Menimba Ilmu Secara Celam-Celum
MAAFCAKAP 2.5.2023
Pada cuti hari raya lalu, saya banyak masa melayari media sosial di telefon sambil mengunyah kuih bangkit. Agaknya kerana lama meluncur di alam siber, saya telah melangkaui algorithm profil saya hingga banyak akaun individu, personaliti dan pempengaruh baharu yang melintas di skrin telefon.
Banyak juga perkara yang sama saya tatap, tetapi dari akaun yang berbeza. Si tuanpunya akaun telah menyalin, edit dan muatnaik seolah-olah ia adalah hasil kerjanya sendiri. Kebanyakan yang melakukannya adalah BBNU, atau slanga media sosial bagi ‘Budak Baru Nak Up.’
Saya menatap sebuah video seorang BBNU yang memberi hukuman bahawa sesebuah jenama akan dijamin terkubur jika tidak melakukan lima perkara yang wajib menurut saranannya. Saya ternganga kerana yang disekolahkan ialah sebuah ‘sub-topik’ dari sebuah bab dari sebuah buku penjenamaan!
Topiknya pendek, setengah halaman sahaja tetapi disampaikan seolah-olah ia adalah sebuah ‘hukum penjenamaan’ dalam ilmu pemasaran. Video itu mendapat berbelas ribu tanda suka. Bagi yang tidak tahu, mereka akan ambil konten itu secara membuta tuli.
Inilah juga yang dikejar oleh mereka yang mahukan tanda suka dan pengikut yang ramai. Atas nama konten, mereka sanggup menciplak dan buat sensasi mengenai topik yang biasa menjadi luar biasa.
Kini, sikap salin dan tampal tanpa meminta kebenaran sudah berleluasa. Malah, ia diterima sebagai suatu normalisasi. Mereka yang berbuat begitu tidak malu mengambil hakcipta orang. Apakah ia tidak salah? Salah, kerana mengambil hak orang lain tanpa kebenaran itu juga adalah mencuri meskipun yang dikebas itu bukan benda fizikal tetapi hasil kerja.
Bagaimana pun, tuan-tuan punya hak cipta sudah tidak larat untuk menghantar amaran atau mengambil tindakan terhadap mereka yang salin dan tampal segala bahan asal ke dalam akaun pihak lain. Ia membuang masa, kerana seandainya si tuan punya hak cipta ingin mengambil tindakan terhadap kesemua hasil karyanya, nescaya dia tidak terbuat, malah tidak akan punyai masa untuk menghasilkan bahan baharu.
Apakah pula kesannya terhadap netizen? Saya merangkum mereka yang melayari media sosial kepada tiga kategori iaitu golongan pencipta iaitu mereka yang menghasilkan konten seperti blogger, pempengaruh dan mereka yang menjual.
Kedua pula, adalah kategori pengguna iaitu mereka yang mencari sesuatu dari golongan pertama. Dan, ketiga ialah golongan penonton yang tidak menganggap media sosial sebagai sesuatu yang perlu diambil serius. Mereka lebih gemar mendapatkan apa yang mereka mahu dari televisyen mahupun mencarinya sendiri di luar media sosial.
Golongan kedua inilah kategori yang terbesar di kalangan mereka yang melayari media sosial. Sebab itulah media sosial menjadi mall siber yang mendatangkan pendapatan besar kepada golongan peniaga yang datang dari kategori yang pertama.
Betapa pun, kategori pengguna yang cuba mendapatkan ilmu dari media sosial akan berdepan pelbagai ilmu-ilmu separuh masak yang tidak diketahui asal usul dan asasnya. Ia dikatakan sebagai ilmu separuh masak kerana ilmu-ilmu dari video tiga hingga 20 minit itu terlalu ringkas.
Ia tidak terdedah kepada mukadimah, kaitan ilmu yang disampaikan itu dengan topik utama di bawah sesebuah subjek. Subjek itu pula seharusnya dari cabang kurikulum sesebuah bidang ilmu. Maknanya, sekiranya seseorang mahu menguasai sesebuah bidang ilmu, dia harus mengetahui susur galur sesebuah ilmu itu.
