Berlari Lama Tapi Setempat
MAAFCAKAP 6.1.2021
Hari ini hari keenam tahun 2021. Ambang tahun 2021 ini tidak disambut begitu gah seperti tahun-tahun yang lalu. Kalau hendak tahu tren masyarakat, jenguk sahaja ke media sosial. Pada tahun ini, masing-masing boleh dikatakan hanya membuat ucap selamat yang biasa-biasa sahaja. Tidak nampak mereka menyambut 2021 dengan mood gembira seperti tahun-tahun sebelumnya.
Barangkali 2020 yang menjanjikan kemuncak wawasan negara dan kejayaan kita dalam mengejar impian, tidak seperti yang dijangka pada tahun lalu angkara Covid-19. Oleh kerana bayang kemenangan memerangi pandemik ini masih belum nampak penghujungnya, maka mari kita teruskan 2021 dengan pendekatan yang berhati-hati.
Ada yang kata, seandainya kita boleh survive 2020, maknanya kita boleh terus hidup pada 2021 ini. Malah, ada yang mahukan agar 2020 berlalu seolah-olah ia tidak wujud dalam kalendar peribadi, asalkan 2021 membawa sesuatu yang lebih bermakna buat kita.
Tahun 2021 umpama tahun kita meniti hidup. Berjalan perlahan, selangkah demi selangkah, tidak pandang ke bawah kerana tak mahu terasa gayat. Tidak mahu juga pandang ke belakang kerana khuatir badan tak seimbang lalu kita jatuh terlentang. Yang lebih mustahak ialah pandang ke hadapan. Jika mahu berjalan dengan seimbang, ikutlah cara latihan model dengan menjunjung buku.
Secara simboliknya, kita harus berjalan setapak demi setapak dengan menjunjung ilmu. Maknanya, tidak boleh berjalan menonong tanpa memikirkan segala risiko di sekeliling. Malah, setiap langkah dan gerak perlu didahului dengan penelitian segala kilasan ikan di air untuk mengenalpasti jenis cabaran yang bakal tiba.
Tahun 2021 ini adalah tahun introspektif. Tak perlu melihat keluar atau sibuk dengan dunia di luar sana kerana masing-masing tidak peduli apa yang terjadi pada dunia, kerana dunia sendiri sedang berperang dengan virus itu sambil membalut luka ekonomi. Mana-mana negara sedang bertahan penuh mengah.
Justeru, lebih baik 2021 ini digunakan untuk menyibuk melihat ke dalam diri. Sibukkan menguruskan diri yang selama ini tidak diberi perhatian. Tidak perlu mengejar yang tak dapat sedangkan kekuatan dalaman yang dikendung boleh diasah dan digilap kembali. Kekuatan dalaman yang tajam akan mudah mencantas laluan esok yang lebih sukar.
Jalan yang baik mengharungi 2021 ini ialah melangkah sambil bermuhasabah. Renunglah ke dalam diri untuk melihat apakah kekuatan, apakah pula kelemahan diri. Kekuatan harus dikekalkan. Yang lemah harus dinyahkan keluar dari minda dan semangat. Pendek kata dalam tempoh ini, kita kena peace with oneself, iaitu berdamai dengan diri sendiri. Diri sendiri harus diikram.
Bila hampir satu dunia terpukul dengan Covid-19, bila sejumlah besar umat manusia yang hebat-hebat dan ke hadapan dalam mengaut harta dunia kini sama-sama lelah seperti kita, ia seolah-olah meletakkan kita semua ke kedudukan sebaris di garis permulaan, back to square one! Jadi yang tiada peluang sudah punyai peluang yang sama luas.
Sebab itulah pentingnya kita berdamai dengan diri sendiri. Anggaplah Covid-19 dan tahun 2020 telah memadam sejarah kelemahan lama. Yang ada hanyalah peluang untuk maju. Untuk maju, kenalah bergerak ke hadapan. Untuk berjaya, kenalah tinggalkan perangai yang bawa kegagalan ataupun perangai yang tak memungkinkan kita berjaya selama ini.
Jika selama ini kita belum berjaya, mustahil kita akan berjaya kali ini sekiranya kita menggunakan pendekatan yang sama. Tindakan yang sama akan memberikan hasil yang sama. Hanya dengan membuang tabiat lama sahaja kita boleh meningkatkan kemungkinan untuk berjaya. Justeru itu, kita tidak boleh lagi berlari setempat. Meskipun lari setempat akan mencurahkan peluh di tubuh, kita akan berakhir dengan kepenatan meskipun masih berada di situ!
