Orang Lain Jadi Wartawan, Kita Pun Nak Jadi Wartawan!
BARU-BARU ini saya terpandang teman sepermainan badminton membaca mesej di telefonnya. Saya nampak dia membaca sambil tergeleng-geleng. Kerana ingin tahu apa yang dikesalkannya, saya datang lalu bertanya, mengapa? Dali tersenyum dan kali ini menggeleng kepada saya pula. Barangkali kerana tidak mahu diganggu, maka saya duduk sahaja di sisi Dali sambil menonton permainan badminton rakan-rakan saya yang lain.
‘Inilah, bang,’ kata Dali seraya menyuakan telefon pintarnya kepada saya. ‘Saya baru dapat mesej Whatsapp yang kawan saya eksiden. Tapi mesej yang sampai tu hanya dua baris dengan ada gambar hospital. Tak ada mesej lain.
Lepas tu, kawan-kawan dalam grup mulalah kirim doalah, ucapan semangatlah, innalilah… macam-macam. Saya pun nak tahu juga, kawan saya yang eksiden sampai masuk hospital tu, eksiden dengan apa, di wad mana dan keadaan dia macam mana? Tapi tak ada seorang pun yang tanya keadaan kawan saya yang eksiden tu. Yang kirim berita asal pun diam tak ada kirim maklumat susulan.
Pening saya. Dia di wad mana? Boleh pergi melawat ke kalau dia kat bilik bedah atau di ICU. Dia boleh bercakap ke atau boleh makan ke? Saya ingat nak bawak jugalah epal ke, anggur ke. Kalau okey, pizza pun saya nak bawak bagi kawan saya yang sakit tu!’
Saya tersenyum lalu teringatkan pelbagai mesej yang saya terima dalam grup-grupWhatsapp saya. Selain daripada mesej mengarut dan melalut serta tak sahih yang tular, ada juga mesej-mesej betul tetapi tidak lengkap. Dan mesej-mesej ini penting sebagai maklumat kerana ada juga mesej-mesej itu yang membuat saya teringin untuk bertindak.
Saya pernah terima mesej mengenai remaja hilang. Mesej itu disertai dengan pesanan audio dari si ayah yang merayu bantuan untuk mencarikan anaknya. Sebak juga bila mendengar suara si ayah. Tetapi, selain daripada gambar anak yang disertakan, ia tidak dilengkapi dengan alamat rumah, nombor telefon untuk dihubungi dan juga bila remaja itu hilang.
Begitu juga apabila mendapat mesej memohon derma untuk dana sesebuah tahfiz baharu, misalnya. Ia hanya disertakan dengan nombor telefon dan foto-foto tahfiz dalam pembinaan. Tetapi, jumlah anggaran yang diperlukan serta yang penting tarikh mesej itu tidak disertakan untuk memacu tindakbalas semerta kita.
Banyak lagi mesej-mesej yang dipanjangkan dalam perisian Whatsapp seperti memohon bantuan doa untuk anak yang sakit kritikal, tawaran jawatan kosong, wajah seseorang yang dikatakan sebagai penipu atau video kes ragut. Mesej-mesej yang memerlukan kita bertindak sebagai insan yang ingin membantu tidak dapat kita lakukan kerana maklumat yang tidak lengkap.
Samada kita sedari atau tidak, mahu atau tidak, media sosial dan aplikasi mesej seperti Whatsapp meletakkan kita dalam kerusi seorang wartawan. Ertinya, kita memperoleh maklumat yang ada ketikanya amat penting kerana ia adalah kejadian yang benar-benar berlaku. Misalnya, kita menyaksi dan merakam kes ragut. Dalam keadaan yang cemas itu, kita hanya merakam imej kejadian itu dan terus menyebarkannya kepada kawan-kawan sehingga ia menjadi tular.
Tetapi video yang tular itu sukar dijadikan sebagai bukti kes kerana ia tidak disertakan dengan maklumat tambahan seperti tarikh, masa dan tempat kejadian. Mungkin kita yang merakam video itu tidak berani menemubual mangsa ragut itu sendiri. Tetapi kita perlu sekurang-kurangnya mengambil gambar lokasi kejadian seperti tanda nama jalanraya, bangunan yang mudah dikenali orang seperti pasaraya jika kita tidak pandai untuk membuat laporan audio.
Begitu juga apabila kita di pihak yang menerima sesebuah mesej mengenai sesuatu kejadian jenayah. Kita perlu bertanya kepada si pengirim mesej. Tetapi seandainya si pengirim itu sendiri tiada apa-apa maklumat selain daripada video yang dikirim, mesej yang kita terima itu sendiri tidak perlulah disebarkan kerana ia membuang masa orang lain pula.