Maka seseorang yang mengikuti ilmu dari media sosial hanya memperoleh ilmu celam-celum; sekejap begini, sekejap begitu. Pengetahuan yang diperoleh secara itu akan menjadikan seseorang itu tahu tetapi tidak berpengetahuan. Meskipun ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain, tetapi ia hanya akan melahirkan mereka yang mempraktikkan ilmu mengikut apa yang menjadi trend.
Bagaimana pun ia akan merugikan masa lebih-lebih lagi sekiranya mereka yang mencari ilmu itu tidak berhati-hati. Terdapat ramai juga mereka yang cuba menjadi golongan kategori pertama iaitu mereka yang menyampaikan ilmu. Pengetahuan yang sedikit itu disebarkan seolah-olah ia adalah sebuah formula yang hebat dan unggul. Si penyampai adalah seperti seorang kanak-kanak yang berdiri di atas busut, tetapi perasan yang dia sudah berada di atas gunung. Dia tidak sedar apa yang disampaikan itu hanyalah serpihan ilmu yang ramai orang sudah tahu.
Beranilah Untuk Gagal
MAAFCAKAP 26.4.2023
Pada Khamis lalu, roket percubaan SpaceX Starship telah dilancarkan dari pangkalannya di Texas, Amerika. Inilah roket yang paling besar dan terhebat pernah terbina dalam sejarah angkasa lepas. Roket sepanjang 120 meter itu diharap akan menyediakan enjin menghantar manusia ke bulan dan juga ke planet Marikh.
Bagaimana pun, roket itu meletup ketika ia baharu meluncur selama 4 minit di jarak sejauh 38 kilometer ke angkasa. Laporan awal menunjukkan lapan dari 33 enjinnya tidak berfungsi. Akibatnya bahagian peledaknya yang berat tidak dapat dipisahkan dari kapal angkasanya. Kerana itu SpaceX berkecai.
Kejadian itu segera menjadi isu. Apakah SpaceX meletup atau diletupkan? Pusat kawalan SpaceX melaporkan, roket itu mempunyai program pemusnah seandainya ia gagal berfungsi. Ertinya ia tidak dimusnahkan dari pusat kawalan di bumi.
Sebaliknya roket itu diprogram untuk meletup sendiri sekiranya ia di luar kawalan. Malah mereka yang memantau roket itu di bumi kedengaran bertepuk tangan sebaik sahaja roket itu bersepai. Mengapa mereka meraikan kegagalan itu?
Elon Musk yang menjadi salah seorang pelabur dalam program itu memberi reaksi yang tidak dijangka oleh orang ramai. Katanya, ‘Tahniah kepada team SpaceX di atas pelancaran Starship yang memberangsangkan. Kita banyak belajar untuk pelancaran berikutnya pada beberapa bulan akan datang!’
Pihak media memandang sinis terhadap reaksi Elon Musk yang tampak tenang memberi reaksi. Apakah dia berlakon selamba untuk menyembunyikan kekecewaan? Tetapi pakar-pakar angkasa sependapat dengan Elon kerana turut melihat letupan roket itu sesuatu yang biasa di fasa percubaan.
Begitulah bezanya di antara orang yang memahami bahawa kegagalan itu adalah sebuah proses untuk berjaya. Berbanding dengan kita, ramai yang melihat kejayaan sebagai matlamat mutlak. Apabila mengusahakan sesuatu, kita ingin berjaya. Setelah kejayaan dicapai, kita akan gembira seraya mendabik dada.
Tetapi, apabila kita gagal. Kita akan monyok, kecewa dan berasa bodoh. Padahal pada hakikatnya, kejayaan itu sentiasa berselang-seli dengan kegagalan dalam apa jua usaha pun. Bezanya, orang yang berasa dirinya gagal mungkin hanya sekali berjaya dalam usahanya. Sebaliknya mereka yang berjaya itu biasanya telah mengalami lebih banyak kegagalan dari kejayaan.