Dah tahu jangan buat tak tahu
Bukan empat hari, bukan empat minggu, bukan empat bulan tetapi bertahun kita termakan daging haram! Selama ini kita ingat apa yang disuap itu daging halal sebab ia dihidang di restoran Muslim.
Tauke restoran pula terbeli daging haram itu sebab dia yakin daging yang dibeli itu daging halal kerana ada cap halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)!
Selama ini kita sebagai pengguna dan tauke-tauke restoran ditipu hidup-hidup dengan daging haram yang bercap halal. Mati-mati selama ini kita ingat kita makan daging halal, siap jamu keluarga dengan makan ramai-ramai sempena upacara hari jadi nenek yang kita bawa dengan kerusi roda ke restoran. Kita makan daging haram dengan bacaan bismillah, siap berdoa ramai-ramai.
Ya ALLAH, petaka apakah yang melanda kita semua pada hari ini setelah berpuluh tahun termakan daging haram? Kita marahkan mereka yang menerima rasuah dan belanja makan minum keluarga dengan duit haram.
Kini kita apa kurangnya? Kita tak makan yang halal dengan duit haram seperti perasuah itu, sebaliknya kita makan yang haram daripada duit halal! Tidakkah dua kali lima?
Jika orang yang rasuah itu makan dengan duit haram dan tumbuh daging tubuh dengan wang haram, kita yang marah mereka tak sedarkah yang kita pula melantak daging haram?
Al-Quran melarang kita memakan yang haram. Makanan yang haram akan menjadi darah daging yang kemudiannya akan dibakar dengan api neraka. Api neraka bukannya api daripada arang yang perlahan membakar daging haram yang kita makan itu. Api neraka adalah amat panas yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu yang merentungkan!
Benar, jika kita tidak tahu apa yang kita makan, jika kita termakan dengan tidak sengaja, insya-ALLAH kesalahan itu diampunkan ALLAH. Tentu sekali asalkan kita tidak membaham daging yang haram itu lagi. Mereka yang menipu kita dengan menampal label Jakim yang palsu ke atas daging yang haram itu akan menerima padah dari segi undang-undang.
Kini kita heboh dan kepoh mengirim kepada teman-teman jenama daging yang haram yang kita temui di media sosial agar mereka berhati-hati. Kita mendesak agar mereka yang bersekongkol membiarkan penipuan cap ini dibawa ke muka pengadilan dan dihukum. Kita sokong apabila para ustaz mengeluarkan pandangan dan para aktivis pengguna mengkritik pihak penguat kuasa yang membiarkan hal itu berleluasa.
Kita sokong semua yang orang lain buat tetapi apa yang kita sendiri buat? Apakah kita sudah berhenti membeli dan memakan daging import buat sementara waktu apabila isu itu tercetus? Apakah kita hanya mula membeli daging segar di pasar tani untuk mengelak diri dan keluarga termakan daging haram?
Apakah kita sudah tarbiah kepada ahli keluarga dan kawan-kawan untuk mengelak diri daripada termakan daging yang haram itu? Apakah peniaga-peniaga pasar mini dan restoran pula buat notis pengesahan yang daging sejuk beku yang mereka jual itu adalah daging halal?
Sekiranya kita lantang mengkritik isu tersebut, kita sendiri jangan pula berdiam diri membiarkan ahli keluarga mahupun kawan membaham daging yang belum tentu halal haramnya.
Menurut panduan Rasulullah SAW, kita kenalah tinggalkan apa yang meragukan. Jangan pula makan daging haram seperti biasa kerana kononnya pihak berwajib tidak keluar-kan apa-apa kenyataan lagi. Bila dah tahu, jangan pula buat-buat tak tahu. Ia tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri!
Kenapa asyik terlupa lagi?
MAAFCAKAP 23.12.2020
Saya menerima sebuah video dari beberapa buah kumpulan Whatsapp. Video itu memaparkan majlis perkahwinan seorang wanita Melayu dengan seorang lelaki berbangsa Sikh di India. Agakan saya benar apabila terdapat komen-komen panas dan pedas mengkritik tindakan wanita itu. Malah ada yang sudah menganggap dia sudah menganut agama Sikh kerana terpapar adegan yang menunjukkan wanita itu mengikut adat budaya kaum itu.
