Sedarilah. Pekalah. Ketahuilah bahawa bakat menulis yang kita ada adalah kurniaan ALLAH. Kalau kita duduk dan renung… dalam 10 orang saudara yang paling rapat dengan kita, 10 orang teman sekampung, 10 orang teman sekuliah, 10 orang jiran, 10 orang teman sepejabat… apakah ada di antara mereka itu penulis? Penulis dalam ertikata mereka yang ada menulis buku atau novel?

Saya hampir pasti, 90 peratus anda yang membaca tulisan ini akan geleng kepala. Tak ada. Anda tak ada kenalan penulis di kalangan kenalan terdekat kecuali mereka yang anda kenal melalui syarikat penerbitan anda mahupun melalui Facebook. 

Apa maknanya? Ertinya golongan penulis itu tidak ramai. Tak ramai yang punyai bakat menulis kerana bakat itu bukan ALLAH berikan kepada sembarangan orang. Kerana golongan penulis tidak ramai dan andalah di antara golongan istimewa itu, maka hargailah bakat anda.

Bagaimanakah cara kita menzahirkan penghargaaan kita pada ALLAH melalui penulisan? Kita kenalah berdakwah. Menggalakkan pembaca berbuat baik dan menjauhi yang buruk melalui tulisan. Kalau kita menggalakkan yang sebaliknya, itu bererti kita tidak menghargai kurniaan istimewa itu. 

Jika kita seronok merosakkan minda para pembaca, atas nama komersial, atas nama kreativiti, atas nama kebebasan penulisan, tunggu sahaja kurniaan itu ditarik perlahan-lahan dari dalam diri anda. Anda akan sedari kehilangan bisa menulis bila fikiran anda semakin lama semakin buntu sebuntu-buntunya.

Sedarilah bahawa tulisan kita itu bagai kata-kata kita kepada pembaca. Pembaca mendengar suara penulis ketika membaca setiap baris ayat-ayatnya. Ia bagai sebuah bisikan ke dalam hati.

Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Mata pedang meluka dan membunuh. Mata pena menghiris perasaan manusia dan ia boleh membunuh 1,000 harapan manusia jika itulah yang diniatkan oleh penulis.

Berbanggalah kerana keupayaan itu. Namun, jangan main-main juga dengan kebolehan itu. Jika baik yang kita ajarkan, maka baiklah yang pembaca akan terima. Jika sebaliknya, pembaca dan kita sebagai penulis yang akan terima. Mereka terima segala keburukan yang kita bisikan melalui tulisan kita. Kita menerima saham-saham dosa meskipun setelah kita mati. 

Kerana tulisan kita akan kekal dibaca walapun kita tiada lagi. Inilah ilmu yang sia-sia, bukannya ilmu yang boleh dimanfaatkan, yang boleh menjadi dividen-dividen pahala walaupun kita tiada lagi.

Hati-hatilah. Ingatlah.