Agamaku, Agamamu Jua
MAAFCAKAP 20.9.2023
Sudah lama saya hendak menulis anekdot-anekdot simple ini sebagai seorang Muslim. Cuma apa yang saya catatkan ini sama sekali bukan ingin menunjuk-nunjuk yang saya ini lebih baik amalan dalam beragama. Namun saya percaya, ada di kalangan anda berdepan dengan tiga situasi yang saya sampaikan di bawah ini tetapi tidak kesampaian untuk mencatatnya.
Situasi 1: Minggu lalu saya berkelana ke luar daerah. Kebetulannya salah satu hari saya mengembara itu jatuh pada hari Jumaat. Memang saya tidak menunaikan solat Jumaat kerana tiba ke sebuah bandar sesudah masuk waktu. Sebagai musafir, saya ambil keputusan untuk menunaikan solat Zohor sahaja.
Saya singgah di sebuah pusat beli belah dengan berasa segan juga kerana tidak menunaikan solat Jumaat. Apa pandangan orang, bila ternampak saya yang berjalan santai melewati kedai-kedai di pasaraya itu?
Namun di sebaliknya, saya pula berasa malu apabila terpandang beberapa orang yang saya kira Muslim lelaki yang tidak solat Jumaat. Saya melewati keluarga muda suami isteri dengan dua orang anak kecil mereka. Mereka duduk santai di kerusi panjang sambil berfoto.
Di medan selera, saya nampak juga seorang warga emas berehat selepas makan sambil memerhati mereka di sekelilingnya. Terdapat juga dua tiga couple sedang makan. Tentunya saya mengagak mereka Muslim kerana si gadis memakai tudung kepala. Terdapat juga mereka yang membeli-belah bersama pasangan.
Tentu sekali saya berasa terganggu kerana mereka tidak solat Jumaat. Tetapi saya cuba bersangka baik. Barangkali mereka tidak sempat menunaikan solat atau beranggapan menunaikan solat Zohor sudah memadai bila tidak solat Jumaat. Ataupun, mereka kesemuanya musafir seperti saya! Semoga ALLAH memelihara mereka dan saya. Ameen.
Situasi 2: Memberi salam kepada seseorang Muslim itu sunat, tetapi menjawabnya adalah wajib. Ia menjadi permulaan kepada sapaan saya kepada mereka yang saya kenali. Tetapi ada juga ketikanya saya bermanis mulut dengan memberi salam kepada mereka yang tidak saya kenal, terutamanya di masjid atau di Malakat Mall tempat saya bertugas.
Tetapi, saya akan mendapat respon yang berbeza. Dari tindak balas mereka, saya dapat mengagak samada seseorang itu memahami sunnah memberi salam ataupun sebaliknya. Tidak kira di masjid atau di tempat lain, ucapan salam saya akan dijawab dengan dua reaksi.
Pertama, mereka yang menjawab salam saya dengan lafaz yang panjang dan penuh. Mereka kelihatan begitu gembira kerana saya mendoakan kesejahteraan kepadanya. Malah, ada yang terus mendekati saya lalu bersalaman. Bagi saya, mereka ini golongan yang faham tujuan memberi salam.
Sebaliknya, terdapat mereka yang menjawab salam tanpa memandang pun muka saya. Suara jawapan mereka mendatar, malah ada yang takut-takut menjawab salam saya. Mungkin mereka bersangka salam saya adalah pembuka bicara agar saya boleh memulakan agenda lain mengharapkan sesuatu daripada mereka.
Tidak mengapa. Saya boleh terima seadanya. Sekurang-kurangnya jawapan salam saya itu adalah mendoakan kesejahteraan saya juga meskipun seseorang itu menjawab dengan suara hambar, malah diikuti dengan jelingan tajam berbaur prasangka. Cuma saya berasa sedikit terkilan kerana salam itu sepatutnya menjadi pertukaran ucapan yang saling membahagiakan.
Situasi 3: Ada banyak ketika bila mana saya menunaikan solat di surau stesen minyak atau di surau R & R. Di tempat-tempat itu memang saya jarang dapat berktakbiratul ula mengikut imam, melainkan solat secara masbuk dengan sesiapa sahaja.
