BLOG

Dua Cawangan MPH ditutup

Dua Cawangan MPH ditutup

12 Julai, Singapura – DUA cawangan gedung buku MPH di Raffles City dan Parkway Parade akan ditutup di Singapura.  Syarikat itu memaklumkan kepada The New Paper, mereka sedang mencari lokasi baharu tetapi hanya akan membuka hanya sebuah cawangan.

Premis MPH di Raffles City ~ foto capitaland
Premis MPH di Raffles City ~ foto capitaland

Bagaimana pun, mereka enggan memberitahu di manakah premis baharu mereka kerana masih dalam perundingan.  MPH berkata, kos sewa yang tinggi dan saingan daripada pemain e-commerce menjadi di antara penyebab mereka terpaksa menamatkan operasi cawangan-cawangan mereka.

MPH juga berkata, ia sedang menstruktur dan menyusun kembali sumber untuk inisiatif perniagaan yang baharu dan yakin gedung-gedung mereka akan terus menjadi relevan sambil mengambil contoh bagaimana rangkaian gedung buku di Britain telah mengatasi cabaran dan menjana kembali keuntungan.

Ketika The New Paper ke cawangan Parkway Parade Selasa lalu, rak-rak bukunya masih sarat. Yang ada hanya kotak-kotak di bahagian belakang sebagai tanda yang mereka sedang bersedia untuk berpindah. Namun, di Raffles City, kebanyakan rak-raknya sudah kosong.

Kinokuniya menutup cawangannya di Liang Court ~ foto kinokuniya
Kinokuniya menutup cawangannya di Liang Court ~ foto kinokuniya

Pada April lalu, gedung buku Kinokuniya menutup cawangannya di Liang Court kerana isu sewa beli. Ini diikuti penutupan cawangan Kedai Buku Popular  pada Jun baru-baru ini. Kedai Buku Popular telah beroperasi di Singapura sejak 31 tahun.

Penutupan gedung buku MPH membawa makna yang buruk untuk industri buku tempatan, ujar Pengasas dan Penerbit Epigram Books, Edmund Wee.

“Semakin  kurang cawangan, semakin sedikit penerbit dapat menjual buku dan semakin sedikit juga tempat pembaca membeli buku.”

“Penulis akan terus menulis. Jadi, pihak penerbit kenalah kreatif mencari jalan untuk menjual buku.”

Kedai Buku Popular Singapura juga menutup cawangannya ~ foto capitaland
Kedai Buku Popular Singapura juga menutup cawangannya ~ foto capitaland

MPH di Raffles City akan mengadakan jualan penutupan pada 28 Julai dengan diskaun 30 % bagi semua barangan dan 50 % bagi buku-buku terpilih.

MPH di Parkway Parade pula akan mengadakan jualan penutupan mereka pada bulan hadapan.

Pautan berita dari The New Paper:

https://www.tnp.sg/news/singapore/mph-bookstores-close-last-two-outlets-cites-high-rental-costs?fbclid=IwAR3GfWfuVRdGNQP3L6WYRZt3lMImFwNqLExBSMX2fWyRVdkGo0s4zDAuv8o

Apabila Pembunuhan Benar Dianggap Sebuah Adegan Novel

Apabila Pembunuhan Benar Dianggap Sebuah Adegan Novel

NOVELIS Gillian Flynn yang menulis novel thriller psikologi Gone Girl amat sakit hati pada anggapan kononnya kehilangan seorang wanita bernama Jennifer Dulos hanyalah rekaan semata-mata; sama seperti plot di dalam novel karyanya itu.

Mangsa; Jennifer Dulos ~ foto New Canaan Police Department
Mangsa; Jennifer Dulos ~ foto New Canaan Police Department

Jennifer, ibu kepada lima orang anak itu dilaporkan hilang pada 24 Mei lalu. Suaminya, Fotis Dulos dan kekasihnya telah didakwa berikutan kehilangan wanita itu.

Pihak polis mendakwa, pasangan kekasih itu kelihatan memandu di sekitar Hartford pada hari wanita itu hilang. Mereka dikatakan telah menghumban plastik-plastik sampah ke lebih 30 lokasi. Barangan yang ditemui pihak polis mengandungi percikan darah Jennifer.

