BLOG

Buku Tak Laku Kerana Mahal?

Buku Tak Laku Kerana Mahal?

SEMALAM saya diundang makan tengahari bersama tiga orang aktivis buku. Sambil menjamu selera, mereka meminta pandangan saya mengenai pasaran buku pada masakini.

2. Menurut mereka, pasaran buku sudah lesu. Soal mereka, apakah kelesuan pasaran buku kini sama dengan keadaan yang saya alami ketika gawat pada tahun 1997 dahulu?

3. Jawapan saya, keadaan 20 tahun lalu tatkala saya menerajui syarikat penerbitan Alaf 21 hanya sama daripada segi kelembapannya sahaja. Tetapi, faktor-faktor melesetnya pasaran buku adalah berbeza.

4. Pada zaman gawat dahulu, khalayak pembaca memang kurang. Oleh kerana itu, kegawatan ekonomi tatkala itu bukannya penyebab lesunya industri buku ketika itu.

5. Khalayak pembaca buku tatkala itu hanyalah tergolong di kalangan mereka di dunia pendidikan iaitu golongan pensyarah, guru, mahasiswa dan para pelajar. Masyarakat tidak meminati buku. Ibubapa hanya singgah ke kedai buku pada waktu awal tahun untuk membeli buku-buku teks anak-anak mereka.

6. Buku-buku umum tidak banyak. Novel-novel sebagai bahan bacaan untuk menjinakkan pembaca kepada buku pun sedikit. Syarikat yang aktif menerbitkan novel iaitu Creative Enterprise memang membekal novel. Namun jumlah pembacanya pun belum ramai meskipun mereka berjaya mengumpul kabilah pembaca yang tersendiri.

7. Kalau adapun buku-buku yang sentiasa diulangcetak hanyalah kitab-kitab rumi mengenai doa-doa lazim, jenis-jenis solat sunat, panduan solat mahupun panduan mandi junub. Kitab kecil Yassin dan al-Quran memang menjadi bahan bacaan yang diulangcetak. Namum, jualannya begitu-begitu sahaja.

8. Pada hemat saya, kelesuan dunia pembacaan pada hari ini bukan semata-mata kerana keadaan ekonomi di mana harga barang-barang melambung. Buku, sebagai bahan bacaan secara relatifnya memang lebih mahal.

9. Tetapi, harganya bukan menjadi penyebab pembaca semakin kurang memilihnya. Sebaliknya, ia tertumpu kepada kualiti bahan bacaan itu sendiri.

10. Buku adalah santapan minda, seperti juga makanan untuk santapan perut. Peminat buku, sama juga seperti peminat makanan tidak akan berkira seandainya hidangan yang disajikan itu menepati citarasa. Apa yang kita hadapi pada hari ini adalah imej industri buku yang tidak menyelerakan!

11. Sebenarnya, kemunculan syarikat-syarikat kecil dalam penerbitan buku yang lebih dikenali sebagai syarikat-syarikat indie menarik golongan baharu dalam meminati buku. Judul-judul yang selamba dan garang memang menarik mereka yang belum rapat dengan dunia pembacaan. Kemunculan buku-buku indie yang menggunakan bahasa yang santai dan lepas ini telah berjaya mengumpul tribe yang tersendiri.

12. Tetapi, penerbit-penerbit yang tersohor pula berasa tercabar dengan kemunculan syarikat-syarikat indie ini. Mereka berasakan khalayak mereka akan beralih arah untuk memilih buku-buku indie pula. Lalu, penerbit-penerbit ini cuba mengadaptasi genre penerbitan mereka untuk menyaingi aliran baharu ini.

13. Akibatnya, penerbit-penerbit yang besar ini hilang fokus. Mereka meninggalkan kubu kekuatan masing-masing. Dengan stamina pemasaran dan kewangan yang kukuh, mereka berjaya mendapat secebis segmen pembaca buku-buku jenis indie ini. Tetapi, malangnya mereka telah meninggalkan golongan pembaca setia mereka yang selama ini telah bersama mereka.

14. Mungkin bukan seperti situasi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran secara total. Tetapi, mereka hilang sebahagian besar pengikut yang setia pada jenama mereka. Ditambah dengan pengaruh internet yang punyai beranika persembahan dalam bentuk tulisan, imej dan video, golongan yang setia pada buku-buku konvensional ini akhirnya meninggalkan dunia pembacaan buku.

