MAAFCAKAP 14.12.2022

Sudah hampir sebulan sejak 20 November lalu, kita menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Dunia 2022. Dianggarkan keseluruhannya, lebih 5 bilion umat manusia menonton acara sukan yang paling popular di dunia. Pada hujung minggu ini kita bakal menyaksikan perlawanan akhir pula.

Sukan paling popular di dunia ini diberi wajah dan impak yang berbeza bila ia dianjurkan oleh negara Qatar. Wang mengalir seperti air terjun. US10 bilion telah diperuntukkan untuk acaranya sahaja tetapi US290 bilion telah dibelanjakan untuk membina prasarana seperti stadium, hotel, lapangan terbang, pasaraya dan lebuhraya mulai 10 tahun yang lalu.

Walaupun sudah sedekad pemain bolasepak legenda David Beckham tidak turun padang, berjuta telah dibayar kepadanya sebagai Duta Budaya Qatar. Bayaran tinggi juga diperuntukkan kepada penyanyi Korea, Jungkook dari BTS sebagai penyanyi Asia pertama terpilih untuk menyanyikan lagu rasmi acara itu.

Apakah tujuan Qatar mencurahkan bajet tertinggi dalam sejarah penganjuran acara Bolasepak Piala Dunia 2022? Apabila tamat kejuaraan, tujuh stadium bolasepak dan beratus-ratus hotel untuk acara sukan itu akan kosong seperti pernah yang dialami oleh negara-negara penganjur yang lain. Tetapi menurut pihak Qatar, sektor pelancongan, pengangkutan dan pembinaan akan terus menjana pulangan.

Jika diukur dari sudut material, Qatar tak buat untung. Namun, ia beruntung dari sudut spiritual kerana mengetengahkan agama Islam kepada manusia. Dunia terpegun apabila selebriti Morgan Freeman muncul mencuri perhatian pada acara pembukaan. Beliau berdialog dengan Ghanim Al-Muftah, seorang usahawan dan dermawan Qatar yang kurang upaya.

Dialog di antara mereka sungguh bermakna. Apabila Morgan Freeman bertanya, kalaulah ada caranya, bagaimanakah umat manusia yang berlainan budaya dan agama serta berpecah dapat hidup bersama? Ghanim menjawabnya melalui ayat al-Quran surah Al-Hujurat ayat 13.  Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”

Apabila Morgan Freeman bertanya lagi, apakah cara untuk mengekalkan kebersamaan ini? Jawab Ghanim, ‘Dengan toleransi dan saling hormat menghormati. Dengan cara ini kita boleh hidup bersama. Kita adalah satu kabilah. Bumi ini pula adalah khemah kediaman.”

Kemanusiaan. Inilah fokus utama Qatar dalam menganjurkan sukan ini. Di sebalik kempen anti Qatar oleh pihak Barat sebagai penganjur kerana mengharamkan alkohol dan budaya LGBT, ia menghidupkan suasana kedamaian Islamik yang menghormati tetamu.

Sudah menjadi satu budaya orang Arab yang bermewah bila meraikan tetamu. Para pelancong yang datang ke acara sukan itu dibelanja makan dan minum dengan mewah. Tidak cukup tempat tinggal, ada rakyatnya yang menyediakan kapal pelayaran dan khemah mewah. Malah, ada yang mengajak para pelancong untuk datang ke rumah mereka menyaksikan bolasepak di home theatre.

Warga Qatar tidak lupa berdakwah, membuka masjid agar para pelancong dapat menyaksikan rumah ALLAH, menyarungkan hijab kepada wanita dan memperkenalkan mereka kepada budaya Islam. Kerana berasa bahagia dan gembira, beratus pelancong tertarik untuk mengucap syahadah. Inilah dakwah kepada mereka yang belum Islam; bukannya kepada mereka yang digelar sebagai golongan bukan Islam, apatah lagi orang kafir.

Barangkali, ini yang perlu kita ajarkan kepada masyarakat yang belum Islam di negara kita tidak kira samada di pejabat atau yang tinggal setaman. Banyak juga hal-hal yang tidak manis kita pamerkan kepada masyarakat kita yang belum Islam. Sebagai individu kena perbaiki imej ini.

Bila bersedekah, jangan diteliti warna kulit. Berikan kepada dia yang miskin dan memerlukan. Bila ada jambu dan manggis dari kampung, berikan pada keluarga Encik Gopal, jiran sebelah rumah. Bangun dan berikan tempat duduk di dalam tren kepada nyonya sebagai menghormati orang tua.

Isu perkauman dan Islamofobia nampaknya membahang kembali. Political will tidak boleh menyelesaikannya kerana yang meniup rasa curiga dan sakit hati ini adalah orang politik sendiri. Sebaliknya kita perlu ada social will ~ sesama rakyat, business will ~ sesama peniaga dan religious will ~ di antara pelbagai agama. Sebagai permulaan, semua agama melarang meminum alkohol dan juga amalan LGBT sepertimana Qatar menghalangnya.  Ustaz mana atau tokoh agama mana yang boleh lantang buka mulut menyatakannya?