BLOG

Merentasi 2023 Tanpa Bagasi Negatif

Merentasi 2023 Tanpa Bagasi Negatif

MAAFCAKAP 28.12.2022

Dua tiga hari lagi 2023 akan membuka tirainya. Kita yang ditakluki waktu, terpaksa akur dengan perjalanan masa. Masa pula akan terus berjalan perlahan menurut kelajuan detik jarum saat pada jam ~  tik… tik… tik. Namun, kita kerap berlari mengejarnya walaupun ia sentiasa mengengsot.

Kita bagai seorang anak kecil yang berjalan dengan emak. Emak menapak selangkah, kita menapak dua langkah. Bila emak melangkah-langkah, kita kena cepat berlari kerana tak mahu ditinggal. Jika inilah analogi kita dan dengan jam, ertinya kita hanya insan kerdil berbanding dengan waktu yang agam. 

Masa itu adalah di antara makhluk ciptaan awal ALLAH Yang Maha Membentuk. Masa sentiasa ada dan ia menyelubungi seluruh alam. Jadi, tiada sesiapa pun yang boleh lari bersembunyi dari masa. Yang boleh, hanya menyembunyi usia!

Samada mahu atau tidak, suka atau benci, waktu sentiasa berada bersama kita. Ada ketikanya kita berjaya mendahului masa. Tetapi yang kerap, kita yang ditinggalkannya. Kerana itu, mari kita renungi, apakah kita kalah dengan waktu di tahun 2022 kerana ada banyak pelan 2022 yang tidak sempat dibereskan?

Atau apakah kita sudah mendahuluinya dan telah melangkau dengan aktiviti 2023 sejak berbulan yang lalu? Hanya orang yang lebih banyak bergerak dari menunggu akan meluncur dalam gear lima menjangkaui 2023 meskipun 2022 masih belum berakhir.

Bagaimana pun, bagi kebanyakan daripada kita, tahun baharu harus menjadi titik semak atau check point prestasi kita di sepanjang tahun 2022. Mari kita menyorot ke belakang melihat ufuk awal 2022 sebelum melangkaukan pandangan ke horizon 2023 pula. Berazam-azam untuk 2023 itu memang boleh, tetapi pelan untuk mencapai azam itu yang penting digariskan terlebih dahulu.

Soalan pertama yang harus ditanya kepada diri ialah, apakah kita larat untuk melangkah merentasi 2023 ini? Apakah kita menjangka akan mampu berlari atau tercungap-cungap melangkah hingga ditinggal waktu? Mujurlah seandainya kita boleh berlari dan berjalan, berlari dan berjalan seperti seorang anak kecil. Itu lebih baik dari jatuh tergolek dan tak mahu bangun lagi.

Orang yang fizikalnya sihat dan kurang lemak, boleh berjalan jauh dengan selesa. Malah, dia juga boleh pula berlari. Sebaliknya dia akan cepat mengah sekiranya terlebih bagasi pada tubuh terutamanya lemak. Dan lemak itu perlu dibuang dengan riadah seperti berjoging atau brisk walking.

Selain bagasi fizikal bila mahu menapak di sepanjang 2023, bagasi pada mental perlu dikurangkan. Maknanya kita perlu nyahkan bagasi dalam bentuk kesal, resah, gelisah, benci, dendam dan segala yang negatif. Dalam bahasa yang biasa kita sebut ialah dengan cara jalan terus atau move on.

Semalam telah pun berlalu. Kita tidak dapat kembali memutar masa. Esok yang penuh dengan teka-teki dan suspens ketidak tentuan itu pun tidak boleh digapai. Yang ada hanyalah hari ini dan saat ini. Waktu sekarang inilah yang boleh digunakan untuk membentuk semalam yang hodoh agar esok yang cantik dapat diukir.

Seiring dengan fizikal dan mental yang kurang bagasi, kita juga perlu buang bagasi spiritual yang memberati diri. Rasa malas dan tidak yakin itu barangkali berpunca daripada dosa yang memberati ruh untuk menguak mencari cahaya Illahi. Tahu buat perlu diganti dengan taubat. Taubat itu pula memohon ampun dan berjanji tidak mahu buat lagi.

