BLOG

Bersembang dengan Komputer

Bersembang dengan Komputer

MAAFCAKAP 1.2.2023

Awal tahun ini, dunia netizen heboh berbicara mengenai ChatGPT, sebuah program bahasa. Dan, kehebohan itu cepat melimpah ke negara kita. ChatGPT yang dilancarkan kepada umum pada November 2022, meletup di alam siber. Dalam masa 5 hari ia menemui netizen, jumlah yang menggunakannya mencapai lebih sejuta. Bagaimana pun, seperti mana apa-apa yang baharu, ia didepani dengan rasa curiga.

Apakah ChatGPT ini akan merosakkan dunia kreativiti? Apakah ia akan menggalakkan plagiarisme? Jika begitu, ChatGPT adalah satu lagi ciptaan yang bakal merosakkan keaslian pengkaryaan. Kini, komputer sedang berlawan dengan manusia dalam aspek bahasa pula. Dan, biasanya komputer akan menang kerana komputer lebih pantas! Manusia tetap kalah dengan kecepatan robot!

Model bahasa artificial intelligence atau AI dari ChatGPT ini bukan sekadar memberi jawapan kepada permintaan kita, sebaliknya ia menyusun ayat-ayatnya menjadi sebuah makalah.  ChatGPT atau Chat Generative Pre-Trained Transformer, dalam bahasa yang mudah mampu memberi jawapan kepada pelbagai persoalan.

Selama ini, jika seseorang yang mahu menulis mengenai sesuatu topik perlu melayari Google dan membaca pelbagai artikel dari bermacam-macam portal, mengumpul isi dan mengarangnya menjadi sebuah artikel; melalui ChatGPT, proses yang memakan masa berjam-jam dapat disudahkan dalam masa beberapa saat! Program ini  memahami dan membuat teks dalam bahasa manusia.

Manusia bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu. Ramai yang punyai persepsi bahawa program ini menyediakan jawapan dalam bahasa yang tiada emosi. Ia benar. Jadi, manusia masih menang berbanding komputer kerana manusia boleh memilih dan menyusun perkataan dari mindanya. Lenggok bahasa masih menjadi kelebihan manusia berbanding dengan program ini.

Apakah program ini akan menggalakkan plagiarisme? Ia bergantung kepada manusia itu sendiri. Seseorang pelajar boleh mencari jalan mudah dengan menyalin dan menampal tulisan yang dibekalkan oleh ChatGPT ke dalam tugasannya. Dia boleh mendapat markah yang tinggi. Namun jika perangai ini dibawa ke peringkat sarjana, tesis ciplaknya mudah dikesan kerana ada aplikasi seperti Plagiarism Checker X yang dapat menyemaknya.

Sebenarnya, tiga artikel saya termasuk artikel  ini ditulis dengan bantuan model bahasa ini. Malah, saya sentiasa berbolak-balik dari halaman artikel ini yang ditaip di Google Drive ke program itu.

Sebelum ini saya menggunakan Google untuk mendapat maklumat. Hanya sekadar itu sahaja. Tetapi apabila menggunakan ChatGPT, saya bersembang dahulu mengenai topik yang saya ingin tulis, seolah-olah saya sedang berbual dengan seorang rakan. Setelah bersoal-jawab, baharulah saya mula menulis.

Program ini juga membantu saya menyiapkan kertas kerja. Setelah meminta program itu ‘menyediakan sebuah kertas kerja untuk sebuah acara,’ dalam beberapa saat sahaja ia memberikan jawapan. Ada kalanya bahasa yang digunakan program ini sukar difahami. Saya boleh mengarahkan ChatGPT untuk menulis kembali dalam bahasa mudah untuk pelajar 18 tahun, dan ia menulis kembali kertas kerja itu dalam bahasa yang begitu mudah.

Satu yang menarik bagi program ini ialah, ia mempunyai etika. Pada suatu hari, saya mengarahkannya untuk memberitahu ‘beberapa cara untuk membunuh orang’ untuk karya fiksyen saya. Dan, jawapan ChatGPT membuat saya terdiam seketika kerana mula dileteri!

