat Mall masih bertahan hingga ke hari ini. Apa signifikan mall ini berbanding dengan ratusan lagi mall di negara ini?
Nama ‘malakat’ ini dipilih kerana ia adalah nama asal Melaka yang membawa maksud tempat pertemuan para pedagang. Di zaman kegemilangannya, Pelabuhan Melaka adalah yang terbesar di Nusantara. Ia terkenal seantero dunia sehinggakan pedagang dari Barat, China dan India datang untuk berdagang.
Malakat Mall juga bukan sebuah pasaraya semata-mata. Ia amat bersignifikan kepada ekonomi Melayu Muslim. Usahawan dan Pengasas Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim mendapat inspirasi Malakat Mall dengan mengambil contoh pasar Madinah yang didirikan Nabi Muhammad saw sebagai pasar alternatif kepada pasar Yahudi pada ketika itu.
Idea membuka sebuah pasaraya ini tercetus apabila beliau semakin memahami punca kenapa usahawan Muslim tidak mampu meningkatkan syer ekonomi negara. Ketika berdiskusi dengan ramai para usahawan, beliau mendapati mereka tidak mampu menjalankan operasi di dalam pasaraya kerana peraturan ketat yang juga memerlukan kos pengurusan yang tinggi.
Maka timbul hasrat beliau untuk membuka sebuah pasaraya untuk usahawan Muslim. Tetapi, kos untuk membina mall sangatlah tinggi dan mengambil masa yang lama pula. Jalan yang cepat ialah mendapatkan dead mall atau ‘mall yang mati.’ Dan, wujud sebuah pasaraya yang kosong di Cyberjaya dan di situlah tempatnya bermula.
Malakat Mall bukan bertujuan untuk bertanding dengan mana-mana mall konservatif yang lain. Sebaliknya ia adalah sebuah medan perdagangan tersendiri untuk memperbetul ekosistem ekonomi Islam. Apa pula ekosistem ekonomi itu?
Statistik 2019 menunjukkan, daripada RM112 bilion perbelanjaan di sektor ekonomi di negara ini, 60 % dimiliki oleh pihak asing. 32 % pula oleh pihak bukan bumiputera tempatan, tetapi hanya 8 % dimiliki oleh bangsa Melayu dan juga bumiputera.
Mengapa pihak asing dibiarkan membolot pemilikan hingga 60 %? Kalaulah mereka melabur di negara kita untuk membuat empangan, lapangan terbang, buat roket atau kereta terbang, memang patutlah mereka melabur.
Mengapa mereka dibenarkan melabur di negara ini dalam sektor peruncitan yang menjual keperluan seperti beras, gula, garam, ikan, sayur-sayuran dan produk pengguna. Takkanlah orang Malaysia tak pandai jual beras sendiri, sampai benarkan pihak asing jual beras pada orang kita?
Orang kita memang tidak berfikir jauh bila berbelanja. Asalkan sedap, asalkan murah, mereka akan kerumuni. Mereka tidak terfikir, apabila berbelanja untuk mendapatkan gula, garam dan tepung mana-mana kedai itu boleh mereka pindahkan ke kedai-kedai Muslim. Inilah bentuk pertolongan yang mereka boleh lakukan.
Agensi-agensi kerajaan hanya memberi ilmu, modal dan perundingan kepada mereka yang berminat menjadi usahawan. Mereka tidak melatih mereka membina jaringan dan menggabungkan para usahawan ini menjadi rakan kongsi dan seterusnya konsortium. Maknanya, mereka dilatih dan kemudian dilepaskan ke medan perniagaan yang luas dan mencabar secara sebatang kara!
Kumpulan Malakat cuba menjawab permasalahan ini dengan menyediakan ruang niaga kepada mereka sebagai tempat latihan. Tiada sewa dikenakan tetapi hanya keuntungan yang dikongsi agar mereka dapat terus bertatih dan bernafas.
Perjuangan Kumpulan Malakat ini berwawasan besar dan tersusun. Tetapi ia memerlukan sokongan para usahawan dan juga para pengguna. Alangkah bagus jika para pengguna yang membeli-belah di mana-mana secara beramai-ramai memindahkan perbelanjaan mereka ke satu-satunya pasaraya Muslim yang ada? Jika tidak, apalah akan berlaku kepada anak bangsa seandainya jaguh di kampung pun mereka tak jadi!
Siapakah Yang Mengajarmu?
