MAAFCAKAP 29.12.2021

Apa nak jadi dengan wakil-wakil rakyat kita yang berjawatan menteri ini? Lepas satu, satu lagi kecuaian tingkah laku yang tidak cerdik mereka pamerkan. Selepas seorang, seorang lagi daripada mereka buat perangai kerana tidak peka dengan persepsi rakyat.

Boleh dikatakan sebahagian besar daripada kalangan jemaah menteri tidak kelihatan ketika banjir mula melanda pada Sabtu 18 Disember. Sebilangan daripada mereka hadir di persidangan parti. Ada pula yang menaikkan status selfie bercuti di luar negara. 

Tiada suara atau perintah semerta dan sepadu mengerah semua jentera pentadbiran turun menyelamatkan mangsa banjir. Media-media utama pula gagal memaparkan apa yang mereka lakukan. Sekurang-kurangnya dua hari mereka menyepi. 

Ada khabar yang mengatakan Angkatan Tentera terpaksa bertindak secara tersendiri. Mana pelan tindakan dari semua agensi-agensi kerajaan? Malangnya, ada menteri buat pelancaran program membantu mangsa banjir anjuran syarikat swasta di hotel. Dalam keadaan yang sensitif sebegitu, menteri boleh sahaja wakilkan kepada KSU kementeriannya, kalau pun majlis itu tidak dapat ditangguh.

Seolah-olah dikejut dari tidur, setelah netizen bising, maka pak-pak menteri turun padang. Namun, tidak perlulah  berkonvoi hingga mengganggu lalu lintas dan membantutkan usaha petugas membantu mangsa di lapangan. 

Sepatutnya mereka buka sahaja bilik gerakan banjir, berkampung di situ dan buat sidang media dua tiga kali sehari seperti waktu pandemik Covid-19 menyerang dahulu. Paparkan laporan situasi di merata pelosok kawasan banjir di skrin-skrin besar.

Maklumkan status mutakhir banjir, apa tindakan, berapa tenaga pasukan tentera, bomba, Rela dan logistik serta berapa pula jumlah PPS di sesebuah kawasan. Dengan cara ini, rakyat, khususnya saudara mara dan sahabat handai mangsa mudah dapat maklumat terkini yang sah. Sidang-sidang media sewaktu Covid-19 dahulu dinanti-nanti rakyat dan membantu mententeramkan jiwa rakyat. Pendekatan yang strategik itu patut diulangpakai.

Malangnya mereka turun padang pula untuk berlakon menyapu lantai,  menyembur simen, menyodok lumpur dan memikul beras. Orang nampak itu adalah lakonan. Persoalannya ialah apakah pasukan media pak-pak dan mak-mak menteri sudah ketinggalan zaman dengan membiarkan menteri-menteri mereka berlakon pegang cangkul, penyapu, penyodok dan water jet sebagai prop? Dulu… bolehlah. Dulu, editor akhbar dan televisyen berperanan memilih gambar terbaik yang hanya fokus kepada pak menteri sedang beraksi. 

Kini, mengapa dibiarkan jurufoto dan juruvideo ambil gambar hingga memuatkan juga aksi petugas-petugas media yang berkerumun merakam momen? Maka jadilah ia sebuah lakonan dari sebuah skrip murahan. 

Dahulu, dalam sesebuah majlis, sekiranya pasukan media tak sempat ambil gambar pak menteri sedang beri sijil pada tok enghulu, jangan harap Pak Menteri hendak posing semula. Kemudian, ketika era pak menteri sporting dengan media, dia boleh bekerjasama posing semula untuk beri peluang pada para jurugambar rakam semula aksi.

Tapi kini, kerana terlalu over-sporting di antara pak menteri dan media, terjadilah malapetaka imej yang mengundang ‘kemeluatan’ netizen. Kalau pun ingin pikul beras, junjung kampit gula atau tolong basuh kereta sekali pun, lakukanlah di kawasan pilihanraya masing-masing. Undi anda ada di situ. Rakyat akan lebih faham dan tak meroyan. 

Walau apa pun, bukan sahaja imej ahli-ahli politik telah terhakis akibat tindak-tanduk mereka sendiri, malah sudah sampai ke peringkat last straw. Rakyat sudah hilang hormat kepada mereka. Pantang mereka silap langkah, perilaku mereka akan menjadi tular. Seperti persefahaman sesama netizen, mereka kini menyakini #rakyatjagarakyat#

Mereka yakin bahawa mereka tidak perlukan orang politik kerana mereka boleh jaga diri mereka sendiri. Rakyat yang sebilangan besarnya orang Melayu punyai prinsip ‘raja (pemimpin) adil, raja disembah; raja zalim, raja disanggah.’ Orang Melayu bila sudah mengamuk, mereka tidak peduli apa pun lagi.

Mereka sudah jauh hati dan ini bukan mudah hendak dipujuk. Rasa meluat mereka dengan perangai orang politik akan terus melarat dan tidak mustahil mereka tidak mahu memilih orang politik yang tidak mereka benci. Mereka sudah tidak hairan untuk istiqamah memilih berdasarkan parti. Sebaliknya akan memilih berdasarkan personaliti kerana orang politik sendiri boleh bertukar bendera parti pada bila-bila masa.

Betul, akan ada yang kata… ‘bila tiba pilihanraya nanti, rakyat akan dipujuk dan memilih mereka lagi.’ Tetapi, jangan pula lupa dengan adanya pepatah, ‘sarang tebuan jangan dijolok.’ Kini, sarang itu sudah pun dijolok!