Dunia kita kian mengecil. Benar sekali metafora ini. Apa yang diistilahkan sebagai global village pada tahun 1980 oleh ahli falsafah Kanada, Marshall McLuhan di mana kemajuan komunikasi mengecilkan dunia, kini benar-benar berlaku. Jika kita merantau ke mana-mana bandaraya dunia dan singgah ke gedung-gedung perniagaan, kita akan dapati jenama-jenama antarabangsa yang terkenal menghiasinya.

Kita akan temui jenama fesyen Chanel, Hermes dan Prada; jenama pakaian sukan Jordan, Puma dan Converse; jenama makanan segera Subway, Pizza Hut dan Starbucks serta jenama kenderaan seperti Mercedes, BMW dan Toyota. Di gedung-gedung perniagaan dari Kuala Lumpur ke New York, London dan Tokyo, inilah jenama-jenama yang akan muncul di pandangan mata. Gedung perniagaan di Seoul sama juga wajahnya dengan gedung perniagaan di Pulau Pinang. Jadi, berada di Melbourne seperti balik kampung layaknya kerana jenama-jenama yang ada di tanah air turut ada di negara orang!

Komunikasilah yang membentuk wajah dunia menjadi satu. Sistem pengangkutan udara memainkan peranan mendekatkan segala destinasi. Penerbangan dari kota Singapura ke New Jersey, AS hanya mengambil masa 19 jam! Seolah-olahnya jika pada pagi Ahad seseorang terbang dari Singapura ke New Jersey, dia boleh kembali berada di Singapura pada esok malam.

Komunikasi elektronik untuk siaran televisyen juga begitu pantas. Pengeboman perkampungan di Palestin boleh ditonton secara real time di rumah! Tidak lama lagi dengan penggunaaan teknologi 5G secara meluas, wartawan Al-Jazeera di lokasi akan dapat berbalas-balas berdiskusi dengan penerbit rancangan di stesyennya di Doha, Qatar. Tidak lagi perlu terpegun menunggu suara rakan sejawat hingga beberapa saat untuk didengari dahulu sebelum menjawab soalan.

Peranan internet tidak perlu diulas lagi. Jaringansesawang menerusi kabel dasar laut atau dihubung dengan satelit di angkasa membolehkan kita memantau apa sahaja dengan hujung jari. Penerbangan ayah dan ibu ke Mekah pun boleh dipantau di internet. Jika malas melihat kapal belayar di laut, tekan sahaja butang komputer dan kita boleh mengekori, malah sama-sama memasuki dek ISS atau International Space Station untuk melihat angkasa raya ciptaan ALLAH SWT.

Pada hari ini, samada kita tinggal di bandar mahupun di kampung, kita semua sama-sama punyai akses kepada semua pengetahuan dan maklumat. Orang kampung tidak perlu lagi menanti berita RTM1 jam 8.00 malam untuk menonton berita terkini. Dia juga tidak perlu menunggu Ali, drebar teksi pulang dari kota untuk menyampaikan berita terkini di kedai kopi. Sebaliknya, orang kampung juga seperti mereka di kota. Mereka boleh menatap apa yang ditonton oleh orang bandar pada waktu yang sama melalui internet.

Apabila akses kepada berita  dan cerita sama-sama boleh didapati oleh mereka yang tinggal di kampung atau di bandar, maka public opinion lebih cepat dan mudah dibentuk. Platform berita dari portal dan media sosial mudah sangat dicapai oleh sesiapa sahaja.

Kesannya? Dengan mudahnya maklumat diperolehi oleh mereka di kampung dan di bandar, world view mereka juga sama. Perangai, adab sopan dan akhlak mereka telah jadi serupa. Jika dahulu, bila orang bandar pulang ke kampung, mereka amat menjaga tata tertib. Bila memandu pun perlahan dan bersalam dengan mereka yang ditemui tidak kira samada kita kenal atau tidak.  Yang muda menghormati yang tua.

Tetapi pada hari ini, oleh kerana karaktor orang kampung dan bandar boleh dikatakan sudah serupa kerana terdedah dengan pengaruh dari seantero dunia, kita tidak hairan jika orang kampung buat muka ketat bila berasak di pasar. Sudah tidak lagi tersengih-sengih memberi laluan kepada orang lain. Ataupun menjual barangan tanpa boleh tawar menawar lagi.

Kalau orang bandar sudah kerap makan KFC, orang kampung pun dah lebih suka KFC daripada ayam golek. Piza sudah mengganti lempeng, takoyaki sudah mengganti bergedil. Mereka tidak lagi beli biskut mayat secara kilo. Sebaliknya mereka beli biskut yang dibungkus cantik di mini market. Baju tidak lagi basuh di sungai kerana kedai dobi sudah ada di kampung. Ramai yang dah biasa minum petang atau makan malam di gerai.

Sebenarnya dengan latar pemikiran dan pendedahan yang serupa, adalah lebih mudah untuk pemerintah membentuk pemikiran rakyat ke suatu visi. Namun, trend pemikiran kebandaran orang kampung ini membawa bersama sikap konsumerise. Orang kampung sudah tertiru perangai orang bandar yang hidup dengan gaya serta suka membeli daripada membuat sendiri.

Orang kampung lebih selesa bekerja di kilang, bukan dibendang. Sayur dan buah-buahan tidak dipetik di sekeliling rumah, sebaliknya dibeli di pasaraya. Mereka juga semakin kerap membeli daripada memasak. Akhirnya, mereka hidup dalam kebergantungan kepada tuntutan dunia moden. Tidak lagi selesa berusaha dan berdikari ~ tanam sendiri untuk makan sendiri.

Kos kehidupan di kampung sudah meningkat. Di kampung pun sudah ada rumah homestay dan rumah sewa yang kian meningkat. Suatu hari nanti tinggal di kampung pun menjadi mahal. Ke mana orang kota hendak kembali seandainya kos kehidupan  di kampung tidak banyak beza daripada di kota?