Katanya, ‘Saya mohon maaf kerana membunuh adalah satu jenayah yang hukumannya penjara seumur hidup atau dihukum mati. Tapi, jika anda bertanya sesuatu yang lain, beritahu saya!’ Lantas saya ubah soalan, ‘Berikan cara bagaimana James Bond membunuh penjahat dalam filem-filemnya.’ Dan, ChatGPT segera memberitahu saya berbelas cara James Bond membunuh dalam siri-siri filemnya.

Berbanding dengan Google yang hanya mempunyai program Google Safesearch yang kadangkalanya terlepas saringannya, program ChatGPT ini nampaknya lebih beretika kerana diprogram juga untuk menasihati penggunanya.

Yang penting, kita perlu pandai bertanya untuk mendapat respon dengan jawapan yang memuaskan hati. Tidakkah juga kita perlu pandai bertanya kepada isteri untuk mendapat maklumbalas yang positif?  Kelebihan isteri ialah, dia akan menjawab dengan senyuman. Dengan komputer, kita hanya tersengih sendirian.

Membina Tamaddun Malaysia

Membina Tamaddun Malaysia

MAAFCAKAP 25.1.2023

Adalah menarik apabila baru menghampiri tiga bulan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan slogan kerajaan pimpinannya iaitu Membangun Malaysia Madani. Bagi mereka yang mengikuti jejak langkah pemimpin kita ini, istilah Malaysia Madani sudah lama menjadi ucap bicaranya.

Ketika Anwar bersama pentadbiran kerajaan pada 1990-an, beliau mengutarakan konsep masyarakat madani melalui buku The Asian Renaissance terbitan 1996. Malah sebelum pilihanraya umum ke-15 pada tahun lalu, beliau menulis buku berjudul ‘Membangun Malaysia Madani.’

Maknanya, slogan ini sudah sebati dalam sanubarinya, bukan dipetik di mana-mana untuk menandingi slogan-slogan para pemimpin negara terdahulu. Ini adalah langkah jitu beliau untuk mematerikan mesej-mesej yang diucap dan diulang-ulang ke mana-mana beliau berada dalam bentuk dokumen bertulis. Barangkali, kata-katanya di merata pelosok tanah air merupakan fragmen-fragmen idea dan mesej yang tidak sempat rakyat rangkumkan menjadi satu mesej yang kental.

Tetapi, apakah itu pendekatan Membangun Malaysia Madani? Apakah maksud istilah madani itu sendiri? Dalam bahasa yang mudah, madani itu bererti membangun pemikiran, kebendaan dan kerohanian ~ membangun mental, fizikal dan spiritual. Yang hendak dibangunkan tentulah mental, fizikal dan spiritual insan-insan yang menjadi rakyatnya iaitu kita, kita semua. Perdana Menteri memfokus untuk membangun manusia sebagai aset utamanya.

Kita rakyat Malaysia punyai segala potensi dan keupayaan untuk menandingi mana-mana negara di dunia ini. Beberapa tahun dahulu, negara kita disebut-sebut sebagai salah sebuah Harimau Asia dan sebagai negara Islam contoh.

Tetapi kerana asyik bercekau sesama sendiri,  kita tergelongsor ke dalam lumpur perseteruan yang tak sudah-sudah hingga kita terlupa di mana bumi dipijak dan ke mana langkah hendak dianjak untuk membawa negara ke persada dunia. Oleh kerana jauh tercicir, kita perlu berlari lebih lama, lebih konsisten sebelum mampu bersaing dengan negara-negara jiran.

Malaysia Madani bercirikan enam tonggak yang dijiwai rakyat iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan. Ciri-ciri spiritual ini akan menyediakan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Malaysia Madani juga bertunjangkan empat Teras Strategik Utama. Keempat-empat teras ini harus menjadi tumpuan para pemimpin dan pentadbiran kerajaan. Mereka harus memerah mental bagi mencari pendekatan yang lestari untuk Membina Semula Ekonomi, Menjamin Kesejahteraan Insan, Reformasi Institusi Demokrasi dan Perundangan dan Mewujudkan Pentadbiran Beramanah.