Napoleon Hill, penulis Think and Grow Rich, iaitu buku motivasi terhebat di sepanjang zaman mengingatkan bahawa apabila sesuatu perancangan itu tersasar dari matlamat, ia hanyalah kekalahan sementara dan bukannya kegagalan yang kekal. Maknanya, tiada istilah kejayaan mutlak, apatah lagi kegagalan mutlak.
Malah, kegagalan yang datang berselang-seli dengan kejayaan itulah yang paling bagus. Berjaya dan kemudian gagal, berjaya dan gagal lagi adalah guru terbaik. Ia membina karakter seseorang kerana kegagalan itu mengajar manusia agar tidak sombong dan bongkak di atas kejayaan-kejayaan yang pernah dirangkulnya.
Terimalah hakikat bahawa kejayaan akan sentiasa dibayangi kegagalan dan begitulah sebaliknya. Apabila kita memahaminya, maka baharulah kita berani untuk berdepan dengan kegagalan. Ia lebih penting dari tidak berani mencuba kerana takut pada kegagalan.
Sedarilah, belum pernah lagi ada manusia yang berjaya sebelum gagal kerana manusia itu pada asasnya dilahirkan jahil. Dia perlu belajar dalam segala hal. Sejak kecil, dia berjalan jatuh sebelum dapat berdiri dan berlari. Dan, apabila sudah biasa berlari pun, dia boleh jatuh lagi.
Tetapi, tiada manusia yang takut berjalan setelah jatuh. Jadi, mengapa serik mencuba lagi apabila kita gagal dalam sesuatu yang diusahakan? Bangun dan berjalanlah ke garisan penamat. Bendera kejayaan sentiasa ada di situ!
Darihal Khusyuk dan Fokus
MAAFCAKAP 19.4.2023
Baru-baru ini telah tular sebuah video dari Algeria mengenai seorang imam dan kucing. Tatkala Sheikh Walid Mehsas sedang memimpin solat terawih, seekor kucing telah melompat ke tubuhnya.
Surah apa yang dibaca oleh Pak Imam itu hingga membuatkan makhluk itu tertarik dan berkeliaran mengelilingi Sheikh Walid sebelum melompat ke tubuh imam itu? Pak Imam kelihatan khusyuk membaca surah sambil memejam mata.
Dia tahu kehadiran makhluk itu dan tidak kelihatan kekok mengampu kucing itu di tangannya sebelum ia memanjat ke bahunya. Kucing itu menghadiahkan Sheikh Walid sebuah ciuman dan terjun ke lantai sebaik sahaja Pak Imam menghabiskan bacaannya.
Video itu tular ke merata dunia. Banyak portal berita utama seperti CNN, BBC, ABC, Skynews dan Al-Jazeera telah memaparkan insiden itu. Banyak juga portal Islamik yang turut menyebarkan video itu. Pendakwah terkenal seperti Mufti Ismail Menk dan juga Zakir Naik turut mengulas mengenainya.
Banyak komen daripada tokoh-tokoh dakwah antarabangsa mengatakan bahawa insiden itu telah membantu memberi imej bahawa Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya menyayangi binatang. Selama ini, mereka yang bukan Islam beranggapan bahawa orang Islam tidak digalakkan menyayangi binatang kerana mengaitkannya dengan hukum orang Islam memegang anjing dan babi.
Walau apa pun, saya melihat peristiwa itu dari sudut khusyuk di dalam solat yang melibatkan rohani dan jasmani. Aspek rohani menurut ramai para ulama seperti Imam Ibnu Qayyim ialah menghadirkan hati di hadapan ALLAH dengan perasaan keabdian dan hina diri. Aspek jasmani pula menurut ramai ulama lain ialah ketertiban pergerakan solat yang diiringi tuma’ninah.
Khusyuk di dalam solat pula adalah latihan agar kita dapat terjemahkan ia menjadi fokus dalam urusan dunia. Pada hari ini, fokus adalah perjuangan individu yang tidak akan tamat. Ia adalah punca utama kita sentiasa teralih perhatian khususnya angkara telefon.
