Kita Mewah Dengan Al-Quran
MAAFCAKAP 20.4.2022
Semalam, 17 Ramadan, bersamaan dengan 19 April adalah hari Nuzul Quran. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadan, sewaktu Baginda sedang berkhalwah di Gua Hira. Malaikat Jibril muncul dan mengajar Baginda membaca surah Al-Alaq, iaitu lima ayat yang pertama disampaikan.
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Surah pertama mengajar manusia mengenai asal usul kejadian mereka. Ayat akhir Al-Quran yang turun pula ialah ayat 281, Surah Al-Baqarah pula mengingatkan manusia bahawa mereka akan kembali menemui Pencipta mereka.
“Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukannya, dan mereka tidak dizalimi (dirugikan).”
Saya menulis bersumberkan maklumat melalui carian di Google. Pasti, saya melayari laman-laman yang diyakini seperti laman Bayan Linnas yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam pada itu, saya mengulangkaji pengetahuan mengenai al-Quran.
Untungnya saya dan lain-lain insan yang segenerasi dengan saya. Kami telah lalui zaman-zaman di tahun-tahun 60an bilamana naskhah al-Quran adalah sesuatu yang rare! Kini kami berasa bertuah mendapat ilmu dari Al-Quran dengan begitu banyak sekali.
Al-Quran pertama saya sebenarnya adalah kitab Muqaddam yang kini lebih dikenali sebagai Juz Amma. Tidak ada kitab Iqra seperti yang digunakan oleh para pelajar hari ini. Sebagai anak Johor, saya bersekolah agama yang dikenali sebagai ‘sekolah petang.’ Pakaian sekolah ialah baju dan seluar putih serta bersongkok dan bersampin hitam.
Kitab itu juga mengandungi huruf alif, ba, ta dan huruf-huruf yang berbaris. Maka bergemalah di sekolah dengan laungan ‘alif di atas aaa,’ ‘alif di bawah iii,’ alif di depan uuu…’ bila kami ramai-ramai mengeja. Saya masih ingat lagi gabungan dua huruf ‘ba’ dan ‘alif’ serta ‘ta’ dan ‘alif’ yang dibunyikan pula sebagai ‘ba, bi, bu… ta, ti, tu…’ Sungguh seronok dilaungkan berlagu secara beramai-ramai.
Bila saya ‘naik Al-Quran’ dari Muqaddam, bacaan saya mula lancar. Saya tidak berguru dengan Pak Imam. Cuma sekadar Ustaz di sekolah sahaja. Ketika itu masing-masing diminta membaca seorang demi seorang. Alat penunjuk Al-Quran ketika itu ialah lidi kelapa. Patah sahaja lidi penyapu emak di rumah, tajamkan hujungnya dan saya sudah ada penunjuk Al-Quran. Kawan-kawan saya pula ada yang melipat surat khabar yang ditiruskan di hujung sebagai penunjuk.
Pada tahun-tahun 60an, banyak rumah yang menyimpan Al-Quran di atas almari atau di atas alang. Kalau tiada anak di rumah itu yang bersekolah agama, maka Al-Quran akan terbiar hingga mereput sendiri. Walaupun ia menjadi buruk dan berhabuk kerana tersepuk, orang kita amat menghormati dan menyimpannya. Maka timbullah simpulan bahasa ‘al-Quran buruk,’ yang diumpamakan kepada orang tua yang terlantar sakit tetapi tidak boleh dinyahkan dari rumah.
Al-Quran yang ada ketika itu adalah jenis saiz B5, saiz yang kecil sedikit dari kertas fotostat. Harganya ketika itu RM5 yang saya beli di kedai runcit India Muslim. Itulah jenis Al-Quran yang ada. Kini, terdapat berpuluh rekabentuk terbitan Al-Quran dari saiz poket hinggalah ke saiz sebesar poster yang digunakan oleh Pak Imam sebagai bacaan ketika memimpin tarawih.
Dahulu, Al-Quran yang dianggap istimewa hanyalah Al-Quran yang mempunyai terjemahan. Kini terdapat Al-Quran siap dengan terjemahan serta rujukan hadis. Ada Al-Quran berekabentuk Wakaf Ibtida,’ per kata iaitu disertakan makna pada setiap perkataan, per juzuk iaitu Al-Quran yang dijilid mengikut juzuk, serta Al-Quran tagging untuk memudahkan kita mencari bab-bab yang diingini.
Tidak cukup dengan itu, kita boleh membaca Al-Quran melalui aplikasi, melayari laman-laman web dan video dan belajar secara bertalaqi di aplikasi Zoom. Al-Quran kini sudahada di sekeliling kita. Soalnya, apakah hati kita digerakkan untuk mencapai dan melafaz satu-satunya mukjizat yang Baginda kongsikan dengan kita?
