BLOG

Pesta Buku Malam Hari di Emiriah Arab Bersatu

Pesta Buku Malam Hari di Emiriah Arab Bersatu

Bandaraya Sharjah – foto oleh wikipedia.com

Lembaga Buku Sharjah akan menganjurkan Pesta Buku Emirati yang pertama dari 26 hingga 28 Mei sebagai memperingati 26 Mei sebagai Hari Penulis Emirati.

Acara budaya selama tiga hari ini adalah sebahagian daripada perayaan Sharjah sebagai Kota Buku Dunia pada tahun ini. Pesta Buku Emirati yang melibatkan 22 penerbitan dan para penulis serta cendekiawan negara ini akan diadakan di ibupejabat Lembaga Buku Sharjah. Pesta buku ini akan diadakan dari jam 9.30 malam hingga 12.30 pagi.

Seorang pembaca memilih buku bacaan – foto oleh The National

Ribuan naskhah buku karya penulis Emiriah Arab Bersatu akan terpamer di pesta buku ini. Para pengunjung akan dibawa menghadiri seminar dan perbincangan yang dihos oleh ramai penulis kreatif Emiriah.  

Pengerusi Lembaga Buku Sharjah Ahmad bin Rakkad Al Ameri berkata, “Pameran ini memberi peluang kepada para penulis Emiriah untuk menunjukkan karya dan pengalaman mereka kepada penerbit dan juga khalayak ramai.”

Pic 3: Pesta Buku Antarabangsa Sharjah – foto business wire

Sharjah adalah bandaraya yang ketiga besar di Emiriah Arab Bersatu. Berbanding dengan bandaraya Dubai yang lebih modern, Sharjah pula adalah kota budaya. Arkitektur perumahan dan muziumnya menggambarkan budaya Emiriah.

Tulis Novel Bukan Macam Buat Cekodok!

Tulis Novel Bukan Macam Buat Cekodok!

Sedapnya cekodok sebab resipi. Sedapnya novel apa sebabnya? – foto oleh vitdaily.com

1. Sekali sekala saya akan bertemu dengan novelis yang berselisih pandangan dengan editornya. Biasalah, bila novelis mengarang, dia rasa tulisannya itulah yang paling baik. Tetapi bila sampai ke tangan editor, berlaku sebaliknya.

2. Karya yang dirasakan elok itu dikatakan oleh editor sebagai karya yang tidak menarik, separuh masak mahupun stereotaip. Bila karya yang dirasakan best oleh penulisnya dinilai sebagai tidak bagus oleh editornya, maka mulalah timbul persepsi negatif novelis terhadap editor.

3. Perkara ini timbul lebih-lebih lagi apabila karya novelis sebelum ini mendapat sambutan yang amat baik dari pembaca. Barangkali dalam masa sebulan ia terbit, cetakan kedua sudah ditempah kerana kehabisan stok. Bila novel sebelum itu mendapat sambutan baik, bagaimana novel yang berikut ini dinilai sebagai kurang baik oleh editornya?

4. Itulah yang selalu bermain di hati novelis. Rasa geram terhadap editor memang bercampur baur. Hati yang jahat selalu menuduh yang editor ini saja-saja hendak mendengki. Terasa seolah-olah editor tu hendak sekat periuk nasi dia.

5. ‘Dah bertahun aku tulis cerita ni. Dah berpuluh kali aku edit. Ada ke patut editor kata cerita aku tak menarik! Novel aku sebelum ini meletup-letup dan sold-out. Mana mungkin karya aku yang ini dikatakan ala-ala?’

6. Benarkah apabila sesebuah karya itu mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh para  peminat, bagi yang sudah punyai karya meletup-letup, dia mula rasa karyanya yang berikutnya mesti bestseller juga? Mana mungkin novel berikutnya tak menarik?

7. Heloooo. Menulis novel bukan macam buat cekodok. Kalau seseorang pandai buat cekodok yang sedap, yang garing di luar, lembut di dalam… esok dia buat lagi cekodok… dia ramas pisang dan uli bersama tepung dalam sukatan yang sama juga.

8. Minggu depan, bulan depan, tahun depan, ramuannya tetap sama. So, cekodok bulan lepas dan tahun depan sama aje rasanya. Mestilah cekodoknya sedap sebab resipi dan cara membuatnya serupa.

