ARIFFUL BAQI adalah seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Jasmani. Minatnya terhadap penulisan membawa beliau menjadi seorang novelis. Beliau menulis Korban, Kiub dan Seteru sebelum menulis novel SURVIVAL.

Kulit novel SURVIVAL yang bakal berada di pasaran selepas Aidilfitri

Novel keempatnya kini dalam proses percetakan dan bakal emnemui para peminatnya selepas Aidilfitri. Kita ikuti EKSKLUSIF BERSAMA, ARIFFUL BAQI…

SURVIVAL  ni, novel apa? Cuba cerita sikit…

SURVIVAL merupakan sebuah novel bergenre thriller. Ia mengisahkan tentang sekumpulan banduan yang dibawa dari serata negara menjalani Program Pengampunan Banduan di sebuah pulau. Tanpa disangka, syarat untuk Lulus dalam program tersebut, mereka perlu berbunuhan sesama sendiri. 

Mana dapat idea nak menulis SURVIVAL, ni?

Idea menulis novel ni datang secara spontan. Atas ilham daripada ALLAH SWT jua. Pertama kali mengetengahkan idea cerita ini di media sosial, ada yang mengatakan ceritanya mempunyai persamaan dengan filem Jepun bertajuk Battle Royale. Entahlah. Saya tak pasti sebab sampai sekarang saya tak pernah lagi tonton filem tu. Tapi saya berani pasti, motif dan jalan cerita dalam novel ni tak sama dengan mana-mana cerita yang ada sebelum ini.

Arifful bersama Karl El yang meminati karyanya

Apa beza SURVIVAL dengan novel saudara yang lain?

SURVIVAL merupakan novel solo keempat saya selepas Korban, Kiub dan Seteru. Tidak termasuk karya saya dalam Projek Thriller Cip, Projek Thriller Rantai dan Projek Seram Grab. Tak terlalu banyak perbezaan SURVIVAL dengan novel-novel sebelum ini. Kerana tema penulisan saya tetap berada di jalan thriller dan sai-fai.

Cuma, yang membezakannya mungkin aras ketinggian fantasi dalam sesebuah cerita yang saya tulis. Sebagai contoh, dalam Korban dan Seteru banyak elemen fantasi yang mengetengahkan tentang pendekar sakti yang mempunyai kuasa luar biasa, berlawan dengan makhluk kejahatan. Tetapi dalam SURVIVAL, semua wataknya ialah manusia yang bergelar penjenayah. Mempunyai realiti kehidupan manusia biasa tanpa unsur magis yang melampaui imaginasi. 

Berapa lama saudara ambil untuk menyiapkan novel ini?

Novel SURVIVAL karya paling lama untuk disiapkan. Kebiasaannya, saya ambil masa antara tiga hingga lima bulan untuk menyiapkan sebuah karya solo. Tetapi SURVIVAL mengambil masa hampir dua tahun.

Berfoto bersama kak Shimah Basri dan kak Maria

Apa yang saudara suka mengenai novel ini?

Cover novel ini. Juga kisah manusia berdosa yang mahu kembali hidup bertuhan.

Apakah ada scene atau dialog benar dalam hidup saudara 
yang dimasukkan ke daam novel ini?

Sebarang babak dan dialog dalam cerita ini adalah rekaan semata-mata.

Apa harapan saudara ke dengan novel ini?

Saya harap karya ini dapat diterima semua pembaca novel di Malaysia dan tak keterlaluan jika saya berimpian agar suatu hari nanti, novel ini akan diterjemah dan dipasarkan ke serata dunia. InsyaAllah.

Bersama Novelis Thriller No 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid

Macam mana nak dapatkan novel ini?

Novel ini boleh ditempah melalui laman web Karangkraf Mall melalui pautan ini: https://www.karangkrafmall.com/projek-thriller-survival.html

Bila SURVIVAL di pasaran?

InsyaAllah mungkin akan menemui pembaca selepas Syawal nanti.

Apakah sedang menulis novel seterusnya?

Ya, saya sedang menulis sebuah novel thriller baharu. Mengenai makhluk yang merangsang manusia untuk terus melakukan dosa pembunuhan. InsyaAllah, saya tak akan berhenti menulis sehingga berjaya menghasilkan karya terbaik yang dicintai pembaca di Malaysia. 

Boleh tak berikan FB, IG atau Twitter untuk peminat?

Saya boleh dihubungi di Facebook- Arifful Baqi

Instagram- Ariffalbaqi

Jika ada karya saya yang mahu diulas atau dikritik, jangan ragu-ragu untuk biar saya tahu.