Dan, bagi memastikan kelancaran agenda ini, tiga pembolehdaya strategik yang dirangka dalam dokumen Membangun Malaysia Madani akan berfungsi sebagai enjin penggerak iaitu. Inilah tiga pendekatan material yang hasilnya boleh diukur secara kuantitatif.

Digitalisasi Perkhidmatan Rakyat, Pendayaupayaan Bakat Terbaik Negara dan Pemerkasaan Pengurusan Projek Strategik perlu menggembleng sektor korporat dan para usahawan, para profesional dari segenap bidang dan tenaga kerja yang ratusan ribu jumlahnya.

Program digitalisasi yang komprehensif akan mempercepatkan urusan bertahun menjadi berbulan, berbulan menjadi berminggu dan yang berminggu menjadi beberapa saat sahaja. Kita punyai ramai para profesional yang terpendam dan terpinggir kerana potensi mereka tidak dimaksimakan. Ramai lagi bakat-bakat terbaik kita yang berada di luar negara menanti kembali berkhidmat untuk negara apabila etika menjadi merit kecemerlangan.

Dan pemerkasaan projek strategik memerlukan kita menyemak semula prioriti projek-projek yang dianggap enteng tetapi sebenarnya penting untuk masa depan negara. Program pertanian raksaksa, sekuriti makanan, prasarana khususnya di Sabah dan Sarawak serta teknologi hijau wajar mengambil tempat utama menjadikan kita bersaing sebagai negara yang unggul merangkul Revolusi Industri 4.0.

Kita mesti membangun spiritual, mental dan fizikal kita untuk maju. Fokus kita ialah untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara, kemudian Asia dan seterusnya dunia. Malaysia Madani berpotensi membangun serta memberi erti dan inti kepada Tamaddun Malaysia!

Deep Work Untuk Melangkah Jauh

Deep Work Untuk Melangkah Jauh

MAAFCAKAP 18.1.2023

Dua minggu lalu, ada kawan-kawan yang kurang setuju apabila saya menulis mengenai keburukan multi-tasking. Menurut mereka, kebolehan multi-tasking kini dicari oleh para majikan. Ramai yang silap faham bahawa ia berbeza daripada multi-skill. Multi-skill atau pelbagai kemahiran inilah ciri-ciri pekerja yang kian diperlukan.

Bagaimana pun, seseorang yang mempunyai kepelbagai kemahiran atau multi-skill juga tidak akan menjadi pekerja yang berkesan seandainya dia mengamalkan multi-tasking dalam setiap tugasannya. Meskipun begitu, multi-tasking boleh dilakukan sekiranya terpaksa, seperti seorang petugas pendaftaran di sesebuah seminar.

Dia perlu mengalu-alukan peserta, mendaftar nama mereka, memberi mereka tag dan pada waktu yang sama, menjawab telefon dan mesej. Apabila terdapat 10 peserta sedang beratur, multi-tasking. wajib menjadi pendekatan dalam kerjanya. Begitu juga bila seseorang ibu mahu bersiap-siap pergi bekerja. Dia perlu menyuap anak kecilnya makan, mengemas buku tadika anak sulungnya sambil menyarung tudung di kepalanya. Tiga kerja dalam satu masa.

Maknanya, kerja-kerja multi-tasking hanya sesuai untuk kerja-kerja yang memerlukan pergerakan fizikal. Ia tidak sesuai untuk kerja-kerja berfikir. Justeru itu, apabila Profesor Cal Newport, seorang penulis dan pakar sains komputer dari Universiti Georgetown, New York memberi pandangan bahawa multi-tasking itu tidak seharusnya menjadi budaya kerja utama, ia disarankan setelah beliau membuat kajian mengenainya.