Telefon adalah ancaman utama kepada fokus. Pada hampir setiap ketika kita melakukan kerja, telefon mengalih perhatian sehinggakan kerja kita menjadi tersangkut-sangkut. Jika di jalanraya kita tidak sukakan kesesakan lalu lintas sehingga kenderaan kita terhinggut-hinggut, mengapa biarkan kerja-kerja harian kita terhinggut-hinggut kerana telefon?
Soalnya, kita tidak dapat mengawal kesesakan jalanraya agar kita segera sampai ke destinasi. Tetapi kita boleh kawal telefon jika ingin segera selesaikan tugasan. Maaf cakap… sebenarnya, kita sendiri yang memilih untuk hilang fokus.
Akibatnya, tugasan yang seharusnya dapat dibereskan dalam masa setengah jam jadi tertangguh melebihi sejam kerana mata kita sering teralih perhatian dari skrin komputer ke skrin telefon di sisi. Bukankah ini menjejaskan produktiviti?
Fokus memerlukan tenaga minda. Otak yang penat kerana asyik mengalih perhatian dari kerja kepada telefon itu begitu memenatkan. Kesannya, kualiti kerja akan menurun. Hasil kerja tidak akan mencapai sasaran.
Telefon bukan sahaja mengalih perhatian, malah tanpa kita sedari telah mengakibatkan sindrom multi-tasking iaitu membuat lebih satu kerja pada satu-satu masa. Banyak kajian psikologi organisasi dan psikologi kerja telah merumuskan multi-tasking itu mengganggu fokus dan juga produktiviti. Tetapi sedarkah yang kita sengaja mencari penyakit multi-tasking kerana melayani telefon?
Stres akibat hilang fokus akan terjadi. Akhirnya kita tidak dapat membuat keputusan yang jitu walaupun pada hal-hal yang kecil kerana otak telah tepu dengan pelbagai gangguan maklumat yang tidak diperlukan tatkala kita ingin fokus kepada kerja.
Orang yang kuat tumpuannya akan dapat menguasai dirinya. Sebaliknya orang yang lemah dikuasai oleh keadaan. Malanglah jika kita melemahkan diri dengan membenarkan keadaan dialpakan oleh unsur lain seperti telefon hingga hilang fokus.
Solat itu mengajar kita khusyuk yang dijelmakan menjadi fokus dalam urusan dunia. Sayang sangat bila kita tinggalkan kesungguhan latihan khusyuk yang diperoleh melalui solat. Kerana itu, usah biarkan diri menjadi hamba telefon yang sentiasa memancung fokus. Buat permulaan, hentikan membelek telefon sebaik sahaja memberi salam di akhir solat.
Menjiwai Ibadah Paling Panjang
MAAFCAKAP 12.4.2023
Kita sudah memasuki 10 hari terakhir Ramadan. Kian ramai yang mula mengandaikan ia sebagai fasa untuk pecutan terakhir. Maaf cakap, pecutan itu bermaksud mengubah had laju ke tahap yang pantas.
Saya berpendapat, memecut itu sebagai tindakan yang menjadikan kita berebut-rebut yang berakhir dengan kegopohan dan kecuaian. Memaknakan 10 hari terakhir Ramadan sebagai fasa memecut itu kurang tepat.
Apa jua ibadah khusus tidak molek dilaksanakan laju-laju untuk menjaga tertib dan khusyuknya. Berpuasa Ramadan itu sebulan lamanya. Malah, ia merupakan satu-satunya ibadah yang paling panjang. Ia bagai sebuah maraton kerana tempohnya yang lama. Oleh itu, strategi mengharunginya harus dirancang seperti juga sebuah maraton.
Maraton yang mengambil masa yang panjang itu perlukan perancangan, kadar kelajuan pelaksanaan dan juga ketahanan. Untuk puasa Ramadan sebagai ibadah yang memakan masa yang panjang, persediaan awalnya ialah dengan melakukan puasa sunat Rejab dan Syaaban sebagai latihan untuk mental dan stamina. Apakah kita telah bersedia untuk Ramadan, sebelum bulan Ramadan?
