APABILA perkataan ‘TAMAT’ ditaip di halaman akhir sesebuah novel, si penulisnya akan tersenyum-senyum. Fikirannya lapang, hatinya lega. Selesai sudah deritanya yang berbulan-bulan bertungkus lumus menyiapkan karyanya. Esok, dia akan kirim karyanya kepada penerbit.

Ya, pada esoknya dia mengirim karyanya kepada penerbit pilihannya. Bagai seorang pelajar yang baru habis peperiksaan, dia akan buat apa yang dia suka pada hari ini. Dia melayari internet, buka youtube, buka facebook, buka instagram, pergi menonton, jalan-jalan dan makan-makan.

DUNIA KOMUNIKASI yang canggih pada hari ini tidak memerlukan si novelis menunggu berminggu-minggu untuk tahu apakah karyanya diterima penerbit. Barangkali, pada petangnya dia sudah menerima mesej Whatsapp daripada editornya. Kak Editor berjanji akan menghubunginya apabila manuskrip dibaca dan seterusnya diedit.

Namun apabila mesej daripada editor muncul di kotak emel tiga hari kemudian, kerisauan, kebimbangan malah kesugulan mula menjelma di sanubari si novelis. Kak Editor mengkhabarkan ada bahagian-bahagian yang kurang pada karyanya. Kak Editor kata, bagaimana ada scene hero boleh nampak pipi gadisnya memerah kerana malu sedangkan mereka bertemu di tepi tasik pada waktu malam pula.

BAGAIMANA PULA scene si gadis boleh membentang kain alas dan mengatur makanan dan minuman ketika berpiknik? Sedangkan di sepanjang bab, mereka digambarkan keluar melangkah dari kereta dan mencari tempat teduh. Tidak diterangkan pun siapa yang bawa makanan, malah tidak dinyatakan yang mereka berdua keluar berkelah.

Teguran Kak Editor pada hal-hal yang kecil ini boleh membuat si novelis marah. Marah pada diri sendiri kerana terlepas tulis hal-hal teknikal ini. Si novelis menganggap novelnya sudah lengkap siap. Rupa-rupanya ada hal-hal teknikal dan remeh yang dia tidak sedari.

MAHU TAK MAHU, si novelis terpaksa menyulam ayat-ayat dan dua tiga para supaya karyanya menjadi lengkap. Barangkali berbelas-belas bahagian novelnya terpaksa disulam supaya jalan cerita novelnya tidak melompat-lompat.

Inilah proses pasca manuskrip yang harus seseorang novelis itu lalui. Kalau kita degil tidak mahu menyulam cerita untuk mengetatkan plotnya, bersedialah berdepan dengan kritikan pembaca yang tak reti kasihan.

TIDAK ADA karya yang sempurna. Ada sahaja bahagian yang perlu kita tambah atau tiadakan meskipun sesebuah novel itu sudah dianggap siap. Ikut aje kata Kak Editor. Dialah pembaca rasmi pertama yang profesional. Kawan-kawan yang baca manuskrip kita sebelum ini dan kata ‘okey’ itu hanya untuk mengambil hati!