MAAFCAKAP 6.6.2023

Kemudahan internet membolehkan kita semua melihat apa sahaja yang kita inginkan. Pencinta alam boleh melihat gunung-ganang, bukit-bukau, air terjun, sungai, kolam dan lautan. Mereka boleh melihat kota, istana, mahligai mahu pun sebuah rumah comel di tepi kolam.

Apabila melayari laman sesawang, kita juga boleh melihat manusia dengan segala kemewahan. Yang berharta menayangkan sederet kereta mewah, kapal mewah, motorsikal mewah dalam kehidupan mewah mereka yang serba ada.

Jika apa yang ditatap itu sekadar melayan mata, segala-galanya akan padam sebaik sahaja komputer ditutup. Namun, seandainya gambaran-gambaran itu tidak boleh dilenyapkan hinggakan ia sentiasa menerjah fikiran, jangan pula sampai menjadi seperti kisah Mat Jenin yang cedera akibat terjatuh dari pohon kelapa akibat angan-angan.

Seelok-eloknya jika angan-angan itu sentiasa datang menjengah hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi, pasti segala yang menyeronokkan itu sudah meresap di sanubari. Ia juga menandakan apa yang diangan-angankan itu harus dengan menjadikan ia sebagai suatu yang diidam-idamkan.

Visi yang muluk-muluk itu dinamakan impian. Ia adalah imej penghujung atau puncak yang dibayangkan. Ia kelihatan cantik, indah, elok, hebat dan sedap mata memandang. Namun, jika ini yang dikejar, ia umpama berlari mengejar fatamorgana.

Kita tidak akan sampai ke penghujung untuk merangkulnya. Sebaliknya kita akan lelah dan haus mengejar sesuatu yang akhirnya ghaib kerana ia bukan realiti; bahkan ia hanya bayangan.

Untuk mencapai impian, sesuatu yang diimpikan itu harus dihampiri dengan wawasan. Wawasan adalah keupayaan melihat esok hari pada hari ini! Jika impian itu teori, wawasan itu adalah praktiknya! Jika impian itu hanya dua dimensi, wawasan itu adalah tiga dimensi kerana ia boleh dihampiri, dicapai dan dirangkul ke dada.

Wawasan itu insya-ALLAH boleh menjadi realiti seandainya kita mempunyai aturan langkah  rancangan untuk mencapainya. Ia harus dimulakan dengan mengenalpasti jaraknya dari tempat kita sekarang. Seperti juga jika kita ingin ke sesebuah tempat, aplikasi GPS tidak dapat mencongak tempoh kita tiba jika ia tiada maklumat lokasi kita sekarang.

Jadi, tip pertama untuk mencapai wawasan ialah dengan mengetahui di manakah kita berada. Selepas kita tahu baharulah kita dapat menganggarkan tempoh masa kita sampai ke matlamat itu. Tempoh mencapainya mestilah realistik.

Semangat untuk mencapai matlamat itu pula hanya boleh dibakar, tetapi kita perlu hampirinya dengan tindakan. Tempoh masa mencapai wawasan itu jika kurang dari setahun, biarlah ia dinamakan target sahaja kerana wawasan itu sesuatu matlamat yang besar seperti berdiri di puncak gunung, bukannya di atas busut. Tempohnya mestilah tidak kurang setahun.

Jangan lupa pada halangan yang akan melambat atau mematikan ikhtiar kita mencapai wawasan. Halangan dalam bentuk manusia itu adalah diri kita sendiri. Kita malas atau sikap bertangguh akan memperlambat atau mematikan terus wawasan kita. Tetapi tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan. Malah, diri sendiri tidak perlu dipersalahkan kerana tiada sesiapa pun yang boleh memaksa kehendak kita yang hukumnya harus itu.

Yang menjadi cabaran ialah halangan manusia. Jika sebelum ini mereka yang akan menumpulkan hasrat murni kita mencapai matlamat adalah mereka di sekeliling kita, pada hari ini, manusia yang tidak kenal kita pun boleh melontarkan ayat-ayat memperlekeh yang boleh membuat kita ‘koyak’ jika kita ambil pusing dengan kata-kata mereka.

Pada hari ini, terdapat ramai netizen yang bersikap menaikkan diri dengan merendahkan orang lain. Mereka yang belum begitu berjaya biasanya tidak boleh melihat orang lain berpotensi lebih daripada mereka. Ada juga mereka yang tidak tahu apa-apa wawasan kita yang ingin dikritik itu, tetapi turut membalun semata-mata hendak tunjuk yang dia pun pandai juga ~ pandai mengata!

Walau apa pun, jangan lupa untuk menyedari bahawa idea asal sesebuah wawasan itu sebenarnya dititipkan oleh Yang Maha Perancang iaitu ALLAH Al-Musawwir. Dialah yang memberi idea kepada wawasan yang tercetus di minda kita. Setiap manusia itu adalah pemimpin.

Barangkali idea-idea besar dan baik yang terlintas di hati itu merupakan amanah yang seharusnya diiltizam dan diusaha untuk direalisasikan. Yang penting sesebuah gagasan wawasan yang melangit itu harus dibumikan agar ia dapat dilaksanakan.

Galilah memori lalu untuk mencari apa-apa yang berupa impian yang telah mati untuk digilap menjadi wawasan. Sempena Tahun Hijrah 1445 ini, mari kita baharui azam dengan iltizam.