BLOG

Membiasakan Mati Mematikan Biasa

Membiasakan Mati Mematikan Biasa

MAAFCAKAP 4.8.2021

Sekarang ini berita kematian sudah menjadi berita harian. Jika sebelum ini, berita kematian melibatkan mereka yang tidak kita kenali seperti ‘seorang warga emas,’ ‘seorang remaja’ ataupun ‘seorang wanita,’ kini mereka yang meninggal dunia adalah abang, ayah, kakak kepada kawan-kawan kita. Dan, sudah ramai juga mereka yang meninggal dunia adalah rakan-rakan sepejabat, teman sekariah mahupun di kalangan anggota keluarga kita sendiri.

Media sosial seperti Facebook, kini menjadi media kita mendapat berita tentang kematian. Begitu juga kumpulan sembang seperti Whatsapp dan Telegram yang setiap hari menjadi saluran kita mendapat berita pemergian. Sebenarnya kita sudah hilang hitungan berapa ramaikah yang telah meninggal dunia.

Kerana itu, ada di antara kawan-kawan yang salin dan tampal (copy and paste), ucapan takziah bertulisan jawi yang pelbagai jenis dan warna. Ini lebih memudah dan menjimatkan masa daripada menaip ‘Innalilah…’ atau ‘Allahumagfirlahu…’ secara berulang kali. 

Kematian sudah menjadi biasa, seolah-olah sudah tiada apa-apa makna bagi kita. Belum sempat kita dibalut kenangan tentang seorang kawan baik yang telah pergi, datang sebuah lagi berita kematian seorang insan yang lain. Perasaan sedih dan pilu kehilangan itu telah dipancung hingga sudah kita hilang simpati. 

Tambahan pula, perasaan kita kini sudah digaul dan bercampur baur. Sedang kita berfikir menyusun ayat balasungkawa buat seorang teman yang pergi, muncul sebuah video lawak yang membuat kita tertawa tak ingat dunia. Sedang kita bertepuk sorak melihat aksi jaguh-jaguh sukan kita dengan riang gembira di video telefon, tiba sebuah berita kematian. 

Kerana kematian itu sesuatu yang sudah menjadi biasa, berita pemergian itu tidak lagi membuatkan kita tersentap dan termangu-mangu. Malah, tanpa sedar, kita mengutamakan video aksi sukan itu. ‘Ah sebentar lagi, aku akan bereskan dengan menampal mesej Innalilah…’ detik hati kita.  

Masya-ALLAH, Subhanallah. Inilah wajah kita pada hari ini. Kita sudah membiasakan mati. Hati kita sudah keras dari rasa empati. Seolah-olah kita adalah frontliner yang hanya mengangguk dan mengusung mayat bila doktor mengesahkan seseorang pesakit telah meninggal dunia. Seolah-olah kita sudah menjadi penggali kubur yang gali dan tanam, gali dan tanam. Wajarlah mereka yang bertugas sebagai frontliner bertindak begitu kerana mereka tak sempat hendak mensedekahkan rasa sedih akibat terlalu banyak kematian. Tetapi, bukankah kita punyai masa untuk merenung dan bertafakur?

Bila kita sudah membiasakan mati, seharusnya kita perlu mematikan kebiasaan. Sebab kematian tidak lagi tiba kepada mereka yang tidak kita kenali. Kematian sudah begitu menghampiri, seolah-olah Izrail sedang melangkah ke depan pintu!

Kebiasaan apakah yang perlu kita matikan? Kebiasaan buat mereka yang berasakan bahawa kematian masih lambat lagi. Kita perlu matikan kebiasaan seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi. Tidak boleh lagi asyik dengan matlamat-matlamat dunia semata-mata. Harta dan pangkat di dunia akan kita tinggalkan sebentar lagi.

Seharusnya kita sudah bersedia dengan wasiat, membahagi-bahagikan harta dan menukarkan ia segera dari matawang dunia kepada matawang akhirat. Kita perlu bersedekah tanpa henti, bukan bermusim untuk menyambut seruan kempen, program dan acara di bawah sorotan lampu. Berikan kepada pelbagai NGO yang aktif kerana mereka lebih tahu kumpulan sasar yang memerlukan.