9. Tapi menulis novel tak sama. Novel pertama menarik sebab tema cinta tiga segi sampai meletup-letup hingga orang beratur nak beli. Tapi novel kedua tak menarik sebab tema cinta lapan segi! Jadi, kalau novel pertama laku, novel kedua tak semestinya laku sebab formula dan jalan ceritanya berbeza. Tak sama macam resipi buat cekodok!  

10. Jangan salahkan editor. Mereka tak ada masa nak dengkikan kita. Mereka kena edit banyak lagi buku lain oleh novelis lain. Kitalah yang kena betul-betul jujur pada diri sendiri. Yang penting, akui kelemahan diri.

11. Kalau editor kata novel kita tak sedap, terimalah dengan dada terbuka sebab editorlah pembaca rasmi pertama novel kita. Kalau kita lepas dari saringan dia, novel kita ada “can” laris di pasaran!

The Very Hungry Catepillar oleh Eric Carle

The Very Hungry Catepillar oleh Eric Carle

Bahasa: Bahasa Inggeris
Genre: Kanak-Kanak
Penerbitan: 2017, DrBashi
Halaman: 48
Penulis: Golbarg Bashi (Twitter)
Illustrator: Golrokh Nafisi


Pementasan The Hungry Caterpillar – foto oleh marcieinmommyland.com

The Very Hungry Caterpillar ialah buku bergambar kanak-kanak yang ditulis dan dilukis oleh Eric Carle. Mula diterbitkan pada 1969, ia mengisahkan bagaimana seekor ulat bulu yang menetas dari telur dan mula makan apa sahaja yang ditemuinya.  Akhirnya, ulat bulu ini membesar gemuk dan membina kepompong di sekeliling dirinya sebelum akhirnya muncul sebagai rama-rama yang cantik.

Buku ini terjual lebih 50 juta naskhah di seluruh dunia dan dikenali sebagai  salah sebuah buku kanak-kanak yang paling hebat di sepanjang zaman.

Terdapat beberapa buah buku lain yang berkaitan dengan buku asal sebagai versi alat bantuan belajar seperti buku mewarna, mengeja dan kraf. Cerita di buku ini juga biasa menjadi tajuk pementasan.

Eric Carle dengan bukunya The Hungry Caterpillar – foto oleh http://ericcarleblog.blogspot.com/

Menurut Eric Carle, “The Very Hungry Caterpillar adalah salah sebuah daripada 70 buah buku yang pernah saya tulis dan lukis. Pada akhir tahun 60an, apabila saya melukis untuk buku Bill Martin berjudul Brown bear, Brown Bear, What Do You See saya mula berminat untuk menulis dan melukis buku kanak-kanak.”

Buku ini kembali popular kerana tahun ini merupakan ulangtahun ke-50 penerbitan buku ini.

Berita terkini mengenai Eric Carle, buku The Hungry Caterpillar dan pameran ada di website rasmi Eric Carle di : http://www.eric-carle.com/home.html

Menjadi Bijak dengan Menulis

Menjadi Bijak dengan Menulis

SEBELUM internet menjadi popular  sekitar 25 tahun yang lalu, peluang untuk kita menulis kian berkurang apabila menamatkan alam persekolahan atau pengajian. Tabiat menulis diari di dalam buku khas ataupun menulis puisi di cebisan-cebisan kertas mula ditinggalkan. 

2. Dalam dunia pekerjaan pula, menulis surat rasmi, minit mesyuarat atau laporan, tidak mengasah bakat penulisan kita sepenuhnya kerana apa yang ditulis adalah sesuatu yang formal. Kesibukannya di pejabat mahupun kilang menjadikan kita menghibur diri bersendirian secara pasif seperti menonton dan membaca.

3. Jika pun berekreasi secara berkumpulan, mungkin sekali kita akan lakukan dengan cara bersukan, berkelah, menari atau melancong. Aktiviti menulis secara kreatif sebagai salah satu cara berekreasi semakin dikesampingkan. 

4. Kemunculan internet bukan sahaja membolehkan kita membaca apa sahaja yang diingini. Malah, ramai di antara kita yang dapat kembali peluang mengasah bakat menulis.