Untuk itu, eloklah kita mengambil tahu asas pemberitaan melalui formula 4W + 1H yang digunakan oleh para wartawan. 4W + 1H yang juga dikelakarkan menjadi 4 wives plus 1 husband supaya mudah diingati membawa maksud What, Who, When danWhere serta How. Apa, Siapa, Bila, Di mana dan Bagaimana itu sudah melengkapi segala keperluan maklumat asas.
Maknanya, apabila mengirim mesej mengenai sesuatu perkara yang benar, ia perlu disertakan dengan maklumat Apa yang berlaku, Siapa yang terlibat, Waktu dan tarikh kejadian, Di mana ia terjadi dan Bagaimana ia berlaku. Dengan adanya maklumat asas itu, mesej itu seharusnya dihantar dahulu kepada teman-teman yang bertugas di media cetak atau elektronik. Mereka boleh bantu untuk bertindak. Ia juga boleh dikirim ke portal mahupun mana-mana laman sosial NGO. Setelah melakukan itu, baharulah kita boleh sebarkan kepada kawan-kawan.
Tindakan sedemikian amat bertanggungjawab.
Macam Mana Kita Guna Teknik Menyemai Dalam Penulisan
SELAIN daripada teknik menyulam dalam berkarya, ada satu lagi teknik yang saya namakan sebagai menyemai. Menyemai ini adalah planting dalam bahasa Inggeris. Kalau nak tahu, teknik planting memang ada. Barangkali ramai dah menggunakannya tanpa mengetahui ia adalah suatu teknik dalam berkarya.
Saya memahami teknik ini beberapa tahun lalu melalui buku Stein On Writing karya Sol Stein. Stein adalah salah seorang editor yang tersohor. Banyak teknik penulisan yang dikemukakannya di dalam buku ini.
Menyemai adalah teknik menarik yang boleh menimbulkan tanda tanya pembaca. Bagaimana nak buat semaian? Satu contoh teknik planting yang dilakukan dengan cermat dan klasik ialah seperti yang terdapat di dalam filem Poltergeist (1982) arahan Steven Spielberg.
POLTERGEIST adalah sebuah filem seram yang mengisahkan sebuah keluarga yang berdepan dengan hal-hal yang menakutkan apabila berpindah di sebuah rumah. Pada mulanya, keluarga lima beranak itu kelihatan gembira. Namun, petanda-petanda seram mula berlaku.
Semaian awal yang mula ditunjukkan pengkarya ialah keadaan sebuah lukisan di dinding yang tiba-tiba menyenget sendiri tatkala keluarga itu meninggalkan ruang tamu. Scene itu menimbulkan persoalan di minda penonton.
Klu bahawa sesuatu yang ghaib berada di rumah itu mula disemai pengkaryanya. Semaian seterusnya iaitu gelas minuman pecah, sudu dan garfu membengkok dan kerusi yang bergerak sendiri sudah cukup untuk membina rasa suspens penonton. Dengan semaian-semaian itu, penonton sudah bersedia untuk melihat apa lagi yang menakutkan yang bakal terjadi.
JADI, planting atau menyemai itu adalah juga mind setting, klu atau fore shadowing iaitu memberi petanda awal kepada pembaca apa yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca.
Menyemai akan menguja pembaca untuk meneka apakah klu-klu yang disisipkan oleh penulis itu benar seperti apa yang mereka sangkakan. Jika mereka dapat mengagaknya dengan tepat, pembaca akan lebih seronok menatap karya penulis kerana berasa mereka ‘dah tahu tipu-helah penulis.’
Maknanya, penulis berjaya berkomunikasi dengan pembacanya secara psikik (hubungan minda). Ini adalah salah satu sisi keseronokan membaca novel.
APAKAH anda pernah gunakan teknik menyemai ini di dalam karya anda? Kalau ada, jom kita share di sini.
Tombiruo mula ditayangkan di Jepun
Sebelum ini karya popular penulis Ramlee Awang Murshid ini telah menemui peminatnya dalam adaptasi filem ‘Tombiruo: Penunggu Rimba” di Malaysia, Brunei dan Singapura pada Oktober 2017 yang lalu. Menurut Nabila Huda, salah seorang pelakon filem tersebut menerusi akaun Instagramnya, filem Tombiruo kini sedang ditayangkan di Jepun!
Menurut sumber Facebook page Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC), filem tersebut boleh ditonton di Tokyo dengan tiket berharga 1100 Yen (bersamaan RM 40) dengan tajuk dalam bahasa Jepun “Tonbiruo! Mitsurin hao densetsu” yang diterjemah kepada ‘Tombiruo! Lagenda Raja Hutan’. Siap ada trailer filem versi Jepun lagi!