Seharusnya kita semakin sibuk menyegerakan penyempurnaan solat lima waktu, menambah ibadah sunat, bangun malam dan turut mengajak orang lain untuk mematikan yang biasa kita lakukan. Dalam keadaan sekarang, kita tidak dapat melepak, berjalan-jalan dan enjoy ke sana ke mari. Inilah peluang untuk kita fokus kepada yang penting dan perlu untuk perjalanan ke alam sebelah sana. 

ALLAH swt telah mematikan kebiasaan kita dari kamus kehidupan. Tibalah masa untuk kita membiasakan kematian pula dengan bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa. 

Arca Daripada Buku

Arca Daripada Buku

AliceFisher . TheGuardian . 17.7.2021

Pereka grafik Stephen Doyle mempunyai seorang pengasuh yang membaca akhbar secara melintang dan bukannya ke bawah. Caranya membaca begitu memberikan makna baharu pembacaan. Permainan perkataan itu melahirkan ideanya untuk membuat arca buku. 

Ada juga yang tidak bersetuju caranya berkarya dengan melapah buku. Namun, kata Doyle, “Arca itu adalah bukti tentang kuasa bahasa. Saya lihat perkataan-perkataan itu sendiri sebagai idea.”

Walaupun konsepnya adalah kompleks, tetapi hasil arca-arca bukunya amat menarik.

Di antara karya-karyanya ialah, The Waves oleh Virginia Woolf, The Sound and the Fury oleh William Faulkner dan Tinker Tailor Soldier Spy oleh John Le Carre.

Apakah ada seniman Malaysia yang pakar membina arca? Kita ada nama-nama seperti Eddie Putera, Nor Tijan Firdaus, Chong Fei Giap dan Raja Shahriman Raja Aziddin. Kalau kita rajin google, kita akan jumpa arca-acra menarik mereka.

Ke Mana Kita Nak Kelek Sijil?

Ke Mana Kita Nak Kelek Sijil?

MAAFCAKAP 28.7.2021

Sudah lebih setengah tahun 2021 berlalu. Hampir pasti kemelut Covid-19 akan berlegar hingga ke penghujung tahun. Dengan kemunculan varian ganas terkini Lambda yang kemungkinan terlepas ke negara kita, (nauzubillah) kita tidak boleh menjangkakan tahun 2022 bakal disambut meninggalkan Covid-19 jauh-jauh dalam lipatan sejarah.

Namun, jika kita berpegang kepada prinsip alam bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini dan dengan menyakini bahawa ALLAH swt sahaja Yang Baqa, maka kita menaruh harapan pandemik Covid-19 akan beransur-ansur pergi. Apakah tempo kehidupan akan merancak kembali atau mungkinkah akan ada cabaran yang lebih getir yang bakal kita depani?

Betapa pun, kita kena akui dan menerima hakikat bahawa kita sudah mengasimilasi normal baharu sebagai normal biasa. Dalam apa jua aspek kehidupan, kita sudah belajar untuk reset; iaitu untuk unlearn apa yang selama ini kita lakukan dan relearn cara baharu mengharungi kehidupan ini.

Di antara bidang yang paling memberi kesan kepada keseluruhan kehidupan kita ialah bidang pendidikan.  Yang bersekolah kini mengikuti Pelajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Yang menuntut di institusi pengajian tinggi pula mengikuti pelajaran secara online. Pendek kata, kita kena belajar cara belajar!

Diam tak diam, sudah hampir dua tahun pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi kita lalui dengan medium skrin komputer. Bagaimana pun, mereka yang telah melepasi zaman pendidikan formal turut berasa kurang selesa dengan penyampaian pelajaran dengan cara ini. 

Mereka yang old-school masih memikirkan bagaimanakah masa depan generasi akan datang apabila pembelajaran dihadapi dengan cara begini. Sehinggakan ramai yang memandang sinis apabila pihak Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata pencapaian Gred Purata Nasional calon Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Rata-rata mereka lebih sangsi dengan cara Kementerian Pendidikan menetapkan kaedah penggredan. Mungkin kerana PdPR, pihak kementerian menurunkan gred permarkahan. maknanya menurunkan standard! Padahal, tinggi atau rendah peratusan akademik sudah tidak penting lagi dalam keadaan sekarang. Sebab yang lebih perlu kita semua tumpukan ialah dari aspek pembinaan kemahiran hidup.