Taubat yang diikuti dengan ibadah, yang baik mengganti yang buruk itu akan meringankan hati untuk rajin berbuat baik. Bila kita rajin berbuat baik, maka semangat akan menjelma dari lubuk hati. Rasa yakin diri akan sentiasa mengiringi pada setiap perbuatan. Ini pula akan melahirkan rasa yakin yang ALLAH sayangkan kita dan akan membantu memenuhi apa jua hasrat yang menjadi impian.

Fizikal yang kekar dengan cara riadah, mental yang ringan dengan cara membuang segala yang negatif untuk jalan terus dan spiritual yang suci melalui taubat adalah resepi terbaik sebagai persediaan menyambut tahun baharu.

Ledakkan semangat itu agar ia terus membara. Tidak perlu dibakar semangat itu, sebab takut-takut nanti ia rentung pula di tengah tahun. Berpada-pada dalam segala tindakan. Semoga kita semua selamat mengharungi 2023. Ameen.

Di Simpang-Simpang Hidup

Di Simpang-Simpang Hidup

MAAFCAKAP 21.12.2022

10 hari lagi, tahun 2022 akan berlalu. Syukur alhamdulilah kerana kita yang sedang membaca tulisan ini masih diberikan nafas oleh Yang Maha Hidup. Kita sedang menapak menuju sinar di jalan-jalan yang berliku. Semalam telah tenggelam dalam lipatan selekoh sejarah peribadi.

Di  sepanjang hayat ini kita sentiasa menemui manusia. Ibu bapa, adik beradik, saudara-mara, rakan dan sahabat. Malah kita  juga menemui musuh, samada yang kita cari mahupun yang melintas atau mendatangi hidup kita.

Ajaibnya kehidupan ini. Apa yang tidak kita terfikir akan terjadi pada kita telah kita harungi. Susah dan senang, kaya dan miskin, sukar dan mudah sudah, serta sedang kita lalui. Semua itu membentuk karakter kita menjadi manusia yang lebih kental atau sebaliknya. Semuanya itu juga bergantung kepada cara kita menyerap cabaran itu.

Bukan sahaja kita yang berdepan dengan segala cabaran hidup. Mereka di sekeliling kita juga menghadapi ujian dalam pelbagai bentuk. Pokoknya, apakah halangan itu diatasi, dielak, didasari atau ditembusi? Semoga halangan itu tidak menjadikan mereka buntu kerana menghantuk-hantuk kepala di tembok ujian hingga hilang daya. Akhirnya mereka menggelongsor tidak mahu bergerak kerana enggan bangun lagi.

Hidup ini punyai banyak persimpangan. Dan persimpangan itu membelok ke jalan yang tersendiri buat kita. Samada ia denai, lorong, jalan atau lebuhraya, semua jenis jalan itu akan kita lalui. Jenis-jenis jalan itulah yang akan membentuk diri kita.

Pada asalnya kita ini dilahirkan sama keadaannya. Kesemua kita lahir dalam keadaan telanjang dan menangis. Itulah jalan hidup yang pertama kita. Samada kita dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya atau miskin, kita tidak perlukan apa-apa selain dari susu, bedong dan belaian.

Kita mula memasuki laluan yang berbeda apabila kita memasuki tadika dan seterusnya ke sekolah. Pembelajaran dan pergaulan di situlah yang membentuk perilaku kita. Kemudian, bila kita akil baligh, kita mula berubah cara berfikir kerana perubahan hormon yang turut mengubah fizikal kita. Tindak tanduk kita berubah menurut bahan bacaan, tontonan, pergaulan dan ajaran yang diterima.

Apabila kita melanjutkan pelajaran dan mula bekerja, itu juga satu lagi persimpangan hidup yang turut mengubah diri. Kita mungkin berkelulusan tinggi tetapi bekerja dengan gaji rendah, atau tiada kelulusan tinggi tetapi punyai pendapatan yang tinggi daripada mereka yang berkelulusan ijazah. Itu semuanya mengubah kita.

Perkahwinan juga akan mengubah haluan hidup kerana simpangnya turut berbeza. Walau apa pun keadaan kita, pasangan kita itulah yang akan mengubah peribadi kita. Yang belum berkahwin pun turut berubah dari segi persahabatan. Tetapi tanggungjawab pada diri dan keluarga khususnya ibubapa tetap berubah kerana dahulu mereka menjaga kita, kini kita menjaga mereka pula.

