BLOG

Membaca Buku di Dalam Gelap!

Membaca Buku di Dalam Gelap!

Maggie Hiufu Wong, CNN • 23.10.2020

Ingat tak masa kecil-kecil dahulu, kita biasa membaca buku di bawah selimut? Sebuah kedai buku di Taiwan memberikan pengalaman yang serupa.

Wuguan Books adalah sebuah gudang yang diubahsuai menjadi kedai buku di wilayah Kaohsiung, Taiwan. Penataannya lebih berbentuk pameran seni daripada sebuah kedai buku.

Kedai buku ini adalah hasil idea Chu Chih-kang, seorang arkitek dan pereka ruang.

Para pengunjung perlu berhati-hati masuk ke kedai buku yang gelap gelita itu kerana lampu sorot hanya dipasang berhampiran dengan kulit buku dan lampu membaca di sesetengah meja. Para pengunjung juga tidak dibenar menggunakan lampu dari fonsel.

Lampu yang suram-suram itu memberi suasana seolah-olah buku-buku itu terapung di 400 rak buku kedai itu.

“Ia direka begitu rupa kerana dalam suasana yang gelap, pancaindera kita akan lebih sensitif,” kata Su Yu-shan, kata Pengurus Kedai Buku itu.

Pautan asal:
https://edition.cnn.com/travel/article/taiwan-wuguan-books-dark-bookstore/index.html

Benarkah Kita Cintai Rasulullah SAW?

Benarkah Kita Cintai Rasulullah SAW?

MAAFCAKAP 28.10.2020

Esok, buatsekian kalinya kita akan menyambut Hari Maulidur Rasul yang diraikan pada 12 Rabiulawal. Apakah signifikan hari kelahiran Baginda buat kita selain daripada cuti? Apa pula yang kita buat pada hari cuti itu? Apakah lebih banyak memperingatinya atau membuat perkara-perkara lain yang tidak langsung menggambarkan yang kita menyanjunginya?

Nabi Muhammad SAW adalah seorang pedagang, pendakwah dan penjihad yang tidak pernah berhenti menjalankan tanggungjawabnya sebagai Rasul. Dari usia 40 tahun hingga ke akhir hayatnya pada umur 63 tahun, Baginda ia tidak ada konsep pencen seperti ramai di antara kita yang berehat dan bersantai menghabiskan sisa-sisa hidup bersama keluarga bila sampai usia bersara. 

Kita juga tidak pernah kita terbaca kisah baginda cuti pada hujung minggu seperti kita. Dari segi kerja kuatnya, di mana kita berbanding dengan usaha tidak mengenal penatnya? Nabi Muhammad saw melakukan semua itu kerana cinta kepada umatnya. Keprihatinan Baginda bukanlah setakat untuk dirinya, keluarganya, cucu-cicitnya mahupun para sahabatnya; tetapi terhadap masa depan umat yang tidak sempat menemuinya. 

Kita pula bagaimana? Kita asyik memikirkan tentang diri dan keluarga semata-mata. Bergembira bersama anak isteri, barangkali saudara-mara. Makan di sana-sini, berjalan ke sana ke mari, sentiasa bersuka ria tanpa henti-henti berwefie. Memanglah ia amat baik untuk family bonding, malah menyantuni keluarga dituntut dalam agama.

Tetapi, Rasulullah SAW bukan memikirkan mereka di sekelilingnya tatkala sakaratulmaut hampir tiba. Sebaliknya Baginda sedih apabila teringatkan masa depan umatnya. Bagaimana mereka seketiadaannya? 

Apakah kita mengambil masa untuk merenung apa akan terjadi kepada masa depan anak cucu ataupun generasi keluarga kita, 50 tahun atau 100 akan datang? Jika kita tidak tergamak menegur ahli keluarga yang tak solat, tentu tak tercapai dek akal kita untuk memikirkan bagaimana pegangan agama generasi kita  di akhir zaman. 