Apakah dalam tempoh hampir dua tahun anak-anak kita berada di rumah, kita sempat beri mereka pendidikan dan asuhan yang membina akhlak seperti budi bahasa, adab sopan, rajin, bertanggungjawab, amanah, menepati masa dan mengutamakan ibadah? Apakah kita memahamkan mereka betapa pentingnya berdisiplin, mematuhi peraturan dan mengutamakan kepentingan ramai berbanding dengan kepentingan peribadi?

Atau apakah kita masih lagi risau kerja rumah mereka yang tidak siap, bimbang bagaimana peperiksaan yang anak-anak akan hadapi dan betapa nanti jika keputusannya nanti tiada ‘A’ lagi? Pentingkah deretan ‘A’ lagi jika kita duduk dan merenung apa akan jadi pada masa depan anak-anak jika masih berfikiran ‘belajar rajin-rajin nanti lulus periksa?’ Bukankah agama mengamanahkan ibubapa mendidik anak? Sudah lama ibubapa terlupa akan amanah yang akan dipersoal oleh Al-Hakim  nanti.

Akan adakah kerja baik lagi jika kita masih mempunyai imej bahawa pekerjaan di bilik berhawa dingin, di bangunan pencakar langit, berpakaian sut dan tali leher itu kerjaya bagus? Akan adakah nanti kehidupan jet set terbang ke sana ke mari, melancong ke sana-sini sebagai imej kejayaan?

Semua itu entah ada, entahkan tidak. Kehidupan dalam dunia yang bermewah penuh glamor tidak keterlaluan jika dikatakan sedang beransur-ansur menjauh. Kita akan berdepan dengan hari-hari sukar. Jika anak-anak dapat survive pun dalam kehidupan, syukurilah. 

Maaf cakap… universiti yang benar-benar akan mengajar mereka ialah Universiti Kehidupan. Jika pun mahu belajar tinggi-tinggi, ia adalah kerana penghormatan dan cinta kita kepada ilmu itu sendiri. Dunia ilmu akan kembali  disanjung secara tulin dan luhur.  

Kelulusan tidak akan lagi menjadi penentu mutlak kejayaan masa depan.

Buku COVID-19 Vaksin Ketuhanan Brunei

Buku COVID-19 Vaksin Ketuhanan Brunei

Oleh: MetraSyahrilMohamed . UtusanMalaysia . 15.7.2021

BANDAR SERI BEGAWAN: Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri (JPM), menerbitkan buku bertajuk ‘Raja Brunei Pelopor Penggunaan Vaksin Ketuhanan.’

Pelita Brunei melaporkan, majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned di sini.

Terdahulu, Ketua Qismulhikmah, Awang Mohidin Mustapha dalam ucapan alu-aluannya berkata, buku ‘Raja Brunei Pelopor Penggunaan Vaksin Ketuhanan’ itu adalah merupakan hasil tulisan Mufti Kerajaan.

Menurut beliau, bahan kandungan buku itu berasal daripada Khutbah Khas Aidilfitri Tahun 1442 Hijrah/2021 Masihi yang disediakan dan disampaikan sendiri oleh Mufti Kerajaan.

“Teks berkenaan telah disesuaikan sehingga menjadi sebuah buku yang diyakini amat berguna untuk pengetahuan, maklumat orang ramai khususnya rakyat dan penduduk negara ini.

“Di dalam buku ini turut dimuatkan dengan beberapa petikan titah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkaitan dengan ‘Vaksin Ketuhanan’ yang baginda pelopori penggunaannya,” jelasnya.

Sebelum ini, terdapat ramai rakyat Malaysia yang mencadangkan pihak pemerintah mengambil pendekatan dengan memakmurkan masjid oleh Sultan Brunei dalam menangani Covid-19.

Apa Pelan Ke Jannah Kita?

Apa Pelan Ke Jannah Kita?

MAAFCAKAP 14.7.2021

Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua. Hari Raya Korban jatuh pada 10 Zulhijjah. Tarikh ini juga adalah hari di mana Nabi Adam a.s dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga kerana melanggar perintah memakan buah dari pohon larangan. Ini adalah korban pertama insan manusia akibat kelalaian hingga tertipu dengan kelentong iblis.  

