DI PASARAN pembacaan, terdapat dua golongan pembaca. Yang pertama golongan yang sukakan novel. Yang kedua ialah golongan yang tak suka novel. Golongan yang tak minatkan novel ini adalah golongan yang beranggapan membaca novel ini untuk orang yang suka berkhayal. Mereka anggap golongan peminat novel adalah golongan yang suka berangan. Tak apalah, kita tak sentuh golongan ini.

2. Golongan yang satu lagi pula ialah golongan yang amat meminati novel. Orang kata, hantu novel. Pantang ada novel baharu, mereka akan teruja dan kemaruk untuk mendapatkannya. Tetapi, golongan ini pun ada pelbagai. Saya kategorikan golongan ini kepada tiga golongan.

3. Yang pertama, golongan bibliophilia. Mereka adalah golongan yang kemaruk membeli tetapi tidak pula membacanya. Mereka boleh dapatkan hingga berbelas novel tetapi tak menyentuhnya. Golongan bibliophilia ini adalah penggila buku.

4. Golongan kedua adalah golongan yang  khatam novel secara melangkau-langkau. Apa yang dia suka, dia baca. Apa yang tidak menarik hati, mereka akan ditinggalkan. Bagai orang yang makan mi kari. Mereka makan udang, sayur, telur, tauhu, hirup sedikit kuah dan kunyah sedikit mi. Yang lain mereka tinggalkan.

5. Golongan ini suka baca halaman terakhir dahulu untuk mengetahui kesudahan cerita. Kemudian, baharulah dia baca dari awal. Itupun secara melangkau-langkau. Sebab itu mereka boleh baca 10 novel dalam masa sebulan!

6. Golongan ketiga pula adalah mereka yang membaca novel seperti membaca surat cinta. Setiap tanda baca diikutinya dengan patuh. Dia akan berhenti sejenak pada setiap koma dan berhenti lama sedikit apabila terpandang tanda noktah.

7.Tatkala membaca, setiap dialog akan dilayani dengan perlahan. Jika watak itu bapa, suara ‘seorang bapa’ akan terngiang-ngiang di telinganya. Bila melayani watak heroin, ‘suara gadis’ pula yang kedengaran di telinganya.

8.Malah, pembaca daripada golongan ini sudah memasang ‘wajah-wajah’ yang sepadan dengan watak-watak di dalam novel yang dibacanya. Tidak hairan andainya mereka ini bukan sahaja tergelak, malah menangis kerana begitu menghayati pembacaannya.

9. Betapa pun, samada pembaca itu adalah daripada golongan pertama yang membeli tetapi lambat membeleknya, golongan kedua yang membaca secara melangkau-langkau mahupun golongan ketiga yang membaca dengan sepenuh perasaan, itu adalah cara masing-masing.

10. Sesebuah karya tidak kira setebal 50 halaman mahupun 500 halaman, dibaca dari ayat ke ayat atau dibaca secara langkau-langkau, ia tetap harus dihasilkan penulis dengan penuh tanggungjawab. Kesan karya itu terhadap pembaca itu yang patut dititikberatkan oleh seseorang novelis.

11. Walaupun novel adalah rekaan, biarlah ia rekaan yang  diyakini dan berbekas di hati para pembaca. Novelis punyai tanggungjawab menghibur sambil menasihat. Pendekatan kita menasihati itu ialah dengan cara bercerita.