MAAFCAKAP 16.2.2022
Ramai yang berasa kagum dengan kepetahan wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, dari Bukit Selambau, Sungai Petani bila melaporkan penemuan ular sawa yang amat besar di pasar awam di daerahnya. Padahal, ular yang ditemuinya itu tidaklah sebesar mana. Yang besar adalah imaginasinya sebagai seorang kanak-kanak.
Kita yang menonton video yang tular itu pada mulanya turut percaya pada kedahsyatan ular itu. Terdapat beberapa media bebas yang memaparkan video itu termasuk dari media-media utama seperti Astro Awani, RTM dan TV3 sehinggakan Bernama yang membuat rakaman temubual Haziq dan Perdana Menteri. Capaian keseluruhan berita-beritanya boleh mencecah sehingga 500,000 tontonan.
Sampai begitu sekali berita ular sawa itu mengangkat seorang kanak-kanak bernama Haziq. Media-media yang membuat liputan mengenainya turut mencari sudut-sudut cerita sehingga kita tahu kanak-kanak berusia 12 tahun itu juga pandai memasak dan ingin menjadi seorang chef. Dan beliau adalah seorang penghidap penyakit thalasemia.
Beginilah kita pada hari ini. Kita meminati apa yang dinamakan sebagai berita human interest. Kita sudah kurang meminati berita political interest, social interest, economic interest, malah world interest. Kesemua interest yang lain sudah tidak menarik lagi. Saya teringat kata-kata Eleanor Roosvelt, isteri Theodore Roosvelt salah seorang Presiden Amerika.
Kata-katanya yang pedas dan menikam ialah, “Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Nampaknya kita sudah tidak meminati bercakap tentang isu, apatah lagi mengenai idea. Sebaliknya kita lebih meminati hal-hal manusia. Pada hari ini berita mengenai manusia, khususnya mengenai keletah, kerenah, kesewelan dan kegilaan manusia menjadi berita pilihan. Apakah minda kita sudah kecil?
Sejak munculnya situs media sosial pada tahun 1997 yang membolehkan manusia berkawan serta berinteraksi, dan penulisan blog mula popular pada tahun 1999, sumber berita melalui radio, televisyen dan akhbar cetak tidak lagi menjadi pilihan utama. Sejak itu, sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai berita.
Samada berita itu benar, separuh benar mahupun palsu, ia berkembang dan berleluasa kerana individu mahupun mereka yang menulis berita tidak terikat dengan apa-apa etika kewartawanan. Maka terjadilah huru-hara maklumat yang mengakibatkan kita lebih banyak terdedah kepada maklumat dan berita yang tidak tepat serta fitnah.
Pada mulanya manusia menyukai kebebasan media dan ketelusan maklumat. Mereka percaya telah mendapat informasi yang lebih terbuka dan tiada tapisan. Mereka berasa pihak berkuasa tidak boleh lagi berselindung dan berbohong dengan kita. Yang memerintah kini seperti tinggal di rumah kaca kerana rakyat sentiasa boleh melihat mereka yang di dalam.
Malangnya huru-hara maklumat yang bersimpang-siur, bertimpa-timpa dan berulang-ulang telah mengaburkan maklumat yang sebenar. Taufan maklumat ini dengan mudah membolehkan pihak yang menimbulkan persoalan itu berselindung di sebalik tembok kebisuan. Hanya dengan mendiamkan diri sahaja, keterujaan kita mendapat kebenaran menjadi tawar.
Contohnya, apabila berita korupsi atau salah laku mula ditularkan, dalam tempoh tidak sampai seminggu, apa yang menjadi keghairahan bualan dan diskusi kita sudah tidak lagi diminati. Ia tenggelam kerana pelbagai berita lain yang menyeronokkan berderet-deret muncul dan menjenguk di skrin telefon kita.
Terlalu banyak maklumat menjadikan kita malas dan penat. Kita lebih sukakan berita yang segar dan menggembirakan kerana ia tidak menyenakkan fikiran. Kerana itu, berita yang memerlukan kita memerah otak dengan persoalan serta penyelidikan mudah ditolak ke tepi.
Kisah seperti yang dibawa oleh Haziq itulah yang jadi tumpuan kerana ia disulami dengan ha-ha-ha.