Hasilnya, Cal Newport memperkenalkan pendekatan bekerja yang diistilahkan sebagai ‘deep work’ sebagai pendekatan bekerja yang lebih berkesan. Secara ringkasnya, deep work adalah tumpuan untuk satu-satu tugas dalam waktu yang lama. Untuk lebih berkesan, seseorang tu perlu mengenepikan segala gangguan yang mengalih perhatian. Apabila seseuatu kerja itu diberi tumpuan pada waktu yang lama, maka kreativiti dan produktiviti akan meningkat.

Kerja-kerja seperti membuat kertas kerja, tesis, merekabentuk, mengarang artikel mahupun novel atau membuat laporan adalah di antara kerja yang memerlukan deep work. Ia tidak praktikal dilakukan secara fragmen, malah hingga memakan hingga berminggu-minggu untuk menyudahkannya. Jika ia ditangani secara berdikit-dikit, masa keseluruhan yang diambil sebenarnya akan lebih panjang. Malah, menjadi parah apabila ia adalah satu bentuk procrastination atau bertangguh.

Inilah masalah sebilangan besar kita pada hari ini. Ramai yang tahu membuat kerja-kerja yang memerah fikiran, tetapi mengambil masa yang terlalu lama untuk menyudahkannya kerana menggunakan pendekatan multi-tasking dan bukannya deep work.

Cabaran kita yang melakukan deep work pada hari ini juga kerap terperangkap dengan distraction economy. Ini adalah istilah untuk aktiviti meningkatkan jualan dengan cara mengalih perhatian para pelanggan. Pendekatan pemasaran melalui media sosial pada hari ini amat berjaya.

Apabila kita melayari internet untuk mendapat maklumat, kita seringkali akan diterjah dengan pelbagai iklan pop-up mahupun pautan yang mengalih perhatian hingga kita tenggelam dibawa arus siber hingga payah untuk kembali. Malangnya, distraction economy ini sudah diterima sebagai salah satu pendekatan dalam industri pemasaran.

Justeru, mengurangkan gangguan menjadi isu utama kita pada hari ini. Untuk memberi tumpuan dan menghasilkan kerja yang berkualiti, kita perlu tumpukan perhatian dengan cara menghentikan gangguan. Ia adalah sukar seandainya kita terpaksa menggunakan internet bagi mendapatkan bahan rujukan.

Yang boleh kita lakukan ialah melatih diri untuk fokus kepada apa yang ingin dilakukan. Waktu khusus untuk melakukan kerja, merancang tempoh masa yang diperlukan dan dibantu dengan ruang kerja yang kondusif akan mendorong seseorang menyudahkan tugasannya.

Ramai di kalangan mereka yang berjaya seperti Carl Jung, seorang ahli psikologi tersohor; Bill Gates, pengasas Microsoft dan Malcom Gladwell penulis terkenal dengan bukunya Blink! menggunakan pendekatan deep work dalam kerjaya mereka.

Cabaran kita pada hari ini ialah fokus. Seandainya kita jarang mengamalkan bentuk kerja yang memerlukan deep work ia akhirnya akan menurunkan produktiviti kita sendiri. Minda kita akan lemah dan mencari jalan mudah dan cetek untuk menyudahkan kerja. Maknanya, kita cepat letih bila menangani kerja-kerja yang memerlukan kita memerah otak.

Ini akhirnya akan menyukarkan kita mempelajari kemahiran, pendekatan dan juga aplikasi baharu yang sentiasa menghujani silih berganti. Kita akhirnya tidak boleh berpandangan jauh tetapi memadai sekadar berfikiran singkat, asal apa yang ada. Fikiran begini akan meletakkan kita ke situasi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ia menjadikan kita stres hingga melemahkan mental dan fizikal kita.

Ayuh kita jauhkan dari pelbagai hal-hal sampingan yang sentiasa mengalih perhatian dari memikir dan bertindak seperti yang sepatutnya. Perbanyakkan masa untuk melakukan kerja-kerja deep work seandainya kita mahu berfikiran dan melangkah jauh. Mulalah berlatih untuk menumpukan perhatian; barangkali dengan lebih khusyuk di dalam solat kita!