MAAFCAKAP 9.3.2022
Minggu lepas, tular video seorang wanita yang digelar ‘Kak Long’ mengamuk di sebuah kedai serbaneka di Terengganu bila anak lelakinya didakwa mencuri sebuah mainan di kedai itu.
Video berkenaan meraih ribuan tontonan kerana ‘Kak Long’ merakam sendiri aksinya secara live di Facebook. Selang sehari kemudian, muncul pula video Kak Long dan kakitangan kedai serbaneka itu bermaaf-maafan kerana pekerja kedai itu tersilap menuduh anak Kak Long.
Pada minggu lepas juga muncul sebuah video seorang ‘Izuan’ di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Dengan suara menengking, dia bertanya siapa yang masak sepinggan ikan bakar yang menjadi hidangannya?
Apabila para pengunjung lain kelihatan tergamam, tiba-tiba mulutnya yang tercebir mengorak senyuman. Lantas dia berkata yang dia bertanya begitu kerana ikan bakar yang dihidangkan itu sedap sangat!
Lakonan Izuan dapat dihidu bila muncul beberapa klip video berikutnya memperlihatkan Izuan dihimpit keluar dari restoran itu, imej beliau memegang sehelai kertas yang nampaknya seperti laporan polis di hadapan Balai Polis Dang Wangi dan adegan beliau bersalaman dan memohon maaf kepada tuanpunya restoran kerana tindakannya telah memburukkan nama baik restoran itu.
Video tular dua individu itu adalah contoh betapa menularnya pendekatan berbuat gimik semata-mata untuk meraih angka tontonan netizen pada video yang ditayangkan. Kedua-dua video itu jelas sengaja dirakam, bukan divideokan oleh orang yang tidak dikenali.
Tarikan wang membolehkan sesiapa sahaja mencari wang dengan jalan membuat cerita dan gimik untuk menarik perhatian. Bila genap pada jumlah tertentu, syarikat media sosial itu akan memberi sejumlah wang kepada si pembuat video kerana melariskan media sosial berkenaan.
Kian ramai yang menjual produk dengan cara ini hingga sanggup ke tahap apa yang dinamakan sebagai bad marketing. Bad marketing itu menyampaikan sesuatu yang buruk semata-mata untuk menarik perhatian. Jika dahulu, pemasaran dengan cara bad marketing ini tidak meninggalkan kesan. Kini, bad marketing memberi kesan sebaliknya.
Yang lebih penting, setelah mendapat perhatian dan ditonton, paparan seterusnya akan mudah menerobos ke laman penonton yang pernah memberi reaksi kepada paparan bad marketing seseorang itu. Perhatian netizen diperangkap oleh algorithm media sosial itu. Mahu atau tidak mahu, video dari pemapar yang sama akan muncul lagi di lamannya. Si penonton kini menjadi prospek produk.
Persoalan di sini ialah soal moral apabila apa yang dipaparkan itu tidak semenggah. Namun, pandangan tentang moral ini pasti disanggah kerana asalkan apa yang dipapar tidak melanggar undang-undang, maka ia bebas dipertontonkan. Lagi pula, orang sekarang dikatakan sudah matang untuk berfikir. Biarlah mereka bebas buat pilihan.
Dunia pemasaran juga seperti bidang-bidang ilmu lain yang tidak perlu lagi dipelajari di dalam kelas. Ia boleh diakses dari enjin carian Google. Sesiapa sahaja boleh mendapat ilmu secara penuh mahupun secara celam-celum. Dalam sekelip mata seseorang itu dapat memahami sesebuah bidang yang ingin diketahui.
Cuma, apa yang tidak diajar oleh Google seperti di dalam kelas ialah etika, tertib dan adab dalam sesebuah ilmu itu. Tanpa memahami etika, tertib dan adab sesebuah bidang ilmu itu, maka seseorang yang belajar itu tidak terikat untuk mematuhi disiplin ilmu itu. Dia tidak akan rasa bersalah bila melanggarnya kerana tiada sesiapa pun yang menunjukkan saluran ilmu yang harus dipatuhi.
Adat belajar mestilah dengan bertalaqqi atau berguru samada secara fizikal mahupun secara maya. Yang penting perlu ada soal jawab, pengupasan, perbincangan, pantang dan larang agar ilmu yang diperoleh itu cukup masak. Bila kesemua faktor ini tidak dipedulikan, maka matlamat akan menghalalkan cara.
Maka jadilah pengamalnya menuruti keinginan meskipun tunduk pada nafsunya.