Ke Tasik Pahala Bukan di Lubuk Dosa
MAAFCAKAP 13.4.2022
Sekejap sahaja sudah masuk hari ke-11 kita berpuasa. Telah satu pertiga dari sebulan kita menunaikan ibadah itu. Setakat ini, apakah kita sudah mula terkurang ibadah tarawih, membaca al-Quran serta bertadarus kerana semangat Ramadan sudah merosot? Ataupun, kita kekal beristiqamah, malah lebih komited menjalankan ibadah ini? Yang mana kita?
Aktiviti rutin kita berubah sama sekali dengan kedatangan puasa. Sarapan kita sekitar jam 7.00 pagi dipercepat sebelum subuh dengan nama sahur. Kita tidak untuk makan tengahari. Makan malam pula menjadi iftar. Dan supper pula adalah moreh. Kita tidak makan dan minum di siang hari. Dan kita juga mengawal anggota tubuh yang lain dari berbuat dosa.
Seorang ahli sufi berpengaruh, Al-Harits al-Muhasibi (wafat 243 H), dalam kitabnya Risalah al-Mustarsyidin mengemukakan bahawa ada tujuh anggota badan selain perut yang patut dikawal ketika Ramadan. Anggota tubuh itu adalah hati, lisan (lidah), mata (penglihatan), telinga (pendengaran), hidung (penciuman), kedua tangan dan kedua kaki. Kerana itu, ada yang mengistilahkan puasa atau penjagaan tujuh anggota tubuh ini sebagai Puasa Tujuh.
Walau apa pun, kita bukan sahaja berpuasa dari bermulanya waktu Subuh hingga ke waktu Maghrib, kita menjalani puasa sejak bangun bersahur sehinggalah kita ke tempat tidur semula. Boleh makan dan minum, tetapi masih digalakkan meneruskan puasa tujuh itu selepas berbuka.
Para alim ulama selalu mengatakan bahawa puasa sebulan ini adalah latihan agar kita dapat berdepan dan bertahan pada sebelas bulan berikutnya. Malah, sabda Rasulullah saw seperti yang diriwayatkan oleh Muslim mencatat bahawa “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Sepanjang tahun?
Anda yang budiman… apakah kita mengaku bahawa ramai di antara kita semua bukannya seorang pengamal agama sepenuh masa sedangkan agama itu sepatutnya ad-din. Pada hari-hari di luar Ramadan, hanya segelintir daripada kita yang dapat bersolat di awal waktu. Panggilan ALLAH melalui ingatan daripada Pak Bilal, kadangkala tidak kita sedari.
Ada sahaja kerja yang ingin kita bereskan apabila masuk waktu solat. Kalau jauh daripada masjid atau surau, ramai yang tidak meluangkan masa ke sana, Andainya ada surau di pejabat, terdapat yang masuk ke saf secara masbuk di rakaat akhir pula.
Selepas solat dan melipat sejadah, kita kembali menjadi manusia biasa yang nakal. Malah tanpa disedari berubah menjadi jahat dengan bersangka buruk, mengumpat, memfitnah, melaga-lagakan dengan penuh rasa seronok. Semua itu atas nama like, comment dan share di media sosial ataupun memanjangkan gossip di alam nyata.
Kita lakukan itu semua atas nama prank dan terikut-ikut. Bila semua orang buat, kita tidak berasa bersalah. Yang salah dianggap benar, yang benar dikatakan salah. Tanpa sedar, dalam seronok berbuat onar secara berjemaah itu, kita disedut tenggelam ke lubuk dosa.
Namun, kita beruntung kerana ALLAH memberi kita peluang untuk menggantikan kebiasaan melakukan maksiat harian dengan bulan Ramadan. Apabila satu dunia Islam berpuasa, kita memperoleh bi’ah atau suasana Ramadan yang menaikkan semangat kita untuk beribadah. Apabila ALLAH menjanjikan insentif dan bonus pahala, ia adalah peluang bagi kita untuk menyelam di tasik pahala pula.
Pada bulan-bulan biasa, kita hanya menumpukan perhatian dengan aktiviti dunia dengan tidak mengaitkannya dengan matlamat di akhirat. Tetapi, di bulan yang penuh tawaran ini, kita dapat pahala berganda Ramadan walaupun melakukan ibadah yang serupa pada bulan yang lain. Selain itu, ampunan yang ALLAH berikan bukan sekadar ampunan, malah membersihkan sekali rekod dosa itu seolah-olah kita tidak pernah melakukannya.
“Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Pemaaf. Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.” Kita yang sesat dengan permainan dunia harus ambil peluang Ramadan dan kembalilah ke pangkal jalan.
Kita menjelma sebagai insan yang bersih menjelang sinar Syawal nanti.
Mengampun Untuk Diampunkan
MAAFCAKAP 6.4.2022
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Thabrani, Rasulullah menyampaikan bahawa Ramadan itu adalah bulan keberkatan. Di bulan ini, ALLAH menurunkan rahmat, menghapus dosa dan juga mengabulkan doa.
Kemuncak keampunan di bulan Ramadan ialah malam Lailatul Qadar iaitu malam yang nilainya menyamai seribu bulan. Kita yang berjaya dalam ujian Ramadan ini akan memperoleh balasan pengampunan, terlepas dari belenggu neraka dan dianugerahkan syurga.
Pengampunan. Inilah yang kita dambakan dari ALLAH swt. Namun, dalam pada kita memohon dengan rendah hati, membisik dan merayu-rayu diiringi dengan titisan air mata, pernahkah kita bertanya diri, apakah kita sendiri juga telah mengampunkan?
Mengampunkan yang dimaksudkan ialah memaafkan semua manusia yang berbuat salah dengan kita. Sekiranya kita memohon kepada ALLAH agar kita diampunkan tanpa syarat, apakah kita pula telah mengampunkan insan-insan yang berdosa kepada kita tanpa syarat juga?
Kalau kita tidak mahu mengampunkan mereka tetapi pada waktu yang sama mahu ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, apakah kita manusia double standard? Kita ingin dimaafkan tetapi kita sendiri tidak mahu memaafkan. Bagaimana boleh begitu, ya?
Kita adalah manusia yang lemah. Apabila orang lain berbuat salah terhadap kita, kita mengambil masa untuk memaafkan. Dan sekiranya dosa orang lain kepada kita itu adalah kesalahan yang besar, kemungkinannya marah kita kepadanya memakan hingga berminggu-minggu lamanya. Malah mungkin lebih lama daripada itu apabila marah menjeruk di dalam hati hingga menjadi dendam kesumat yang menuntut pembalasan hingga ke anak cucu sampai tujuh keturunan!
Tetapi, mana mungkin kesalahan yang mengakibatkan kehilangan nyawa, harta yang banyak dan maruah yang tercalar boleh dimaafkan begitu sahaja? Sememangnya hati yang dirobek itu sukar dibalut dengan kata maaf. Namun, itulah harga yang harus kita bayar untuk mendapat keampunan ALLAH pula.
Memohon ampun kepada ALLAH swt adalah tindakan spiritual. Kita bersolat taubat, beristighfar dan berdoa. Setelah itu, kita berasa lega. Namun itu belum tentu adalah petanda permohonan ampun kita itu diterima-NYA.
Sebaliknya mengampunkan manusia pula melibatkan hal keduniaan. Orang yang bersalah itu boleh datang bertemu untuk memohon maaf. Dan kita boleh menyatakan maaf secara berdepan. Cuma tindakan memaafkan itu hanya boleh dilakukan apabila kita membuka hati.
Apabila kita mengatakan, ‘aku maafkan kau,’ hati kita sendiri akan berasa lapang. Dosa-dosanya kepada kita terus berderai hilang. Jika kita masih kata, ‘I can forgive but I can’t forget,’ iaitu ‘aku boleh memaafkan tetapi aku tidak boleh melupakan,’ apakah itu dalih hati untuk tidak memaafkan sepenuhnya?
Jangan kita berasa bahawa orang yang kita maafkan itu sahaja yang beruntung kerana terlepas dari dosa terhadap kita. Sebaliknya kitalah yang beruntung kerana kita telah ‘move on,’ dari memikul beban kemarahan hingga bertahun lamanya. Ini terjadi kerana sebahagian dari perasaan negatif yang bersarang itu telah terangkat dari hati.
Barangkali, dengan mengampunkan dosa-dosa mereka yang berbuat salah kepada kita tanpa syarat di bulan yang mulia ini akan mengangkat hijab yang selama ini menjadi penghalang permohonan ampun kita diterima. Mudah-mudahan, tindakan kita dengan membuka pintu hati untuk memaafkan telah membuka pula pintu keampunan di langit.
