Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur Ditangguh
SHAH ALAM – Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 yang dijadualkan berlangsung selama 10 hari bermula 27 Mac 2020 ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan. Demikian status yang dipetik di laman Facebook pestabuku itu.
Pengerusi Jawatankuasa Induk PBAKL 2020, Mohd Khair Ngadiron berkata, keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk PBAKL 2020 hari ini. “Mesyuarat itu memutuskan PBAKL 2020 yang sepatutnya diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur pada tarikh tersebut ditangguhkan.
“Bagaimanapun, PBAKL 2020 dalam talian akan dilancarkan dan berlangsung pada tarikh yang sama iaitu 27 Mac sehingga 5 April 2020,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi PBAKL hari ini. Kenyataan itu ternyata menyedihkan para peminat buku.
Dalam masa dua jam status itu dinaikkan, ia mendapat 475 tanda reaksi, 126 komen dan 380 kongsi. Penulis Kiridaren Jayakumar menyatakan rasa sedihnya kerana terlepas peluang untuk memperkenalkan bukunya The Bibliophile. Rata-rata yang lain menyuarakan rasa kesal. Betapa pun, mereka berterima kasih kerana pihak penganjur mementingkan kesihatan para pengunjung. ~ LM
Banyak Buku Teori Konspirasi Coronavirus Kini Muncul di Amazon
AARON ROBERTSON/LITHUB.COM/27.2.2020
PADA hari ini, teori-teori konspirasi bukan sesuatu yang boleh diambil enteng. Ramai penulis memaklumi, teori-teori konspirasi itu adalah satu bentuk ekspresi masyarakat yang berada di dalam keresahan dan kebimbangan.
Ia berkembang pada masa ketidakpastian. Malangnya ia berlaku apabila dunia begitu bimbang dengan coronavirus. Kelmarin, majalah politik Politico melaporkan, para penyokong Presiden Amerika Donald Trump percaya coronavirus adalah daulah terpendam yang bertujuan untuk menjatuhkannya.
Majalah Business Insider turut melaporkan mengenai bercambahnya buku-buku teori konspirasi coronavirus di Amazon. Judul-judul seperti Jesus vs Satan: The Origins of Coronavirus dan Military Virus Apocalypse: Biological Warfare, Bioweapons and China Coronavirus Pandemic.
Apakah buku-buku ini melanggar panduan kandungan Amazon? Seorang jurucakap Amazon berkata, syarikatnya memberi keutamaan kepada pelbagai pandangan.
Meskipun terdapat banyak buku swaterbit yang ditulis dengan niat baik, ia hanyalah berbentuk sindiran. Rush Limbaugh, seorang pengulas isu-isu politik yang terkenal di radio Amerika merumuskan, ‘isu kesihatan global telah menjadi senjata untuk membelasah Presiden Amerika!
Sumber:
Novelis Clive Cussler Meninggal Dunia
LEAH ASMELASH/CNN/FEB 27 2020
Clive Cussler, 88, novelis dan pelayar, telah meninggal dunia pada Isnin lalu. Keluarganya mengumumkan perkara itu di laman Facebook beliau.
Menurut balunya Janet Horvath, berada di sampingnya adalah suatu keistimewaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada anda, para peminat dan rakan-rakan di atas segala sokongan kerana berada bersamanya di waktu senang dan di waktu kembara yang telah anda hadiri bersamanya. Beliau adalah lelaki paling berbudi yang pernah saya temui. Saya menyintainya dan akan tetap mengasihinya. Betapa pun, saya tahu pengembaraannya akan diteruskan.”
Pada masa hayatnya, Cussler dikenali dengan buku-buku mengenai penemuan di kapal yang tenggelam samada yang fiksyen mahu pun yang bukan fiksyen.

Mendiang menulis lebih 50 buah buku yang mana dua daripadanya telah difilemkan iaitu Raise the Titanic (1980) dan Sahara (2005). Buku-bukunya telah diterjemah ke dalam 40 bahasa dan terjual di lebih 100 buah negara.
Karyanya kerap menggunakan watak Dirk Pitt, seorang pengembara. Namun Cussler bukan sahaja seorang novelis. Sebaliknya mendiang amat menggemari penerokaan maritim. Kerana itu, beliau mewujudkan sebuah yayasan, National Underwater and Marine Agency yang menumpukan aktivitinya dalam pencarian kapal karam, tinjauan arkeologi dan pemuliharaan artifak kapal karam. Yayasan itu telah pun menemui lebih 60 kawasan kapal karam. Semua kembara dibiayai melalui royalti buku-bukunya.

Dalam sebuah temubual dengan CNN pada tahun 2002, beliau menceritakan mengapa beliau amat meminati pencarian maritim. Katanya, “Tentulah kerana misteri, intrig dan sejarahnya. Ia adalah suatu cabaran kerana apabila berjaya, kita akan berasa gembira. Tetapi apabila gagal menemui apa-apa, saya akan terus mencarinya.”
Bakar Buku Kerana Marahkan Pakatan
AZA JEMIMA AHMAD/ASTRO AWANI/FEB 25 2020
KUALA LUMPUR: Kesal dan terkejut dengan pengumuman peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta pemimpin yang bertindak keluar parti, pertubuhan bukan kerajaan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) bertindak meluahkan rasa tidak puas hati pada Isnin.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Twitter, Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel dilihat bersama beberapa ahli C4 membakar Buku Harapan yang mengandungi janji manifesto Pakatan Harapan (PH).
