SHAH ALAM – Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 yang dijadualkan berlangsung selama 10 hari bermula 27 Mac 2020 ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan. Demikian status yang dipetik di laman Facebook pestabuku itu.

Pengerusi Jawatankuasa Induk PBAKL 2020, Mohd Khair Ngadiron berkata, keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk PBAKL 2020 hari ini. “Mesyuarat itu memutuskan PBAKL 2020 yang sepatutnya diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur pada tarikh tersebut ditangguhkan.

“Bagaimanapun, PBAKL 2020 dalam talian akan dilancarkan dan berlangsung pada tarikh yang sama iaitu 27 Mac sehingga 5 April 2020,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi PBAKL hari ini. Kenyataan itu ternyata menyedihkan para peminat buku.

Dalam masa dua jam status itu dinaikkan, ia mendapat 475 tanda reaksi, 126 komen dan 380 kongsi. Penulis Kiridaren Jayakumar menyatakan rasa sedihnya kerana terlepas peluang untuk memperkenalkan bukunya The Bibliophile. Rata-rata yang lain menyuarakan rasa kesal. Betapa pun, mereka berterima kasih kerana pihak penganjur mementingkan kesihatan para pengunjung. ~ LM