MAAFCAKAP 19.4.2023
Baru-baru ini telah tular sebuah video dari Algeria mengenai seorang imam dan kucing. Tatkala Sheikh Walid Mehsas sedang memimpin solat terawih, seekor kucing telah melompat ke tubuhnya.
Surah apa yang dibaca oleh Pak Imam itu hingga membuatkan makhluk itu tertarik dan berkeliaran mengelilingi Sheikh Walid sebelum melompat ke tubuh imam itu? Pak Imam kelihatan khusyuk membaca surah sambil memejam mata.
Dia tahu kehadiran makhluk itu dan tidak kelihatan kekok mengampu kucing itu di tangannya sebelum ia memanjat ke bahunya. Kucing itu menghadiahkan Sheikh Walid sebuah ciuman dan terjun ke lantai sebaik sahaja Pak Imam menghabiskan bacaannya.
Video itu tular ke merata dunia. Banyak portal berita utama seperti CNN, BBC, ABC, Skynews dan Al-Jazeera telah memaparkan insiden itu. Banyak juga portal Islamik yang turut menyebarkan video itu. Pendakwah terkenal seperti Mufti Ismail Menk dan juga Zakir Naik turut mengulas mengenainya.
Banyak komen daripada tokoh-tokoh dakwah antarabangsa mengatakan bahawa insiden itu telah membantu memberi imej bahawa Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya menyayangi binatang. Selama ini, mereka yang bukan Islam beranggapan bahawa orang Islam tidak digalakkan menyayangi binatang kerana mengaitkannya dengan hukum orang Islam memegang anjing dan babi.
Walau apa pun, saya melihat peristiwa itu dari sudut khusyuk di dalam solat yang melibatkan rohani dan jasmani. Aspek rohani menurut ramai para ulama seperti Imam Ibnu Qayyim ialah menghadirkan hati di hadapan ALLAH dengan perasaan keabdian dan hina diri. Aspek jasmani pula menurut ramai ulama lain ialah ketertiban pergerakan solat yang diiringi tuma’ninah.
Khusyuk di dalam solat pula adalah latihan agar kita dapat terjemahkan ia menjadi fokus dalam urusan dunia. Pada hari ini, fokus adalah perjuangan individu yang tidak akan tamat. Ia adalah punca utama kita sentiasa teralih perhatian khususnya angkara telefon.
Telefon adalah ancaman utama kepada fokus. Pada hampir setiap ketika kita melakukan kerja, telefon mengalih perhatian sehinggakan kerja kita menjadi tersangkut-sangkut. Jika di jalanraya kita tidak sukakan kesesakan lalu lintas sehingga kenderaan kita terhinggut-hinggut, mengapa biarkan kerja-kerja harian kita terhinggut-hinggut kerana telefon?
Soalnya, kita tidak dapat mengawal kesesakan jalanraya agar kita segera sampai ke destinasi. Tetapi kita boleh kawal telefon jika ingin segera selesaikan tugasan. Maaf cakap… sebenarnya, kita sendiri yang memilih untuk hilang fokus.
Akibatnya, tugasan yang seharusnya dapat dibereskan dalam masa setengah jam jadi tertangguh melebihi sejam kerana mata kita sering teralih perhatian dari skrin komputer ke skrin telefon di sisi. Bukankah ini menjejaskan produktiviti?
Fokus memerlukan tenaga minda. Otak yang penat kerana asyik mengalih perhatian dari kerja kepada telefon itu begitu memenatkan. Kesannya, kualiti kerja akan menurun. Hasil kerja tidak akan mencapai sasaran.
Telefon bukan sahaja mengalih perhatian, malah tanpa kita sedari telah mengakibatkan sindrom multi-tasking iaitu membuat lebih satu kerja pada satu-satu masa. Banyak kajian psikologi organisasi dan psikologi kerja telah merumuskan multi-tasking itu mengganggu fokus dan juga produktiviti. Tetapi sedarkah yang kita sengaja mencari penyakit multi-tasking kerana melayani telefon?
Stres akibat hilang fokus akan terjadi. Akhirnya kita tidak dapat membuat keputusan yang jitu walaupun pada hal-hal yang kecil kerana otak telah tepu dengan pelbagai gangguan maklumat yang tidak diperlukan tatkala kita ingin fokus kepada kerja.
Orang yang kuat tumpuannya akan dapat menguasai dirinya. Sebaliknya orang yang lemah dikuasai oleh keadaan. Malanglah jika kita melemahkan diri dengan membenarkan keadaan dialpakan oleh unsur lain seperti telefon hingga hilang fokus.
Solat itu mengajar kita khusyuk yang dijelmakan menjadi fokus dalam urusan dunia. Sayang sangat bila kita tinggalkan kesungguhan latihan khusyuk yang diperoleh melalui solat. Kerana itu, usah biarkan diri menjadi hamba telefon yang sentiasa memancung fokus. Buat permulaan, hentikan membelek telefon sebaik sahaja memberi salam di akhir solat.