Rezeki dunia mungkin kita alami dengan melimpah ruah. Barangkali pangkat dan gelaran kita peroleh. Kesemua ini mengubah personaliti kita kerana pergaulan kita dengan mereka yang T20. Ia mungkin juga sebaliknya dan ini juga mengubah peribadi kita kerana bergaul dengan mereka yang sama M40 atau B40.

Banyak yang kita dapat dalam hidup ini samada pendidikan, persahabatan, harta dan pangkat. Banyak juga yang kita hilang dan ia memberi kesan pada diri lebih-lebih lagi bila kehilangan mereka yang dikasihi.

Kerana apa yang kita lalui itu berubah-ubah, kita juga berubah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Malah kita pada hari ini tidak sama dengan kita yang semalam; juga kita pada hari esok.

Justeru, janganlah hairan dan berasa hati seandainya mereka yang kita kenali luar dan dalam selama ini sudah berubah dari kali akhir kita menemuinya. Jika dia kelihatan hidung tinggi, barangkali dia bukan dirinya yang kita kenal dahulu. Jika dia menjadi orang yang begitu tawaduk berbanding dengan ‘si samseng sekolah,’  jangan hairan dengan perawakannya. Barangkali dia telah lalui jalan-jalan sukar berbanding kita yang sentiasa bertuah bergerak di atas lebuhraya kehidupan.

Yang penting pada hakikatnya, tiada istilah ‘happily ever after’ di dunia ini untuk semua kita seperti di dalam kisah dongeng. Jadi, walau apa pun jalan dan persimpangan hidup yang kita lalui, biarlah kompas kita tetap tidak berpaling arah.

Sama-sama kita doakan happily ever after di dunia yang satu lagi;  bukan mengalami  agony ever after!

Menyaksi Bolasepak dan Syiar Islam

Menyaksi Bolasepak dan Syiar Islam

MAAFCAKAP 14.12.2022

Sudah hampir sebulan sejak 20 November lalu, kita menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Dunia 2022. Dianggarkan keseluruhannya, lebih 5 bilion umat manusia menonton acara sukan yang paling popular di dunia. Pada hujung minggu ini kita bakal menyaksikan perlawanan akhir pula.

Sukan paling popular di dunia ini diberi wajah dan impak yang berbeza bila ia dianjurkan oleh negara Qatar. Wang mengalir seperti air terjun. US10 bilion telah diperuntukkan untuk acaranya sahaja tetapi US290 bilion telah dibelanjakan untuk membina prasarana seperti stadium, hotel, lapangan terbang, pasaraya dan lebuhraya mulai 10 tahun yang lalu.

Walaupun sudah sedekad pemain bolasepak legenda David Beckham tidak turun padang, berjuta telah dibayar kepadanya sebagai Duta Budaya Qatar. Bayaran tinggi juga diperuntukkan kepada penyanyi Korea, Jungkook dari BTS sebagai penyanyi Asia pertama terpilih untuk menyanyikan lagu rasmi acara itu.

Apakah tujuan Qatar mencurahkan bajet tertinggi dalam sejarah penganjuran acara Bolasepak Piala Dunia 2022? Apabila tamat kejuaraan, tujuh stadium bolasepak dan beratus-ratus hotel untuk acara sukan itu akan kosong seperti pernah yang dialami oleh negara-negara penganjur yang lain. Tetapi menurut pihak Qatar, sektor pelancongan, pengangkutan dan pembinaan akan terus menjana pulangan.

Jika diukur dari sudut material, Qatar tak buat untung. Namun, ia beruntung dari sudut spiritual kerana mengetengahkan agama Islam kepada manusia. Dunia terpegun apabila selebriti Morgan Freeman muncul mencuri perhatian pada acara pembukaan. Beliau berdialog dengan Ghanim Al-Muftah, seorang usahawan dan dermawan Qatar yang kurang upaya.