Bagaimana usaha kita menyampaikan ajaran Islam kepada mereka selepas kita? Jika tidak mampu, apakah kita ada menyimpan kitab-kitab tulisan ulama muktabar, video ceramah serta rakaman audio alim ulama dengan niat untuk tatapan anak cucu buat bekal mereka agar tidak tergelincir dari landasan agama?

Inilah pendirian dan perbuatan Rasulullah SAW dari segi dakwahnya. Baginda lakukan untuk umat sezaman hingga ke umatnya di akhir dunia. Tetapi, apakah kita terfikir hingga ke situ? Jika kita kata kita hendak mencontohi Rasulullah SAW, dari aspek ini, kita memang jauh dapat menjejaki kaedah dakwahnya.

Bila begitu, jika kita tanya pada diri, apakah kita menyintai Rasulullah SAW sepertimana Baginda menyintai kita? Tentu ramai di antara kita mengakui cinta Rasulullah SAW kepada kita jauh lebih hebat daripada cinta kita kepadanya. Malah, ramai juga yang tidak terasa pun cintanya terhadap kita, kerana hati tidak bergetar bila disebut namanya!

Dengan kekasih, kita asyik menyebut namanya dalam jaga malah hingga terseru di dalam mimpi. Jika kita kata kita cintakan Rasulullah SAW, apakah namanya sentiasa meniti di bibir? Apakah bila teringatkan Baginda, kita ucapkan selawat sepertimana kita sentiasa mendoakan kesejahteraan kekasih apabila kita teringatkannya? 

Bila kita cintakan seseorang, kita akan ambil tahu siapa ibubapanya, dia belajar di mana, siapa kawan-kawannya, perangainya, moodnya, kesukaannya dan kebenciannya. Oleh itu, bila kita kata kita cintakan Rasulullah, tentu kita ambil tahu siapa ibubapanya, apa kesukaannya dan apa yang dibencinya. 

Sebaliknya jika kita hanya kenal Nabi Muhammad SAW setakat namanya, seolah-olah Baginda SAW yang bertepuk sebelah tangan mengasihi kita tetapi kita tak terasa pun kasih Baginda kepada kita. Jika setitis air mata tidak gugur mengenangkan pengorbanannya, apakah cinta kita itu hanya mainan di bibir?

Jika begitu, maaf cakap… katakan sahaja yang kita sebenarnya belum cintakan Rasulullah SAW! Tidak malukah kita mengaku menjadi umatnya tetapi hanya mengenali sekadar pada namanya semata-mata? Jika benar kata-kata ini, beristighfarlah. Jika sebaliknya, berselawatlah kepadanya…

Peminat Buku Rakam Sampai 1000 Foto Orang Baca Buku

Peminat Buku Rakam Sampai 1000 Foto Orang Baca Buku

AGENCY.23.10.2020

Sejak 1,000 hari lalu, Zhu Liwei telah mengambil foto lebih 1,000 pembaca yang menatap buku di dalam tren di China.

Zhu, yang juga seorang editor sebuah penerbitan di Beijing mendapati foto-fotonya itu menjawab beberapa persoalan yang sentiasa terngiang-ngiang di fikirannya. “Apakah masih ada orang membaca buku bercetak?” Persoalan ini sering timbul di fikirannya apabila kian ramai mereka menggunakan telefon pintar.

Foto-foto yang diambil Zhu Liwei. Pixcredit: dari album Zhu Liwei

Projek yang bermula sejak Februari 2018 apabila Zhu mengambil foto mereka yang sedang membaca di sebuah stesen keretapi. Beliau sendiri lebih banyak membaca buku di dalam tren berbanding di tempat lain.

Empat bulan kemudian, Zhu telah mengumpul sebuah album foto yang mengandungi 100 buah gambar di Douban, sebuah media sosial di negaranya.

