MAAFCAKAP 23.8.2023
Apa dah jadi apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan bahawa negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif untuk Hari Kebangsaan?
Puncanya, pihak Perikatan Nasional tidak setuju dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.’ Perkataan-perkataan ‘Madani,’ ‘Perpaduan’ dan ‘Harapan’ itu dikatakan sering digunakan oleh Parti Pakatan Harapan dalam kempen-kempen politik mereka; menjadikan seolah-olah Hari Kebangsaan Malaysia seperti menyambut kejayaan Kerajaan Perpaduan yang memerintah Malaysia.
Ada benarnya pandangan itu. Namun, pihak yang tidak setuju boleh sahaja menerima tema itu seadanya dengan hati terbuka. Tetapi berikan fokus sambutan Hari Kebangsaan untuk mengingat, menghidup dan mengekalkan semangat cintakan negara.
Yang ingin dirasakan ialah meremangnya bulu roma apabila Jalur Gemilang berkibar di angkasa. Itu yang perlu dirasa di sebalik segala syarahan, ucapan dan pidato mengenai semangat cintakan negara. Logo dan tema Hari Kebangsaan akan dilupakan tetapi imej bendera negara akan kekal tersemat di hati.
Dari sudut realitinya, tema dan slogan itu hanya hiasan kata semata-mata. Walaupun mereka yang menciptanya terkebil-kebil dan berpinar mata memikirkan rangkai kata sesebuah slogan yang jitu, selalunya tema atau slogan mudah dilupakan sebaik sahaja tamat acara sambutan.
Tetapi, apabila ia cuba dipopularkan pula, sesebuah slogan atau cogankata itu sering dipermain dan diperlekehkan oleh mereka yang suka mempersendakan apa jua yang baik. Akhirnya, kata-kata yang baik itu hilang makna asal. Yang diingat hanyalah maknanya yang buruk.
Semua Perdana-perdana Menteri kita biasanya akan memperkenalkan slogan masing-masing. Ia merupakan tema gagasan yang hendak dibawa. Namun, kebanyakannya akan tenggelam bila ia dipersendakan. Apabila Tun Mahathir memperkenalkan slogan Malaysia Boleh, kata-kata semangat itu diputar maknanya hingga Malaysia Boleh membawa maksud, apa sahaja boleh dilakukan walaupun melanggar undang-undang dan prosedur kerana Malaysia Boleh!
Apabila Tun Abdullah Badawi yang memperkenalkan Islam Hadhari atau Islam yang bertamaddun, ia dipersoalkan seolah-olah Tun Abdullah mahu memperkenal Islam yang baharu. Ada pihak yang mempermainkan slogan Islam Hadhari sebagai Islam Hari-hari! Slogan ‘1Malaysia’ yang dibawa oleh Datuk Seri Najib pula cuba disamakan dengan konsep hak sama rata untuk semua yang mengenepikan hak-hak istimewa orang Melayu menurut undang-undang.
Slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri pula dipermainkan sebagai slogan untuk mengutamakan keluarga dan kroni pemimpin. Dan, slogan Malaysia Madani dipermainkan menjadi ‘Madanon’ seolah-olah ia slogan untuk PMX Anwar Ibrahim semata-mata.
Slogan atau cogankata adalah frasa yang membawa mesej yang khusus supaya ia menarik perhatian, diingati dan dihayati. Semua cogankata itu membawa impak yang menyentuh emosi. Jika dipersetujui dan menjadi amalan semua, sesebuah cogankata itu boleh menyatukan fikiran dan tindakan rakyat.
Bagaimana pun, rakyat sekarang tidak suka fikiran mereka ‘disekepalakan.’ Akses kepada pelbagai maklumat dan pandangan dari bermacam-macam sumber menjadikan fikiran rakyat begitu rencam.
Nampaknya, cogankata, tema atau slogan bukan lagi menjadi sesuatu yang boleh diikuti, apatah lagi dihayati. Sudah sampai masanya kita berhenti mencipta slogan dan tema. Sebaliknya, kita perlu minimakan masa untuk menciptanya. Kalau ada pun tema, biarlah pihak yang melaksanakan sahaja yang tahu. Rakyat jelata tidak perlu tahu tema atau cogankata baharu pada setiap tahun.
Jika ingin juga slogan, gunakan sahaja motto ‘Bersekutu Bertambah Mutu.’ Itu adalah cogankata yang sedia ada pada lambang negara. Cogankata itu pun dicipta ketika kita semua belum merdeka dan bersatu dalam negara Malaysia. Ia mempunyai erti yang dalam yang menjawab kepada segala kecelaruan yang berlaku pada hari ini.