“Telah berfirman Allah SWT: Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam! Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (Riwayat Tirmizi)
Kisah Kita, Musang dan Anggur
MAAFCAKAP 30.3.2022
Terdapat sebuah kisah dongeng yang disampaikan oleh Aesop, seorang penglipur lara Greek yang terkenal. Inilah kisah ‘Musang dan Anggur.’ Pada suatu tengahari yang panas, seekor musang melewati sebuah dusun buah-buahan. Ia terhenti apabila terpandang segugus anggur yang terjuntai dari pohonnya. Dek kerana kehausan, si musang itu teringin memamah anggur-anggur itu untuk menghilang dahaga.
Setelah berundur beberapa langkah, si musang terus melompat untuk menyauk gugusan anggur itu. Kali pertama, ia tidak berjaya. Lalu ia mencuba buat beberapa kali namun tidak berjaya juga. Akhirnya, musang itu keletihan, berasa putus asa dan berlalu, Tetapi musang itu melangkah dengan wajah yang sombong sambil berkata, ‘Aku pasti anggur-anggur itu berasa masam!’
Kisah dongeng ini mempunyai pengajaran iaitu terdapat di kalangan kita yang memperlekeh sesuatu yang dia tidak berjaya perolehi, padahal sebelum itu dia yang kemaruk inginkan sesuatu itu. Begitulah manusia. Dengan mengatakan sesuatu yang terlalu diinginkan itu tidak bagus, dia sebenarnya membina defense mechanism agar berupaya memujuk diri agar tidak berasa kempunan.
Dalam Islam yang indah pula, seseorang itu digalakkan bersangka baik dengan ALLAH bila tidak berjaya mendapat apa yang diinginkan sambil memasang keyakinan bahawa apa yang tidak berjaya diperoleh itu adalah takdir. Dan ALLAH sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik buatnya.
Jika dalam situasi di mana seseorang itu berkata buruk mengenai sesuatu yang tidak berjaya dirangkulnya, ada satu lagi situasi yang sebaliknya. Ia adalah keadaan bilamana seseorang berkata buruk tentang apa yang pernah dikecapnya semata-mata setelah dia tidak lagi memerlukan sesuatu itu.
Banyak contoh situasi di mana kita sendiri mungkin pernah kita alami. Terdapat kes-kes perceraian rumahtangga yang mana segala keburukan pasangan dikirai di kamar mahkamah. Padahal rumahtangga yang terdiri sudah menjangkau belasan tahun dan anak-anak pula ada yang sudah remaja. Dalam perbicaraan, bekas pasangan yang terlibat saling kata mengata dan tuduh menuduh seolah-olah tiada langsung kebaikan yang selama ini dikecapi bersama.
Kita juga biasa mendengar bebelan kawan-kawan yang mengata dan mengutuk tempat kerjanya yang terdahulu. Ada yang kompelin, majikan memeras, kuku besi, tiada peri kemanusiaan, malah menipu. Padahal sebelum itu mereka mendapat rezeki untuk anak bini dari ALLAH apabila bertugas di syarikat atau jabatan itu.
Ada juga kawan yang sudah berhenti merokok mengutuk mereka yang masih menghisapnya. Dengan tidak berlapik kata, dia berkata orang yang merokok itu membazir, teman syaitan, malah berkata ia tindakan membunuh diri. Padahal, kawan yang terkebil-kebil memandangnya mengutuk itu mula belajar menghisap rokok hasil ajakan dia!
Samada kita memperlekeh sesuatu sebelum mendapatnya mahupun memperlekeh sesuatu setelah mendapatnya; kedua-dua pendirian itu tidak bagus. Kita tidak adil kepada diri sendiri apabila berkata buruk mengenai sesuatu yang tidak kita alami. Malah, ia merugikan kerana sikap begini boleh membuat kita terlepas peluang seandainya ia datang buat kali kedua.
Tamsilannya, dahan anggur yang lembut itu boleh sahaja tunduk menyembah bumi. Musang yang lalu di dusun itu pada keesokan hari mungkin terlepas peluang merasai kemanisan anggur seandainya haiwan itu tidak melewati pohon anggur itu buat kali kedua.
Dalam pada itu, kita juga tidak adil apabila memburuk-burukkan apa jua kesukaan yang sekian lama dinikmati semata-mata apabila tidak mahu sesuatu itu lagi. Semakin kita memburuk-burukkannya, semakin terserlah kebodohan diri kerana menyesal sesudah sekian lama.
Semua kebaikan dan keburukan yang terjadi samada kita pernah alami mahupun disisihkan daripada terjadi kepada diri ini sarat dengan hikmah. Ia rahsia yang hanya ALLAH sahaja yang mengetahui. Baik atau buruk itu hanya pada pandangan kita. Sedangkan bagi ALLAH, itulah yang terbaik buat kita yang jahil mengenai sesuatu yang baharu.