Bendera Putih Berkibar Kembali?

Bendera Putih Berkibar Kembali?

MAAFCAKAP 11.1.2023

Baru-baru ini saya bertemu dengan Pak Warsan yang berkunjung ke kedai buku IqraRead.  Katanya, dia ke Malakat Mall selepas berurusan di Putrajaya. Pak Warsan yang tinggal di Kampung Bukit Kuching, Jeram, Selangor mengenali kedai buku IqraRead melalui media sosial.

Setelah berkenal dan berbual secara berbasa-basi, interaksi kami menyentuh bab ekonomi. Dia yang memulakan hal ini kerana tahu mengenai tujuan wujudnya Malakat Mall ini adalah untuk membantu meningkatkan ekosistem ekonomi umat Muslim di negara ini. Langsung perbualan kami melarat menyentuh hal-hal ekonomi dunia.

Pak Warsan hanya tersenyum bila saya menyentuh mengenai mendung ekonomi dunia yang dikatakan akan turut mengerhanakan kita semua pada tahun 2023 ini. Sebagai pesara dari sebuah kolej swasta perniagaan, Pak Warsan yakin dengan ulasannya.

Menurut beliau, kegawatan ekonomi memang akan memberi kesan terhadap ekonomi negara-negara di dunia. Bagaimana pun yang lebih penting diawasi ialah kesannya kepada ekonomi kita sendiri. Prinsip pertama ialah mengawal apa yang boleh dikawal tetapi meminimakan risiko apa yang di luar kuasa.

Bagi yang bekerja, mereka perlu pastikan tidak hilang kerja dengan menjadi aset syarikat. Usah cepat-cepat cari kerja lain walaupun gaji tak naik. Asalkan gaji masih dibayar, ia menunjukkan syarikat masih mampu. Dengan bekerja di tempat lain, ia belum menjamin kestabilan pendapatan. Meskipun dapat kerja di syarikat besar pula, bila-bila masa syarikat itu boleh membuang kita kerana kita yang paling baharu menyertai syarikat itu. Semakin besar sesebuah syarikat itu, semakin mudah ia ambil keputusan membuang pekerjanya.

Fikir dua kali sebelum buat pinjaman, membeli kenderaan dan peralatan baharu kerana ia semua adalah hutang yang faedahnya kini tinggi dan hampir pasti tidak akan turun, bahkan meningkat. Kos makan minum khususnya berbelanja di luar kini setanding atau lebih tinggi dari kos pengangkutan seseorang. Bila teringin nak makan sedap-sedap, bolehlah buat konsep cheat day untuk makan sekehendak rasa pada hari-hari tertentu seperti orang berdiet.

Salah satu cara untuk menyeimbangi kekurangan pendapatan setelah berjimat ialah dengan menambah pendapatan. Ada banyak cara yang boleh dilakukan jika rajin mencari ruang dan peluang khususnya di media sosial. Buatlah dengan tujuan untuk cukupkan belanja yang terjejas. Jika berasa teruja dengan peluang berpendapatan tambahan itu, barulah aktif. Bukannya terikut-ikut dengan semangat orang yang akhirnya masa terbuang dan modal lesap.

Saya bertanya Pak Warsan, apakah orang kampung sepertinya terkesan dengan kemelesetan ekonomi? Dengan senyum, dia berkata, ‘Ekonomi yang bergolak itu terjadi seperti gelombang di tengah lautan. Kita ini di tepi pantai. Kalau nampak ombak besar pun masih sempat lari jauh.’

Menurutnya, orang kampung juga terkesan. Selain dari bil elektrik, hutang kereta dan pendidikan anak, dia terkesan dengan harga minyak. Namun, Pak Warsan tidak langsung mempunyai masalah dari segi makanan kerana dia mempunyai tanaman sayur dan ulam-ulaman di sekeliling rumah. Ikan pun dia dapat dengan harga yang murah kerana membelinya di jeti, Sekinchan. Ayam dan telur pun tidak menjadi hal kerana dia membela ayam dan memperoleh telurnya.

