MAAFCAKAP 4.1.2023

Tahun baharu, azam baharu. Di awal tahun, semangat kita masih tinggi dan membara untuk melakukan sesuatu yang signifikan buat tahun 2023 ini. Berbekalkan tenaga dan fikiran yang segar,  banyak perancangan telah diatur dan mula dikerjakan.

Untuk yang berniaga, inilah masa menyasarkan matlamat, keuntungan dan menghimpun projek baharu. Bagi mereka yang mengepalai sesebuah pasukan, kesepakatan untuk melaksanakan apa yang dirancang sedang dipupuk bagi melahirkan sebuah team yang mantap,

Betapa pun, segala-galanya kembali pada paksi diri sendiri. Kita tahu kekuatan dan kelemahan diri atau bila masa kita rajin mahu pun  malas. Bila pula masa kita boleh berlebih kurang dan bila pula kita begitu cerewet. Pokok pangkalnya, ia soal menjalankan tugas dan tanggungjawab yang kita sebut sebagai ‘kerja.’

Aktiviti ‘kerja’ mempunyai tujuan jangka pendek iaitu menyudahkan. Di peringkat peribadi, aktiviti kerja melibatkan membaca, mengkaji, menelah, merangka, mengira dan menulis. Di peringkat kumpulan pula sesuatu kerja itu perlu dibincang, dibahas dan disepakati sebelum ia mula dilaksanakan. Kemudian kejayaan atau kegagalan sesebuah kerja itu dikaji untuk menilai keberkesanannya.

Malangnya, buat ramai di antara kita, kerja itu bukanlah satu atau dua aktiviti sahaja. Kita melakukan pelbagai kerja dalam sehari. Ada tugas yang perlukan kita berkerja sendirian seperti menyiapkan kertas kerja dan yang memerlukan kerjasama teman-teman sekerja seperti memantau projek. Malah, menjawab panggilan telefon mahupun mesej si isteri yang memesan telur ayam juga adalah kerja.

Dan, tiba-tiba bos panggil ke biliknya untuk memperkenalkan kita dengan seseorang yang bakal menjadi pelanggan berpotensi untuk syarikat. Kerja kita di bilik bos  itu adalah duduk diam-diam dan senyum-senyum sebagai tanda yang kita menerima kehadiran tetamu bos. Ini juga satu kerja. Kesemua ini perlukan kecekapan kita untuk menanganinya.

Bila kita terpaksa melakukan pelbagai tugas, maka kita mula melakukan kesemuanya menurut pendekatan multi-tasking iaitu kebolehan melakukan pelbagai tugas pada waktu yang sama. Multi-tasking sudah menjadi suatu pendekatan kerja yang mengukur kebolehan seseorang itu.

Jadi, orang yang hanya boleh melakukan hanya suatu kerja pada satu-satu masa itu dianggap tidak cekap. Malah, ‘tak boleh pakai.’ Namun, di sebalik kehebatan imej seseorang yang mampu multi-tasking sebagai satu cara mengukur kecekapan seseorang, multi-tasking tanpa henti akan membuatkan seseorang itu bingung, malah menjadikan kita seorang manusia yang serba gelabah.

Sebenarnya, multi-tasking bukanlah sikap manusia. Sebaliknya ia adalah kebolehan yang diprogramkan untuk komputer. Istilah multi-tasking itu sendiri diperkenalkan pada tahun 50an ketika komputer mula popular sebagai alat membantu kerja manusia menurut jurutera komputer, Profesor Roscoe Giles dari Boston University.

Banyak kajian yang dilakukan pada tahun 60an yang menunjukkan kebolehan manusia untuk melakukan multi-tasking begitu terhad berbanding komputer. Meskipun komputer boleh memuat turun program, mengira dan mencetak pada waktu yang sama, sebenarnya memori komputer berbolak-balik dengan laju untuk menyelesaikan banyak tugas pada waktu yang sama. Kerana kelajuannya, kita berasa yang komputer itu membuat kerja secara serentak.

Hingga ke hari ini, multi-tasking menjadi salah satu ciri pekerja yang baik sedangkan seseorang yang mengamalkannya tidak boleh bertahan lama. Jika dia terpaksa melakukannya, dia hanya mencekik saluran mindanya menurut jurnal American Psychology Association, kajian Gladstones, Regan & Lee, 1989.

Akibatnya, ia menjejaskan kepantasan seseorang bekerja kerana mindanya perlu berbolak-balik dari kerja A, B dan C dan balik semua ke kerja A. Akhirnya orang yang melakukan multi-tasking akan bingung dan tumbang kepenatan. Pakar Psikologi Edward M. Hallowell seorang pakar ADHD (attention deficit hyperactivity disorder)  lebih jelas merumuskan bahawa multi-tasking adalah aktiviti khayalan yang mana manusia tidak boleh melakukan dua atau lebih banyak tugas pada satu-satu masa sebagus membuat hanya sebuah tugasan.

Entah mengapa dan siapa manusia yang mengadaptasi konsep multi-tasking hingga menjadi tanda aras kecekapan seseorang pekerja hingga ke hari ini. Kerana terminologinya hebat bunyinya, kita pun taklid sahaja tanpa menyelidik asal usul konsep itu. Padahal, ia adalah pendekatan yang diprogramkan untuk komputer, sejak 80 tahun lalu.

Barangkali, kita harus berhenti mempercayai ia adalah konsep kerja yang baik. Selain daripada pandangan yang ketinggalan, ia tidak sesuai untuk manusia. Fikirkan dan buatlah keputusan.