Duduk Di Atas Lombong Emas
MAAFCAKAP 23.2.2022
Saya menerima sebuah video yang menarik dari seorang sahabat Whatsapp. Sekali pandang, video itu bagai video untuk suka-suka. Bagaimana pun saya membukanya dan terhibur pula dengan lagu di video itu. Tetapi saya lebih kagum apabila mendapati penyanyi lagu itu adalah seorang penjual kacang putih!
Bhuban Badyakar adalah seorang penjual kacang putih jalanan di Bengali Barat, India. Tiada sesiapa pun yang peduli dengannya setiap kali dia sampai ke pekan-pekan dengan motorsikal buruknya untuk menjaja kacang. Bagi menarik perhatian, Bhuban menjaja sambil bernyanyi ala-ala rap. Rentaknya yang unik itu telah menarik sebuah syarikat tempatan Godhulibela Music membuat remix hingga lagu itu menjadi tular.
Kegilaan yang dicetuskan oleh lagu itu telah menarik lebih 77 juta tontonan dan 2.4 juta tanda suka dalam masa dua bulan! Di mana-mana laman sosial, lagu ini menjadi pilihan. Ia memunculkan Kacha Badam Challenge di Tik Tok. Kini, syarikat Godhulibela Music telah menerbitkan versi rap dengan mengundang Bhuban Badyakar sendiri sebagai penyanyinya. Dengan bayaran awal berjumlah RM15,000 dari syarikat itu, kehidupan Bhuban bakal berubah kerana sudah menjadi sensasi di dunia!
Pepatah Melayu mengatakan, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Benar, tuah seseorang manusia tiada sesiapa yang tahu. Tetapi ia boleh disedari dengan dua cara iaitu oleh orang lain dan juga diri sendiri.
Dari semasa ke semasa mereka yang berada hampir dengan seseorang itu akan nampak bakat terpendamnya. Terdapat ribuan contoh di mana bakat seseorang anak disedari oleh ibubapanya. Yang terkini kita ketahui ialah mengenai Adik Haziq yang terkenal sebagai ‘wartawan cilik.’ Sikapnya yang pandai berceloteh dan memasak dipupuk oleh kedua ibubapanya. Bakatnya tular apabila videonya melapor mengenai ‘penemuan ular sawa yang amat dahsyat’ telah mengangkatnya sebagai selebriti muda.
Ramai mereka yang menyandang jawatan tinggi di pelbagai sektor perkhidmatan awam dan korporat juga berjaya kerana disedari oleh guru-guru mereka. Guru-guru yang mengajar merekalah yang seterusnya mencadangkan mata pelajaran dan aliran pendidikan hingga mereka mencapai cita-cita kerjaya mereka. Di dalam syarikat-syarikat korporat, adalah menjadi kebiasaan di mana staf-staf yang muda dan berpotensi diberi peluang oleh ketua atau majikan mereka untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi dan akhirnya mencemerlangkan potensi dan prestasi seseorang.
Dalam pada itu, jika kita merenung ke sekeliling, kita akan dapati ada di kalangan teman-teman kita yang mempunyai bakat terpendam seperti menjadi pengacara, perunding, motivator, inisiator, jurujual, malah pemimpin kerana personalitinya amat trampil dan menyenangkan kita. Sekiranya, bakat yang ada itu digilap dan diketengahkan, kawan gurau senda kita itu mampu menjadi hebat.
Cuma yang sukar disedari ialah menyedari kebolehan yang ada di dalam diri kita. Bakat itu tiada sesiapa pun yang tahu. Namun, ALLAH Maha Adil. Setiap insan dilahirkan unik dengan jodoh, ajal, maut dan rezekinya yang telah ditetapkan. Rezeki bukan sahaja berupa material, tetapi juga dalam bentuk bakat dan kebolehan. Bawalah diri menelusuri jalan kenangan untuk mengingati apakah kebolehan dan kegemaran yang pernah kita ada.
Dengarlah suara hatimu. Bila bermuhasabah, kita akan dapati bahawa kita punyai satu atau lebih dua bakat yang tidak ternilai. Oleh kerana tidak menganggapnya suatu anugerah Illahi yang khusus untuk diri, kebolehan ini tidak diasah hingga ia malap, tumpul dan tenggelam di dalam diri.
Hati tiba-tiba akan menjadi riang bila kita teringatkan kebolehan yang kita ada ini. Semangat akan muncul tatkala imaginasi mula melingkar di minda. Inilah lombong emas atau goldmine yang kita ada. Terlalu lama kita duduk di atasnya. Angkat dan gilaplah kebolehan ini. Letakkan sasaran, mulakan melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
Insya-ALLAH, lombong emas yang merupakan khazanah tersimpan ini bakal memberi dimensi dan sinar baharu buat masa depanmu. Selongkar dan gali ia. Sesungguhnya lombong dan emasnya itu adalah milik mutlak kamu.
