MAAFCAKAP 26.7.2023

Hujung minggu lalu, saya menyaksikan Hari Rock Negara di Malakat Mall, Cyberjaya. Sambutan pada acara yang dianjurkan buat kali kedua mendapat sambutan yang lebih meriah dari peminat muzik rock. Ada tiga pentas yang disediakan khususnya untuk persembahan, pertandingan dan juga bual bicara.

Dari pagi lagi bunyi muzik menggema dan menggaung. Suasana hingar. Namun, selain dari segelintir peminat rock yang asyik headbanging mengikut irama muzik, lebih ramai lagi yang berdiri dan menonton dengan tenang sambil merakam acara. Ramai juga kanak-kanak yang berlari-lari, sambil diperhati oleh kakak-kakak mereka. Terdetik soalan di hati saya; ‘Apakah muzik rock hiburan sekeluarga?’

Hairan? Sekali pandang, begitulah. Namun, bila diperhatikan dengan lebih dekat, ramai ibubapa yang hadir sudah melewati usia 40an. Mereka punyai anak-anak yang sudah meningkat remaja. Si bapa masih berambut panjang, dengan jaket dan jeans yang rugged. Tetapi si ibu berjeans, berbaju longgar dan bertudung.

Di atas pentas, bunyi muzik begitu membingitkan. Alfarabi Band sedang memainkan lagu Rijaullah. Vokalisnya Nasaie Nawawi yang berjubah dan berserban, bernyanyi dengan suara paraunya sambil memetik gitar. Di sebelahnya Fazrina Ghazali dengan busana labuhnya ‘menggoreng gitarnya’ dengan selamba.

Ini senario yang unik. Hari Rock Negara disambut dengan famili. Pemain-pemain muziknya pula menyampaikan lagu-lagu perjuangan dan ketuhanan. Di meja-meja makan, terdapat ramai lagi peminat-peminat rock yang menjamu selera. Saya perhati perilaku mereka. Mereka tidak nampak ganas, ketawa berdekah-dekah atau terjerit. Mereka sama seperti orang biasa yang lain.

Maka saya terfikir, mereka ini adalah peminat rock yang sudah dewasa dan matang. Mereka meminati muzik sekadar hiburan. Ia rekreasi luaran yang bukan dijiwai. Bila di pentas, pemuziknya tampak ganas. Turun dari pentas, mereka orang biasa seperti kita.

Hati saya terusik lagi pada minggu berikutnya. Pada acara Tribute Untuk Penghibur Sudirman, di Malakat Mall juga, saya lihat Yassin Senario begitu ligat bercakap dan berlawak. Bila dia di tepi pentas, dia sebenarnya orang yang suka mendengar dari bercakap.

Saya juga bertemu pempengaruh digital Tiktok, Sharrel Baharom yang mempunyai lebih 2 juta ‘tanda suka’ pada video-videonya. Di dalam video, dia kelihatan bodoh-bodoh alang. Tetapi bila berbual dengannya, kakitangan awam Kementerian Pertahanan ini adalah seorang yang serius.

Ramai lagi pempengaruh yang lain seperti Ryanbakery, Alif Syukri dan Bell Ngasri sebenarnya adalah orang yang membawa watak yang menjadi identiti mereka. Di bawah pentas dan di dunia nyata, mereka adalah insan-insan biasa. Mereka hanya membawa watak gila, sewel atau pelik di depan kamera semata-mata.

Kita sebagai penonton pula janganlah terperangkap dan terikut-ikut dengan watak-watak selebriti yang diminati hingga terbawa-bawa ke luar pentas. Kita meniru watak-watak ganas,  mereka dalam kehidupan sedangkan mereka hanya penghibur yang mempamerkan watak pelik hanya untuk menghibur kita.

Tidak molek juga mereka yang menjadi selebriti membawa kehidupan peribadi mereka naik ke atas pentas sepertimana kumpulan The 1975 yang bercium sama sejenis, mengakibatkan pertunjukanmereka di The Good Vibes Festival di Sepang, dihentikan serta-merta.

Pendek kata, kita perlu memisahkan kehidupan kita sebagai orang biasa dengan kehidupan kerjaya kita. Jika kita pelakon, tinggalkan watak yang kita bawa itu sebaik sahaja kita melangkah keluar skrin. Begitu juga jika kita seorang pensyarah, peguam dan akauntan; itu adalah dunia pekerjaan. Sebaik sahaja kita di luar tempat kerja, kita perlu menjadi manusia biasa.

Begitu jugalah pesanan akhir allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada para pelajar di Universiti Utara Malaysia pada 21 Julai 2023 sebelum beliau dikejarkan ke hospital. Di antara pesanannya,‘Kita kena ingat, kita pegang jawatan ini sampai bila?’

‘Saya turun dari kereta rasmi… ada bodyguard, ada driver dan sampai tujuh orang pegawai saya. Sampai bila? Sampai Kiamat? Kalau saya nak berlagak, Oh I am a Minister, you know? Boleh macam itu? Jadi apa pun jawatan yang kita pegang pada hari ini, sedarlah ia hanya sementara.’

Jelaslah walau apa dan di mana pun kedudukan kita, kita tidak boleh lupa akan keabdian kita sebagai hamba-NYA.