15. Sebenarnya, jenama penerbit pun sudah tenggelam dan larut. Tiada sebuah syarikat penerbitan pun yang boleh mendakwa bahawa syarikatnyalah yang paling terkenal dan menjadi pilihan ramai. Pada hari ini, sesiapa sahaja boleh menerbitkan buku. Dan, jumlah buku yang diterbitkan begitu banyak.

16. Penulis-penulis buku sendiri pun tidak seprolifik dahulu. Ramai yang handal-handal semakin jarang menulis. Ini menjadikan peminat-peminat mereka kehilangan minat untuk mendapatkan karya penulis-penulis lain dan akhirnya hilang minat membaca buku samasekali.

17. Banyaknya judul buku, penulis tersohor tidak rajin menulis, banyaknya penerbit buku, penerbit buku besar menerbitkan buku untuk segmen kecil dan ditambah dengan indah dan mengancamnya dunia internet telah membuat khalayak pembaca putus selera untuk membaca buku. Di pasaran kita sudah tidak kenal siapa penerbit tersohor, siapa penulis terhebat atau apa buku terlaris.

18. Khalayak nampak semuanya lebih kurang sama. Tiada yang hebat. Bila khalayak bingung, mereka akan berpaling dan berlalu. 

19. Semuanya ini bukan kerana harga buku yang mahal!

Ordinary People – Kisah Orang Biasa

Ordinary People – Kisah Orang Biasa

Bahasa: Bahasa Inggeris
Genre: Kanak-Kanak
Penerbitan: 2017, DrBashi
Halaman: 48
Penulis: Golbarg Bashi (Twitter)
Illustrator: Golrokh Nafisi


INI ADALAH sebuah novel mengenai perhubungan dua pasang sahabat.

Mellisa dan Michael masih bertunang meskipun sudah 13 tahun. Melissa adalah bekas editor sebuah majalah fesyen yang terpaksa berhenti kerja kerana hendak menyara anaknya, Ria dan Blake. Michael pula mendambakan perhubungan mereka seperti dulu-dulu.

Diana Evans ~ foto The Guardian

Oleh kerana berasa tidak dipedulikan, Michael cuba mengisi kekosongan hatinya lalu tertarik dengan seorang gadis di pejabatnya.

Tetapi Michael masih ingin setia lalu cuba mendekatkan dirinya dengan Melissa. Tetapi Melissa tetap berdegil dan mengutamakan anak-anaknya.

Kulit novel Ordinary People ~  foto The guardian

Pada waktu yang sama, Damian pula amat kecewa dengan isterinya Stephanie. Wanita itu lebih suka tinggal di pinggir kota sedangkan Damian ingin tinggal di kota untuk mengembangkan bakatnya sebagai seorang penulis.

Sambil bermain dengan elemen emosi dan pemerhatian psikologi, penulis berjaya membicarakan soal pengorbanan dalam karyanya. Pembaca yang ingin mengetahui mengenai dinamika perhubungan akan menjadikan novel ini sebagai bahan untuk renungan.

Diana bersama peminatnys ~ foto twitter
Industri Manga di Jepun Terpukul dengan Webtoon Korea

Industri Manga di Jepun Terpukul dengan Webtoon Korea

NEGARA JEPUN sudah lama terkenal dengan kehebatan komik manganya. Tetapi saingan daripada luar negara khususnya Korea Selatan mula menjejas industri itu.

Seorang kanak-kanak Jepun membaca manga ~ foto wikipedia

Di Korea, kartun dalam talian atau yang dikenali sebagai webtoon mula mengerhanakan kedudukan manga Jepun. Sejak beberapa tahun lalu, apabila komik web Korea memasuki Jepun, ia telah membina ‘kabilah digital’ yang tidak meminati format komik bercetak. Mereka lebih gemar membaca komik dari aplikasi secara atas talian.

Persoalan yang timbul, apakah sudah sampai masanya penerbit manga di Jepun mengubah pendekatan persembahan mereka untuk kekal di pasaran? Pendapat di kalangan pemain industri manga di Jepun nampaknya berbelah bahagi.

