Banyakkan Santapan Ruh bukan Santapan Perut
Puasa adalah tempoh untuk berubah ~ kembali kepada fitrah. Salah satu faktor untuk berubah ialah dengan mengubah suasana persekitaran. ALLAH SWT telah menyediakan Ramadan dengan set-up lengkap yang mampu mengubah fizikal, mental dan spiritual kita. Fizikal kita dikawal dengan larangan makan minum pada waktu siang, mental kita diperkuatkan dengan insentif bonus pahala dan subsidi pengampunan. Spiritual kita pula dibantu untuk hidup aktif dengan terbelenggunya syaitan.
Pola makan minum sebagai makanan fizikal kita berubah di bulan ini. Sahur menggantikan sarapan, berbuka mengganti makan tengahari dan moreh menggantikan makan malam. Waktu sahur itu dua jam sebelum waktu sarapan, berbuka pula lebihkurang lima jam lewat daripada waktu makan tengahari dan moreh itu pula dua jam lewat dari waktu makan malam. Larangan makan pada siang hari itu sendiri sudah mengubah pola tabiat harian.
Bila tidak mengingati untuk makan, maka kita tidak berasa lapar. Tiadanya sarapan dan makan tengahari, membolehkan kita mengguna masa itu untuk membaca al-Quran. Solat sunat terawih itu sendiri adalah latih tubi untuk meningkatkan kebiasaan untuk selesa di tikar sejadah. Tidur kita diawalkan agar dapat bangun bersahur dan kesempatan untuk berqiamulail.
“Apabila masuk sahaja Ramadan, maka pintu-pintu syurga pun dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Bila syaitan dibelenggu pada bulan ini, nafsu kita lebih mudah dikawal. Nafsu itulah yang mengawal minda kita untuk melakukan yang sia-sia. “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Yusuf, 53)
Jika pada bulan puasa pun, kita tidak mengurangkan perkara-perkara yang membuat kita lalai seperti mendengar muzik, menyanyi, menonton wayang, tidak mengawal waktu melayari internet atau berbual kosong; kita hanya berpuasa dari segi fizikal, tetapi bukan daripada segi mental.
“Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji.” (Hr Hakim, Ibnu Hibban & Baihaqi)
Andainya kita dapat berpuasa fizikal iaitu mengawal makan dan minum, berpuasa mental dengan mengawal nafsu yang mengajak kita melakukan perkara-perkara yang membuang masa, puasa spiritual pula sebaliknya. Jika makanan fizikal dan mental kita dikawal, makanan untuk spiritual atau roh pula dijamu sebanyak-banyaknya pada bulan ini. Membaca al-Quran, berzikir, bersolat terawih dan solat malam adalah makanan untuk menghidup dan mengaktifkan roh yang pada bulan-bulan lain kita ketepikan.
Apabila ajal kita tiba, yang keluar dari tubuh dan terbang kembali ke alamnya ialah roh. Yang tinggal hanyalah jasad daripada tanah. Ia hilang bersama nafsu. Puasa menghidupkan roh. Jika selama ini hubungan roh dengan tali ALLAH SWT itu terhijab dengan kekuasaan nafsu yang sentiasa diberi makan apabila kita sentiasa melayaninya, puasa itu menghidupkan roh dan membebaskan ia untuk mudah kembali kepada Yang Maha Pencipta.
Wallahua’lam.
Menarik! Buku Cara Mengemas oleh Marie Kondo

MESKIPUN kita selalu berkemas di rumah, beberapa hari kemudian, rumah akan berselerak semula. Kerja mengemas yang berulang ini begitu memenatkan. Adakah cara menyelesaikan masalah ini? Kalau ada, bagaimana pula caranya?
Jangan bimbang. Mari kita berkenalan dengan Perunding Pembersihan Jepun, Marie Kondo. Beliau memberi makna kepada ilmu berkemas yang menjamin, jika kita dapat mengemas rumah secara yang betul, kita tidak perlu lagi melakukannya berulangkali. Wah!

Kebanyakan tekniknya ialah dengan mengemas dari bilik ke bilik dan secara sedikit demi sedikit. Dengan cara itu kita tidak perlu berkemas lagi sampai bila-bila. Boleh percaya ke?
Teknik KonMari, iaitu pendekatan sistematik akan menghasilkan kesan kekemasan yang berpanjangan. Malah, perkongsian ilmu ini melalui bukunya ‘Tidying Up with Marie Kondo’ memanjat carta #1 New York Times dan kini menjadi rancangan popular di Netflix.
Panduan mengemas Marie yang terperinci dengan mengutamakan mana satu item yang menceriakan, fenomena terkini gaya hidup Tokyo ini akan membantu anda untuk berasa seronok bila kediaman anda menjadi kemas dan menenangkan.
SIAPA MARIE KONDO
Marie Kondo amat suka berkemas sejak kecil lagi. Malah, beliau mula menjadi perunding mengemas pada usia 19 tahun. Kini beliau membantu mereka untuk mengubah kediaman yang berselerak menjadi sebuah kediaman yang damai.
Kepakaran Marie ini telah mendapat liputan lebih 50 rangkaian televisyen dan radio di Jepun. Di peringkat antarabangsa, kemahiran beliau muncul di akhbar
The New York Times, The Wall Street Journal, The Times of London, Vogue, Ellen, dan the Rachael Ray Show. Kini beliau tersenarai sebagai ‘Time Magazine’s 100 most influential people.‘
Piccredit:
twentytwoworld/people.com/greenpeace.org
Danielle Steel: Kembara dalam Kesunyian