Akibat kritikan yang begitu bersemarak, wanita itu terpaksa membuat kenyataan tentang duduk perkara yang sebenar. Beliau mengatakan yang pasangannya telah memeluk Islam dan dia juga tidak menukar agama. Isu panasnya terus jadi suam. Namun, apa jadi dengan komen-komen pedas yang ramai telah keluarkan? Bila kebenaran terhebah, baru kita tersedar yang kita sudah tersilap. Tetapi kita hanya duduk diam-diam.
Tidakkah masing-masing hendak buat kenyataan meminta maaf kepada wanita itu kerana terlanjur kata, dengan menarik balik kenyataan atau memadamkannya sahaja? Biar sekali lagi laman sosial dipenuhi dengan mesej-mesej memohon maaf pula. Saya mengharapkan begitu kerana kalau kita dah buat silap, kenalah mohon maaf.
Maaf cakap… tidak hendaklah saya pula komen secara over tentang ‘adegan merangkak di padang Mahsyar kerana mencari seseorang kerana hendak memohon maaf.’ Namun, hal fitnah di media sosial ini amat menjejaskan timbangan mizan, esok! Jika kita bertanya kepada golongan alim pun, itulah jawapan mereka.
Buat sekian kalinya kita mudah sangat ribut mengata dan menghukum. Segala-galanya terjadi kerana kita bertindak secara spontan kerana gopoh. Kerapkali juga apa yang kita kritikan itu tak betul pun.
Tidak dinafikan penggunaan media sosial punyai kesan positif jika dikendalikan dengan baik.
Ia boleh mempromosi rasa gembira, prihatin dan kasih. Ia juga memberi kita bantuan melalui pandangan rakan-rakan. Lontarkan apa sahaja soalan di media sosial, walaupun hanya bertanya ‘nak masak apa hari ini?’ Dalam beberapa minit kita akan dapat berbelas jawapan dan cadangan dari teman-teman media sosial. Secara maya, kita tidak sendirian. Inilah media yang mempererat silaturrahim.
Dalam pada itu, ia juga memberi kesan negatif terhadap psikologi seseorang. Bukan sedikit kajian yang menunjukkan setiap kali seseorang itu menatap laman media sosial di telefonnya, fikirannya mudah terangsang untuk segera memberi reaksi.
Begitu juga, respon orang lain terhadap apa yang kita tulis di laman sosial akan menyeronokkan kita. Sebenarnya, tanpa kita sedari pada waktu itu, hormon dopamin dirangsang keluar dari otak. Inilah yang menjadikan kita berasa gembira. Siapa yang tidak mahu rasa gembira? Kerana inginkan perasaan itu, maka kita ulangi perbuatan yang akan menggembirakan teman-teman media sosial. dan juga menggembirakan kita sendiri.
Apabila teman-teman akan memberi respon positif yang menggembirakan, kita ulang dan ulang lagi tindakan itu sehingga kita ketagih untuk mendapat ‘tanda suka’ atau ‘kongsi’ teman-teman. Dalam waktu yang sama, hormon dopamin semakin banyak mengalir dari otak. Bila kadarnya berlebihan, apa akan jadi setelah itu? Kita akan jadi ketagih.
Akhirnya apa sahaja perkara yang sampai kepada kita akan kita komen kerana secara bawah sedar kita inginkan respon teman-teman. Dan tanpa kita sedari, kita akan komen untuk mendapat perhatian. Instant gratification atau kepuasan spontan adalah apa yang kita dambakan.
Bilakah ketagihan ini akan berhenti? Sampai bila kita hendak hentikan perangai mengkritik dan menghukum tanpa usul periksa akibat terlebih guna media sosial ini? Saya tanya anda, saya juga tanya diri saya sendiri… hingga bilakah kita semua terlupa bahawa apa yang kita buat itu ada dosa dan pahala?
Dan, Tuhan kita itu Al-Hasib iaitu yang Maha Mengira!
Ejen Ali tembusi china
SHAMSUL AZREE SAMSHIR.BERITAHARIAN.9.12.2020
KUALA LUMPUR: Satu lagi kejayaan dicapai siri animasi Ejen Ali apabila Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation mengumumkan kerjasama strategik dengan platform penstriman video dalam talian terbesar China, Tencent Video.
Atas inisiatif itu, siri Ejen Ali kini bersiaran di Tencent Video mulai 1 Disember lalu dan dialih bahasa kepada Mandarin bagi menarik minat penonton di negara itu terutama kanak-kanak.
Kerjasama PWS, Wau Animation dan Tencent Video terjalin melalui perjanjian perkongsian kandungan bersama CAWRO, iaitu sebuah syarikat kandungan dan jenama kanak-kanak terkemuka dan diiktiraf di China.