Pak Warsan juga mengingatkan, teruk atau tidaknya kita dengan kesan ekonomi ini bergantung pada diri kita sendiri. Jika kita asyik membaca berita-berita dari media besar dunia seperti perang Rusia dan Ukraine, hal-hal kerugian syarikat-syarikat besar dunia, kita akan berasa risau, seolah-olah tak boleh lari dari terkena bahananya.

Katanya, kemelesetan ekonomi akan tetap berlaku kerana ia adalah putaran. Sebelum ini berlaku krisis ekonomi besar dunia pada tahun 20an, 40an, 70an, krisis Ekonomi Asia pada 1997 dan kemelesetan pada tahun 2007. Yang paling terkesan ialah krisis pada tahun 1997. Yang penting, kita perlu sentiasa berada di tepian dan tidak tersedut ke dasar pusaran bila ia mendatang.

Pandemik Covid-19 yang terjadi pada awal tahun 2020 memaksa kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan itu lebih hebat tamparannya. Boleh dikatakan seluruh ekonomi kita lumpuh. Kita semua hanya duduk di rumah tak boleh buat apa-apa. ‘Tapi apa yang paling penting pada masa itu? Makanan,’ kata Pak Warsan.

Sebab itu, selagi kita masih ada makanan, insya-ALLAH kita tidak perlu bimbang. Katanya, perhatikan berapa banyak makanan di rumah yang tak habis hingga terpaksa dibuang dan berapa banyak lagi makanan yang memenuhkan peti sejuk.

Kesemua itu masih menunjukkan yang kita masih boleh berada berbanding dengan mereka yang tak cukup makanan.  Untuk golongan ini, kita pula yang perlu peka pada mereka yang tak mampu. ‘Kita tak mahulah ada rumah yang pasang bendera putih kerana perlukan makanan,’ kata Pak Warsan.

‘Jadi, kita perlu bantu golongan ini samada secara berkumpulan atau secara sendiri-sendiri. Kita juga yang akan dapat pahala sedekah kerana ALLAH akan jaga kita pula dengan kecukupan, sebab segala sedekah akan ALLAH ganti berkali ganda,’ kata Pak Warsan menamatkan perbualan.

Multi-Tasking Itu Hanya Mitos?

Multi-Tasking Itu Hanya Mitos?

MAAFCAKAP 4.1.2023

Tahun baharu, azam baharu. Di awal tahun, semangat kita masih tinggi dan membara untuk melakukan sesuatu yang signifikan buat tahun 2023 ini. Berbekalkan tenaga dan fikiran yang segar,  banyak perancangan telah diatur dan mula dikerjakan.

Untuk yang berniaga, inilah masa menyasarkan matlamat, keuntungan dan menghimpun projek baharu. Bagi mereka yang mengepalai sesebuah pasukan, kesepakatan untuk melaksanakan apa yang dirancang sedang dipupuk bagi melahirkan sebuah team yang mantap,

Betapa pun, segala-galanya kembali pada paksi diri sendiri. Kita tahu kekuatan dan kelemahan diri atau bila masa kita rajin mahu pun  malas. Bila pula masa kita boleh berlebih kurang dan bila pula kita begitu cerewet. Pokok pangkalnya, ia soal menjalankan tugas dan tanggungjawab yang kita sebut sebagai ‘kerja.’

Aktiviti ‘kerja’ mempunyai tujuan jangka pendek iaitu menyudahkan. Di peringkat peribadi, aktiviti kerja melibatkan membaca, mengkaji, menelah, merangka, mengira dan menulis. Di peringkat kumpulan pula sesuatu kerja itu perlu dibincang, dibahas dan disepakati sebelum ia mula dilaksanakan. Kemudian kejayaan atau kegagalan sesebuah kerja itu dikaji untuk menilai keberkesanannya.

