MAAFCAKAP 30.3.2022
Terdapat sebuah kisah dongeng yang disampaikan oleh Aesop, seorang penglipur lara Greek yang terkenal. Inilah kisah ‘Musang dan Anggur.’ Pada suatu tengahari yang panas, seekor musang melewati sebuah dusun buah-buahan. Ia terhenti apabila terpandang segugus anggur yang terjuntai dari pohonnya. Dek kerana kehausan, si musang itu teringin memamah anggur-anggur itu untuk menghilang dahaga.
Setelah berundur beberapa langkah, si musang terus melompat untuk menyauk gugusan anggur itu. Kali pertama, ia tidak berjaya. Lalu ia mencuba buat beberapa kali namun tidak berjaya juga. Akhirnya, musang itu keletihan, berasa putus asa dan berlalu, Tetapi musang itu melangkah dengan wajah yang sombong sambil berkata, ‘Aku pasti anggur-anggur itu berasa masam!’
Kisah dongeng ini mempunyai pengajaran iaitu terdapat di kalangan kita yang memperlekeh sesuatu yang dia tidak berjaya perolehi, padahal sebelum itu dia yang kemaruk inginkan sesuatu itu. Begitulah manusia. Dengan mengatakan sesuatu yang terlalu diinginkan itu tidak bagus, dia sebenarnya membina defense mechanism agar berupaya memujuk diri agar tidak berasa kempunan.
Dalam Islam yang indah pula, seseorang itu digalakkan bersangka baik dengan ALLAH bila tidak berjaya mendapat apa yang diinginkan sambil memasang keyakinan bahawa apa yang tidak berjaya diperoleh itu adalah takdir. Dan ALLAH sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik buatnya.
Jika dalam situasi di mana seseorang itu berkata buruk mengenai sesuatu yang tidak berjaya dirangkulnya, ada satu lagi situasi yang sebaliknya. Ia adalah keadaan bilamana seseorang berkata buruk tentang apa yang pernah dikecapnya semata-mata setelah dia tidak lagi memerlukan sesuatu itu.
Banyak contoh situasi di mana kita sendiri mungkin pernah kita alami. Terdapat kes-kes perceraian rumahtangga yang mana segala keburukan pasangan dikirai di kamar mahkamah. Padahal rumahtangga yang terdiri sudah menjangkau belasan tahun dan anak-anak pula ada yang sudah remaja. Dalam perbicaraan, bekas pasangan yang terlibat saling kata mengata dan tuduh menuduh seolah-olah tiada langsung kebaikan yang selama ini dikecapi bersama.
Kita juga biasa mendengar bebelan kawan-kawan yang mengata dan mengutuk tempat kerjanya yang terdahulu. Ada yang kompelin, majikan memeras, kuku besi, tiada peri kemanusiaan, malah menipu. Padahal sebelum itu mereka mendapat rezeki untuk anak bini dari ALLAH apabila bertugas di syarikat atau jabatan itu.
Ada juga kawan yang sudah berhenti merokok mengutuk mereka yang masih menghisapnya. Dengan tidak berlapik kata, dia berkata orang yang merokok itu membazir, teman syaitan, malah berkata ia tindakan membunuh diri. Padahal, kawan yang terkebil-kebil memandangnya mengutuk itu mula belajar menghisap rokok hasil ajakan dia!
Samada kita memperlekeh sesuatu sebelum mendapatnya mahupun memperlekeh sesuatu setelah mendapatnya; kedua-dua pendirian itu tidak bagus. Kita tidak adil kepada diri sendiri apabila berkata buruk mengenai sesuatu yang tidak kita alami. Malah, ia merugikan kerana sikap begini boleh membuat kita terlepas peluang seandainya ia datang buat kali kedua.
Tamsilannya, dahan anggur yang lembut itu boleh sahaja tunduk menyembah bumi. Musang yang lalu di dusun itu pada keesokan hari mungkin terlepas peluang merasai kemanisan anggur seandainya haiwan itu tidak melewati pohon anggur itu buat kali kedua.
Dalam pada itu, kita juga tidak adil apabila memburuk-burukkan apa jua kesukaan yang sekian lama dinikmati semata-mata apabila tidak mahu sesuatu itu lagi. Semakin kita memburuk-burukkannya, semakin terserlah kebodohan diri kerana menyesal sesudah sekian lama.
Semua kebaikan dan keburukan yang terjadi samada kita pernah alami mahupun disisihkan daripada terjadi kepada diri ini sarat dengan hikmah. Ia rahsia yang hanya ALLAH sahaja yang mengetahui. Baik atau buruk itu hanya pada pandangan kita. Sedangkan bagi ALLAH, itulah yang terbaik buat kita yang jahil mengenai sesuatu yang baharu.