MAAFCAKAP 28.10.2020

Esok, buatsekian kalinya kita akan menyambut Hari Maulidur Rasul yang diraikan pada 12 Rabiulawal. Apakah signifikan hari kelahiran Baginda buat kita selain daripada cuti? Apa pula yang kita buat pada hari cuti itu? Apakah lebih banyak memperingatinya atau membuat perkara-perkara lain yang tidak langsung menggambarkan yang kita menyanjunginya?

Nabi Muhammad SAW adalah seorang pedagang, pendakwah dan penjihad yang tidak pernah berhenti menjalankan tanggungjawabnya sebagai Rasul. Dari usia 40 tahun hingga ke akhir hayatnya pada umur 63 tahun, Baginda ia tidak ada konsep pencen seperti ramai di antara kita yang berehat dan bersantai menghabiskan sisa-sisa hidup bersama keluarga bila sampai usia bersara. 

Kita juga tidak pernah kita terbaca kisah baginda cuti pada hujung minggu seperti kita. Dari segi kerja kuatnya, di mana kita berbanding dengan usaha tidak mengenal penatnya? Nabi Muhammad saw melakukan semua itu kerana cinta kepada umatnya. Keprihatinan Baginda bukanlah setakat untuk dirinya, keluarganya, cucu-cicitnya mahupun para sahabatnya; tetapi terhadap masa depan umat yang tidak sempat menemuinya. 

Kita pula bagaimana? Kita asyik memikirkan tentang diri dan keluarga semata-mata. Bergembira bersama anak isteri, barangkali saudara-mara. Makan di sana-sini, berjalan ke sana ke mari, sentiasa bersuka ria tanpa henti-henti berwefie. Memanglah ia amat baik untuk family bonding, malah menyantuni keluarga dituntut dalam agama.

Tetapi, Rasulullah SAW bukan memikirkan mereka di sekelilingnya tatkala sakaratulmaut hampir tiba. Sebaliknya Baginda sedih apabila teringatkan masa depan umatnya. Bagaimana mereka seketiadaannya? 

Apakah kita mengambil masa untuk merenung apa akan terjadi kepada masa depan anak cucu ataupun generasi keluarga kita, 50 tahun atau 100 akan datang? Jika kita tidak tergamak menegur ahli keluarga yang tak solat, tentu tak tercapai dek akal kita untuk memikirkan bagaimana pegangan agama generasi kita  di akhir zaman. 

Bagaimana usaha kita menyampaikan ajaran Islam kepada mereka selepas kita? Jika tidak mampu, apakah kita ada menyimpan kitab-kitab tulisan ulama muktabar, video ceramah serta rakaman audio alim ulama dengan niat untuk tatapan anak cucu buat bekal mereka agar tidak tergelincir dari landasan agama?

Inilah pendirian dan perbuatan Rasulullah SAW dari segi dakwahnya. Baginda lakukan untuk umat sezaman hingga ke umatnya di akhir dunia. Tetapi, apakah kita terfikir hingga ke situ? Jika kita kata kita hendak mencontohi Rasulullah SAW, dari aspek ini, kita memang jauh dapat menjejaki kaedah dakwahnya.

Bila begitu, jika kita tanya pada diri, apakah kita menyintai Rasulullah SAW sepertimana Baginda menyintai kita? Tentu ramai di antara kita mengakui cinta Rasulullah SAW kepada kita jauh lebih hebat daripada cinta kita kepadanya. Malah, ramai juga yang tidak terasa pun cintanya terhadap kita, kerana hati tidak bergetar bila disebut namanya!

Dengan kekasih, kita asyik menyebut namanya dalam jaga malah hingga terseru di dalam mimpi. Jika kita kata kita cintakan Rasulullah SAW, apakah namanya sentiasa meniti di bibir? Apakah bila teringatkan Baginda, kita ucapkan selawat sepertimana kita sentiasa mendoakan kesejahteraan kekasih apabila kita teringatkannya? 

Bila kita cintakan seseorang, kita akan ambil tahu siapa ibubapanya, dia belajar di mana, siapa kawan-kawannya, perangainya, moodnya, kesukaannya dan kebenciannya. Oleh itu, bila kita kata kita cintakan Rasulullah, tentu kita ambil tahu siapa ibubapanya, apa kesukaannya dan apa yang dibencinya. 

Sebaliknya jika kita hanya kenal Nabi Muhammad SAW setakat namanya, seolah-olah Baginda SAW yang bertepuk sebelah tangan mengasihi kita tetapi kita tak terasa pun kasih Baginda kepada kita. Jika setitis air mata tidak gugur mengenangkan pengorbanannya, apakah cinta kita itu hanya mainan di bibir?

Jika begitu, maaf cakap… katakan sahaja yang kita sebenarnya belum cintakan Rasulullah SAW! Tidak malukah kita mengaku menjadi umatnya tetapi hanya mengenali sekadar pada namanya semata-mata? Jika benar kata-kata ini, beristighfarlah. Jika sebaliknya, berselawatlah kepadanya…