Fotis Dulos, suami Jennifer yang dituduh membunuh ~ foto Oxygen
Fotis Dulos, suami Jennifer yang dituduh membunuh ~ foto Oxygen

Fotis dan kekasihnya mengaku tidak bersalah. Tetapi peguam Fotis telah membuat spekulasi, apa yang terjadi kepada Jennifer.

“Kami telah memperoleh sebuah novel 500 halaman. Kami sedang mengkajinya. Kami juga sedang meneliti maklumat terbaru mengenai bil hospital bernilai $14,000 sebelum Jennifer menghilang. Kita tak tahu apa yang terjadi kepada Jennifer, tetapi hipotesis Gone Girl sedang bermain di fikiran kami,” kata peguam Norm Pattis.

Novel Gone Girl karya Gillian Flynn mengisahkan bagaimana seorang isteri menipu dengan cara menghilangkan diri sambil memerangkap suaminya sebagai pembunuhnya.

Novelis Gillian Flynn sakit hati kerana novelnya dijadikan bahan kes ~ foto NBC news
Novelis Gillian Flynn sakit hati kerana novelnya dijadikan bahan kes ~ foto NBC news

Dalam satu kenyataan kepada InsideEdition.com, novelis Gillian membantah anggapan peguam Norm Pattis bahawa kes Jennifer sama seperti hasil karyanya.

“Amat memualkan apabila karya saya digunakan oleh peguam Fotis Dulos sebagai bahan pembelaan sedangkan motif di sebalik kematian Jennifer adalah nyata dan amat tragis sekali,” kata Gillian.

“Situasi ini begitu memedihkan. Saya tak dapat bayangkan bagaimana anak-anak, keluarga dan mereka yang rapat dengan mangsa menghadapinya,” tambahnya lagi.

Aktor Ben Affleck dan Rosamund Pike, watak dalam filem Gone Girl
Aktor Ben Affleck dan Rosamund Pike, watak dalam filem Gone Girl

Pada waktu yang sama, keluarga Jennifer turut menolak ‘hipotesis Gone Girl’ dengan menganggap ia sebagai sebuah tindakan untuk memburukkan mangsa.

“Semua yang terjadi seperti tidak benar. Kami bayangkan, igauan sebegini hanya terjadi di dalam novel, bukan terjadi kepada mereka yang kita kenal dan kasihi.” Demikian menurut kenyataan keluarga Jennifer.

“Semakin sehari, impak terhadap anak-anak mangsa menjadi semakin mendalam. Mereka dah tak bertemu ibu mereka – wanita yang memandu hidup mereka.”

Pihak polis masih menyiasat kes ini sebagai kes orang hilang.

Novel Gone Girl karya Gillian Flynn ~ foto Amazon.in
Novel Gone Girl karya Gillian Flynn ~ foto Amazon.in

Video mengapa kematian Jennifer dikatakan mirip novel Gone Girl:

Pautan berita Inside Edition:

https://www.insideedition.com/gone-girl-author-sickened-suggestion-missing-connecticut-mom-staged-disappearance-54287

Apabila Kampung Sudah Jadi Bandar

Apabila Kampung Sudah Jadi Bandar

Dunia kita kian mengecil. Benar sekali metafora ini. Apa yang diistilahkan sebagai global village pada tahun 1980 oleh ahli falsafah Kanada, Marshall McLuhan di mana kemajuan komunikasi mengecilkan dunia, kini benar-benar berlaku. Jika kita merantau ke mana-mana bandaraya dunia dan singgah ke gedung-gedung perniagaan, kita akan dapati jenama-jenama antarabangsa yang terkenal menghiasinya.

Kita akan temui jenama fesyen Chanel, Hermes dan Prada; jenama pakaian sukan Jordan, Puma dan Converse; jenama makanan segera Subway, Pizza Hut dan Starbucks serta jenama kenderaan seperti Mercedes, BMW dan Toyota. Di gedung-gedung perniagaan dari Kuala Lumpur ke New York, London dan Tokyo, inilah jenama-jenama yang akan muncul di pandangan mata. Gedung perniagaan di Seoul sama juga wajahnya dengan gedung perniagaan di Pulau Pinang. Jadi, berada di Melbourne seperti balik kampung layaknya kerana jenama-jenama yang ada di tanah air turut ada di negara orang!

Komunikasilah yang membentuk wajah dunia menjadi satu. Sistem pengangkutan udara memainkan peranan mendekatkan segala destinasi. Penerbangan dari kota Singapura ke New Jersey, AS hanya mengambil masa 19 jam! Seolah-olahnya jika pada pagi Ahad seseorang terbang dari Singapura ke New Jersey, dia boleh kembali berada di Singapura pada esok malam.

Komunikasi elektronik untuk siaran televisyen juga begitu pantas. Pengeboman perkampungan di Palestin boleh ditonton secara real time di rumah! Tidak lama lagi dengan penggunaaan teknologi 5G secara meluas, wartawan Al-Jazeera di lokasi akan dapat berbalas-balas berdiskusi dengan penerbit rancangan di stesyennya di Doha, Qatar. Tidak lagi perlu terpegun menunggu suara rakan sejawat hingga beberapa saat untuk didengari dahulu sebelum menjawab soalan.

Peranan internet tidak perlu diulas lagi. Jaringansesawang menerusi kabel dasar laut atau dihubung dengan satelit di angkasa membolehkan kita memantau apa sahaja dengan hujung jari. Penerbangan ayah dan ibu ke Mekah pun boleh dipantau di internet. Jika malas melihat kapal belayar di laut, tekan sahaja butang komputer dan kita boleh mengekori, malah sama-sama memasuki dek ISS atau International Space Station untuk melihat angkasa raya ciptaan ALLAH SWT.

Pada hari ini, samada kita tinggal di bandar mahupun di kampung, kita semua sama-sama punyai akses kepada semua pengetahuan dan maklumat. Orang kampung tidak perlu lagi menanti berita RTM1 jam 8.00 malam untuk menonton berita terkini. Dia juga tidak perlu menunggu Ali, drebar teksi pulang dari kota untuk menyampaikan berita terkini di kedai kopi. Sebaliknya, orang kampung juga seperti mereka di kota. Mereka boleh menatap apa yang ditonton oleh orang bandar pada waktu yang sama melalui internet.

Apabila akses kepada berita  dan cerita sama-sama boleh didapati oleh mereka yang tinggal di kampung atau di bandar, maka public opinion lebih cepat dan mudah dibentuk. Platform berita dari portal dan media sosial mudah sangat dicapai oleh sesiapa sahaja.

Kesannya? Dengan mudahnya maklumat diperolehi oleh mereka di kampung dan di bandar, world view mereka juga sama. Perangai, adab sopan dan akhlak mereka telah jadi serupa. Jika dahulu, bila orang bandar pulang ke kampung, mereka amat menjaga tata tertib. Bila memandu pun perlahan dan bersalam dengan mereka yang ditemui tidak kira samada kita kenal atau tidak.  Yang muda menghormati yang tua.

Tetapi pada hari ini, oleh kerana karaktor orang kampung dan bandar boleh dikatakan sudah serupa kerana terdedah dengan pengaruh dari seantero dunia, kita tidak hairan jika orang kampung buat muka ketat bila berasak di pasar. Sudah tidak lagi tersengih-sengih memberi laluan kepada orang lain. Ataupun menjual barangan tanpa boleh tawar menawar lagi.

Kalau orang bandar sudah kerap makan KFC, orang kampung pun dah lebih suka KFC daripada ayam golek. Piza sudah mengganti lempeng, takoyaki sudah mengganti bergedil. Mereka tidak lagi beli biskut mayat secara kilo. Sebaliknya mereka beli biskut yang dibungkus cantik di mini market. Baju tidak lagi basuh di sungai kerana kedai dobi sudah ada di kampung. Ramai yang dah biasa minum petang atau makan malam di gerai.

Sebenarnya dengan latar pemikiran dan pendedahan yang serupa, adalah lebih mudah untuk pemerintah membentuk pemikiran rakyat ke suatu visi. Namun, trend pemikiran kebandaran orang kampung ini membawa bersama sikap konsumerise. Orang kampung sudah tertiru perangai orang bandar yang hidup dengan gaya serta suka membeli daripada membuat sendiri.