Tindakan tersebut diambil katanya sebagai tanda protes terhadap pengumuman Dr Mahathir yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada masa sama, 11 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan PH bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, yang sebelum itu telah dipecat dari parti.
Menurut Cynthia, orang ramai keliru dan tertanya-tanya apa yang bakal berlaku terhadap masa depan pentadbiran negara susulan perkembangan politik negara itu.
Menyandar Harapan Kepada Tun
MAAFCAKAP 26.2.2020
Pergolakan politik mutakhir ini tiba-tiba menaikkan kembali imej dan persepsi orang ramai kepada Tun Mahathir. Episod-episod penuh intrig yang beliau lalui pasti akan dikumpul sebagai bahan kajian ilmiah. Tun Mahathir yang ramai orang lihat adalah seorang yang tegas, garang, berwawasan, banyak idea hingga digelar ahli politik Machiavelli. Malah, timbul istilah Mahathirisme sebagai penjenamaan buat beliau.
Di sepanjang karier, saya bertuah kerana bukan sahaja berpeluang mendengar ucapan-ucapannya, malah berpeluang berdiskusi dengan beliau. Tidak ramai yang tahu mengenai hal ini. Malah, Tun Mahathir pun tentunya tidak ingat kerana saya juga adalah di antara kalangan ratusan mereka yang berpeluang untuk mendengar kata-katanya dalam kumpulan yang kecil.
Pertama kali saya berpeluang mengenali Tun Mahathir secara lebih dekat ialah apabila ke kediamannya di Seri Perdana pada suatu petang pada tahun 1982. Seri Perdana pada waktu itu terletak di Jalan Damansara. Ketika itu saya bertugas di Biro Tatanegara. Lebihkurang 10 orang pegawai biro itu hadir untuk mendengar pandangan serta inspirasi beliau yang pada ketika itu telah melancarkan pelbagai program yang mengejutkan rakyat Malaysia.
Di antara perkara yang memukau fikiran rakyat pada ketika itu ialah apabila beliau mempercepatkan 30 minit waktu di Semenanjung Malaysia. Beliau turut memperkenalkan kad perakam waktu dan tanda nama untuk kakitangan kerajaan. Kemudian, beliau memperkenalkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Itu belum termasuk kempen Buy British last, Look East Policy, penswastaan dan banyak lagi. Sebagai kakitangan di bawah Jabatan Perdana Menteri, kami perlu faham apa yang beliau ingin lakukan dan menyampaikannya kepada rakyat.
Yang menariknya, Tun melayani kami semua bukan secara rasmi, malah sebagai tetamu. Setelah menceritakan bagaimana beliau mempastikan tahu mengenai industri getah jika mahu berucap di persidangan getah dunia, beliau turut membawa kami ke basement kediamannya. Di situ, beliau menunjukkan karya kraf yang dibuat sendiri dari tembaga. Malah Tun turut berkongsi untuk menceritakan dua perkara yang beliau tidak suka lakukan iaitu menggunting rambut dan membuang kuku. Menurutnya, kedua-dua aktiviti ini tidak membolehkan beliau buat kerja lain. Maka fahamlah saya bahawa Tun adalah insan biasa.
Melalui pembacaan saya tahu, Tun Mahathir amat menjaga permakannya. Saya teringat ketika Tun Mahathir menghadiri Wacana Sinar Harian bertajuk, ‘Apakah Tun M Terlalu Tuan Untuk Jadi PM?’ yang berlangsung pada 22 Mac 2018. Sebagai Ketua Pengarang pada ketika itu, saya yang pilih tajuk wacana yang kontroversi itu. Dan Wacana itu menjadi kontroversi apabila Tun M menyatakan sudi untuk hadir untuk mendengar apa yang orang kata mengenai dirinya.
Namun, yang lebih bermakna buat saya ialah momen-momen saya menghidangkan juadah untuk Tun. Sambil menyepit segulung roti jala untuknya, saya bertanya, “Satu?” Tun menjawab perlahan, “Satu lagi.” Saya sepit satu lagi roti jala. Tun hanya mahu kuah karinya. Setelah menceduk dua sudu, saya hendak meletakkan piring roti jala itu ke hadapannya. Tetapi tak jadi apabila terdengar Tun berkata, “Lagi…”
Menyediakan roti jala dan kuah untuk seseorang adalah sesuatu yang biasa. Tetapi menyediakannya untuk Tun Mahathir adalah suatu momen yang begitu membahagiakan. Dalam kesibukan beliau diiringi oleh pengawal peribadi dan para pegawai dan sesiapa sahaja, saya berpeluang untuk menghidangkan roti jala untuk Tun Mahathir. Saya berasa seperti menyediakan hidangan buat ayah saya.
Bayangkan. Betapa pada saat-saat ini Tun Mahathir bersendirian berdepan dengan kemelut politik. Meskipun dimamah usia, beliau masih tenang menghadapi gelora dan badai politik. Yang penting, ujian ini menyedarkan kita bahawa Tun Mahathirlah satu-satunya pemimpin tempat kita menaruh harapan. Dengan tulang, daging dan kulit yang uzur, dia masih melangkah untuk menyelamatkan kita semua. Janganlah persoal dan perlekehkan dia lagi. Cukup-cukuplah.