Deretan manga di sebuah kedai di Jepun – foto Japan Update

Namun, Hideki Egami, mantan pengarang penerbitan Shogakukan pasti mereka patut beralih ke dunia digital.

“Jualan komik di Jepun sudah lama menurun. Kita tak tahu setakat mana ia akan menguncup. Webtoons adalah satu-satunya cara untuk ke hadapan.”

‘True beauty,’ sebuah webtoon yang mengisahkan seorang gadis biasa yang menjadi gadis tercantik di sekolah setelah belajar bermekap, kini menarik perhatian para pembaca di Jepun. Format komik yang boleh di akses di komputer dan telefon pintar telah membantu mempopularkan True Beauty.

True Beauty, webtoon Korea yang menawan hati pembaca manga Jepun ~ foto goodreads

Meskipun manga secara online adalah jawapan Jepun bagi komik digital yang memuatkan judul-judul manga yang menarik, ia masih tidak dapat menandingi True Beauty.

Lagi pun, para pembaca di Jepun tidak dapat membezakan samada komik yang mereka baca itu berasal dari negara mereka atau negara lain seperti Korea. Webtoon pula pantas untuk menjelma dengan nama watak dan nama lokasi dengan nama Jepun. Dengan itu para pembaca di jepun mula selesa dengan kehadiran webtoon.

Inilah strategi pemasaran yang Korea gunakan untuk pasaran di Jepun kerana para pembaca di Jepun tidak suka bahan bacaan berunsurkan Korea.

Membaca webtoon di telefon mengatasi membaca manga bercetak ~ foto top apps like

Kepopularan manga selama ini melangkaui ke sempadan global. Tetapi dengan kemunculan komik webtoon dari Korea dan kini dari negara China, pembaca dari negara tersebut mula meninggalkan manga dan beralih kepada hasil karya tempatan.

Apakah manga di Jepun akan berkubur? Apa yang pasti, ramai pengkarya di negara Jepun itu sendiri akan mempertahankan industri yang berusia lebih seabad itu.

*Adaptasi artikel Tomohiro Osaki

https://www.japantimes.co.jp/news/2019/05/05/business/tech/south-koreas-booming-webtoons-put-japans-print-manga-notice/#.XPFsfxYzaUl

SURVIVAL – Membunuh untuk Hidup

SURVIVAL – Membunuh untuk Hidup

ARIFFUL BAQI adalah seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Jasmani. Minatnya terhadap penulisan membawa beliau menjadi seorang novelis. Beliau menulis Korban, Kiub dan Seteru sebelum menulis novel SURVIVAL.

Kulit novel SURVIVAL yang bakal berada di pasaran selepas Aidilfitri

Novel keempatnya kini dalam proses percetakan dan bakal emnemui para peminatnya selepas Aidilfitri. Kita ikuti EKSKLUSIF BERSAMA, ARIFFUL BAQI…

SURVIVAL  ni, novel apa? Cuba cerita sikit…

SURVIVAL merupakan sebuah novel bergenre thriller. Ia mengisahkan tentang sekumpulan banduan yang dibawa dari serata negara menjalani Program Pengampunan Banduan di sebuah pulau. Tanpa disangka, syarat untuk Lulus dalam program tersebut, mereka perlu berbunuhan sesama sendiri. 

Mana dapat idea nak menulis SURVIVAL, ni?

Idea menulis novel ni datang secara spontan. Atas ilham daripada ALLAH SWT jua. Pertama kali mengetengahkan idea cerita ini di media sosial, ada yang mengatakan ceritanya mempunyai persamaan dengan filem Jepun bertajuk Battle Royale. Entahlah. Saya tak pasti sebab sampai sekarang saya tak pernah lagi tonton filem tu. Tapi saya berani pasti, motif dan jalan cerita dalam novel ni tak sama dengan mana-mana cerita yang ada sebelum ini.

Arifful bersama Karl El yang meminati karyanya

Apa beza SURVIVAL dengan novel saudara yang lain?

SURVIVAL merupakan novel solo keempat saya selepas Korban, Kiub dan Seteru. Tidak termasuk karya saya dalam Projek Thriller Cip, Projek Thriller Rantai dan Projek Seram Grab. Tak terlalu banyak perbezaan SURVIVAL dengan novel-novel sebelum ini. Kerana tema penulisan saya tetap berada di jalan thriller dan sai-fai.