Dialog di antara mereka sungguh bermakna. Apabila Morgan Freeman bertanya, kalaulah ada caranya, bagaimanakah umat manusia yang berlainan budaya dan agama serta berpecah dapat hidup bersama? Ghanim menjawabnya melalui ayat al-Quran surah Al-Hujurat ayat 13.  Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”

Apabila Morgan Freeman bertanya lagi, apakah cara untuk mengekalkan kebersamaan ini? Jawab Ghanim, ‘Dengan toleransi dan saling hormat menghormati. Dengan cara ini kita boleh hidup bersama. Kita adalah satu kabilah. Bumi ini pula adalah khemah kediaman.”

Kemanusiaan. Inilah fokus utama Qatar dalam menganjurkan sukan ini. Di sebalik kempen anti Qatar oleh pihak Barat sebagai penganjur kerana mengharamkan alkohol dan budaya LGBT, ia menghidupkan suasana kedamaian Islamik yang menghormati tetamu.

Sudah menjadi satu budaya orang Arab yang bermewah bila meraikan tetamu. Para pelancong yang datang ke acara sukan itu dibelanja makan dan minum dengan mewah. Tidak cukup tempat tinggal, ada rakyatnya yang menyediakan kapal pelayaran dan khemah mewah. Malah, ada yang mengajak para pelancong untuk datang ke rumah mereka menyaksikan bolasepak di home theatre.

Warga Qatar tidak lupa berdakwah, membuka masjid agar para pelancong dapat menyaksikan rumah ALLAH, menyarungkan hijab kepada wanita dan memperkenalkan mereka kepada budaya Islam. Kerana berasa bahagia dan gembira, beratus pelancong tertarik untuk mengucap syahadah. Inilah dakwah kepada mereka yang belum Islam; bukannya kepada mereka yang digelar sebagai golongan bukan Islam, apatah lagi orang kafir.

Barangkali, ini yang perlu kita ajarkan kepada masyarakat yang belum Islam di negara kita tidak kira samada di pejabat atau yang tinggal setaman. Banyak juga hal-hal yang tidak manis kita pamerkan kepada masyarakat kita yang belum Islam. Sebagai individu kena perbaiki imej ini.

Bila bersedekah, jangan diteliti warna kulit. Berikan kepada dia yang miskin dan memerlukan. Bila ada jambu dan manggis dari kampung, berikan pada keluarga Encik Gopal, jiran sebelah rumah. Bangun dan berikan tempat duduk di dalam tren kepada nyonya sebagai menghormati orang tua.

Isu perkauman dan Islamofobia nampaknya membahang kembali. Political will tidak boleh menyelesaikannya kerana yang meniup rasa curiga dan sakit hati ini adalah orang politik sendiri. Sebaliknya kita perlu ada social will ~ sesama rakyat, business will ~ sesama peniaga dan religious will ~ di antara pelbagai agama. Sebagai permulaan, semua agama melarang meminum alkohol dan juga amalan LGBT sepertimana Qatar menghalangnya.  Ustaz mana atau tokoh agama mana yang boleh lantang buka mulut menyatakannya?

Biarkan Pemimpin Urus Negara

Biarkan Pemimpin Urus Negara

MAAFCAKAP 7.12.2022

Akhirnya, setelah kita melalui ribut dan taufan PRU-15, kita merasai pula  riak dan kocak pembentukan tampuk pimpinan negara. Ada intrig dan suspens yang berlaku tetapi akhirnya, Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong telah terbentuk dengan upacara mengangkat sumpah oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis Raja-Raja turut menerima formula ini dan Perdana Menteri telah mengumumkan barisan kabinetnya pada Jumaat, 2 Disember diikuti dengan upacara mengangkat sumpah anggota kabinet pada keesokan harinya. Selang sehari iaitu pada Isnin 5 Disember, mesyuarat pertama kabinet Kerajaan Perpaduan telah diadakan.

Pertanian, khususnya pesawah menjadi perhatian kabinet. Kelangsungan hidup mereka menjadi tumpuan di mana bantuan RM10 juta diperuntukkan pada tahun ini dan RM50 juta lagi pada tahun hadapan. Monopoli beras dikaji untuk dihapuskan. Penurunan harga telur juga telah dimumkan untuk kepentingan peniaga dan rakyat. Selain itu, hal judi, banjir, sentimen perkauman, pelanggaran hukum termasuk pengurangan gaji menteri sebanyak 20 % telah diumumkan.

