Ketika kita sedang gembira menanti Ramadan, pemergian bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 73, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Kita hilang seorang penyuluh jalan keimanan. Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi 1 Mei 2019 setelah terjatuh sesudah menunaikan solat subuh.

Jenazah arwah telah disolatkan di Masjid Saidina Hamzah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, selepas Asar.

Sebelum ini, abang kepada allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din iaitu Datuk Seri Dr. Haron Din dan Ustaz Ishak Din telah mendahului menemui pencipta pada tahun 2016. Tiga beradik ini dikenali sebagai ulama yang sentiasa membantu kita mencari jalan yang benar. Pemergian mereka adalah suatu kehilangan yang amat besar buat kita.

Selain daripada memberi ceramah dan kuliah di surau, masjid dan majlis-majlis yang turut dirakam dalam bentuk video dan disebarkan di Youtube, allahyarham Abu Hasan Din al-hafiz turut menulis buku.

Buku Furu' al-Masail (2010) terbitan Telaga Biru
Buku Furu’ al-Masail (2010) terbitan Telaga Biru

Beliau menulis buku-buku mengenai akidah dan tauhid. Di antaranya ialah buku-buku yang ditulisnya ialah, Furu’ al-Masail (2010) sebuah kitab yang membincangkan pelbagai hukum fikah dengan terperinci di bawah tajuk kitab dan bab yang diterbitkan oleh syarikat Telaga Biru.

Buku Mahir Tajwid terbitan Galeri Ilmu
Buku Mahir Tajwid terbitan Galeri Ilmu

Buku Mahir Tajwid mengenai asas ilmu membaca al-Quran pula diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Selain itu, buku 40 nasihat Terbaik Penyubur Iman, terbitan Utusan Karya juga adalah hasil karangannya.

40 Nasihat Terbaik Penyubur Iman terbitan Utusan Karya
40 Nasihat Terbaik Penyubur Iman terbitan Utusan Karya

Lain-lain buku tulisannya ialah Hakikat Kepimpinan & Rumahtangga, Ke arah Keimanan, Panduan Sujud-sujud dan Mengenal Asas Ilmu Tauhid.

Marilah kita sedekahkan al-Fatihah agar ruh allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din kembali sejahtera dan dihimpunkan bersama mereka yang beriman. Marilah kita ikuti penyampaian ilmu terakhir allahyarham:

Mudah-mudahan kita memperoleh barakah. Innalilah wainailaihi rajiun.