MAAFCAKAP 9.3.2022
Minggu lepas, tular video seorang wanita yang digelar ‘Kak Long’ mengamuk di sebuah kedai serbaneka di Terengganu bila anak lelakinya didakwa mencuri sebuah mainan di kedai itu.
Video berkenaan meraih ribuan tontonan kerana ‘Kak Long’ merakam sendiri aksinya secara live di Facebook. Selang sehari kemudian, muncul pula video Kak Long dan kakitangan kedai serbaneka itu bermaaf-maafan kerana pekerja kedai itu tersilap menuduh anak Kak Long.
Pada minggu lepas juga muncul sebuah video seorang ‘Izuan’ di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Dengan suara menengking, dia bertanya siapa yang masak sepinggan ikan bakar yang menjadi hidangannya?
Apabila para pengunjung lain kelihatan tergamam, tiba-tiba mulutnya yang tercebir mengorak senyuman. Lantas dia berkata yang dia bertanya begitu kerana ikan bakar yang dihidangkan itu sedap sangat!
Lakonan Izuan dapat dihidu bila muncul beberapa klip video berikutnya memperlihatkan Izuan dihimpit keluar dari restoran itu, imej beliau memegang sehelai kertas yang nampaknya seperti laporan polis di hadapan Balai Polis Dang Wangi dan adegan beliau bersalaman dan memohon maaf kepada tuanpunya restoran kerana tindakannya telah memburukkan nama baik restoran itu.
Video tular dua individu itu adalah contoh betapa menularnya pendekatan berbuat gimik semata-mata untuk meraih angka tontonan netizen pada video yang ditayangkan. Kedua-dua video itu jelas sengaja dirakam, bukan divideokan oleh orang yang tidak dikenali.
Tarikan wang membolehkan sesiapa sahaja mencari wang dengan jalan membuat cerita dan gimik untuk menarik perhatian. Bila genap pada jumlah tertentu, syarikat media sosial itu akan memberi sejumlah wang kepada si pembuat video kerana melariskan media sosial berkenaan.
Kian ramai yang menjual produk dengan cara ini hingga sanggup ke tahap apa yang dinamakan sebagai bad marketing. Bad marketing itu menyampaikan sesuatu yang buruk semata-mata untuk menarik perhatian. Jika dahulu, pemasaran dengan cara bad marketing ini tidak meninggalkan kesan. Kini, bad marketing memberi kesan sebaliknya.
Yang lebih penting, setelah mendapat perhatian dan ditonton, paparan seterusnya akan mudah menerobos ke laman penonton yang pernah memberi reaksi kepada paparan bad marketing seseorang itu. Perhatian netizen diperangkap oleh algorithm media sosial itu. Mahu atau tidak mahu, video dari pemapar yang sama akan muncul lagi di lamannya. Si penonton kini menjadi prospek produk.
Persoalan di sini ialah soal moral apabila apa yang dipaparkan itu tidak semenggah. Namun, pandangan tentang moral ini pasti disanggah kerana asalkan apa yang dipapar tidak melanggar undang-undang, maka ia bebas dipertontonkan. Lagi pula, orang sekarang dikatakan sudah matang untuk berfikir. Biarlah mereka bebas buat pilihan.
Dunia pemasaran juga seperti bidang-bidang ilmu lain yang tidak perlu lagi dipelajari di dalam kelas. Ia boleh diakses dari enjin carian Google. Sesiapa sahaja boleh mendapat ilmu secara penuh mahupun secara celam-celum. Dalam sekelip mata seseorang itu dapat memahami sesebuah bidang yang ingin diketahui.
Cuma, apa yang tidak diajar oleh Google seperti di dalam kelas ialah etika, tertib dan adab dalam sesebuah ilmu itu. Tanpa memahami etika, tertib dan adab sesebuah bidang ilmu itu, maka seseorang yang belajar itu tidak terikat untuk mematuhi disiplin ilmu itu. Dia tidak akan rasa bersalah bila melanggarnya kerana tiada sesiapa pun yang menunjukkan saluran ilmu yang harus dipatuhi.
Adat belajar mestilah dengan bertalaqqi atau berguru samada secara fizikal mahupun secara maya. Yang penting perlu ada soal jawab, pengupasan, perbincangan, pantang dan larang agar ilmu yang diperoleh itu cukup masak. Bila kesemua faktor ini tidak dipedulikan, maka matlamat akan menghalalkan cara.
Maka jadilah pengamalnya menuruti keinginan meskipun tunduk pada nafsunya.