Pastinya mesyuarat kabinet yang pertama itu merupakan mesyuarat penyesuaian. Di mana tempat duduk seseorang menteri, sapa menyapa dengan para pegawai kerajaan yang menyediakan maklumat yang diperlukan menteri merupakan hal-hal kecil yang perlu diketahui seseorang menteri yang memulakan tugas.

Wisel penamat PRU-15 telah lama berbunyi. Yang menang menurut formula congakan telah membentuk kerajaan. 21 juta pemilih telah turun mengundi pada PRU-15. Kita sebagai insan hanya menjalankan tanggungjawab memangkah. Undi kita hanya satu; umpama debu. Tetapi ALLAH Al-Hakim yang  mengangkat mereka jadi pemimpin.

Samada suka atau tidak, terima atau sebaliknya, kita kena akur dengan pilihan ALLAH swt. Dia Maha Bijaksana dalam mengurus segala. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dileluconkan sebagai PM in-waiting akhirnya terlantik menjadi pemimpin kita.

Dia ditakdirkan menjadi Perdana Menteri untuk berdepan dengan keadaan negara dan dunia yang mencabar ini. Dan dia mesti pikul tanggungjawab ini sebab beliau sendiri yang umumkan hasratnya menjadi Perdana Menteri!

Betapa tidak senangnya kita kepada barisan kabinet ini, kita kena ingat ada berjuta pemilih yang telah mengundi mereka. Istilahnya, kita kena move on; jalan terus. Dalam suasana yang mencabar ini kita kena terima pilihan orang lain.

Walau betapa tidak setujunya, umpama kita yang sedang terkapai-kapai dibawa arus; bila ada seseorang yang muncul ingin menyelamatkan, logikkah jika kita bertanya tentang baik, buruk orang itu sebelum membenarkan dia menyelematkan kita?

Perdana Menteri dan barisan kabinetnya seperti duduk di rumah kaca. Semua orang boleh nampak apa yang mereka lakukan. Ada sahaja kamera yang merakam setiap langkah mereka. Silap cakap atau salah bertindak boleh memakan diri kerana masyarakat pada hari ini bukan sahaja mudah mentafsir dan menelah, malah senang-senang boleh menghukum mereka.

Di luar padang ada ramai lagi para pemimpin di pihak yang satu lagi sentiasa memantau, memerhati dan mengkritik mereka. Kita enggihkan kritik yang betul tetapi diamkan sahaja andainya kita tidak setuju. Mereka menjalankan tugas murni sebagai pembangkang.

Kita kenalah fahami bahasa orang politik yang bombastik dengan gaya menggenggam penumbuk terjulang ke udara. Mereka juga mahu kekalkan momentum dan kehadiran mereka kerana ada beberapa pilihanraya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bila tiba masa dan dibolehkan mengundi, kita turun lagi mengundi memilih kerajaan negeri pula. Setelah itu, kita biarkan mereka yang memang mengurus negara, Jika kita cintakan negara kita, para pemimpin juga cintakan negara ini.

Mengurus masa depan negara adalah sesuatu yang serius bagi para pemimpin.  Ia memerlukan  mereka memerah fikiran, bercakap dan bertindak sedangkan kita hanya bercakap sahaja! Bagi orang politik, kritik mengkritik membawa bahagia. Bagi kita, salah kritik boleh hilang kawan dan saudara!

Justeru itu, biarkan mereka mengurus negara. Kita ini tidak layak. Sebab itu kita tidak terpilih. Lagi pula  kita sendiri tidak memilih untuk jadi pemimpin negara.

Mari Kita Selamatkan Dia

Mari Kita Selamatkan Dia

MAAFCAKAP 23.11.2022

Mulanya, kita dilahirkan sebagai bayi yang tidak berdaya. Kita tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling. Dari alam rahim yang sempit, kita lahir ke alam dunia yang luas. Lalu kita berasa bingung dan takut sendirian. Lantas kita menangis.  

Ibulah yang membelai dan menyuakan puting susu buat penghilang dahaga. Hari berganti minggu, berganti bulan dan kita membesar. Ibu, bapa dan mereka di sekeliling mendidik kita. Kesemuanya mahu kita membesar menjadi insan yang baik. Dan mereka melarang kita berbuat yang jahat. Kita mula faham galakan dan larangan mereka bila kita mummayiz.