Cuma, yang membezakannya mungkin aras ketinggian fantasi dalam sesebuah cerita yang saya tulis. Sebagai contoh, dalam Korban dan Seteru banyak elemen fantasi yang mengetengahkan tentang pendekar sakti yang mempunyai kuasa luar biasa, berlawan dengan makhluk kejahatan. Tetapi dalam SURVIVAL, semua wataknya ialah manusia yang bergelar penjenayah. Mempunyai realiti kehidupan manusia biasa tanpa unsur magis yang melampaui imaginasi. 

Berapa lama saudara ambil untuk menyiapkan novel ini?

Novel SURVIVAL karya paling lama untuk disiapkan. Kebiasaannya, saya ambil masa antara tiga hingga lima bulan untuk menyiapkan sebuah karya solo. Tetapi SURVIVAL mengambil masa hampir dua tahun.

Berfoto bersama kak Shimah Basri dan kak Maria

Apa yang saudara suka mengenai novel ini?

Cover novel ini. Juga kisah manusia berdosa yang mahu kembali hidup bertuhan.

Apakah ada scene atau dialog benar dalam hidup saudara 
yang dimasukkan ke daam novel ini?

Sebarang babak dan dialog dalam cerita ini adalah rekaan semata-mata.

Apa harapan saudara ke dengan novel ini?

Saya harap karya ini dapat diterima semua pembaca novel di Malaysia dan tak keterlaluan jika saya berimpian agar suatu hari nanti, novel ini akan diterjemah dan dipasarkan ke serata dunia. InsyaAllah.

Bersama Novelis Thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid

Macam mana nak dapatkan novel ini?

Novel ini boleh ditempah melalui laman web Karangkraf Mall melalui pautan ini: https://www.karangkrafmall.com/projek-thriller-survival.html

Bila SURVIVAL di pasaran?

InsyaAllah mungkin akan menemui pembaca selepas Syawal nanti.

Apakah sedang menulis novel seterusnya?

Ya, saya sedang menulis sebuah novel thriller baharu. Mengenai makhluk yang merangsang manusia untuk terus melakukan dosa pembunuhan. InsyaAllah, saya tak akan berhenti menulis sehingga berjaya menghasilkan karya terbaik yang dicintai pembaca di Malaysia. 

Boleh tak berikan FB, IG atau Twitter untuk peminat?

Saya boleh dihubungi di Facebook- Arifful Baqi

Instagram- Ariffalbaqi

Jika ada karya saya yang mahu diulas atau dikritik, jangan ragu-ragu untuk biar saya tahu. 

Jom ke Pesta Buku dalam Taman di Madrid

Jom ke Pesta Buku dalam Taman di Madrid

PESTA BUKU MADRID 2019 akan berlangsung selama 16 hari mulai 31 Mei hingga 16 Jun bertempat di Madrid Retiro Park.

Suasana santai di Pesta Buku Madrid ~ foto esmadrid

Pesta yang dianjurkan sejak 1933 ini adalah salah satu acara budaya utama bagi pencinta buku dan kesusasteraan di Sepanyol. Jika pesta-pesta buku lain diadakan di dalam dewan, Pesta Buku Madrid ini diadakan di tempat terbuka iaitu di sepanjang Jalan Paseo de Carruajes di Taman Retiro di Madrid.

Suasana pesta buku pada tahun lalu ~ foto spain info

Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mengikuti persembahan sastera terkini dan juga untuk menemui penulis kegemaran mereka.  Di antara penulis popular Sepanyol termasuklah Miguel de Cervantes yang popular dengan hasil karyanya, ‘Don Quijote de la Mancha’.

Pada tahun 2019, Dominican Republic merupakan negara tetamu. Program yang akan berlangsung termasuklah bicara buku, ceramah dan aktiviti meraikan kesusasteraan, kultural dan kreatif Dominican Republic yang lain.

Bandaraya Madrid ~ foto daily express

Madrid merupakan ibukota pusat Sepanyol. Ia merupakan sebuah bandar yang terkenal dengan seni Eropah, termasuk karya-karya Museum Prado oleh Goya dan Vel·zquez.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]