BLOG

PKP 3.0: Penerbit Buku Tak Boleh Beroperasi

PKP 3.0: Penerbit Buku Tak Boleh Beroperasi

Oleh: Nurhidayah Hairom.SinarHarian

SHAH ALAM – Sebahagian besar penerbit buku yang menjalankan operasi jualan buku secara e-commerce berkemungkinan terpaksa menghentikan jualan kerana masih belum menerima surat kebenaran beroperasi daripada Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) menzahirkan kekhuatiran itu dan memohon perhatian kerajaan bagi menangani masalah tersebut.

Menurut Mabopa, sebahagian besar ahli masih belum menerima surat kelulusan operasi seperti yang diperlukan.

“Dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini, semua kedai buku fizikal ditutup. Oleh itu, para penerbit buku menjalankan jualan buku secara e-commerce dan jualan edisi ebook, sepertimana yang telah dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP).

“(Namun) sehingga jam 4 petang ini, dianggarkan 90 peratus penerbit yang terlibat dalam jualan e-commerce masih menunggu surat ini.

“Tanpa surat ini, operasi jualan e-commerce buku akan terhenti esok. Kami memohon perhatian pihak kerajaan dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

*****

Dalam satu perbualan melalui Whatsapp, Presiden MABOPA Saudara Arief Hakim Sani Rahmat menjelaskan sejak Khamis lalu, semakin banyak penerbit yang menerima kelulusan beroperasi. Ini bermakna,s emakin banyak penerbit akan mendapat kelulusan beroperasi pada PKP 3.0 ini.

“Hujung minggu ini nampaknya sudah ada penerbit yang terima. Saya ingat boleh settle,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke e-pasaraya seperti Shopee, Lazada dan Lamboplace mendapati jualan buku nampaknya tidak terjejas langsung. Transaksi dilihat berjalan seperti biasa di mana para penjual masih mempromosikan buku masing-masing. 

Penerbit & JAIS Cuba Selesai Secara Baik

Penerbit & JAIS Cuba Selesai Secara Baik

KUALA LUMPUR: Pengarah ZI Publications Sdn Bhd Mohd Ezra Mohd Zaid dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan cuba menyelesaikan secara baik isu berhubung taksiran ganti rugi yang bakal diperoleh beliau berikutan pendakwaan salah yang dilakukan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor terhadapnya pada 2013.

BERNAMA memetik, Peguam Fahri Azzat, yang mewakili Mohd Ezra, memaklumkan perkara itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding hari ini iaitu pendengaran taksiran ganti rugi secara dalam talian (Zoom) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Beliau berkata prosiding itu tidak dijalankan kerana terdapat masalah teknikal.

“Hakim Ahmad Kamal memberi masa kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara itu. Pihak-Pihak akan cuba menyelesaikannya secara baik namun sekiranya ia tidak dapat diselesaikan, mahkamah akan meneruskan dengan pendengaran taksiran ganti rugi.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 19 Ogos ini untuk pihak-pihak memaklumkan perkembangan mengenai penyelesaian itu,” katanya.

*****

Pada 29 Mei 2012, JAIS menyerbu premis perniagaan ZI Publications serta merampas 180 buku bertajuk ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ karya penulis warga Kanada Irshad Manji. Mohd Ezra turut ditahan.

ZI Publication dan Mohd Ezra kemudiannya mencabar serbuan yang dilakukan JAIS dan pada 7 Mac 2018. Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Pada 25 Sept 2019, Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan mereka kemudian membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk mendakwa Mohd Ezra di Mahkamah Syariah atas pertuduhan menerbit, mengedar dan memiliki buku terjemahan penulis kontroversi itu, yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan taksiran ganti rugi dibayar kepada Mohd Ezra kerana tekanan jiwa, penderitaan dan keseksaan yang dialami beliau berikutan tindakan salah laku JAIS terhadapnya.

*****

Pada 29 Sept tahun lepas, pihak pendakwaan syariah Selangor tidak meneruskan kes ke atas Mohd Ezra susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 17 Dis tahun lepas, Mohd Ezra dibebaskan daripada pertuduhan menerbitkan buku yang didakwa bertentangan dengan hukum syarak selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menolak permohonan pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Mohd Ezra didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 2013 atas pertuduhan menerbitkan buku Irshad Manji di premis perniagaan ZI Publications, B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3 di sini.

*****

IRSHAD MANJI adalah seorang penulis Kanada, wartawan dan advokat dari interpretasi “reformasi dan progresif” Islam. Dia juga presiden Projek Ijtihad, sebuah organisasi amal mempromosikan tradisi berpikir kritis, perdebatan dan perbedaan pendapat dalam Islam, di antara jaringan “dari reformis Muslim dan sekutu non-Muslim.