Hari raya ini juga bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap Allah S.WT. Apabila ALLAH perintah, kedua-dua Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s tidak membantah. Malah mereka sami’na wa ataqna; mereka dengar dan mereka patuh.

Sikap patuh adalah satu bentuk disiplin di dalam keluarga, komuniti, syarikat dan juga negara. Patuh adalah tindakan menurut perintah mereka yang di atas atau yang lebih berkuasa samada ibubapa, ketua, pemimpin dan pemerintah. 

Namun manusia pada hari ini mempunyai sikap ingkar, malah melawan oleh kerana nilai sikap patuh sudah berubah. Patuh bukan lagi dilihat sebagai satu disiplin mulia. Sebaliknya patuh dilihat sebagai sikap bodoh atau tongong. 

Kerana itu pada hari ini kita lihat pelbagai pelanggaran kepada perintah samada secara sembunyi-sembunyi mahupun secara terang-terangan. Yang melanggar peraturan dilihat sebagai mereka yang berani. Yang mematuhi peraturan dipandang sebagai mereka yang penakut.

Bila Covid-19 tiba dengan keganasannya menjangkiti, menyakiti hingga membunuh, maka baharulah manusia terdiam dan mahu tunduk. Sebilangan besar silent majority yang selama ini menyanjungi nilai patuh itu telah bersuara untuk menegur dan mengkritik mereka yang melanggar perintah. Video-video tular mereka yang melanggar SOP adalah contoh-contoh nyata dari mejoriti yang sudah bersuara. 

Patuh itu sendiri adalah pengorbanan. Kita mengorbankan kepentingan dan kehendak diri kerana mahu menurut kepada peraturan. Peraturan itu dibuat untuk mengatur. Apabila semua orang berkorban membuang kehendak peribadi untuk patuh, baharulah sistem boleh berjalan dengan teratur. 

Hari Raya Aidil Adha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban sekali lagi mengajak kita merenung kembali dan mengambil ibrah keingkaran manusia yang pertama Nabi Adam a.s, kepatuhan agung Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Betapa tindakan engkar mahupun patuh itu mempunyai kesan yang berpanjangan. Jika engkar; kita terkorban. Bila patuh; kita berkorban. 

Kini, hampir setiap hari kita membaca berita mengenai kematian. Jika dahulu hampir kesemua mereka yang meninggal dunia adalah insan yang tidak kita kenali, kini kematian tiba kepada mereka yang kita kenali. Kadangkala ia sampai kepada mereka yang begitu rapat dengan kita.

Sesungguhnya ia adalah peringatan buat kita semua. Peringatan kepada kita untuk segera kembali agar mengorbankan segala perangai yang melalai dan sia-sia kepada perbuatan yang menguntungkan kita di alam sebelah sana. 

Kita sudah tidak boleh lagi berlengah-lengah, menangguh-nangguh kerana mempunyai impian mencapai dan merangkul apa sahaja yang diingini di alam yang fana ini. Ini semua adalah mimpi. Dan kita semua mula dikejutkan dari mimpi itu apabila mereka di sekeliling kita seorang demi seorang pergi meninggalkan kita.

Hitunglah berapa jumlah berita kematian yang melintas di media sosial dan media sembang kita. Sudah pasti angka mereka yang kembali ke rahmatullah ini sudah berpuluh orang. Justeru itu, jika ini semua bukannya ingatan buat kita yang masih hidup, apakah lagi tujuan ALLAH swt mengatur kesemua kematian ini di sekeliling kita?

Ramai di antara kita mempunyai pelan pendidikan, pelan kerjaya dan pelan perubatan. Kita tidak lupa juga kepada pelan kematian tetapi ia pelan untuk mereka yang kita tinggalkan. Bagaimana pula pelan kita sendiri? Apakah kita tiada pelan untuk ke Jannah? 

Atau apakah kita tiada apa-apa pelan untuk ke sana? Yakinkah kita akan menerima buku amalan di tangan kanan dan kemudiannya berlari-lari melepasi titian sirat dan terlompat-lompat mengetuk pintu Syurga? Andainya semudah itu, apa kepatuhan dan apa pula tahap pengorbanan kita mentaati perintah-NYA selama ini? 

Maaf cakap… jika kita tiada pelan ke Jannah, pelan kejadah apa yang kita sedang angan-angankan?

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]