Malangnya, buat ramai di antara kita, kerja itu bukanlah satu atau dua aktiviti sahaja. Kita melakukan pelbagai kerja dalam sehari. Ada tugas yang perlukan kita berkerja sendirian seperti menyiapkan kertas kerja dan yang memerlukan kerjasama teman-teman sekerja seperti memantau projek. Malah, menjawab panggilan telefon mahupun mesej si isteri yang memesan telur ayam juga adalah kerja.

Dan, tiba-tiba bos panggil ke biliknya untuk memperkenalkan kita dengan seseorang yang bakal menjadi pelanggan berpotensi untuk syarikat. Kerja kita di bilik bos  itu adalah duduk diam-diam dan senyum-senyum sebagai tanda yang kita menerima kehadiran tetamu bos. Ini juga satu kerja. Kesemua ini perlukan kecekapan kita untuk menanganinya.

Bila kita terpaksa melakukan pelbagai tugas, maka kita mula melakukan kesemuanya menurut pendekatan multi-tasking iaitu kebolehan melakukan pelbagai tugas pada waktu yang sama. Multi-tasking sudah menjadi suatu pendekatan kerja yang mengukur kebolehan seseorang itu.

Jadi, orang yang hanya boleh melakukan hanya suatu kerja pada satu-satu masa itu dianggap tidak cekap. Malah, ‘tak boleh pakai.’ Namun, di sebalik kehebatan imej seseorang yang mampu multi-tasking sebagai satu cara mengukur kecekapan seseorang, multi-tasking tanpa henti akan membuatkan seseorang itu bingung, malah menjadikan kita seorang manusia yang serba gelabah.

Sebenarnya, multi-tasking bukanlah sikap manusia. Sebaliknya ia adalah kebolehan yang diprogramkan untuk komputer. Istilah multi-tasking itu sendiri diperkenalkan pada tahun 50an ketika komputer mula popular sebagai alat membantu kerja manusia menurut jurutera komputer, Profesor Roscoe Giles dari Boston University.

Banyak kajian yang dilakukan pada tahun 60an yang menunjukkan kebolehan manusia untuk melakukan multi-tasking begitu terhad berbanding komputer. Meskipun komputer boleh memuat turun program, mengira dan mencetak pada waktu yang sama, sebenarnya memori komputer berbolak-balik dengan laju untuk menyelesaikan banyak tugas pada waktu yang sama. Kerana kelajuannya, kita berasa yang komputer itu membuat kerja secara serentak.

Hingga ke hari ini, multi-tasking menjadi salah satu ciri pekerja yang baik sedangkan seseorang yang mengamalkannya tidak boleh bertahan lama. Jika dia terpaksa melakukannya, dia hanya mencekik saluran mindanya menurut jurnal American Psychology Association, kajian Gladstones, Regan & Lee, 1989.

Akibatnya, ia menjejaskan kepantasan seseorang bekerja kerana mindanya perlu berbolak-balik dari kerja A, B dan C dan balik semua ke kerja A. Akhirnya orang yang melakukan multi-tasking akan bingung dan tumbang kepenatan. Pakar Psikologi Edward M. Hallowell seorang pakar ADHD (attention deficit hyperactivity disorder)  lebih jelas merumuskan bahawa multi-tasking adalah aktiviti khayalan yang mana manusia tidak boleh melakukan dua atau lebih banyak tugas pada satu-satu masa sebagus membuat hanya sebuah tugasan.

Entah mengapa dan siapa manusia yang mengadaptasi konsep multi-tasking hingga menjadi tanda aras kecekapan seseorang pekerja hingga ke hari ini. Kerana terminologinya hebat bunyinya, kita pun taklid sahaja tanpa menyelidik asal usul konsep itu. Padahal, ia adalah pendekatan yang diprogramkan untuk komputer, sejak 80 tahun lalu.

Barangkali, kita harus berhenti mempercayai ia adalah konsep kerja yang baik. Selain daripada pandangan yang ketinggalan, ia tidak sesuai untuk manusia. Fikirkan dan buatlah keputusan.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]