Hati-Hati Wahai Penulis

Hati-Hati Wahai Penulis

Sedarilah. Pekalah. Ketahuilah bahawa bakat menulis yang kita ada adalah kurniaan ALLAH. Kalau kita duduk dan renung… dalam 10 orang saudara yang paling rapat dengan kita, 10 orang teman sekampung, 10 orang teman sekuliah, 10 orang jiran, 10 orang teman sepejabat… apakah ada di antara mereka itu penulis? Penulis dalam ertikata mereka yang ada menulis buku atau novel?

Saya hampir pasti, 90 peratus anda yang membaca tulisan ini akan geleng kepala. Tak ada. Anda tak ada kenalan penulis di kalangan kenalan terdekat kecuali mereka yang anda kenal melalui syarikat penerbitan anda mahupun melalui Facebook. 

Apa maknanya? Ertinya golongan penulis itu tidak ramai. Tak ramai yang punyai bakat menulis kerana bakat itu bukan ALLAH berikan kepada sembarangan orang. Kerana golongan penulis tidak ramai dan andalah di antara golongan istimewa itu, maka hargailah bakat anda.

Bagaimanakah cara kita menzahirkan penghargaaan kita pada ALLAH melalui penulisan? Kita kenalah berdakwah. Menggalakkan pembaca berbuat baik dan menjauhi yang buruk melalui tulisan. Kalau kita menggalakkan yang sebaliknya, itu bererti kita tidak menghargai kurniaan istimewa itu. 

Jika kita seronok merosakkan minda para pembaca, atas nama komersial, atas nama kreativiti, atas nama kebebasan penulisan, tunggu sahaja kurniaan itu ditarik perlahan-lahan dari dalam diri anda. Anda akan sedari kehilangan bisa menulis bila fikiran anda semakin lama semakin buntu sebuntu-buntunya.

Sedarilah bahawa tulisan kita itu bagai kata-kata kita kepada pembaca. Pembaca mendengar suara penulis ketika membaca setiap baris ayat-ayatnya. Ia bagai sebuah bisikan ke dalam hati.

Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Mata pedang meluka dan membunuh. Mata pena menghiris perasaan manusia dan ia boleh membunuh 1,000 harapan manusia jika itulah yang diniatkan oleh penulis.

Berbanggalah kerana keupayaan itu. Namun, jangan main-main juga dengan kebolehan itu. Jika baik yang kita ajarkan, maka baiklah yang pembaca akan terima. Jika sebaliknya, pembaca dan kita sebagai penulis yang akan terima. Mereka terima segala keburukan yang kita bisikan melalui tulisan kita. Kita menerima saham-saham dosa meskipun setelah kita mati. 

Kerana tulisan kita akan kekal dibaca walapun kita tiada lagi. Inilah ilmu yang sia-sia, bukannya ilmu yang boleh dimanfaatkan, yang boleh menjadi dividen-dividen pahala walaupun kita tiada lagi.

Hati-hatilah. Ingatlah.

10 Novelis Jutawan Dunia

10 Novelis Jutawan Dunia

Menulis bukanlah sebuah kerjaya yang boleh mengkayakan seseorang. Menurut Indeed, sebuah portal mencari pekerjaan di Amerika, purata pendapatan seseorang novelis ialah sekitar RM200,000 setahun atau RM16,000 sebulan.

Begitu pun, bagi novelis yang benar-benar berjaya, pendapatan mereka melayakkan mereka menjadi jutawan. Menurut portal Most Expensive Thing, ahli falsafah Perancis, Elisabeth Badinter adalah penulis yang paling kaya. Nilai pendapatannya ialah RM5.3 bilion setahun.

Elisabeth, seorang feminis, terkenal dengan bukunya The Conflict: How Modern Motherhood Undermines the Status of Women. Beliau juga mewarisi syer majoriti di dalam Publicis Group. Inilah yang meningkatkan pendapatannya.

JK Rowlings, yang terkenal dengan siri Harry Potternya menduduki tempat kedua dengan pendapatan RM4.1 bilion setahun. 

JK Rowling yang terkenal dengan siri Harry Potter

Meskipun pendapatan penulis-penulis lain adalah kurang dari itu, pendapatan mereka cukup tinggi sebagaimana berikut:

  1. Elisabeth Badinter ~ RM5.3 bilion
  2. J.K. Rowling ~ RM4.1 bilion
  3. James Patterson ~ RM2.3 bilion
  4. Stephen King ~ RM1.6 bilion
  5. Nora Roberts ~ RM1.6 bilion
  6. Danielle Steel ~ RM1.2 bilion
  7. Barbara Taylor Bradford ~ RM1.2 bilion
  8. Nigel Blackwell ~ RM1.2 bilion
  9. John Grisham ~ RM902 juta
  10. Jeffrey Archer ~ RM804 juta 
DI ANTARA JALAN BENGKOK DAN LURUS

DI ANTARA JALAN BENGKOK DAN LURUS

MAAFCAKAP: 2.6.2021

Apabila memandu ke destinasi yang jauh, ramai di antara kita lebih gemar memilih lebuhraya. Lebuhraya menyediakan jalan yang lurus dan luas. Ada lorong laju, lorong untuk kenderaan perlahan, malah ada lorong kecemasan.

