Aisya Sofea bersama rakan-rakan penulis dari kiri Damya Hanna, Aisya, Eka Fahara, Norzailina Nordin dan Weeda Airiza.

Hanizura binti Jamalluddin.  Aisya Sofea adalah nama pena yang digunakan penulis sejak 1997, ketika mula menceburi dunia penulisan novel pertama berjudul Jauh. Mendapat jolokan novelis kisah cinta di kalangan para peminatnya, kehadiran Aisya Sofea sejak setahun dua ini kelihatan mendatar. Tiba-tiba muncul novel terbaharunya yang ke-17, Antara Cinta Kita yang seolah-olah mengembalikan Aisya Sofea yang original ~ yang segar tetapi lembut dalam ayat-ayat cintanya. Mari kita tanya mengenai novelnya yang terkini…

Boleh perkenalkan novel Antara Cinta Kita? 
Antara Cinta Kita atau ACK adalah cerita sebuah romantik – heavy story yang sarat dengan emosi dan kekeluargaan.  Penuh dengan pengajaran yang boleh diambil sebagai panduan.

Novel Antara Cinta Kita karya Aisya Sofea
Cover novel Antara Cinta Kita karya Aisya Sofea

Apa yang jadi pencetus kepada novel ini? 
Asalnya plot ceritanya paling mudah. Tetapi editor menasihatkan saya menukar kepada sebuah cerita yang lebih menarik dan ‘lain dari yang lain.’  Novel itu dirombak dan lahirlah ACK.

Apa yang Aisya suka mengenai novel ini? 
Saya suka ACK kerana jalan cerita yang sangat cantik.  Selain dari gelojak emosi, ada juga scene-scene yang mampu membuatkan pembaca tersenyum.  Jika anda adalah pembaca setia saya, tidak sah jika cerita saya tiada scene yang mendayu dan mencengkam perasaan.

Apakah ada mana-mana adegan dalam novel ini yang menyentuh emosi Aisya? 
Ada beberapa adegan yang menyentuh emosi saya sebenarnya.  Di antaranya, ketika Yusuf cuba menawan hati batu isterinya.  Diheret begitu sahaja isterinya itu berbulan madu ke Penang.  Kemudian ketika Ana keguguran dek suami yang bermain cinta dengan teman baik Ana.  Dan ketiga, bagaimana Yusuf mahu menawan sekali lagi perasaan isterinya yang saat itu dibelenggu dengan 1001 macam kesalahan yang telah dilakukan terhadap isterinya.  Seperti yang saya kata tadi, ACK adalah cerita cinta yang menarik dan sarat dengan pelbagai emosi.

Bagaimana teknik Aisya menulis novel ini? Menurut turutan dari bab satu hingga akhir atau bagaimana? 
Selama ini saya menulis ikut mood.  Ada kalanya tidak menurut turutan bab.  Tapi untuk ACK, saya menulis dari mula hingga ke penamat.

Aisya Sofea bersama peminat di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur

Dari 1-5 bintang, berapa bintang Aisya berikan pada novel ini? 
Dah tentu 5*!

Beritahu sebab apa Aisya beri 5 bintang? 
Sebab ianya sebuah cerita yang lengkap.  Ada suka, ada geram, ada marah dan ada sedih bagaikan jiwa disagat. ACK juga penuh dengan nilai kasih sayang di antara ibubapa dan keluarga.  Ada juga pengajaran yang boleh diambil dari cerita ini.  Dan saya juga ingin agar setiap buku yang saya tulis, turut menunjukkan kematangan saya dalam penulisan dari setahun ke setahun.  Tentunya ACK yang terbaik daripada saya.

Sekarang sedang menulis novel berikut?
Buat masa sekarang sedang menyiapkan Kau Untukku versi 2019. Saya sedang murnikan bahasa dan jalan ceritanya untuk disesuaikan dengan waktu kini.  Selepas KU2019 saya akan mulakan dengan novel terbaru saya insyaAllah.  

Si kecil pun meminati Aisya Sofea

Apa harapan Aisya dengan novel ini? 
Semoga novel ini berjaya memikat hati para pembaca. Dan semoga novel terbaru untuk 2020 akan lebih berjaya dari novel ACK, insyaAllah.  Doakan saya ye!