Jika pelari maraton memeriksa kesihatan sebelum berlari, orang yang ingin berpuasa khususnya mereka yang berpenyakit seperti diabetes dan gastrik perlu bersedia agar puasa mereka tidak terhalang dengan tekanan darah rendah atau gastritis. Berpuasa sunat sebelum Ramadan dapat melatih perut untuk bersedia menerima kekurangan nutrisi khususnya air yang sedikit untuk tubuh.
Seperti pelari maraton yang mengawal kelajuan larian, kadar pergerakan orang yang berpuasa juga perlu dikawal. Tidak boleh berebut-rebut menjalankan aktiviti harian kerana ia akan meningkatkan keperluan tenaga yang berakhir dengan kelesuan. 10 hari Ramadan itu harus ditempuhi dengan tempo yang sederhana.
Mental orang berpuasa juga perlu dikawal. Jika pelari maraton itu menguatkan mental dengan fokus dalam tempoh lariannya, orang berpuasa menjaga mentalnya melalui zikir dan membaca al-Quran. Inilah strategi mental untuk mengalih fokus dari hal-hal dunia yang lara.
Apabila dua pertiga Ramadan telah berlalu, peluang untuk menamatkan 10 akhir Ramadan akan menjadi lebih mudah seandainya ibadah puasa 20 hari atau tiga minggu sebelumnya itu dapat dilakukan dengan konsisten. Memang sukar seandainya kita hendak ‘pulun habis’ secara tiba-tiba pada 10 akhir Ramadan sedangkan kita lebih banyak berpuas daripada berpuasa pada awal Ramadan.
Hampir keseluruhan ibadah puasa itu dilakukan untuk diri sendiri. Tetapi, ia menjadi lebih sempurna apabila kita dapat melakukan sesuatu untuk orang lain seperti berinfaq dan bersedekah.
Bersyukurlah bagi kita yang tinggal di negara yang aman, yang jauh dari peperangan atau bencana alam. Tiada sesiapa pun akan melarang apatah lagi menghalang apa yang kita ingin lakukan di bulan yang mulia ini.
Kita bebas beriktiqaf di masjid, bersolat sunat di sepanjang masa di situ dan meninggalkan sembang-sembang di anjung masjid. Kita bebas membuka al-Quran dan tekun membacanya walaupun beberapa kali sehari.
Kita boleh tinggalkan geng gossip dan tiada sesiapa pun akan mengata kita menunjuk alim pada bulan ini. Begitu juga, kita boleh membelanja dan sponsor kawan-kawan atas nama sedekah sebanyak yang kita inginkan.
Inilah bulan di mana kita boleh berbuat baik tanpa berselindung. Orang lain pun sibuk memperbanyakkan amal masing-masing. Yang tidak dapat melakukan pula akan menghormati dan faham jika kita ingin bersendirian.
Jadi, bila tiada sesiapa pun yang menghalang, memperli atau memperlekeh usaha kita untuk mengumpul pahala 10 hari akhir Ramadan, apakah kita telah membuat keputusan samada menjadikan Ramadan ini Ramadan yang terbaik kita? Jika belum, tiada orang lain yang boleh kita sandarkan kesalahan.
Apabila Menasihati dan Dinasihati
MAAFCAKAP 5.4.23
Selepas tarawih di surau, saya lebih suka moreh di restoran mamak sahaja. Di situ hidangan saya hanya sekadar segelas teh tarik. Sambil menghirup teh bersendirian, saya melihat berita dan mesej di telefon sebelum pulang.
Tapi, pada satu malam minggu lalu, saya terdengar perbualan sepasang remaja di meja sebelah. Oleh kerana mejanya begitu hampir, tidak boleh tidak saya terdengar perbualan mereka. Saya percaya mereka berdua adalah pasangan pelajar sebuah kolej yang berhampiran.
‘You selalu ponteng kuliah. Tugasan pulak, tak hantar. Lepas itu, asyik bertengkar dengan pensyarah bila kena tegur. You kata, nak berubah. Tapi perangai you sama, aje.’ bebel si gadis. ‘Pandailah aku. Aku tahu punca masalah aku. Nanti aku berhentilah.’ jawab si lelaki.
Saya mengagak lelaki itu dinasihati agar berhenti dari sesuatu yang buruk. Si gadis berkata, tabiat itu sudah menjadi ketagihan, membazirkan wang dan menjejaskan kesihatan temannya. Namun di sepanjang ‘sesi’ itu, si lelaki asyik memandang ke mana-mana asalkan bukan ke wajah gadis di depannya. Tentunya, dia bosan.
Tidak tahulah apa kesudahan sesi mereka berdua kerana saya tidak boleh berlama-lama di restoran itu. Namun, suasana tegang begitu biasa terjadi dalam adegan tegur menegur. Pasti akan berlaku pergeseran hujah dan boleh bertukar panas.
Kita semua pernah berdepan dengan situasi menasihat ataupun dinasihati. Kadangkala apabila kita minta dinasihati dari seseorang, kita akan tersentap juga dengan kata-kata orang yang menasihati walaupun asalnya kita juga yang meminta nasihatnya. Dalam situasi yang sebaliknya, kita juga pernah berasa malas untuk menegur, bila orang yang ditegur itu menarik muka masam mencuka.
Kita juga tahu bahawa nasihat itu baik. Secara logiknya kita mahu menerima nasihat. Namun, bila tiba masa berdepan dengan orang yang memberi nasihat, secara lumrah, kita akan menjawab untuk mempertahankan diri. Malah, kadang kalanya kita boleh bersikap degil walaupun kita tahu nasihat itu adalah untuk kebaikan diri jua.
Ini berpunca dari mekanisme pertahanan semulajadi manusia. Mereka yang ditanya ketika dinasihati akan berasa tercabar kerana kelakuannya dipersoalkan. Caranya untuk melegakan rasa tertekan ialah dengan menafikan teguran kerana tidak mahu berasa diadili. Tidak boleh tidak, dia akan menjawab untuk mempertahankan dirinya.
Manusia juga sukar untuk berubah kerana akan berasa kehilangan. Perokok atau penghisap vape misalnya, akan menafikan nasihat agar dia menghentikan tabiat itu kerana ia menakutkan bila dia sudah menganggap tabiat itu sesuatu yang berharga buat dirinya. Apatah lebih-lebih lagi apabila tabiat itu sudah menjadi suatu ketagihan.
Jangan terkejut apabila ada juga di kalangan mereka yang diberi nasihat menolaknya berlapikkan pelbagai alasan kerana berasa perubahan itu tidak diperlukan kerana ia tidak membantu apa-apa untuk kebaikan diri mereka.
Faktor-faktor inilah yang boleh membuatkan seseorang itu berubah fikiran untuk menolak nasihat, meskipun pada mulanya dia mungkin memintanya dari orang yang dipercayainya. Jadi, apabila berada dalam kedudukan sebagai pemberi nasihat, kita perlu berhati-hati ketika melakukannnya.
Hadis Rasulullah saw menyebut, “Berkatalah yang benar, walaupun pahit.” Walaupun kita berkata yang pahit seperti saranan Baginda, kita perlu salutkan gula pada kata-kata yang pahit itu dengan penuh hikmah.
Walau siapa pun dia, yang penting ialah pendekatan yang penuh kefahaman dan empati. BKita yang menasihati pun sudah menang kerana berada di premis kebenaran. Tetapi kita boleh tewas dan nasihat kita boleh mentah-mentah ditolak apabila ia disampaikan dengan cara marah-marah, sinis dan penuh emosi.
Dalam hal ini, bila kita dalam kedudukan sebagai pemberi nasihat, kita perlu ingat yang kita ingin membantu. Kita tidak rugi jika yang dinasihati itu menolaknya. Tetapi kita juga akan turut beruntung bila nasihat itu diterima. Tambahan pula, kita juga tidak mahu kehilangan seorang teman apabila dia menjauhkan diri dari kita semata-mata kerana tidak mahu lagi mendengar nasihat kita.
Ketahuilah, perhubungan yang sampai ke tahap boleh nasihat menasihati itu adalah perhubungan yang akrab. Perhubungan ini tetap kekal meskipun salah satunya sudah tiada berjasad. Dalam keadaan begitu, yang tinggal akan berasa kehilangan seorang sahabat.