Kerap kali juga saya tidak dapat solat berjemaah kerana terdapat mereka yang bersolat tidak mahu sesiapa menjadi makmum. Mereka solat di barisan belakang ataupun di sebelah paling kanan ruang solat supaya tiada sesiapa yang dapat solat berimamkan mereka..
Mereka akan meletak beg atau jaket, betul-betul di ruang sebelah kaki kanan mereka ketika solat sebagai penghadang. Sayangnya bila mereka hanya inginkan satu ganjaran dengan bersolat sendirian, berbanding dengan 27 ganda pahala dengan solat berjemaah.
Barangkali mereka tidak pernah menjadi imam dan takut memimpin solat. Sebab itu ada di antara mereka yang sunyi sepi bila saya menyentuh mereka sebagai isyarat meminta dirinya mengimamkan solat. Barangkali, mereka takut kena baca doa dalam bahasa Arab selepas solat. Wallahu’alam.
Tidak Sakit Mencari Penyakit
Perkataan yang tular pada hari ini ialah ‘healing.’ Kamus Webster memberi makna, healing ialah proses pemulihan atau mengembalikan kesihatan. Perkataan ini begitu popular sehinggakan ramai mengaitkan apa jua aktiviti mereka sebagai healing.
Pergi bercuti ke kawasan pergunungan ialah healing. Balik ke kampung adalah healing. Mendengar muzik, minum teh tarik seorang diri di restoran mamak pun adalah untuk healing. Sikit-sikit, healing; sikit-sikit, healing.
Istilah healing kini kian popular sehinggakan banyak penerbit buku menjadikan konsep healing sebagai salah sebuah kategori buku-bukunya. Ia tidak salah, malah bagus kerana banyak kajian menunjukkan bahawa sesebuah istilah itu boleh memberi kesan yang positif atau negatif kepada psikologi seseorang.
Sebagai sebuah perkataan yang mempunyai konotasi positif, healing memberi rasa kelegaan dan kerehatan pada seseorang walaupun apa yang dilakukan itu begitu simple. Jika menggaru belakang badan yang gatal dengan menggesek tubuh ke tiang menimbulkan rasa bahagia, maka ia healing untuk orang itu walaupun bagi orang lain ia adalah sesuatu yang kelakar.
Justeru, kita tidak boleh menilai hanya aktiviti yang memakan masa yang panjang dan mahal sahaja yang mendatangkan rasa healing, tetapi jika ia simple dan tiada kos, maka ia bukan healing. Samalah juga, kita boleh kenyang setelah makan sekeping murtabak. Jika kita menjamah sekeping roti canai pun, kita akan kenyang juga.
Walaupun begitu, pada pandangan saya, jika sesuatu istilah itu memberi kesan yang positif, kita boleh sahaja menggunakannya pada apa jua keadaan. Bagaimana pun, jika ia mendatangkan kesan negatif, kita perlu berhati-hati dan hanya menggunakan perkataan itu pada situasi sebenar.
Di zaman pelajar dahulu, saya pernah terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat ke kampung-kampung dengan memberi kelas-kelas bimbingan dan motivasi kepada para pelajar sekolah. Masih saya masih ingat lagi, ada empat perkataan yang begitu popular di kalangan para pelajar pada tahun-tahun 70an. Perkataan-perkataan itu ialah frust, relax, enjoy dan boring. Ia digunakan dengan begitu berleluasa sekali.
Contohnya, bila cikgu beri kerja rumah, mereka frust. Bila makanan di kantin tak sedap, mereka frust. Bila bergaduh dengan teman wanita, mereka frust. Dan, bila mereka putus kasih dan berasa begitu sedih, mereka frust menonggeng! Begitu juga dengan penggunaan perkataan-perkataan lain iaitu relax, enjoy dan boring. Dalam apa jua situasi, mereka akan memadankan keadaan mereka dengan perkataan-perkataan itu.