Syarikat itu bertindak sebagai pengedar rasmi program antarabangsa dengan persetujuan membawa masuk siri animasi Ejen Ali untuk tayangan pasaran di China.
Ini adalah langkah pertama Ejen Ali menembusi pasaran hiburan di China dan seperti diketahui, permintaan untuk kandungan video dalam talian di platform OTT (over-the-top) di China ketika ini berkembang sangat pesat.
Ia menjadi platform pilihan utama bagi pengiklan dan aliran ini dijangka akan berkembang dengan stabil dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini terbukti apabila siri Ejen Ali muncul sebagai salah satu daripada tiga program luar negara yang meraih kedudukan rating penonton tertinggi di platform ini dalam tempoh empat hari tayangan di Tencent Video.
Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata sambutan positif terhadap Ejen Ali The Movie, tahun lalu, mendorong syarikat mengorak kerjasama dengan CAWRO bagi mengembangkan jenama ke peringkat antarabangsa.
“Sudah sampai masa untuk animasi terbitan anak Malaysia seperti yang dihasilkan rakan kreatif kami WAU Animation untuk bergerak lebih jauh, mendapat lebih banyak peluang dan perhatian antarabangsa.
“Ini selaras dengan komitmen kami untuk membawa hanya kandungan terbaik Malaysia ke peringkat dunia dan secara tidak langsung memperkenalkan perniagaan pelesenan dan jenama di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, berkata, pihaknya teruja siri animasi Ejen Ali menembusi pasaran China sekali gus mengembangkan sasaran penonton baharu di pasaran antarabangsa.
“Kami berharap siri Ejen Ali dapat diterima dengan baik oleh pengguna Tencent Video di China,” katanya.
Usamah berkata, pihaknya mengimpikan membawa Ejen Ali The Movie ke layar filem di China.
“Namun, memandangkan keadaan sekarang ketika negara dan industri hiburan bergerak ke tahap pemulihan daripada pandemik COVID-19, harapan kami agar impian ini akan menjadi kenyataan, suatu hari nanti,” katanya.
Sebelum ini, populariti siri animasi Ejen Ali meyakinkan produksi menghasilkan tiga permainan bagi alatan mudah alih yang yang meraih lebih dari tujuh juta muat turun melalui aplikasi Apple App Store dan Google Play Store.
Kejayaan siri animasi ini seterusnya direalisasikan melalui kutipan box-office filem Ejen Ali The Movie yang dilancarkan pada Disember 2019.
Filem ini meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM32.5 juta (AS$8 juta) di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Atas kejayaan itu, Ejen Ali The Movie muncul filem animasi terlaris di Malaysia.
Pautan asal:
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/12/763055/ejen-ali-tembusi-china
Mohon Maaf Walaupun Dah Mati
BRUCE HARING.DEADLINE.COM.6.12.2020
ROALD DAHL pernah digelar ‘pencerita nombor satu dunia.’ Tetapi kini keluarganya terpaksa memohon maaf bagi pihak beliau di atas komen-komen anti-semitiknya.
Roald pernah menghasilkan buku klasik kanak-kanak Charlie and the Chocolate Factory, Matilda dan The BFG. Meskipun telah meninggal dunia 30 tahun nan lalu, kenyataan-kenyataan beliau kini dipersoalkan.
Dalam temubual pada tahun 1983, oleh media New Statesman, Roahl berkata, “Ada satu perangai orang Yahudi yang mengakibatkan kebencian sehingga Hitler pun menyusahkan mereka tanpa sebab.”
Dalam sebuah artikel di akhbar The Independent pada tahun 1990, Roahl pula berkata, “Semuanya tak berubah. Kita tahu mengenai kaum Yahudi. Semua penerbit adalah Yahudi. Mereka pandai kerana menguasai media. Sebab itulah Presiden Amerika kena jual apa sahaja kepada Israel.”

Kenyataan mendiang memberi kesan terhadap keluarga yang menguruskan perniagaan beliau. Dengan senyap-senyap keluarga Roahl membuat permohonan maaf di laman web rasmi mendiang.
Seharusnya tidak perlu kenyataan Roahl Dahl itu diperbesar-besarkan kerana si empunya diri sudah pun meninggal dunia berpuluh tahun yang lalu. Tapi angkara ‘dendam tujuh keturunan,’ kenyataan orang dah meninggal dunia pun boleh dikecohkan.
Pautan asal:



