MAAFCAKAP 26.4.2023

Pada Khamis lalu, roket percubaan SpaceX Starship telah dilancarkan dari pangkalannya di Texas, Amerika. Inilah roket yang paling besar dan terhebat pernah terbina dalam sejarah angkasa lepas.  Roket sepanjang 120 meter itu diharap akan menyediakan enjin menghantar manusia ke bulan dan juga ke planet Marikh.

Bagaimana pun, roket itu meletup ketika ia baharu  meluncur selama 4 minit di jarak sejauh 38 kilometer ke angkasa. Laporan awal menunjukkan lapan dari 33 enjinnya tidak berfungsi. Akibatnya bahagian peledaknya yang berat tidak dapat dipisahkan dari kapal angkasanya. Kerana itu SpaceX berkecai.

Kejadian itu segera menjadi isu. Apakah SpaceX meletup atau diletupkan? Pusat kawalan SpaceX melaporkan, roket itu mempunyai program pemusnah seandainya ia gagal berfungsi. Ertinya ia tidak dimusnahkan dari pusat kawalan di bumi.

Sebaliknya roket itu diprogram untuk meletup sendiri sekiranya ia di luar kawalan. Malah mereka yang memantau roket itu di bumi kedengaran bertepuk tangan sebaik sahaja roket itu bersepai. Mengapa mereka meraikan kegagalan itu?

Elon Musk yang menjadi salah seorang pelabur dalam program itu memberi reaksi yang tidak dijangka oleh orang ramai. Katanya, ‘Tahniah kepada team  SpaceX di atas pelancaran Starship yang memberangsangkan. Kita banyak belajar untuk pelancaran berikutnya pada beberapa bulan akan datang!’

Pihak media memandang sinis terhadap reaksi Elon Musk yang tampak tenang memberi reaksi. Apakah dia berlakon selamba untuk menyembunyikan kekecewaan? Tetapi pakar-pakar angkasa sependapat dengan Elon kerana turut melihat letupan roket itu sesuatu yang biasa di fasa percubaan.

Begitulah bezanya di antara orang yang memahami bahawa kegagalan itu adalah sebuah proses untuk berjaya. Berbanding dengan kita, ramai yang melihat kejayaan sebagai matlamat mutlak. Apabila mengusahakan sesuatu, kita ingin berjaya. Setelah kejayaan dicapai, kita akan gembira seraya mendabik dada.

Tetapi, apabila kita gagal. Kita akan monyok, kecewa dan  berasa bodoh. Padahal pada hakikatnya, kejayaan itu sentiasa berselang-seli dengan kegagalan dalam apa jua usaha pun. Bezanya, orang yang berasa dirinya gagal mungkin hanya sekali berjaya dalam usahanya. Sebaliknya mereka yang berjaya itu biasanya telah mengalami lebih banyak kegagalan dari kejayaan.

Napoleon Hill, penulis Think and Grow Rich, iaitu buku motivasi terhebat di sepanjang zaman mengingatkan bahawa apabila sesuatu perancangan itu tersasar dari matlamat, ia hanyalah kekalahan sementara dan bukannya kegagalan yang kekal. Maknanya, tiada istilah kejayaan mutlak, apatah lagi kegagalan mutlak.

Malah, kegagalan yang datang berselang-seli dengan kejayaan itulah yang paling bagus.  Berjaya dan kemudian gagal, berjaya dan gagal lagi adalah guru terbaik. Ia membina karakter seseorang kerana kegagalan itu mengajar manusia agar tidak sombong dan bongkak di atas kejayaan-kejayaan yang pernah dirangkulnya.

Terimalah hakikat bahawa kejayaan akan sentiasa dibayangi kegagalan dan begitulah sebaliknya. Apabila kita memahaminya, maka baharulah kita berani untuk berdepan dengan kegagalan. Ia lebih penting dari tidak berani mencuba kerana takut pada kegagalan.

Sedarilah, belum pernah lagi ada manusia yang berjaya sebelum gagal kerana manusia itu pada asasnya dilahirkan jahil. Dia perlu belajar dalam segala hal. Sejak kecil, dia berjalan jatuh sebelum dapat berdiri dan berlari. Dan, apabila sudah biasa berlari pun, dia boleh jatuh lagi.

Tetapi, tiada manusia yang takut berjalan setelah jatuh. Jadi, mengapa serik mencuba lagi apabila kita gagal dalam sesuatu yang diusahakan? Bangun dan berjalanlah ke garisan penamat. Bendera kejayaan sentiasa ada di situ!