Pada hari ini, golongan muda yang sedang mengembangkan perbendaharaan kata akan peka untuk menerima dan mengaplikasikan penggunaan sesebuah perkataan yang baharu diketahui. Ia amat baik. Namun, pengetahuan baharu mengenai sesebuah perkataan itu ada kalanya boleh memberi kesan negatif.
Kini, banyak terminologi psikologi yang kian popular di kalangan anak-anak muda hasil pembacaan dan tatapan mereka khususnya di media sosial. Malangnya, pengetahuan mereka terhadap sesebuah perkataan itu menimbulkan rasa was-was samada mereka juga sedang mengalami sindrom yang berpadanan dengan istilah yang baharu mereka ketahui.
Tiba-tiba, kita dapati ramai anak-anak muda kini sedang mengalami anxiety, depression, malah attention defisit hyperactivity disorder (ADHD). Jika di tahun-tahun 70an, situasi emosi yang tidak stabil anak-anak muda hanyalah frust, relax, enjoy dan boring; dengan pengetahuan istilah-istilah yang baharu, maka gangguan perasaan mereka menjadi semakin canggih mengikut peredaran masa!
Mari kita cuba elakkan ialah supaya kita menghidap sesuatu secara ikut-ikutan dengan berpandukan rasa was-was lalu berperangai seperti seorang penghidap penyakit itu semata-mata kerana terpengaruh dengan sesuatu istilah yang baharu kita ketahui. Kita tidak menafikan bahawa tahap gangguan emosi pada hari ini kian parah di kalangan masyarakat.
Sekiranya seseorang itu berasa rengsa dengan keadaan diri, maka seelok-eloknya mereka mendapat khidmat pakar untuk mendiagnosis samada mereka benar-benar menghidap apa yang mereka bimbangi ataupun hanya tanggapan mereka semata-mata.
Setelah mendapat pemeriksaan pakar, maka adalah wajar seseorang itu mendapat rawatan rapi yang sepatutnya. Namun, jika setelah pemeriksaan doktor, jelas ia hanya false alarm kerana terlalu hyper alert, maka seelok-eloknya kita banyakkan solat kerana solat itu healing!
Bila Sudah Hilang Rasa Malu
MAAFCAKAP 30.8.2023
BILA SUDAH HILANG RASA MALU
Pada hari ini, semakin ramai yang sudah hilang rasa malu. Kita tidak malu mencaci orang lain, mempamerkan perangai yang tidak senonoh, malah sebaliknya berasa bangga pula melakukan sesuatu yang memalukan diri. Mengapa?
Malu adalah sifat yang terpuji. Ia merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman seperti mana sabda Baginda saw; “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.” Sikap malu ini amat baik kerana ia menghindar seseorang dari melakukan apa yang mengaibkan. Ia benteng seseorang daripada berbuat sesuatu yang memalukan diri, keluarga, malah masyarakatnya.
Bagaimana pun, sikap masyarakat yang lebih terbuka kini manganggap perasaan malu itu menggambarkan seseorang yang pasif, lembik dan mudah ‘koyak.’ Sebab itu, ada ibubapa yang risau bila melihat anaknya malu-malu bila berdepan dengan saudara yang baharu ditemuinya. Anak itu akan dipaksa segera menyesuaikan diri dengan saudara itu. Padahal, kanak-kanak secara alaminya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang asing baginya.
Ketika membesar, kita diasuh untuk berasa malu di atas kekurangan diri. Kita diajar untuk berasa malu bila tak pandai, malas atau jahat. Ibubapa dan guru-guru adalah mereka yang mengajar kita mempamerkan perilaku yang baik dan mengajarkan nilai-nilai yang murni. Selain dari sikap berani, bertanggungjawab dan amanah, sikap malu juga diterapkan kepada kita.
Apabila dunia penyiaran mula diperkenalkan, golongan artis seperti penyanyi dan pelakon telah menjadi rujukan kita. Profesion berlakon berkehendakkan seseorang mengenepikan rasa malu dan kita kagum dan menyanjungi mereka kerana boleh mengenepikan perasaan itu.
