1. Dari semasa ke semasa saya disoal apakah saya menulis kerana seni atau wang ringgit? Bila soalan itu dikemukakan kepada saya, saya akan jawab yang saya menulis untuk kedua-duanya. Ya, saya menulis kerana seni DAN kerana wang yang saya bakal peroleh daripada tulisan saya.

2. Tetapi ada yang  berpendapat, karya yang bertujuan komersial hanya mementingkan wang. Bila kita pentingkan wang, itu bererti kita telah melacurkan seni. Sesuatu karya yang bertujuan komersial itu boleh dianggap sampah.

3. Sebaliknya, kalau kita menulis untuk memartabatkan seni, ia adalah suatu tindakan yang murni. Tulisan kreatif samada puisi, cerpen mahupun novel yang mengutamakan seni akan meningkatkan kefahaman sastera di kalangan masyarakat. Ini adalah suatu tindakan yang suci.

4. Siapa kata yang kita mesti pilih tujuan berkarya samada untuk seni atau komersial semata-mata? Kalau pilih seni, itu bagus meskipun karya tak laris. Kalau pilih komersial, ia tak elok kerana mementingkan duit.

5. Sebenarnya apa salahnya kita pilih kedua-dua tujuan bila berkarya? Seni kita mahu, duit pun kita hendak. Mengapa hanya pilih salah satu? Bukankah dalam hidup ini kita biasa membuat pilihan kerana lebih daripada satu sebab?

6. Jika kita ambil contoh tentang makan, kita akan dapati yang kita makan bukan semata-mata kerana kita lapar.Kita makan kerana makanan itu sedap, hendak jaga kesihatan, hendak teman kawan makan sama, hendak cuba hidangan baru atau hendak pahala kerana makan itu suatu ibadah.

7. Kita kita jatuh cinta pada seseorang pun bukan semata-mata kerana satu sebab, misalnya kerana dia lawa. Kita jatuh cinta kerana si gadis baik budi bahasa, pandai menghormati orang tua, suka menolong, pandai memujuk dan taat pada ibadah.

8. Fikirkan apa sahaja yang kita buat, nescaya kita akan dapati yang manusia lakukan sesuatu kerana lebih daripada satu sebab. Hanya binatang sahaja yang melakukan sesuatu hanya kerana satu sebab.

9. Misalnya, lembu makan rumput kerana dia lapar. Lembu tidak makan rumput kerana hendak menemani kawannya makan, atau makan rumput di suatu tempat kerana rumput di situ lebih sedap dari rumput di tempat lain atau makan rumput untuk menjaga kesihatannya.

10. Kerana itu, mengapa kita tidak boleh mengambil pendirian bahawa kita menulis kerana kedua-duanya iaitu kerana wang dan juga kerana seni? Jmalah kita boleh menulis kerana tiga, empat mahupun sepuluh sebab.

11. Kerana itu, jangan rasa bersalah jika kita mengaku yang kita menulis kerana wang, untuk popular, berkongsi cerita dan inginkan status sebagai penulis. Tetapi, tentu sekali kita menulis kerana sukakan seni menulis itu sendiri.