MAAFCAKAP 13.4.2022
Sekejap sahaja sudah masuk hari ke-11 kita berpuasa. Telah satu pertiga dari sebulan kita menunaikan ibadah itu. Setakat ini, apakah kita sudah mula terkurang ibadah tarawih, membaca al-Quran serta bertadarus kerana semangat Ramadan sudah merosot? Ataupun, kita kekal beristiqamah, malah lebih komited menjalankan ibadah ini? Yang mana kita?
Aktiviti rutin kita berubah sama sekali dengan kedatangan puasa. Sarapan kita sekitar jam 7.00 pagi dipercepat sebelum subuh dengan nama sahur. Kita tidak untuk makan tengahari. Makan malam pula menjadi iftar. Dan supper pula adalah moreh. Kita tidak makan dan minum di siang hari. Dan kita juga mengawal anggota tubuh yang lain dari berbuat dosa.
Seorang ahli sufi berpengaruh, Al-Harits al-Muhasibi (wafat 243 H), dalam kitabnya Risalah al-Mustarsyidin mengemukakan bahawa ada tujuh anggota badan selain perut yang patut dikawal ketika Ramadan. Anggota tubuh itu adalah hati, lisan (lidah), mata (penglihatan), telinga (pendengaran), hidung (penciuman), kedua tangan dan kedua kaki. Kerana itu, ada yang mengistilahkan puasa atau penjagaan tujuh anggota tubuh ini sebagai Puasa Tujuh.
Walau apa pun, kita bukan sahaja berpuasa dari bermulanya waktu Subuh hingga ke waktu Maghrib, kita menjalani puasa sejak bangun bersahur sehinggalah kita ke tempat tidur semula. Boleh makan dan minum, tetapi masih digalakkan meneruskan puasa tujuh itu selepas berbuka.
Para alim ulama selalu mengatakan bahawa puasa sebulan ini adalah latihan agar kita dapat berdepan dan bertahan pada sebelas bulan berikutnya. Malah, sabda Rasulullah saw seperti yang diriwayatkan oleh Muslim mencatat bahawa “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Sepanjang tahun?
Anda yang budiman… apakah kita mengaku bahawa ramai di antara kita semua bukannya seorang pengamal agama sepenuh masa sedangkan agama itu sepatutnya ad-din. Pada hari-hari di luar Ramadan, hanya segelintir daripada kita yang dapat bersolat di awal waktu. Panggilan ALLAH melalui ingatan daripada Pak Bilal, kadangkala tidak kita sedari.
Ada sahaja kerja yang ingin kita bereskan apabila masuk waktu solat. Kalau jauh daripada masjid atau surau, ramai yang tidak meluangkan masa ke sana, Andainya ada surau di pejabat, terdapat yang masuk ke saf secara masbuk di rakaat akhir pula.
Selepas solat dan melipat sejadah, kita kembali menjadi manusia biasa yang nakal. Malah tanpa disedari berubah menjadi jahat dengan bersangka buruk, mengumpat, memfitnah, melaga-lagakan dengan penuh rasa seronok. Semua itu atas nama like, comment dan share di media sosial ataupun memanjangkan gossip di alam nyata.
Kita lakukan itu semua atas nama prank dan terikut-ikut. Bila semua orang buat, kita tidak berasa bersalah. Yang salah dianggap benar, yang benar dikatakan salah. Tanpa sedar, dalam seronok berbuat onar secara berjemaah itu, kita disedut tenggelam ke lubuk dosa.
Namun, kita beruntung kerana ALLAH memberi kita peluang untuk menggantikan kebiasaan melakukan maksiat harian dengan bulan Ramadan. Apabila satu dunia Islam berpuasa, kita memperoleh bi’ah atau suasana Ramadan yang menaikkan semangat kita untuk beribadah. Apabila ALLAH menjanjikan insentif dan bonus pahala, ia adalah peluang bagi kita untuk menyelam di tasik pahala pula.
Pada bulan-bulan biasa, kita hanya menumpukan perhatian dengan aktiviti dunia dengan tidak mengaitkannya dengan matlamat di akhirat. Tetapi, di bulan yang penuh tawaran ini, kita dapat pahala berganda Ramadan walaupun melakukan ibadah yang serupa pada bulan yang lain. Selain itu, ampunan yang ALLAH berikan bukan sekadar ampunan, malah membersihkan sekali rekod dosa itu seolah-olah kita tidak pernah melakukannya.
“Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Pemaaf. Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.” Kita yang sesat dengan permainan dunia harus ambil peluang Ramadan dan kembalilah ke pangkal jalan.
Kita menjelma sebagai insan yang bersih menjelang sinar Syawal nanti.