Orang kampung lebih selesa bekerja di kilang, bukan dibendang. Sayur dan buah-buahan tidak dipetik di sekeliling rumah, sebaliknya dibeli di pasaraya. Mereka juga semakin kerap membeli daripada memasak. Akhirnya, mereka hidup dalam kebergantungan kepada tuntutan dunia moden. Tidak lagi selesa berusaha dan berdikari ~ tanam sendiri untuk makan sendiri.

Kos kehidupan di kampung sudah meningkat. Di kampung pun sudah ada rumah homestay dan rumah sewa yang kian meningkat. Suatu hari nanti tinggal di kampung pun menjadi mahal. Ke mana orang kota hendak kembali seandainya kos kehidupan  di kampung tidak banyak beza daripada di kota?

Bagaimana Menggunakan Pacing

Bagaimana Menggunakan Pacing

SEPERTI yang dinyatakan dalam nota sebelum ini, ‘pacing’ (sebutan dalam bahasa Melayu; pesing) adalah istilah Inggeris yang bermaksud kadar kelajuan. Dalam konteks ini ia adalah kadar kelajuan membaca. Pacing yang sesuai adalah di antara faktor yang mampu  menarik hati pembaca hingga tidak mahu menutup buku yang ditatapnya.

Pacing menentukan perjalanan pernafasan kita tatkala membaca. Samada kita membaca secara kuat mahupun di dalam hati, pacing amat memainkan peranan. Terdapat dua bentuk pacing iaitu slow-pacing dan fast pacing.

Fast pacing mempercepat bacaan. Sebaliknya, slow pacing itu memperlahankan bacaan. Apakah peranan slow dan fast pacing ini? Slow pacing menjadikan bacaan begitu releks. Fast pacing pula membuat pembacaan kita menjadi cepat. Bila kita hendak guna fast atau slow pacing ini?

Slow pacing digunakan dalam naratif. Biasanya pada permulaan bab, kita akan membuat opening scene atau adegan pembuka yang menceritakan suasana sesebuah lokasi. Pembaca akan releks bila kita gunakan ayat-ayat yang panjang. Tatkala membaca ayat-ayat sebegitu, pembaca akan  bernafas dengan perlahan. Ia menghasilkan slow pacing.

Contoh slow pacing:

Angin dingin menyapu wajahnya sebaik sahaja dia menghampiri pantai. Sambil menjinjing seliparnya, dia mengatur langkahnya perlahan-lahan kerana ingin merasa sentuhan pasir halus di tapak kakinya. Bunyi ombak yang menyapu pantai kedengaran mendesah dan begitu mendamaikan. Pandangannya dilontar ke laut lepas merenung sang mentari yang sedang turun berlabuh di horizon. Dia mendongak ke langit senja untuk mencari bintang-bintang yang muncul satu persatu di balik awan. Sekawan burung layang-layang terbang melintas jauh menuju ke perbukitan untuk pulang ke sarang.

Fast pacing pula bagus digunakan untuk menggambarkan keadaan cemas, suspens dan ngeri. Biasanya dialog akan menimbulkan fast pacing. Dialog perlu bertingkah, ringkas dan menggunakan ayat-ayat yang pendek bagi meningkatkan rasa cemas dan kesegeraan. Mood negatif dan konflik boleh menggunakan teknik fast pacing ini.

Contoh fast pacing:

Kenapa dia macam tu? Janji tinggal janji. Tapi, betul ke dia berjanji? Atau dia hanya pura-pura? Kalau aku tahu, dari dahulu lagi aku tak akan terima dia. Hendak jadi pengganti, konon! Tapi, salah aku juga. Kenapa aku terima dia? Kenapa aku percaya pada kata-kata? Sekarang aku yang pedih. Ngilunya dah menjalar sampai ke hulu hati. Rasa sakit setengah mati!

