Peluang Menjadi Pemilik Mall
MAAFCAKAP 29.7.2020
Sabtu lalu 25 Julai, hari menarik buat warga Masjid Tanah, Melaka. Pada hari itu, telah berlangsung program Ayuh Bangkit, sebuah program motivasi bisnes yang dikendalikan oleh Coach Fadzil Hashim, seorang usahawan Melayu. Program yang bertempat di M Mall, sebuah bangunan MARA yang telah empat tahun kosong itu dihadiri oleh golongan usahawan Muslim.
Pendaftaran untuk 250 peserta yang ditempah secara online telah penuh; menyebabkan mereka yang ingin walk-in terpaksa pulang berputih mata. Di bandar yang kecil itupun terdapat ramai usahawan Melayu. Mereka bukan sahaja usahawan yang menjual, malah ada yang mengedar dan mengeluarkan pelbagai produk. Malah, di setiap bandar di Malaysia sudah terdapat ratusan ribu usahawan Melayu yang menceburi bidang perniagaan.
YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah hadir untuk merasmikan program itu. Turut bersama YB Datuk Wira Ar Ismail Othman, EXCO Kerajaan Negeri Melaka serta Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis PPIM yang juga merupakan Pengerusi Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia, KoPPIM.
Program Ayuh Bangkit itu amat signifikan dari pelbagai segi. Untuk para usahawan daerah itu, sebuah medan perniagaan yang baharu telah dibentang luas di depan mata. Bangunan M Mall tempat berlangsungnya program, bakal dibuka sebagai Malakat Mall, sebuah mall Muslim sepenuhnya pada Disember 2020. Ia akan mempamer produk-produk keluaran usahawan Muslim. Apabila disebut keluaran usahawan Muslim atau orang Melayu, kita akan terpandang pelbagai kerepek, kek, tudung dan jubah. Tidak begitu.
Malakat Mall yang dipersembahkan kepada khalayak masyarakat Muslim adalah sebuah mall yang moden. Pasarayanya mempunyai imej yang setanding dengan grocer yang moden. Selain daripada pasar, akan terdapat kedai pakaian, peralatan sukan, D.I.Y, alatulis serta restoran yang dikendalikan oleh cef-cef yang ada bintang.
Inilah salah satu kebangkitan imej syarikat Melayu yang cuba ditonjolkan oleh Coach Fadzil, Pengasas Malakat Mall. Kita sudah ada banyak juga rangkaian kedai runcit seperti Az-Zain, Lesong Mart, Pasaraya Ikhwan dan Elewsmart. Terdapat juga pasaraya besar seperti Mydin. Namun, orang Melayu belum ada mall yang mengisi pelbagai jenis perniagaan di kompleksnya sepertimana Malakat Mall.
Semangat untuk mengubah kedudukan bisnes orang Melayu ini tercetus setelah Coach Fadzil menganjurkan beberapa siri latihan susulan Ayuh Bangkit kepada para usahawan. Beliau melihat potensi pelbagai bisnes orang Melayu tetapi berdiri rapuh kerana mereka tidak mempunyai mall.
Kerana ingin merealisasikan kesimpulannya, beliau memperoleh sebuah mall yang kosong di Cyberjaya dan dijelmakan menjadi Malakat Mall. Menyedari bahawa membuka mall memerlukan dana yang besar, maka kerjasama dengan PPIM diperoleh melalui keahlian KoPPIM.
Dalam tempoh 10 bulan koperasi itu diaktifkan, ia berjaya mengumpul lebih 25,000 ahli dengan dana yang kini sudah mencapai belasan juta. Walaupun ada yang berkata, apa yang koperasi boleh buat, mereka harus melihat betapa beberapa buah koperasi di Amerika yang di antaranya CHS dan Coop Group yang telah mencapai status berjaya di dalam Fortune 500.
Semoga Malakat Mall akan berkembang pesat hingga menjadi simbol kebanggaan orang Melayu. Bangga kita bukan setakat menumpang bangga, malah bangga kerana kita juga menjadi tuanpunya mall itu melalui saham sebagai ahli KoPPIM. Sambutan terhadap Malakat Mall yang pertama di Cyberjaya begitu memberangsangkan. Petanda bahawa Malakat Mall kedua di Melaka mendapat sambutan, amat cerah kerana kini ia menjadi bualan hangat di daerah itu.
Jual Buku Kerana Minat Membaca
Redzuan Muharam.HARIAN METRO.21.7.2020
MINAT membaca dan mengumpul bahan bacaan mendorong bekas pengurus kilang, Abdul Halim Ismail menjalankan perniagaan buku terpakai.
Bermula dengan menjual secara dalam talian pada 2012 , Abdul Halim, 52, kemudiannya menyewa kediaman bersebelahan rumahnya pada tahun sama untuk memudahkan pelanggan datang melihat koleksi buku dan membuat pembelian.
Pada tahun berikutnya, Abdul Halim mengembangkan perniagaannya dengan membuka kedai sendiri di Taman Saujana Puchong, Puchong, yang bertahan sehingga kini.
Abdul Halim yang juga bapa empat anak berkata, cabaran awalnya adalah mencari pelanggan dan bekalan stok buku untuk dijual.
Namun, katanya, masalahnya selesai selepas membuat hebahan lengkap nombor telefon untuk dihubungi di satu platform dalam talian.
“Saya pernah bekerja di kilang elektronik di Shah Alam selama 20 tahun dan terpaksa berhenti selepas ia ditutup.
“Sejak itulah, saya mula menjual buku terpakai dan memilih perniagaan berkenaan kerana minat serta merasakan ia lebih sesuai dengan jiwa saya.
“Bekalan buku diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya perpustakaan lama, bekas penerbit dan peniaga buku serta jualan gudang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kedainya, hari ini.
Abdul Halim berkata, pelbagai jenis buku terpakai dijual di kedainya iaitu daripada bahan bacaan kanak-kanak, umum, majalah, novel dan buku rujukan pelajaran peringkat sekolah hingga pengajian tinggi.
Katanya, pelanggannya terbahagi kepada beberapa kategori dengan setiap satunya mencari bahan bacaan berdasarkan minat dan keperluan masing-masing.
“Ada beberapa kategori pelanggan, yang pertama peminat buku lama atau pengumpul dan bilangannya agak ramai juga.
“Kedua, mereka yang membeli untuk membaca. Kategori ketiga adalah pelanggan yang membeli untuk menderma atau menginfakkan kepada anak yatim.
“Sebahagiannya pula mencari buku pelajaran terpakai dan mereka ini terdiri daripada penuntut peringkat sarjana atau lebih tinggi daripada itu,” katanya.

Di samping minat dan kepuasan, Abdul Halim mahu menjadikan perniagaannya sebagai salah satu cara untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda.
Berikutan itu, Abdul Halim tidak hanya menjual di dalam talian dan kedai saja, malah turut menjalin kerjasama dengan pihak sekolah bagi mengadakan program bersama murid.
“Kebetulan, saya menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat pemilik trak, Mobilebookcafe, jadi kenderaan itu yang digunakan untuk mengadakan program di sekolah.
“Siri jelajah itu diadakan selepas mendapat kelulusan dan kami pernah berkunjung ke sekolah di Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Aktiviti diadakan bergantung kepada pihak sekolah dan tidak terhad dengan jualan kerana ada kalanya kami turut membawa pelukis, tetapi tujuannya adalah memupuk minat membaca dalam kalangan murid,” katanya.
Abdul Halim, biarpun menjual buku terpakai, sambutan diterima tetap menggalakkan terutama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Alhamdulillah, sambutan semakin baik dan itu yang kita mahukan iaitu melihat lebih ramai individu gemar membaca.
“Malah, ada pelanggan saya kini mula menceburi bidang perniagaan buku terpakai dan ia satu perkembangan baik.
“Saya harap perniagaan itu terus diterima baik dan mahu ada kesinambungan yang boleh meneruskan usaha saya pada masa depan,” katanya.
Pautan Asal:
https://www.hmetro.com.my/utama/2020/07/602111/bacalah-metrotv
Keanu Reeves Kini Seorang Penulis!
Keanu Reeves, 55, telah mencipta sebuah buku komik bersiri “BRZRKR” yang mana wataknya mempunyai persamaan dengan dirinya.
Projek kolaborasi dengan penulis Matt Kindt, dari BOOM! Studios telah mengumumkan komik 12 siri yang mendapat kerjasama pelukis Alessandro Vitti, juruwarna Bill Crabtree and penghuruf Clem Robins.

Reeves telah berkongsi keterujaan bekerjasama dengan pasukan kreatif yang pernah menghasilkan “Marvel’s Secret Warriors,” “Folklords, Bang!”, “BRPD” dan “Hellboy.”
“Sejak kecil, saya sukakan komik. Ia mempengaruhi jiwa seni saya. Apabila berpeluang untuk mencipta BRZRKR dengan kerjasama kumpulan legen industri seperti Matt Kindt, Alessandro Vitti, Bill Crabtree, Clem Robins dan Rafael Grampá ia adalah sebuah mimpi yang menjadi nyata,” ujar Reeves.
Reeves memberitahu akhbar USA Today dalam sebuah temubual eksklusif, yang dia telah menemui penerbit novel grafik pada tahun lalu. “Ia sebuah fantasi yang menjadi realiti.”
Ketua Editor Matt Gagnon berkata, kreativiti Reeves adalah kunci kejayaan mereka.
“Berilah masa lima minit bersama Reeves dan kita akan nampak mengapa beliau seorang yang berjaya. Beliau mempunyai naluri kreatif yang luarbiasa. Beliau juga seorang yang bestari kerana mampu mencungkil emosi pada satu-satu masa. Semua ini menjadikan Reeves suatu tenaga inspirasi.”

Apabila USA Today bertanya apakah beliau ingin menjadi watak dalam komik iaitu Berserker, Reeves menjawab, “Tentu sekali.”
Komik pertama akan di pasaran pada 7 Oktober. Untuk keterangan lanjut, sila ke laman web penerbit.
*Gambar Utama: Keanu Reeves membuat pengumuman menerbitkan komik ‘BRZRKR’ Pixcredit: (Yuichi Yamazaki/Getty Images)
Penilaian Kebodohan Perniagaan
MAAFCAKAP 22.7.2020
Sudah berbulan saya tidak bertemu dengan ‘Bos,’ panggilan saya kepada seorang teman sekolej yang menjadi seorang usahawan. Setelah bertanya khabar, perbualan beransur-ansur beralih mengenai bisnesnya. Seperti juga orang lain, perniagaan Bos turut terkesan dengan covid-19.
Namun, Perintah Kawalan Pergerakan memberi beliau banyak waktu untuk meneliti keseluruhan perniagaannya. Jika sebelum ini beliau memberikan mandat kepada para pegawainya menguruskan perniagaan, tempoh PKP membolehkan beliau mengkaji prestasi anak-anak syarikatnya.
Selepas satu, satu lagi laporan prestasi syarikat dibaca dan dikajinya. Setiap kali itu jugalah Bos menggeleng kerana terlalu banyak kesilapan-kesilapan keputusan perniagaan telah berlaku.
Apabila saya bertanya Bos, apakah rumusan yang dia peroleh daripada apa yang terjadi dengan syarikat-syarikatnya? Kata beliau ringkas, “PKP ini bukan sahaja bermakna Perintah Kawalan Pergerakan. Bagi saya, PKP juga adalah Penilaian Kebodohan Perniagaan. Banyak sangat SOP perniagaan diabaikan. Inilah kebodohan kerana kesilapan dilakukan berulangkali hingga tak sedar syarikat semakin rugi dan boleh tutup!”
Katanya, terdapat syarikat yang memberi sebut harga yang amat murah, kesilapan produksi, kelebihan pengeluaran daripada tempahan dan yang paling penting ialah kelemahan bahagian kutipan untuk mendapatkan hutang. Bisnesnya tiada masalah mendapatkan pelanggan, tetapi berjalan tanpa piawaian dan kawalan.
Asas berniaga ialah memberi perkhidmatan atau jual produk dengan keuntungan. Pemasaran ialah menghebahkan perniagaan dengan kos minima kepada seramai mungkin pelanggan. Sementara perakaunan pula merakam segala transaksi dari peringkat membekal kepada membuat kutipan serta mengawalselia perbelanjaan.
Perintah Kawalan Pergerakan yang memaksa kesemua ahli-ahli perniagaan untuk duduk di rumah dan menghadkan aktiviti perniagaan adalah reset yang amat baik. Fokus yang utama ialah mengawal kos dengan menjimatkan perbelanjaan yang tidak perlu. Perkara pertama yang dapat dikurangkan ialah kos elektrik dan air pejabat bilamana pejabat tidak beroperasi.
Dari sudut tenaga manusia, staf boleh menjalankan tugas dari rumah. Perhubungan telefon serta internet berjalan lancar dan segala mesyuarat dapat diadakan secara talian. Sebenarnya jika lebih separuh daripada kakitangan boleh bekerja di rumah, buat apa sewa pejabat besar yang memakan kos yang banyak? Pada hari ini, sudah terdapat perkhidmatan pejabat virtual. Jika hendak bermesyarat dengan pelanggan pun boleh dengan disediakan segala peralatan canggih untuk persembahan slaid, komputer malah makan dan minum sekali.
Trend pada hari ini pun, rakan niaga pun bukan hendak lihat laman web yang cantik berseri yang kos membinanya memakan angka ribuan ringgit. Memadai mereka mengukur kehebatan syarikat kita melalui media sosial seperti Facebook untuk membuat penilaian samada perniagaan yang kita buat itu aktif dan interaktif.
Sesungguhnya PKP memberi kita peluang untuk menyemak kembali perjalanan syarikat. Zaman meleset umpama sungai yang kering. Semua sampah sarap mula kelihatan apabila air sungai berhenti mengalir.
Penilaian Kebodohan Perniagaan harus diubah potensinya menjadi Penilaian Kebijaksanaan Perniagaan. Segala kesilapan berulang harus dihentikan dan semua syarikat patut mencontohi bagaimana pihak kerajaan mengendalikan peperangan dengan covid-19 iaitu dengan melonggarkan setiap langkah secara berhati-hati apabila perniagaan semakin pulih.
Buku Rebirth: Editor telah beri maklumat pada polis
Faisal Asyraf.Malaysiakini.18.7.2020
Editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia telah memberikan maklumat, termasuk keberadaannya, kepada polis, menurut peguamnya Fahri Azzat.
Ia bertentangan dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed seperti dipetik Bernama semalam, bahawa Kean Wong telah keluar Malaysia dan tidak dapat dipastikan keberadaannya.
Menurut Fahri, Wong telah mengarahkannya untuk memberikan alamat, nombor telefon dan emelnya kepada polis, susulan siasatan pihak berkuasa terhadap buku tersebut.
“Pada 3 Julai, anak guam saya telah arahkan untuk berhubung dengan Inspektor Zakiman dari Bukit Aman untuk memaklumkan saya telah dilantik untuk mewakilinya. Pada hari sama, Inspektor Zakiman berhubung dengan saya untuk meminta alamat, nombor telefon dan emel anak guam saya.

“Pada 6 Julai, selepas diarahkan anak guam, saya maklumkan ketiga-tiga maklumat yang diminta kepada inspektor itu,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Kata Fahri lagi, polis masih belum menghubungi Wong selepas maklumat tersebut diberikan.
Laporan Bernama semalam menyatakan Wong dikesan telah melarikan diri ke luar negara.
Laporan itu memetik Huzir sebagai berkata, dia didapati telah ke luar negara sejak 21 Januari.
“Dia (editor) telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ telah menyenaraikannya sebagai Orang yang Dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan,” katanya seperti dipetik.
Bagaimanapun, Fahri berkata Wong sememangnya merupakan penduduk tetap Australia dan telah menetap di negara itu sejak sekitar 2003-2004.
“Dia telah balik ke Malaysia untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga dan pulang ke Australia pada 28 Januari 2020. Sejak itu, dia tidak pulang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Buku tersebut, yang didakwa menghina jata negara, kini disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ia mula menarik perhatian awam selepas tular di media sosial akhir bulan lalu.
Pautan artikel:
https://www.malaysiakini.com/news/535018
Gambar Utama: Penerbit buku Rebirth, Chong Ton Sin dari Penerbitan Gerakbudaya. Pixcredit: bmcari