Menulis Kerana Seni atau Wang?
1. Dari semasa ke semasa saya disoal apakah saya menulis kerana seni atau wang ringgit? Bila soalan itu dikemukakan kepada saya, saya akan jawab yang saya menulis untuk kedua-duanya. Ya, saya menulis kerana seni DAN kerana wang yang saya bakal peroleh daripada tulisan saya.
2. Tetapi ada yang berpendapat, karya yang bertujuan komersial hanya mementingkan wang. Bila kita pentingkan wang, itu bererti kita telah melacurkan seni. Sesuatu karya yang bertujuan komersial itu boleh dianggap sampah.
3. Sebaliknya, kalau kita menulis untuk memartabatkan seni, ia adalah suatu tindakan yang murni. Tulisan kreatif samada puisi, cerpen mahupun novel yang mengutamakan seni akan meningkatkan kefahaman sastera di kalangan masyarakat. Ini adalah suatu tindakan yang suci.
4. Siapa kata yang kita mesti pilih tujuan berkarya samada untuk seni atau komersial semata-mata? Kalau pilih seni, itu bagus meskipun karya tak laris. Kalau pilih komersial, ia tak elok kerana mementingkan duit.
5. Sebenarnya apa salahnya kita pilih kedua-dua tujuan bila berkarya? Seni kita mahu, duit pun kita hendak. Mengapa hanya pilih salah satu? Bukankah dalam hidup ini kita biasa membuat pilihan kerana lebih daripada satu sebab?
6. Jika kita ambil contoh tentang makan, kita akan dapati yang kita makan bukan semata-mata kerana kita lapar.Kita makan kerana makanan itu sedap, hendak jaga kesihatan, hendak teman kawan makan sama, hendak cuba hidangan baru atau hendak pahala kerana makan itu suatu ibadah.
7. Kita kita jatuh cinta pada seseorang pun bukan semata-mata kerana satu sebab, misalnya kerana dia lawa. Kita jatuh cinta kerana si gadis baik budi bahasa, pandai menghormati orang tua, suka menolong, pandai memujuk dan taat pada ibadah.
8. Fikirkan apa sahaja yang kita buat, nescaya kita akan dapati yang manusia lakukan sesuatu kerana lebih daripada satu sebab. Hanya binatang sahaja yang melakukan sesuatu hanya kerana satu sebab.
9. Misalnya, lembu makan rumput kerana dia lapar. Lembu tidak makan rumput kerana hendak menemani kawannya makan, atau makan rumput di suatu tempat kerana rumput di situ lebih sedap dari rumput di tempat lain atau makan rumput untuk menjaga kesihatannya.
10. Kerana itu, mengapa kita tidak boleh mengambil pendirian bahawa kita menulis kerana kedua-duanya iaitu kerana wang dan juga kerana seni? Jmalah kita boleh menulis kerana tiga, empat mahupun sepuluh sebab.
11. Kerana itu, jangan rasa bersalah jika kita mengaku yang kita menulis kerana wang, untuk popular, berkongsi cerita dan inginkan status sebagai penulis. Tetapi, tentu sekali kita menulis kerana sukakan seni menulis itu sendiri.
Kita Berduka Bila Kehilangan Ulama’
Ketika kita sedang gembira menanti Ramadan, pemergian bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 73, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Kita hilang seorang penyuluh jalan keimanan. Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi 1 Mei 2019 setelah terjatuh sesudah menunaikan solat subuh.
Jenazah arwah telah disolatkan di Masjid Saidina Hamzah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, selepas Asar.
Sebelum ini, abang kepada allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din iaitu Datuk Seri Dr. Haron Din dan Ustaz Ishak Din telah mendahului menemui pencipta pada tahun 2016. Tiga beradik ini dikenali sebagai ulama yang sentiasa membantu kita mencari jalan yang benar. Pemergian mereka adalah suatu kehilangan yang amat besar buat kita.
Selain daripada memberi ceramah dan kuliah di surau, masjid dan majlis-majlis yang turut dirakam dalam bentuk video dan disebarkan di Youtube, allahyarham Abu Hasan Din al-hafiz turut menulis buku.

Beliau menulis buku-buku mengenai akidah dan tauhid. Di antaranya ialah buku-buku yang ditulisnya ialah, Furu’ al-Masail (2010) sebuah kitab yang membincangkan pelbagai hukum fikah dengan terperinci di bawah tajuk kitab dan bab yang diterbitkan oleh syarikat Telaga Biru.

Buku Mahir Tajwid mengenai asas ilmu membaca al-Quran pula diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Selain itu, buku 40 nasihat Terbaik Penyubur Iman, terbitan Utusan Karya juga adalah hasil karangannya.

Lain-lain buku tulisannya ialah Hakikat Kepimpinan & Rumahtangga, Ke arah Keimanan, Panduan Sujud-sujud dan Mengenal Asas Ilmu Tauhid.
Marilah kita sedekahkan al-Fatihah agar ruh allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din kembali sejahtera dan dihimpunkan bersama mereka yang beriman. Marilah kita ikuti penyampaian ilmu terakhir allahyarham:
Mudah-mudahan kita memperoleh barakah. Innalilah wainailaihi rajiun.