Kembara Cara Untuk Hilang Stres?
MAAFCAKAP 2.3.2022
Nabi Muhammad saw dibawa ke langit pada di tahun yang dikenali sebagai Tahun Dukacita. Tiga malang besar terjadi kepada Nabi saw. pada tahun 622 Masehi itu. Isteri tercinta Baginda, Siti Khadijah Khuwailid telah pergi menghadap Illahi.
Malam 27 Rejab iaitu malam Israk Mikraj baru sahaja berlalu. Peristiwa yang berlaku 1,400 tahun yang lampau itu amat signifikan bukan sahaja buat Baginda Rasulullah s.a.w, bahkan penting buat seluruh umat Islam.
Abu Talib pula adalah bapa saudara yang paling disayangi Nabi saw kerana sentiasa mengasihinya sejak kecil. Bapa saudaranya itu kerap menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk melindungi Nabi saw dari pelbagai angkara kaum Quraisy. Sebagai insan yang disayangi, Nabi saw begitu sedih kerana bapa saudaranya itu tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah hingga ke akhir hayatnya.
Pada tahun itu juga, Nabi saw dan anak angkatnya Zaid ibn Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah. Mereka bukan sahaja menolak ajaran yang dibawa Baginda saw, malah mencederakannya. Peristiwa ini juga menambah kesedihan Nabi saw.
Kita telah membaca perjalanan Nabi Muhammad saw dari Kota Mekah, ke Masjid Al-Aqsa di bumi dan terangkat ke langit hingga ke Sidratul Muntaha. Banyak jua tafsiran dan pandangan mengenainya. Di antara yang menarik ialah pandangan Ustaz Dr. Syofyan Hadi, seorang pensyarah di Universiti Imam Bonjol, Padang, Sumatera. Katanya, ALLAH swt menghibur Nabi saw yang berdukacita dengan membawanya mengembara hingga ke hujung alam.
Walaupun tiada cendekiawan lain yang berpandangan seperti beliau, namun tiada pula yang menyanggah sudut pandang ini. Sebaliknya, ia menjadi di antara pandangan yang diterima umum. Jika begitu, apakah mengembara itu sesuatu yang menghiburkan atau yang lebih penting, ia menghilangkan duka lara?
Menurut Dr. Tamara McClintock, seorang pakar psikologi dari California, mengembara itu menghilangkan stres. Katanya, melakukan sesuatu yang di luar rutin itu dapat merehatkan minda agar ia relaks. Mengembara juga membina semula diri kita yang baharu. Perjalanan ke sesebuah tempat yang belum pernah dikunjungi memberi kita peluang untuk menilai semula diri.
Mengembara juga merangsang kreativiti. Menurut Adam Galinsky, seorang Professor di Columbia Business School, berkunjung ke tempat yang baharu memberi kita berpeluang untuk belajar sesuatu yang baharu. Proses menempah tiket kapalterbang dan berbaris di kaunter penerbangan memberikan seseorang itu untuk belajar semula pentingnya mematuhi sistem.
Cuba memahami bahasa baharu, belajar menjamah hidangan yang belum pernah dirasa, menyesuaikan diri dengan cuaca, melihat alam semulajadi mahupun rimba batu di tempat orang tidak boleh tidak akan melupakan kita kepada apa yang biasa kita lalui.
Apabila kita meninggalkan diri yang biasa, kelima-lima pancaindera mata, telinga, hidung, lidah dan tangan yang menyentuh, tiba-tiba menjadi terangsang dan peka. Kita menjadi siap siaga seperti rusa masuk kampung. Ia amat bagus kerana akan mensensitifkan semula segala deria.
Yang penting juga, apabila kita berehat dari rutin harian, kita berpeluang untuk menghayati kebesaran ALLAH swt. Banyak ayat al-Quran menggalakkan kita mengembara. Di antaranya ayat 137, Surah Ali Imran yang berbunyi; “Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).”
Jadi, tinggalkan segala yang dinamakan kesibukan. Lepaskan kerja buat beberapa hari. Pasti bos akan agihkan tugas kita kepada yang lain. Insya-ALLAH, mereka di pejabat kita tidak akan menghubungi. Mereka sedang sibuk hingga terlupakan kita. Maknanya kita sudah jadi tidak penting. Oleh itu, sedarilah bahawa kita perlu pentingkan diri andainya jika kita mahu hidupkan diri kita yang dah hilang.