Dunia media sosial hari ini banyak sekali bergantung kepada skrin iaitu skrin telefon, skrin komputer, skrin televisyen dan layar perak. Ia bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada kita untuk menonton lebih banyak aksi para pelakon, malah memperkenalkan kita kepada golongan ahli perniagaan, pengacara dan yang paling penting ialah pempengaruh. Tidak boleh tidak, mereka ini mula menghuru-harakan perasaan dan pertimbangan rasional kita.
Dalam pada itu, dunia media sosial juga telah memberi peluang pada netizen untuk turut beraksi sama di depan kamera. Ertinya kita mula belajar untuk tidak berasa kekok dan malu beraksi di hadapan kamera. Boleh dikatakan semua orang termasuk datuk dan nenek pun sudah tidak malu-malu lagi beraksi.
Bagaimana pun, keseronokan berlakon di media sosial telah menjadikan kita tidak malu lagi untuk mempamerkan kekurangan kita. Kita menjadikan media sosial sebagai tempat kita melepas perasaan. Tanpa berasa malu, kita membuka aib masalah rumah tangga kepada para netizen; kononnya atas nama healing.
Kita kongsi segala keburukan orang untuk suka-suka tanpa kita ingat yang kita akan merangkak mencari orang yang kita sendakan itu untuk meminta maaf di Padang Mahsyar kelak. Malah kini ramai yang menayangkan live dia sedang terbongkang tidur semata-mata untuk menaikkan tontonan.
Kecanggihan kamera telefon membolehkan keadaan yang biasa-biasa diubah menjadi lebih ber’aura.’. Maka pertemuan kita di sebuah kedai kopi usang menjadi kafe yang klasik. Kopi yang biasa pada pandangan mata kasar menjadi begitu menguja di lensa kamera hingga boleh kita terhidu baunya. Maka, minum kopi kosong waktu petang di sebuah kedai kopi usang boleh menimbulkan rasa iri hati orang lain kerana mereka tidak dapat apa yang kita ada. Walhal, mungkin keadaan dia lebih baik bila dapat minum kopi di beranda rumah.
Oleh kerana hidup kita ini berselang-seli di antara dunia realiti dan dunia buatan kamera, kita hilang kesedaran dari dunia realiti. Kita ingat kesemua itu adalah lakonan. Dalam dunia lakonan, kesemua babak-babak lakonan itu akan berlalu.
Kerana itu, kita pun pada mulanya keliru bila seorang ahli politik yang serius boleh terkinja-kinja menari. Orang politik itu tidak berasa malu kerana ia adalah sebuah lakonan untuk para netizen. Biasalah, sebab semua orang melakukannya. Akhirnya kita tidak berasa pelik dan malu menontonnya kerana menganggap ia sesuatu yang normal.
Tetapi, apa yang menjadi kebimbangan ialah jika seseorang itu telah hilang malu melakukan kesalahan. Malah, pada hari ini terdapat mereka yang menyalahkan orang yang mengkritik kesalahannya. Entah di mana letak akal budinya sehinggakan orang menegur kesalahan itu pula yang berasa malu.
Apabila Islam Itu Dimomokkan
MAAFCAKAP 30.8.2023
Isu pengajaran modul Hadis 40 Imam Nawawi boleh dianggap selesai bila MCA menyatakan mereka kini berpuas hati dengan rancangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selepas mendapat penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, pertikaian timbul susulan perkataan ‘rintis’ seperti yang dilaporkan beberapa media dan membawa gambaran ia akan diperluaskan kepada institusi selain dari sekolah agama.
Sebelum itu, Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menolak pengajian penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana beranggapan modul itu akan melibatkan para pelajar bukan Islam.
Tentangan Majlis Perundingan itu telah mendapat reaksi daripada pelbagai NGO Muslim seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Parti politik Muslim seperti Pemuda Perikatan Nasional, Pemuda UMNO dan Lajnah Pendidikan Pas Pusat telah bersuara untuk mengingatkan pihak-pihak yang menentang agar tidak masuk campur hal ehwal yang tidak melibatkan pelajar bukan Islam.
Kita semua perlu sedari bahawa rasa curiga terhadap Islam memang sudah berakar di negara ini. Ia bermula apabila Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir melancarkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam pentadbiran pada tahun 1985. Banyak pihak menyuarakan rasa bimbang seolah-olah kerajaan pada waktu itu mahu menjadikan negara ini sebagai negara Islam.