Dunia sentiasa adil bila mengajar kita susah dan senang, mengilmukan kita hingga menjadi pandai dalam banyak bidang tetapi bodoh dalam hal-hal yang baharu atau yang kita tidak mengerti. Kita mengalami hidup sebagai insan yang kaya; kaya harta, kaya jiwa serta kaya ilmu. ALLAH Yang Adil memberi juga kita pengalaman miskin harta, jiwa dan ilmu.

Dalam meniti kehidupan, kita belajar apa yang baik, mulia dan terpuji. Kita juga belajar tentang kejahatan, kehinaan dan kekejian. Pendek kata, kita banyak lakukan apa yang mendatangkan pahala dan juga yang mengakibatkan dosa.

Di sepanjang hayat, kebaikan kita naik dan turun seperti juga iman kita. Kita meninggalkan kebaikan bila tergelincir ke lembah kejahatan. Akhirnya kita bertaubat dan kembali semula ke pangkal jalan. Positif dan negatif yang kita lalui itu silih berganti. Kita tempuhi segalanya samada di zaman kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.

Tatkala kita berada dalam keadaan positif dikelilingi kemewahan dan kehebatan, kita tidak mahu ia pergi. Lalu kita mempertahankannya dengan apa cara sekali pun. Ada yang kekal berpaut di alam yang indah-indah itu dengan cara yang bersih menurut peraturan, undang-undang dan hukum agama.

Namun ada juga yang cuba mengekal, malah menambah kemewahan dan kehebatan itu dengan cara-cara yang melanggar adat, undang-undang mahu pun hukum agama. Ada yang tidak peduli apa yang akan jadi pada orang lain, asalkan dapat melepas diri dengan memijak orang dan memakan kawan dalam usaha memanjat tangga impian. Semuanya dilakukan tanpa merenung dan membayangi apa yang akan dihadapi di hari muka, bila berdepan dengan ALLAH yang murka.

Dalam pada itu, ada juga yang menerima nasib yang suram dan kelam di dunia ini. Beruntunglah seandainya kita sentiasa sabar dan tenang menerima ketentuan-NYA sebagai ujian kehidupan di dunia agar ringan timbangan pada hari pembalasan.

Tetapi alangkah rugi seandainya kita yang malang di dunia, gelap juga di kemudian hari sekiranya segala buruk yang terjadi di dunia ini dibiarkan tanpa usaha membela diri sendiri. Benar, begitulah arus kehidupan. Namun kita tidak boleh biarkan diri hanyut, tenggelam dan lemas di dasar neraka dunia.

Bila kita berdepan pada segala kebaikan dan kemajuan, kita berasa beruntung dan ingin terus menggenggamnya. Tetapi apabila menerima semua keburukan dan kehinaan, naluri kita sendiri mendesak kita meninggalkannya.

Jika diri kita punyai kehendak kepada kebaikan, begitulah juga orang lain. Mereka juga seperti kita yang mahukan segala kebahagiaan buat diri sementelah hayat masih ada. Mereka mendambakan kesucian seperti bayi yang lahir, menjelang hari mereka menutup mata.

Jadi, usah tinggalkan mereka yang kita tahu sudah menjadi manusia yang jahat lagi berdosa. Usah pula mencemuh dan mencerca mereka tanpa memberi peluang mereka kembali menjadi manusia yang baik.

Entah, entah ketika mereka baik, mereka jauh lebih baik daripada kita. Bila mereka jahat, jahat mereka pun tidak sejahat kita.  Mereka juga pernah merasai kebahagiaan menjadi insan yang kamil. Dan, mereka boleh jadi orang baik semula. Cuma, mereka terlupa dan alpa.

Barangkali mereka sesat dan tidak nampak jalan pulang. Jika begitu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghampiri, menasihati dan jika perlu memapah dan menarik mereka agar tidak lemas di lautan noda.

Renungkan dan ingatlah. Batin insan yang jahat dan sesat itu sentiasa menjerit dan meraung pinta diselamatkan. Hampirilah hati dan dengarlah degupan jantungnya yang masih berzikir. Bayangkan bagaimana sekiranya insan itu adalah diri kita dan tiada sesiapa pun yang mahu datang menolong?

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]