Beranikan Diri Tegur Kesilapan
MAAFCAKAP 23.3.2022
JAKIM telah mengeluarkan bantahan terhadap drama ‘Perempuan Itu’ kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Ia berikutan dengan penularan sebuah video petikan adegan panas drama itu yang telah dimuatnaik oleh salah seorang pelakonnya. Walaupun respon tidak rasmi dari mereka yang terlibat mengatakan bahawa adegan itu tidak akan ditayangkan, untuk apa syot itu dibuat oleh mereka yang maklum mengenai peraturan penyiaran di stesyen TV tempatan? Untuk suka-suka?
Menurut JAKIM, penyiaran drama seumpama itu jelas mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral, melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.
Jarang sebuah jabatan kerajaan membantah apa yang dibuat oleh jabatan kerajaan yang lain, apatah lagi bila sebuah jabatan membuat bantahan kepada sebuah kementerian. Namun, dalam mempraktikkan amalan beragama, sesiapa sahaja dibolehkan untuk menegur sesiapa sahaja.
Pekerja boleh menegur ketua, pengikut menegur pemimpin dan rakyat menegur raja. Yang dijunjung ialah kebenaran dan kebaikan. Sesiapa yang melakukan keburukan, mereka wajar ditegur, malah ditentang apabila berdegil.
Inilah pendekatan amal makruf, nahi mungkar yang menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. Malah, Surah Al-Maidah ayat 2 mematerikan perintah ALLAH yang menyeru kita umat Islam saling tolong menolong berbuat kebajikan dan melarang pula kita saling membantu melakukan dosa.
Jadi, tidak timbul kata-kata bahawa sesiapa yang mengkritik perbuatan mungkar di dalam video itu sebagai moral guardians iaitu istilah barat yang bermaksud mereka yang pandai-pandai menjadi penjaga moral yang inginkan yang terbaik buat orang lain.
Tindakan menegur apa yang tidak betul oleh sesiapa sahaja adalah peribadi dan perilaku yang menjadi kewajipan orang Islam. Mereka yang tidak terdedah dengan perintah ini akan berasa seolah-olah ada orang menjaga tepi kain mereka dan tiada hak menegur. Lalu semakin ramai mereka yang berbuat sesuka hati di media tanpa malu malah berbangga pula dengan perangai buruk mereka. Kononnya, ‘itu kan, lakonan…’
Sebenarnya ramai di kalangan kita belum mengerti bahawa Islam itu ialah ad-din iaitu cara hidup. Rasulullah saw mengajar kita untuk mengamalkan hidup beragama sebaik sahaja bangun tidur hingga ke tempat tidur kembali. Tidak ada pemisahan dalam menjalani kehidupan iaitu tunduk dan patuh apabila bersolat, tetapi boleh buat apa sahaja sesuka hati selepas itu.
Oleh kerana itu, keutamaan yang perlu dihayati ialah diri kita sebagai orang Islam, umat Rasulullah saw dan hamba ALLAH. Apa sahaja yang lain perlu kita diketepikan apabila ia menyentuh, melanggar mahupun bertentangan dengan agama. Ini perintah-NYA.
Jika menjadi peguam Islam, dia wajib mempertahankan kebenaran, tetapi mengundur diri dari mempertahankan klien seandainya yakin klien itu di pihak yang salah. Jika menjadi doktor Islam, dia perlu memberi ubat untuk memulihkan pesakit, bukan berniat agar pesakit semakin bergantung kepada ubat untuk memenuhkan poketnya.
Jika menjadi akauntan Islam, dia melaporkan prestasi syarikat dengan telus dan jujur, bukannya mencantikkan akaun agar pelabur terus yakin pada syarikat yang rugi. Dan jika dia menjadi pelakon Islam, lakonkan watak untuk menginsafkan, bukan menggalakkan penonton menjadi seperti watak hitamnya. Apakah dia mahu berselindung atas nama lakonan tetapi penonton terperangkap bila betul-betul jadi jahat?
Kita sebenarnya kian jauh dari hidup beragama. Mujurlah dalam sehari kita boleh berhenti, bermuhasabah dan memohon ampun kepada ALLAH secara khusus apabila tiba waktu solat. Bagaimana agaknya bagi mereka yang belum memahami pentingnya solat untuk hidup sebagai orang beragama?
Ini tangungjawab kita yang berasa diri tidak layak untuk menegur kemungkaran. Bila kita tidak menegur, kita menyumbang kepada keadaan agama yang lemah. Akhirnya kita tenggelam timbul hidup dikelilingi kemungkaran. Bila-bila masa, kita yang berpaut pada agama akan turut lemas di lautan maksiat. Beristighfarlah…