Apakah perbezaan yang ketara pada slow dan fast pacing? Slow pacing dibina dengan menggunakan ayat-ayat yang panjang. Fast pacing pula menggunakan ayat-ayat yang pendek. Apabila kita membaca ayat-ayat yang panjang, dengan sendirinya kita menjaga pernafasan agar tidak semput. Dengan itu, kita membaca secara perlahan-lahan. Berbeza dengan fast pacing; oleh kerana ayat-ayatnya pendek, kita dapat membacanya dengan cepat.  Sebab itulah, slow pacing itu merehatkan dan fast pacing itu menimbulkan rasa stres.

Ayat-ayat yang panjang dan pendek perlu diadun dengan seimbang. Kadangkala fast pacing, ada ketikanya slow pacing. Terlalu banyak fast pacing akan membuatkan pembaca stres. Sebaliknya terlalu banyak slow pacing akan membuat pembaca mengantuk dan zzzzz…..

Cinnamon: Kisah Puteri Buta dan Harimau

Cinnamon: Kisah Puteri Buta dan Harimau

Cinnamon
Penulis: Neil Gaiman
Ilustrasi: Divya Srinivasan
Bahasa: Inggeris
Genre: Fiksyen, Fantasi, Kanak-Kanak, Buku Bergambar
Penerbitan: 2005
Penerbit: Bloomsbury Publishing PLC
Halaman: 40 halaman
Penulis: Website | Facebook | Twitter | Goodreads

Buy This Book from Book Depository, Free Delivery World Wide

Neil Gaiman adalah pemenang medal Newbery dan penulis buku terlaris New York Times. Beliau juga terkenal dengan karyanya, American Gods, Norse Mythology dan Good Omens.  

KISAH PUTERI BUTA DAN HARIMAU

Jom kita cuba cari apakah sebenarnya yang ingin dibawakan oleh Neil Gaiman dalam karyanya yang ini. Klik video trailer di bawah untuk ringkasan sinopsis buku ini!

Video Trailer untuk Novel Cinnamon oleh Neil Gaiman

Buku ini mengisahkan sebuah negara yang panas yang dikelilingi dengan gunung di satu sisi dan hutan di sisi lain. Di sana, tinggal seorang puteri buta bernama Cinnamon.

Dengan sebab yang tidak diketahui ibu bapanya, Rajah dan Rani, Cinnamon tidak mahu bercakap. Jadi ibu bapa Cinnamon menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang boleh mengajar anak mereka untuk bertutur. Orang ramai datang dari jauh dan mencuba nasib, tetapi tidak ada yang berjaya.

Sehinggalah muncul seekor harimau yang kuat, besar dan ganas, datang ke istana langsung mengumumkan bahawa dia datang untuk mengajar Cinnamon untuk bercakap. Apa akan jadi? Apakah Cinnamon menjadi mangsa pula?

Ilustrasi di dalam buku Cinnamon ~ foto amazon in
Ilustrasi di dalam buku Cinnamon ~ foto amazon in

Buku ini ditulis pada tahun 1995 tetapi belum pernah diterbitkan. Divya Srinivasan mengilustrasi buku yang cantik ini. Karya-karya Neil Gaiman banyak yang telah diadaptasi untuk filem dan televisyen.

Buku ini mendapat komen-komen yang menarik daripada pengulas buku. The Times, Book of the Week mengulas buku ini sebagai ‘sebuah dongeng India dengan stail Gaiman dan ilustrasi menarik Divya Srinivasan.

Seorang kanak-kanak sedang membaca Cinnamon ~ foto thebabybookworm
Seorang kanak-kanak sedang membaca Cinnamon ~ foto thebabybookworm

‘Kelakar tetapi kadang-kadang menyeramkan. Tetapi saya rekomen anda mendapatkannya,’ kata pengulas di Bookbag. Sunday Times, Book of the Week pula mengatakan buku ini sebagai sebuah buku yang ‘kelakar tetapi memukau.’

‘Ini sebuah buku yang unik. Ilustrasinya amat menarik,’ ulas The Guardian.

Teruja untuk mendapatkannya? Klik link Book Depository dibawah untuk membeli buku ini dan poskan terus ke alamat yang anda kehendaki!

Buy This Book from Book Depository, Free Delivery World Wide

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]