“Meskipun dalam keadaan sesak, seseorang peminat buku akan mencari sudut yang sesuai untuk mereka membaca,” kata Zhu.

Beliau tidak langsung mengambil foto yang terdapat kepala pembaca untuk mengelak tindakan saman si pembaca. Sebaliknya, Zhu hanya mengambil foto buku yang sedang dibaca.

Foto-foto yang diambil Zhu Liwei. Pixcredit: dari album Zhu Liwei

“Walau apa pun yang mereka baca, buku-buku di tangan mereka entah macam mana sentiasa tampak bercahaya,” kata Zhu.

Pautan Asal:

https://www.thestar.com.my/lifestyle/culture/2020/10/23/on-the-beijing-subway-books-take-a-seat-and-are-captured-in-photos

Sedap Makanan Kerana Pinggannya

Sedap Makanan Kerana Pinggannya

Sesuatu yang menarik telah berlaku kepada saya baru-baru ini. Dua minggu lalu, saya ditugaskan untuk mengepalai pasukan pemasaran di Malakat Mall yang mempunyai 34 jenama aktif. Saya pernah mengetuai pasukan pemasaran Kumpulan Karangkraf pada tahun 90an untuk lebih 23 buah majalah pada usia 30an dahulu. Di usia sebegini, saya lebih suka berperanan sebagai moderator, negotiator dan motivator; bukan sebagai bos kepada lebih 30 orang staf yang rata-ratanya separuh usia saya.

Kesemua mereka di dalam pasukan saya rata-ratanya muda dan bertenaga. Mereka boleh bermesyuarat lama-lama dan setelah itu boleh berjaga malam seperti saya di usia sebegitu. Dengan teknologi, banyak rekabentuk, rekaletak, imej, audio dan video 60 saat boleh dihasilkan dalam sehari semalam.

Dari sudut teknikal, saya perlu unlearn dan relearn banyak perkara yang melibatkan teknologi maya. Hujah ‘aku dahulu makan garam’ tak boleh digunapakai untuk memenangi perbincangan. Yang perlu dalam komunikasi pasukan ialah keterbukaan, berhujah menggunakan fakta serta bukti. Dan, betul atau salah seseorang itu adalah kerana kerja dan bukannya peribadi.

Namun, yang normal terjadi pada orang muda adalah keberanian mereka untuk meredah tanpa bimbang akan akibatnya. Bagi mereka, kalau silap, mereka boleh perbaiki. Jika perlu buat semula, mereka sanggup lakukan. Bagi saya, itu tidak perlu. Pengalaman menjadikan saya dapat membaca dan menelah jantan atau betinanya ikan, mana kaca dan mana satu intan atau mana satu jalan ke perigi buta atau laluan ke lembah segar menghijau.

Baru-baru ini, pasukan saya menyiapkan video 90 saat Casa de Madani, sebuah restoran fine dining lima bintang yang menyediakan masakan halal. Restoran ini adalah di antara belasan restoran dan kiosk makanan yang tersedia di Malakat Mall. Selama ini, tiada restoran fine dining halal terdapat di Malaysia kerana kesemuanya menyediakan masakan dan biasanya menjual minuman keras.

Pastilah, satu-satunya restoran fine dining halal ini akan menjadi tumpuan orang Islam yang ingin menjamu selera dalam suasana santai lagi kelas Oleh kerana restoran ini perlu mempamerkan imej yang berprestij, maka video yang terhasil dibikin begitu teliti. Setelah siap, muncullah polemik di Whatsapp kumpulan. Oleh kerana video itu begitu menarik, ramai yang tak sabar hendak memuat naik ke laman web dan media sosial. Saya melarang dengan alasan videonya masih belum lagi diunjukkan kepada semua.

Namun, ada di kalangan mereka yang berasakan ada banyak lagi video promosi Casa de Madani yang akan dibuat selepas ini. Jadi, apa salahnya memuat naik video yang unik dan menarik itu? Sambil tersenyum, saya menjawab mesej polemik, ‘kesedapan makanan itu bukan terletak pada masakan, tetapi juga pada cara hidangan.’