Barangkali, diri kita yang sebenar sudah tertinggal di kampung halaman!
Berita Yang Ha-Ha-Ha Jadi Pilihan
MAAFCAKAP 16.2.2022
Ramai yang berasa kagum dengan kepetahan wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, dari Bukit Selambau, Sungai Petani bila melaporkan penemuan ular sawa yang amat besar di pasar awam di daerahnya. Padahal, ular yang ditemuinya itu tidaklah sebesar mana. Yang besar adalah imaginasinya sebagai seorang kanak-kanak.
Kita yang menonton video yang tular itu pada mulanya turut percaya pada kedahsyatan ular itu. Terdapat beberapa media bebas yang memaparkan video itu termasuk dari media-media utama seperti Astro Awani, RTM dan TV3 sehinggakan Bernama yang membuat rakaman temubual Haziq dan Perdana Menteri. Capaian keseluruhan berita-beritanya boleh mencecah sehingga 500,000 tontonan.
Sampai begitu sekali berita ular sawa itu mengangkat seorang kanak-kanak bernama Haziq. Media-media yang membuat liputan mengenainya turut mencari sudut-sudut cerita sehingga kita tahu kanak-kanak berusia 12 tahun itu juga pandai memasak dan ingin menjadi seorang chef. Dan beliau adalah seorang penghidap penyakit thalasemia.
Beginilah kita pada hari ini. Kita meminati apa yang dinamakan sebagai berita human interest. Kita sudah kurang meminati berita political interest, social interest, economic interest, malah world interest. Kesemua interest yang lain sudah tidak menarik lagi. Saya teringat kata-kata Eleanor Roosvelt, isteri Theodore Roosvelt salah seorang Presiden Amerika.
Kata-katanya yang pedas dan menikam ialah, “Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Nampaknya kita sudah tidak meminati bercakap tentang isu, apatah lagi mengenai idea. Sebaliknya kita lebih meminati hal-hal manusia. Pada hari ini berita mengenai manusia, khususnya mengenai keletah, kerenah, kesewelan dan kegilaan manusia menjadi berita pilihan. Apakah minda kita sudah kecil?
Sejak munculnya situs media sosial pada tahun 1997 yang membolehkan manusia berkawan serta berinteraksi, dan penulisan blog mula popular pada tahun 1999, sumber berita melalui radio, televisyen dan akhbar cetak tidak lagi menjadi pilihan utama. Sejak itu, sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai berita.
Samada berita itu benar, separuh benar mahupun palsu, ia berkembang dan berleluasa kerana individu mahupun mereka yang menulis berita tidak terikat dengan apa-apa etika kewartawanan. Maka terjadilah huru-hara maklumat yang mengakibatkan kita lebih banyak terdedah kepada maklumat dan berita yang tidak tepat serta fitnah.
Pada mulanya manusia menyukai kebebasan media dan ketelusan maklumat. Mereka percaya telah mendapat informasi yang lebih terbuka dan tiada tapisan. Mereka berasa pihak berkuasa tidak boleh lagi berselindung dan berbohong dengan kita. Yang memerintah kini seperti tinggal di rumah kaca kerana rakyat sentiasa boleh melihat mereka yang di dalam.
Malangnya huru-hara maklumat yang bersimpang-siur, bertimpa-timpa dan berulang-ulang telah mengaburkan maklumat yang sebenar. Taufan maklumat ini dengan mudah membolehkan pihak yang menimbulkan persoalan itu berselindung di sebalik tembok kebisuan. Hanya dengan mendiamkan diri sahaja, keterujaan kita mendapat kebenaran menjadi tawar.
Contohnya, apabila berita korupsi atau salah laku mula ditularkan, dalam tempoh tidak sampai seminggu, apa yang menjadi keghairahan bualan dan diskusi kita sudah tidak lagi diminati. Ia tenggelam kerana pelbagai berita lain yang menyeronokkan berderet-deret muncul dan menjenguk di skrin telefon kita.
Terlalu banyak maklumat menjadikan kita malas dan penat. Kita lebih sukakan berita yang segar dan menggembirakan kerana ia tidak menyenakkan fikiran. Kerana itu, berita yang memerlukan kita memerah otak dengan persoalan serta penyelidikan mudah ditolak ke tepi.
Kisah seperti yang dibawa oleh Haziq itulah yang jadi tumpuan kerana ia disulami dengan ha-ha-ha.