5. Jika pada mulanya tidak ramai yang mampu menulis panjang-panjang kerana jurnal atau blog, lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya 250 hingga 300 perkataan; kini, kemunculan laman sosial seperti  Instagram Facebook dan Twitter membolehkan sesiapa sahaja menulis dan melahirkan fikiran dengan ayat-ayat yang pendek.

6. Tetapi ada satu cabaran awal bila kita ingin menulis. Cabaran itu ialah bagaimanakah kita mengkoordinasi aliran pemikiran yang laju dengan kemampuan menaip kita yang perlahan.

7. Ada ketikanya, sesebuah idea yang hendak ditulis itu sudah ada, tetapi kita kurang kemahiran menaip menjadikan idea itu terbang entah ke mana bila jejari kerap terperlus di celah-celah kekunci.

8. Cabaran awal ini boleh diatasi dengan mengempang sesebuah idea itu agar ia mengalir sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kita menaip. Pengempangan idea itu bukan sahaja membolehkan kita mengkoordinasi idea ke jejari dan terpapar ke skrin, malah cara ini membolehkan kita mengatur dahulu apa yang hendak ditulis dengan mengimaginasikan susunannya di kotak fikiran. 

9. Hasilnya, menulis itu membolehkan seseorang mempunyai fikiran yang tersusun dan terarah. Pemikiran yang tersusun dan terarah ini amat penting di zaman yang serba pantas ini.

10. Apabila perubahan dunia dan teknologinya semakin laju dan kepelbagaian pilihan bisa mengundang risiko kesilapan, kemahiran menulis sebenarnya dapat mengurus fikiran agar sesuatu tulisan yang dibuat itu holistik, jitu dan tepat.

11. Lihatlah perbezaan pemikiran para ilmuan, cendekiawan dan teknokrat yang boleh menulis atau sebaliknya. Mereka yang berkebolehan menulis akan mempamer karektor yang berwibawa.

12. Fikirannya kritis, pandangannya jauh dan kehadirannya menzahirkan aura mereka yang di sekelilingnya. Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir adalah di antara mereka mempamerkan pemikiran yang tajam dan jauh kerana berkemahiran menulis. 

13. Sebaliknya, mereka yang hanya mahir bertutur tanpa berkemahiran menulis kerapkali mengulang perkara yang serupa, memanjangkan idea orang lain atau bertutur secara retorik semata-mata. Pendek kata, banyak kuah daripada isi dalam tutur katanya.

14. Cubalah menulis lebih panjang daripada biasa. Dari sepotong ayat menjadi satu para, daripada satu para kepada lima para dan seterusnya. Cuba juga menulis apa yang orang lain ingin baca, tidak kira pengalaman atau kejadian yang berlaku, asalkan daripada sudut pandang kita sendiri.

15. Mulalah dengan meninggalkan ayat-ayat klise atau cerita-cerita yang sudah ramai sangat orang lain tuliskan seperti apa yang kita makan atau di mana kita berada. Jika pun ingin memaparkan tulisan orang lain dengan cara cut and paste mahupun share, biarlah ia disertai dengan ulasan kita mengenai apa yang kita paparkan.

16. Kita patut mengelak daripada menulis sesuatu yang kita tidak tahu seperti memberi komen terhadap seseorang terutamanya jika kita tidak pernah menemui orang yang kita komen itu.

17. Bagaimana kita memberi komen terhadap seseorang yang kita tidak kenal? Kita juga tidak adil kepada diri seandainya memberi ulasan mengenai sesuatu kejadian padahal kita tidak berada di situ. 

18. Yang penting, kita mesti tahu apa yang kita lakukan. Bawah sedar kita akan mengisyaratkan ke hati kita sendiri sama ada apa yang ditulis itu baik atau buruk. Jika tulisan itu baik, hari kita akan senang. Andai sebaliknya perasaan resah akan mengganggu setelah menulis sesuatu yang tidak bagus untuk tatapan orang lain. 

Ekslusif Bersama: Aisya Sofea. Inilah Aisya Sofea yang Sebenar!

Ekslusif Bersama: Aisya Sofea. Inilah Aisya Sofea yang Sebenar!