Walhal, yang mahu diterapkan hanyalah 11 nilai-nilai murni seperti amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur. Apabila nilai-nilai ini diteruskan dengan amalan Islam Hadhari oleh Perdana Menteri berikutnya, Tun Abdullah Badawi, beberapa pihak menganggap dasar itu cuba menyekat kebebasan beragama.
Namun, tidak banyak pihak yang membantah apabila konsep Islam Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Barangkali ketika itu suasana tenang selepas PRU-15 membolehkan pihak-pihak bukan beragama Islam meneliti konsep ini dengan fikiran terbuka. Tambahan pula mereka yakin dengan pendekatan Anwar yang mereka anggap lebih mesra dengan golongan bukan Islam.
Bagaimana pun, iklim politik di negara ini yang sentiasa hangat kerana dikaitkan dengan nama Islam. Meningkatnya sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional di mana parti Pas menjadi tunjangnya dilihat dengan penuh curiga. Pas dianggap membawa Islam yang ekstrim. Kemenangan Perikatan Nasional dilihat sebagai gelombang hijau, iaitu gelombang Islam.
Padahal, Pas tidak banyak berubah dari segi kepimpinan yang memungkinkan ia menukar nada menjadi sebuah parti yang lebih ekstrim. Tetapi kerana kepentingan politik, naratif ini dimainkan sehingga mereka yang bukan Islam secara keseluruhannya menyokong DAP.
Kerana politik, Islam dijadikan momok. Islamophobia sudah menular di minda masyarakat bukan Islam di negara kita. Dan, selagi orang politik mendapat ruang untuk bercakap, maka selagi itulah imej Islam menjadi mangsa. Sebabnya, rata-rata orang politik Islam akan bercakap berdegar-degar bila memperkatakan mengenai agamanya. Kata-kata bersemangat mereka ditafsir sebagai garang.
Perangai orang politik sememangnya begitu. Tetapi imej dan pendekatan dengan suara lantang menimbulkan rasa bimbang dan takut mereka yang bukan Islam terhadap agama ini. Dan, kebimbangan ini tidak boleh dipadamkan oleh orang politik, kerana maaf cakap… orang politik sukar dipercayai. Ini persepsi umum.
Justeru itu, pihak-pihak yang lain harus tampil dengan lebih aktif dalam memperkenalkan agama Islam agar ia tidak menjadi agama yang dibimbangi dan dicurigai. Untuk itu, NGO-NGO agama bukan Melayu seperti Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA) dan Multi-Racial Reverted Muslims (MRM) perlu lebih aktif dalam memperkenalkan Islam kepada bukan Islam. Aktiviti yang sedang dilakukan masih tidak mencukupi.
Institusi masjid melalui Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid perlu menggembleng aktiviti konsisten ‘mesra Islam’ kerana masjid-masjid kita berada di tengah-tengah masyarakat pelbagai agama. Apabila kita dicurigai setiap kali kita menyebut perkataan ‘Islam’ ia bermakna tindakan tabligh iaitu penyampaian kita belum menyeluruh.
Setelah 65 tahun Merdeka pun, kita belum berjaya menormalisasikan agama yang mulia ini. Malah, apabila disusur, ia kembali kepada diri kita sebagai seorang Islam. Pernahkah kita bercerita mengenai Islam kepada teman bukan Islam yang setiap hari kita temui?
Apakah Slogan Terbaik Untuk Kita?
MAAFCAKAP 23.8.2023
Apa dah jadi apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan bahawa negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif untuk Hari Kebangsaan?
Puncanya, pihak Perikatan Nasional tidak setuju dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.’ Perkataan-perkataan ‘Madani,’ ‘Perpaduan’ dan ‘Harapan’ itu dikatakan sering digunakan oleh Parti Pakatan Harapan dalam kempen-kempen politik mereka; menjadikan seolah-olah Hari Kebangsaan Malaysia seperti menyambut kejayaan Kerajaan Perpaduan yang memerintah Malaysia.
