MAAFCAKAP 30.8.2023
BILA SUDAH HILANG RASA MALU
Pada hari ini, semakin ramai yang sudah hilang rasa malu. Kita tidak malu mencaci orang lain, mempamerkan perangai yang tidak senonoh, malah sebaliknya berasa bangga pula melakukan sesuatu yang memalukan diri. Mengapa?
Malu adalah sifat yang terpuji. Ia merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman seperti mana sabda Baginda saw; “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.” Sikap malu ini amat baik kerana ia menghindar seseorang dari melakukan apa yang mengaibkan. Ia benteng seseorang daripada berbuat sesuatu yang memalukan diri, keluarga, malah masyarakatnya.
Bagaimana pun, sikap masyarakat yang lebih terbuka kini manganggap perasaan malu itu menggambarkan seseorang yang pasif, lembik dan mudah ‘koyak.’ Sebab itu, ada ibubapa yang risau bila melihat anaknya malu-malu bila berdepan dengan saudara yang baharu ditemuinya. Anak itu akan dipaksa segera menyesuaikan diri dengan saudara itu. Padahal, kanak-kanak secara alaminya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang asing baginya.
Ketika membesar, kita diasuh untuk berasa malu di atas kekurangan diri. Kita diajar untuk berasa malu bila tak pandai, malas atau jahat. Ibubapa dan guru-guru adalah mereka yang mengajar kita mempamerkan perilaku yang baik dan mengajarkan nilai-nilai yang murni. Selain dari sikap berani, bertanggungjawab dan amanah, sikap malu juga diterapkan kepada kita.
Apabila dunia penyiaran mula diperkenalkan, golongan artis seperti penyanyi dan pelakon telah menjadi rujukan kita. Profesion berlakon berkehendakkan seseorang mengenepikan rasa malu dan kita kagum dan menyanjungi mereka kerana boleh mengenepikan perasaan itu.
Dunia media sosial hari ini banyak sekali bergantung kepada skrin iaitu skrin telefon, skrin komputer, skrin televisyen dan layar perak. Ia bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada kita untuk menonton lebih banyak aksi para pelakon, malah memperkenalkan kita kepada golongan ahli perniagaan, pengacara dan yang paling penting ialah pempengaruh. Tidak boleh tidak, mereka ini mula menghuru-harakan perasaan dan pertimbangan rasional kita.
Dalam pada itu, dunia media sosial juga telah memberi peluang pada netizen untuk turut beraksi sama di depan kamera. Ertinya kita mula belajar untuk tidak berasa kekok dan malu beraksi di hadapan kamera. Boleh dikatakan semua orang termasuk datuk dan nenek pun sudah tidak malu-malu lagi beraksi.
Bagaimana pun, keseronokan berlakon di media sosial telah menjadikan kita tidak malu lagi untuk mempamerkan kekurangan kita. Kita menjadikan media sosial sebagai tempat kita melepas perasaan. Tanpa berasa malu, kita membuka aib masalah rumah tangga kepada para netizen; kononnya atas nama healing.
Kita kongsi segala keburukan orang untuk suka-suka tanpa kita ingat yang kita akan merangkak mencari orang yang kita sendakan itu untuk meminta maaf di Padang Mahsyar kelak. Malah kini ramai yang menayangkan live dia sedang terbongkang tidur semata-mata untuk menaikkan tontonan.
Kecanggihan kamera telefon membolehkan keadaan yang biasa-biasa diubah menjadi lebih ber’aura.’. Maka pertemuan kita di sebuah kedai kopi usang menjadi kafe yang klasik. Kopi yang biasa pada pandangan mata kasar menjadi begitu menguja di lensa kamera hingga boleh kita terhidu baunya. Maka, minum kopi kosong waktu petang di sebuah kedai kopi usang boleh menimbulkan rasa iri hati orang lain kerana mereka tidak dapat apa yang kita ada. Walhal, mungkin keadaan dia lebih baik bila dapat minum kopi di beranda rumah.
Oleh kerana hidup kita ini berselang-seli di antara dunia realiti dan dunia buatan kamera, kita hilang kesedaran dari dunia realiti. Kita ingat kesemua itu adalah lakonan. Dalam dunia lakonan, kesemua babak-babak lakonan itu akan berlalu.
Kerana itu, kita pun pada mulanya keliru bila seorang ahli politik yang serius boleh terkinja-kinja menari. Orang politik itu tidak berasa malu kerana ia adalah sebuah lakonan untuk para netizen. Biasalah, sebab semua orang melakukannya. Akhirnya kita tidak berasa pelik dan malu menontonnya kerana menganggap ia sesuatu yang normal.
Tetapi, apa yang menjadi kebimbangan ialah jika seseorang itu telah hilang malu melakukan kesalahan. Malah, pada hari ini terdapat mereka yang menyalahkan orang yang mengkritik kesalahannya. Entah di mana letak akal budinya sehinggakan orang menegur kesalahan itu pula yang berasa malu.