Aisya Sofea bersama rakan-rakan penulis dari kiri Damya Hanna, Aisya, Eka Fahara, Norzailina Nordin dan Weeda Airiza.

Hanizura binti Jamalluddin.  Aisya Sofea adalah nama pena yang digunakan penulis sejak 1997, ketika mula menceburi dunia penulisan novel pertama berjudul Jauh. Mendapat jolokan novelis kisah cinta di kalangan para peminatnya, kehadiran Aisya Sofea sejak setahun dua ini kelihatan mendatar. Tiba-tiba muncul novel terbaharunya yang ke-17, Antara Cinta Kita yang seolah-olah mengembalikan Aisya Sofea yang original ~ yang segar tetapi lembut dalam ayat-ayat cintanya. Mari kita tanya mengenai novelnya yang terkini…

Boleh perkenalkan novel Antara Cinta Kita? 
Antara Cinta Kita atau ACK adalah cerita sebuah romantik – heavy story yang sarat dengan emosi dan kekeluargaan.  Penuh dengan pengajaran yang boleh diambil sebagai panduan.

Novel Antara Cinta Kita karya Aisya Sofea
Cover novel Antara Cinta Kita karya Aisya Sofea

Apa yang jadi pencetus kepada novel ini? 
Asalnya plot ceritanya paling mudah. Tetapi editor menasihatkan saya menukar kepada sebuah cerita yang lebih menarik dan ‘lain dari yang lain.’  Novel itu dirombak dan lahirlah ACK.

Apa yang Aisya suka mengenai novel ini? 
Saya suka ACK kerana jalan cerita yang sangat cantik.  Selain dari gelojak emosi, ada juga scene-scene yang mampu membuatkan pembaca tersenyum.  Jika anda adalah pembaca setia saya, tidak sah jika cerita saya tiada scene yang mendayu dan mencengkam perasaan.

Apakah ada mana-mana adegan dalam novel ini yang menyentuh emosi Aisya? 
Ada beberapa adegan yang menyentuh emosi saya sebenarnya.  Di antaranya, ketika Yusuf cuba menawan hati batu isterinya.  Diheret begitu sahaja isterinya itu berbulan madu ke Penang.  Kemudian ketika Ana keguguran dek suami yang bermain cinta dengan teman baik Ana.  Dan ketiga, bagaimana Yusuf mahu menawan sekali lagi perasaan isterinya yang saat itu dibelenggu dengan 1001 macam kesalahan yang telah dilakukan terhadap isterinya.  Seperti yang saya kata tadi, ACK adalah cerita cinta yang menarik dan sarat dengan pelbagai emosi.

Bagaimana teknik Aisya menulis novel ini? Menurut turutan dari bab satu hingga akhir atau bagaimana? 
Selama ini saya menulis ikut mood.  Ada kalanya tidak menurut turutan bab.  Tapi untuk ACK, saya menulis dari mula hingga ke penamat.

Aisya Sofea bersama peminat di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur

Dari 1-5 bintang, berapa bintang Aisya berikan pada novel ini? 
Dah tentu 5*!

Beritahu sebab apa Aisya beri 5 bintang? 
Sebab ianya sebuah cerita yang lengkap.  Ada suka, ada geram, ada marah dan ada sedih bagaikan jiwa disagat. ACK juga penuh dengan nilai kasih sayang di antara ibubapa dan keluarga.  Ada juga pengajaran yang boleh diambil dari cerita ini.  Dan saya juga ingin agar setiap buku yang saya tulis, turut menunjukkan kematangan saya dalam penulisan dari setahun ke setahun.  Tentunya ACK yang terbaik daripada saya.

Sekarang sedang menulis novel berikut?
Buat masa sekarang sedang menyiapkan Kau Untukku versi 2019. Saya sedang murnikan bahasa dan jalan ceritanya untuk disesuaikan dengan waktu kini.  Selepas KU2019 saya akan mulakan dengan novel terbaru saya insyaAllah.  

Si kecil pun meminati Aisya Sofea

Apa harapan Aisya dengan novel ini? 
Semoga novel ini berjaya memikat hati para pembaca. Dan semoga novel terbaru untuk 2020 akan lebih berjaya dari novel ACK, insyaAllah.  Doakan saya ye!

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]