Carian di portal filem popular IMDb menunjukkan filem tersebut mula ditayangkan di Jepun pada 29 Mac 2019 yang lalu. Tombiruo sebelum ini pernah dicalonkan sebagai Filem Terbaik Asia menerusi Australian Academy of Cinema and Television Arts (AACTA) Awards.
Biar Betul! Dalam Menulis Pun Ada Teknik Menyulam
APABILA perkataan ‘TAMAT’ ditaip di halaman akhir sesebuah novel, si penulisnya akan tersenyum-senyum. Fikirannya lapang, hatinya lega. Selesai sudah deritanya yang berbulan-bulan bertungkus lumus menyiapkan karyanya. Esok, dia akan kirim karyanya kepada penerbit.
Ya, pada esoknya dia mengirim karyanya kepada penerbit pilihannya. Bagai seorang pelajar yang baru habis peperiksaan, dia akan buat apa yang dia suka pada hari ini. Dia melayari internet, buka youtube, buka facebook, buka instagram, pergi menonton, jalan-jalan dan makan-makan.
DUNIA KOMUNIKASI yang canggih pada hari ini tidak memerlukan si novelis menunggu berminggu-minggu untuk tahu apakah karyanya diterima penerbit. Barangkali, pada petangnya dia sudah menerima mesej Whatsapp daripada editornya. Kak Editor berjanji akan menghubunginya apabila manuskrip dibaca dan seterusnya diedit.
Namun apabila mesej daripada editor muncul di kotak emel tiga hari kemudian, kerisauan, kebimbangan malah kesugulan mula menjelma di sanubari si novelis. Kak Editor mengkhabarkan ada bahagian-bahagian yang kurang pada karyanya. Kak Editor kata, bagaimana ada scene hero boleh nampak pipi gadisnya memerah kerana malu sedangkan mereka bertemu di tepi tasik pada waktu malam pula.
BAGAIMANA PULA scene si gadis boleh membentang kain alas dan mengatur makanan dan minuman ketika berpiknik? Sedangkan di sepanjang bab, mereka digambarkan keluar melangkah dari kereta dan mencari tempat teduh. Tidak diterangkan pun siapa yang bawa makanan, malah tidak dinyatakan yang mereka berdua keluar berkelah.
Teguran Kak Editor pada hal-hal yang kecil ini boleh membuat si novelis marah. Marah pada diri sendiri kerana terlepas tulis hal-hal teknikal ini. Si novelis menganggap novelnya sudah lengkap siap. Rupa-rupanya ada hal-hal teknikal dan remeh yang dia tidak sedari.
MAHU TAK MAHU, si novelis terpaksa menyulam ayat-ayat dan dua tiga para supaya karyanya menjadi lengkap. Barangkali berbelas-belas bahagian novelnya terpaksa disulam supaya jalan cerita novelnya tidak melompat-lompat.
Inilah proses pasca manuskrip yang harus seseorang novelis itu lalui. Kalau kita degil tidak mahu menyulam cerita untuk mengetatkan plotnya, bersedialah berdepan dengan kritikan pembaca yang tak reti kasihan.
TIDAK ADA karya yang sempurna. Ada sahaja bahagian yang perlu kita tambah atau tiadakan meskipun sesebuah novel itu sudah dianggap siap. Ikut aje kata Kak Editor. Dialah pembaca rasmi pertama yang profesional. Kawan-kawan yang baca manuskrip kita sebelum ini dan kata ‘okey’ itu hanya untuk mengambil hati!
Apa Pilihan Kita? Menulis Untuk Tambah Dosa Atau Buat Pahala?
APABILA pengarang Inggeris Edward Bulwer-Lytton mencipta madah, ‘The pen is mightier than the sword,’ atau dalam adaptasi kita ‘mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang,’ beliau tidak tahu selepas pen, ada satu lagi medium yang lebih tajam daripada pena. Alat itu adalah keyboard atau papan kekunci.
Pada waktu dahulu, bukan semua orang punyai kebolehan menulis. Kalangan buta huruf pun ramai. Hanya mereka yang boleh menulis sahaja mempunyai pena sebagai senjata yang lebih tajam daripada mata pedang. Mereka karya kreatif novel, cerpen, puisi dan teater untuk menyindir, menyerang dan membela yang tertindas hingga mendapat keadilan. Penulis-penulis tanahair kita turut menggoyang penjajah melalui tulisan.