Jika penat, kita boleh sahaja berhenti di kawasan Rehat dan Rawat yang disediakan. Jika hendak bersantai, boleh sahaja keluar dari lebuhraya memasuki jalan negeri ke pekan-pekan berhampiran untuk makan-makan dan bersolat.

Begitu pun, ada yang tidak menggemari jalan lebuhraya kerana ia membosankan. Oleh kerana jalannya lebar, kita yang memandu berasa kenderaan yang dibawa bergerak begitu perlahan. Sebab itu, ramai yang memecut untuk mendapatkan feel yang keretanya sedang bergerak laju.

Pemandangan di lebuhraya lazimnya membosankan. Walaupun kelihatan cantik, bukit, gunung serta langit hanya dapat dilihat dari jauh. Kenderaan yang dipandu dengan giar lima dengan kelajuan yang sama ini mudah membuatkan kita berasa jemu. Mata berasa penat dan rasa mengantuk pun datang.

Sebaliknya, apabila kita memandu di jalan persekutuan, negeri mahupun jalan kampung, jalannya tentulah tidak selurus lebuh raya. Malah, jalannya berbelok dan berselekoh, mendaki dan menuruni, berlopak dan berkerikil.

Untuk si pemandu, ia barangkali mencabar dan kadang kala payah. Bagi teman penumpang yang hendak tidur pula, lenanya tak mungkin dirasa. Betapa pun, jalan yang begini juga menjadi keseronokan buat yang mahukan thrill memandu kerana ia menguji kemahiran mengendalikan kenderaan.

Yang pasti, jalan yang begini tidak mungkin membuatkan mata si pemandu jadi mengantuk. Sebaliknya dia akan berasa segar di sepanjang perjalanan. Betapa pun keadaannya akan berbeza bila dia tiba ke destinasi.

Secara logiknya dia akan berasa terlebih penat daripada menggunakan lebuhraya. Dia penat membrek dan menekan minyak, memutar stereng mengelak lopak dan lembu, terintai-intai dari belakang bas sebelum dapat memotong dan memecut, hanya untuk mengeluh kerana terpaksa mengekor di belakang konvoi lori treler pula.

Dia letih, dia seronok tetapi dia perlukan masa yang lebih lama untuk berehat. Apa yang perlu dibuat apabila sampai ke destinasi boleh tertangguh kerana barangkali dia terpaksa membayar rehatnya dengan tidur yang lebih panjang. Tujuan asal dia ke sesebuah tempat itu belum dapat diselesaikan.

Begitulah kita. Kita tahu jalan hidup yang mudah dan pendek itu lebih cepat dan lebih selamat. Tetapi kita memilih jalan yang lebih sukar yang dilihat lebih mencabar. Oleh kerana mencari sesuatu yang sentiasa mencabar itu, benda yang mudah menjadi sukar. Dek kerana asyik menangani cabaran yang dicari itu, masa kita selalunya terbuang.

Mudah kata, cara menjaga tubuh badan dari obes ialah dengan memilih makanan asas yang simple. Makan buah, makan sayur, sedikit karbohidrat dan protein. Tetapi kita memilih untuk makan apa sahaja yang disediakan melalui pelbagai teknik masakan yang tentunya berkalori tinggi. Kita minum segala macam air yang punyai segala nama sedangkan yang simple dan terbaik itu adalah air putih.

Dalam menjalani hidup ini, kita mencari ilmu, bekerja dan berkerjaya. Memanglah ia bagus, tetapi ia hanya untuk hidup di dunia ini. Akhirnya kita hanya mengejar dunia dan tidak ingat hidup di alam yang satu lagi. Berapa ramai yang baharu sedar bahawa hidup di alam yang satu lagi itu jauh lebih penting dari apa yang diharungi kononnya dengan penuh bersemangat?

Ramai yang nyaris terlepas dengan peluang untuk memahami bahawa hidup selepas mati adalah kehidupan yang tidak akan mati-mati lagi. Cabaran yang dicari dalam kehidupan yang fana ini sebenarnya cabaran yang dicari-cari. Padahal, jika inginkan cabaran dalam kehidupan seperti memandu di jalan yang berbengkang-bengkok, ketahanan mental untuk terpengaruh dengan kehidupan sementara ini adalah pancaroba yang sebenar.

‘Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.’ (Surah Al-Fatihah, ayat 6-7).

Apakah benar kita meminta jalan yang lurus dalam kehidupan kita apabila kita sentiasa melafaznya di dalam solat? Atau, kita tidak nampak jalan yang lurus itu walaupun ALLAH telah perkenankan permintaan kita berkali-kali dalam kehidupan ini?

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]