Nasi putih, ikan goreng, sayur kobis dan telur masin dianggap hidangan biasa jika kesemuanya diletak di dalam pinggan ayan. Tetapi ia akan menaikkan selera bila nasi, ikan, sayur dan telur asin itu masing-masing dihidang dalam pinggan dan piring yang berasingan.

Jika video yang cantik itu dimuat naik pada bila-bila masa seperti lain-lain status tanpa dipratonton, maka video yang dibuat dengan begitu teliti akan dipandang sambil lewa dan mudah dilupa.

Sebaliknya bila ia ditayangkan secara khas sebelum dimuatnaik untuk tontonan umum, ia akan merangsang fikiran dan dihayati, langsung mendapat respon yang positif kerana ada element of surprise.

Dunia pemasaran adalah dunia persembahan. Setiap persembahan itu disampaikan dengan gaya yang relaks tetapi mengandungi satu persatu kejutan. Ia tidak boleh dilakukan secara sembrono.

Umpama seorang ahli silap mata yang mampu mengeluarkan ekor demi seekor arnab dari dalam topinya, begitulah juga sesuatu pemasaran. Satu gerakan akan diikuti dengan gerakan yang lain. Ia adalah seni gerakan yang penuh memukau dan mempesona.


Dapatkan novel Gerak Gempar dengan tandatangan penulis Norden Mohamed di Shopee!

Lim Swee Tin Pecah Rekod Puisi Terpanjang

Lim Swee Tin Pecah Rekod Puisi Terpanjang

MUHAMMAD FARID AHMAD TARMIJI.KOSMO.1.10.2020

Sasterawan Prof. Dr. Lim Swee Tin telah menulis buku himpunan puisi berjudul Merentas Gempita: Pandemik 2020. Antologi yang dikarang khas oleh dirinya ketika pandemik Covid-19 melanda dunia merupakan sebuah buku yang menghimpunkan 57 puisi.

Buku itu juga telah diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai puisi pandemik Covid-19 terpanjang (longest Covid-19 pandemic poem).

 “Pandemik ini memberi banyak kesan dan mengubah norma kehidupan manusia. Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk menghasilkan puisi berkaitan Covid-19,” katanya.

Puisi-puisi yang terkandung di dalam buku tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti kesan, kebimbangan serta pengajaran yang wujud daripada penularan virus tersebut.

Swee Tin menegaskan, pandemik Covid-19 memberi banyak kesan kepada kehidupan dan ancamannya juga telah menghiruk-pikuk ketenteraman hidup manusia di seluruh dunia.

Dia percaya itu semua adalah ujian Tuhan untuk umat-Nya bagi melihat sejauh mana kita bersabar dalam menempuh sesuatu ujian.

“Saya terkesan melihat pengorbanan barisan hadapan. Pengorbanan mereka dalam memerangi penularan wabak ini begitu besar. Mereka sanggup meninggalkan keluarga dan menyarung pakaian khas yang panas selama berjam-jam.

“Selain itu pasukan polis dan tentera juga sanggup berhujan dan berpanas melakukan pengawasan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” ujar Swee Tin.

Dalam pada itu, Swee Tin juga mendedikasikan dua puisi khas di dalam naskhah tersebut kepada Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang juga merupakan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Swee Tin menjelaskan, dia kagum melihat bagaimana Noor Hisham berjaya mengawal penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Swee Tin merasakan, penulisan kumpulan puisi berkaitan pandemik Covid-19 merupakan satu rekod penting yang boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Sumber asal berita:
https://www.kosmo.com.my/2020/10/01/puitis-puisi-khas-covid-19/

*Gambar Utama: Prof. Dr. Lim Swee Tin bersama naskhah puisinya Merentas Gempita. Pixcredit: kosmo

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]