Namun kini, keyboard yang lebih tajam dari mata pena boleh dimiliki oleh hampir semua orang. Tambahan pula, keyboard juga ada di telefon pintar. Seolah-olah, senjata ini di tangan sesiapa sahaja. Yang tak berapa mahir menulis pun boleh menulis apa sahaja. Media sosial dan blog menyediakan platform itu. Tulisan-tulisan itu boleh ditatap oleh sesiapa sahaja tanpa tapisan.
Bayangkan sekarang, kita punyai jutaan manusia yang punyai senjata yang lebih tajam daripada pena! Now, everybody can write! Jika mata pena lebih tajam dari mata pedang, dan keyboard lebih tajam daripada pena, ertinya senjata ini mampu melukakan sesiapa sahaja. Memang jelas, tulisan-tulisan pada hari ini telah memporak peranda dan menghuru-harakan.
Tulisan sebenarnya adalah medium komunikasi massa. Seseorang yang mahu menulis sesuatu kepada orang lain samada dalam bentuk berita atau cerita lazimnya harus melalui sebuah proses pendidikan formal. Segala teknik, teori dan etika penulisan dipelajari hingga seseorang itu memperoleh kelayakan. Inilah proses yang harus dilalui oleh seseorang wartawana iaitu seorang penyampai melalui medium penulisannya.
Dahulu, yang tidak melalui proses pendidikan formal tetapi ingin menulis pula tidak berani pandai-pandai menulis ikut suka. Malah secara informal, mereka yang meminati penulisan akan cuba mengikut jalur formaliti ilmiah agar tulisannya tidak melanggar norma masyarakat. Seboleh mungkin mereka akan belajar daripada mereka yang berpengalaman dan berkelulusan supaya hasil tulisannya diterima khalayak pembaca arus perdana.
Kini, di platform media sosial, sesiapa sahaja boleh menulis tanpa melalui apa-apa proses formal penulisan. Maka terjadilah pelbagai pelanggaran ejaan, nahu, tatabahasa, perbendaharaan kata, keceluparan, fitnah, auta, penceritaan berat sebelah yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Hal ini masih berlaku dengan sebebas-bebasnya sehinggakan mereka yang telah melalui proses penulisan formal pun boleh berasa dirinya old school seandainya tulisannya tidak ikut rentak yang huru-hara juga. Sehinggakan tidak keterlaluan jika dikatakan catatan yang tidak mengikut nilai etika penulisan itu jauh lebih banyak daripada tulisan yang tertib, beradab dan juga berisi. Seolah-olah alam siber yang diibaratkan sebagai dunia tanpa sempadan itu adalah dunia tanpa dosa!
Jika di dalam dunia penulisan di medium formal seperti akhbar, majalah dan media elektronik terdapat pemantauan penulisan yang beretika, di medium internet, tiada mana-mana badan yang mengatur jalur ketertiban dan etikanya. Kita sendiri tidak senang dengan kebebasan tanpa had ini.
Justeru, mesti ada pihak yang harus bangun dan mengambil inisiatif untuk memperbetul keadaan. Bukan sekadar melaporkan apa jua pelanggaran undang-undang kepada pihak berwajib, tetapi mengatur langkah-langkah dengan mengajak sesiapa sahaja yang mempunyai kebolehan menulis untuk membuat penjajaran sikap yang lebih teratur.
Baru-baru ini Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang terkenal dengan program Quran Hournya telah bereksperimen untuk membina apa yang dinamakan sebagai modul melahirkan Wartawan Al-Quran. Wartawan Al-Quran adalah individu yang menyampaikan tulisan yang menuruti kehendak al-Quran. Asasnya ialah menyampaikan sesuatu yang punyai nilai-nilai kebaikan yang akhirnya mempunyai kesan kebaikan kepada khalayak pembacanya.
Empat penyampai iaitu Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media Karangkraf, Tuan Haji Amir Hassan, dari Denaihati Network; Norden Mohamed, mantan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan Fazrul Ismail, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah bergabung tenaga sebagai penyampai ilmu Wartawan Al-Quran kepada audien yang terdiri daripada blogger, keyboard warrior, ghostwriter dan juga wartawan.
Sambutannya memberangsangkan dan para pesertanya memperoleh sudut pandang baharu dan segar dalam menggarap penulisan ke arah keberkatan. Mereka mahu lagi. Dan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sudahpun merangka modul kursus berikut yang terbuka kepada sesiapa yang berminat. Program pertamanya akan diadakan pada bulan ini juga.
Semoga kita semua menulis dengan memberi sedikit bekalan kepada khalayak pembaca disamping menyimpan bekalan juga untuk diri sendiri. Sama-samalah kita menggunakan keyboard yang lebih tajam dari mata pena itu untuk menjana segala kebaikan.