Ada benarnya pandangan itu. Namun, pihak yang tidak setuju boleh sahaja menerima tema itu seadanya dengan hati terbuka. Tetapi berikan fokus sambutan Hari Kebangsaan untuk mengingat, menghidup dan mengekalkan semangat cintakan negara.
Yang ingin dirasakan ialah meremangnya bulu roma apabila Jalur Gemilang berkibar di angkasa. Itu yang perlu dirasa di sebalik segala syarahan, ucapan dan pidato mengenai semangat cintakan negara. Logo dan tema Hari Kebangsaan akan dilupakan tetapi imej bendera negara akan kekal tersemat di hati.
Dari sudut realitinya, tema dan slogan itu hanya hiasan kata semata-mata. Walaupun mereka yang menciptanya terkebil-kebil dan berpinar mata memikirkan rangkai kata sesebuah slogan yang jitu, selalunya tema atau slogan mudah dilupakan sebaik sahaja tamat acara sambutan.
Tetapi, apabila ia cuba dipopularkan pula, sesebuah slogan atau cogankata itu sering dipermain dan diperlekehkan oleh mereka yang suka mempersendakan apa jua yang baik. Akhirnya, kata-kata yang baik itu hilang makna asal. Yang diingat hanyalah maknanya yang buruk.
Semua Perdana-perdana Menteri kita biasanya akan memperkenalkan slogan masing-masing. Ia merupakan tema gagasan yang hendak dibawa. Namun, kebanyakannya akan tenggelam bila ia dipersendakan. Apabila Tun Mahathir memperkenalkan slogan Malaysia Boleh, kata-kata semangat itu diputar maknanya hingga Malaysia Boleh membawa maksud, apa sahaja boleh dilakukan walaupun melanggar undang-undang dan prosedur kerana Malaysia Boleh!
Apabila Tun Abdullah Badawi yang memperkenalkan Islam Hadhari atau Islam yang bertamaddun, ia dipersoalkan seolah-olah Tun Abdullah mahu memperkenal Islam yang baharu. Ada pihak yang mempermainkan slogan Islam Hadhari sebagai Islam Hari-hari! Slogan ‘1Malaysia’ yang dibawa oleh Datuk Seri Najib pula cuba disamakan dengan konsep hak sama rata untuk semua yang mengenepikan hak-hak istimewa orang Melayu menurut undang-undang.
Slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri pula dipermainkan sebagai slogan untuk mengutamakan keluarga dan kroni pemimpin. Dan, slogan Malaysia Madani dipermainkan menjadi ‘Madanon’ seolah-olah ia slogan untuk PMX Anwar Ibrahim semata-mata.
Slogan atau cogankata adalah frasa yang membawa mesej yang khusus supaya ia menarik perhatian, diingati dan dihayati. Semua cogankata itu membawa impak yang menyentuh emosi. Jika dipersetujui dan menjadi amalan semua, sesebuah cogankata itu boleh menyatukan fikiran dan tindakan rakyat.
Bagaimana pun, rakyat sekarang tidak suka fikiran mereka ‘disekepalakan.’ Akses kepada pelbagai maklumat dan pandangan dari bermacam-macam sumber menjadikan fikiran rakyat begitu rencam.
Nampaknya, cogankata, tema atau slogan bukan lagi menjadi sesuatu yang boleh diikuti, apatah lagi dihayati. Sudah sampai masanya kita berhenti mencipta slogan dan tema. Sebaliknya, kita perlu minimakan masa untuk menciptanya. Kalau ada pun tema, biarlah pihak yang melaksanakan sahaja yang tahu. Rakyat jelata tidak perlu tahu tema atau cogankata baharu pada setiap tahun.
Jika ingin juga slogan, gunakan sahaja motto ‘Bersekutu Bertambah Mutu.’ Itu adalah cogankata yang sedia ada pada lambang negara. Cogankata itu pun dicipta ketika kita semua belum merdeka dan bersatu dalam negara Malaysia. Ia mempunyai erti yang dalam yang menjawab kepada segala kecelaruan yang berlaku pada hari ini.


